KOTA BHARU – Seorang peniaga yang mendakwa tertekan dibelenggu hutang
keliling pinggang, dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam
atas tuduhan menendang belakang badan isterinya di rumah mereka di Batu
Melintang, Jeli, April lalu.
Tertuduh Hamid Hamad (gambar), 44, mengaku bersalah melakukan
perbuatan mencederakan isterinya itu ketika dihadapkan di depan
Majistret Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik.
Mengikut pertuduhan, Hamid didakwa menyebabkan kecederaan ke atas
isterinya, Rohana Mohd. Zin, 40, dengan menendang bahagian belakang
badan mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di Lata Janggut, Batu
Melintang antara pukul 7.30 malam hingga 10 malam, 8 April lalu.
Dia yang merupakan seorang peniaga didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun
Keseksaan dan boleh dipenjarakan sehingga setahun atau denda sehingga
RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Adilla Othman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment