Jom Buat Duit

Sunday, 29 July 2012

Mampukah Pandelela buat kejutan?

ANDAI pencapaian lalu dijadikan ukuran, ratu terjun negara, Pandelela Rinong bakal menghadiahkan pingat pertama negara pada Sukan Olimpik 2012 London.
Atas kertas, Pendelela dilihat mudah untuk menghadiahkan keistimewaan itu kerana prestasinya di pentas antarabangsa sebelum temasya London bermula sangat mengkagumkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pingat perak dan gangsa bakal berada dalam genggamannya seperti yang dibuktikannya pada beberapa siri Kejohanan Dunia yang disertainya sebelum ini.
Andai penerjun dari negara tembok besar, China melakukan kesilapan, ia mungkin membuka laluan buat Pendelela menghadiahkan keistemewaan yang lebih besar, iaitu pingat emas.
Boleh dikatakan bahawa hasrat Pandelela untuk meraih emas pada beberapa Kejohanan Dunia sebelum ini sering disekat oleh penerjun China.

Mengimbas pencapaian Pandelela tahun lalu, banyak kejutan sudah dilakukannya.
Pada Kejohanan Terjun Dunia di Moscow dan Beijing tahun lalu, dia meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform individu wanita.
Pada saingan di Beijing pula dia turut meraih perak menerusi acara terjun seirama (10m platform) bersama Leong Mun Yee.

Ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India, atlet kelahiran Sarawak ini menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara menerusi acara kegemarannya, 10m platform individu wanita.
Deretan kejayaan yang diraih oleh Pandelela pada kejohanan bertaraf lima bintang memberi keyakinan kepada Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid bahawa jaguh negara itu mampu melakar kejutan pada temasya kali ini.
Menurut Ahmad Sarji, Pandelela boleh dianggap sebagai prospek pingat pada temasya di London ini.
"Saya berjumpa dengannya hari ini (semalam). Dia nampak tenang dan tidak memperlihatkan sebarang tekanan.

"Dia sudah menimba banyak pengalaman beraksi dalam kejohanan berprestasi tinggi seperti ini dan ia sedikit sebanyak telah membantu menguatkan mentalnya," kata Ahmad Sarji.
Menurut beliau, rekod pencapaian Pandelela di pentas antarabangsa sebelum ini juga tidak kurang hebatnya, malah sentiasa berada di kedudukan No. 2 di belakang penerjun China.
"Oleh sebab itu, saya ada keyakinan sesuatu yang istimewa bakal tercetus dalam acara terjun kelak, insya-Allah," tambahnya.

Sebelum menjejak kaki di bumi London, Pandelela bersama skuad terjun negara telah berguru di China bagi memperkemaskan lagi gaya persembahan mereka menjelang Sukan Olimpik kali ini.
Latihan tersebut lebih terarah kepada membina kekuatan mental mereka selain memperkemaskan gaya terjunan.

"Saya sudah bersedia menghadapi saingan pada temasya kali ini dan tidak ada rasa tertekan untuk menghadapinya. Apa yang penting sekarang ialah untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pertandingan yang bakal dihadapi," jelas Pandelela.

Pandelela akan memulakan kempennya esok dalam acara 3m papan anjal seirama wanita. Dia akan bergandingan dengan Cheong Jun Hoong dalam acara tersebut.
Selain acara 3m papan anjal seirama, Pandelela turut beraksi dalam acara 10m platform individu wanita serta acara 10m papan anjal seirama.

Dalam acara 10m papan anjal wanita, dia akan bergandingan dengan Leong Mun Yee.
Penerjun lain dalam skuad terjun negara pada temasya di London ini ialah Bryan Nickson Lomas yang akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu lelaki, 3m papan anjal seirama serta acara 10m paltform individu.

Turut tersenarai dalam skuad ialah Yeoh Ken Nee (3m papan anjal individu lelaki), Huang Qiang (3m papan anjal seirama lelaki), Leong Mun Yee (10m platform seirama wanita), Traisy Vivien Tukiet (10m platform individu wanita), Cheong Jun Hoong yang akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu wanita dan seirama serta Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu wanita, 3m papan anjal seirama).

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters