LONDON - Dua rekod dunia berjaya diperbaharui pada hari kedua acara renang di Pusat Akuatik Olimpik London kelmarin.
Paling mencuri tumpuan ialah perenang Afrika Selatan, Cameron van der
Burgh yang mencipta kejutan apabila mengungguli acara 100 meter kuak
dada lelaki.
Selain memenangi pingat emas, van der Burgh turut memperbaharui rekod
dunia dengan catatan 58.46 saat, sekali gus memadam rekod lama 58.58
saat milik perenang Australia, Brenton Rickard pada Kejohanan Renang
Dunia di Rom, Itali pada 2009.
Lebih manis, van der Burgh menjadi perenang lelaki pertama dari Afrika Selatan yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik.
"Ia suatu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan ketika ini.
"Yang pasti, kejayaan ini adalah hasil kerja keras saya membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik dan ia sangat berbaloi.
"Secara jujurnya, saya tidak kisah sangat dengan kejayaan
memperbaharui rekod dunia kerana yang paling penting adalah memenangi
pingat emas pada temasya kali ini.
"Sekali kamu bergelar juara Sukan Olimpik, ia tidak boleh dirampas oleh sesiapa.
"Sudah pasti saya akan ceritakan kejayaan ini kepada anak-anak saya nanti," kata van der Burgh.
Perenang Australia, Christian Sprenger memenangi pingat perak, manakala Brendan Hansen pingat gangsa.
Terdahulu, perenang sensasi Amerika Syarikat, Dana Vollmer beraksi
cemerlang apabila mendominasi acara 100m kuak kupu-kupu wanita dengan
catatan 55.98 saat, sekali gus memperbaharui rekod dunia. - AP
No comments:
Post a Comment