Jom Buat Duit
Friday, 13 July 2012
Kuartet NS tiada tandingan
KUARTET Negeri Sembilan merakamkan kemenangan bergaya apabila memenangi pingat emas acara 4x100 meter (m) lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
Dengan mendapat 'sentuhan' bekas pelari pecut negara, Azmi Ibrahim, kuartet Negeri Sembilan yang dibarisi Mohd. Nur Azli Azmi, Mohd. Hakim Rosli, Mohd. Aizat Mokhtar dan Mohd. Shahmim Azmi merekodkan masa 41.79 saat (s).
Bagaimanapun, catatan itu masih jauh berbanding rekod Sukma yang dilakukan kuartet Sabah pada Sukan SEA 2008 di Terengganu iaitu 41.04s.
Pingat perak pula dimenangi kuartet Terengganu dengan catatan masa 41.94s manakala gangsa milik kuartet Sabah (42.39s).
Bagi Azmi, beliau berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya itu yang berjaya menyumbang emas sulung buat Negeri Sembilan dalam acara tersebut pada temasya Sukma.
"Mereka semua berada di bawah bimbingan saya menerusi program pelapis kebangsaan Majlis Sukan Negara (MSN).
Ada di antara mereka juga masih baharu tetapi masih mampu memberikan persembahan terbaik, seterusnya memenangi pingat emas.
"Saya percaya kuartet Negeri Sembilan itu mempunyai potensi untuk melangkah lebih jauh pada masa akan datang," jelas Azmi semalam.
Bagi saingan 4x100m wanita, kuartet Terengganu meraih pingat emas dengan catatan masa 47.88s manakala Johor (48.36s) dan Sabah (48.37s) masing-masing menyambar perak dan gangsa.
Dalam acara baling tukul besi wanita, pingat emas menjadi milik atlet Sarawak, Casier Renee Lee yang melakukan balingan sejauh 47.22m.
Atlet Negeri Sembilan, Noor Aida Shuhada Nordin (42.7m) dan atlet Sarawak, Tiong Mee Yin (42.23m) masing-masing meraih perak dan gangsa.
Bagi acara lompat bergalah wanita, atlet Perak, Chuah Yu Tian mengutip pingat emas dengan catatan 3.55m manakala atlet Melaka, Valerie Tan Ee Leen (3.30m) dan atlet Negeri Sembilan, Norezatti Shasha (3.00m) masing-masing meraih perak dan gangsa.
Dalam saingan 400m lari berpagar lelaki, atlet Kelantan, Mohamed Baihaqi Razlan merangkul pingat emas selepas merekodkan catatan masa 53.00s.
Pingat perak milik atlet Kedah, Muhamad Firdaus Mazalan (53.14s) dan atlet Perak, Muhammad Firdaus Musa (53.73s) meraih gangsa.
Dalam acara 400m lari berpagar wanita, pingat emas diraih atlet Terengganu, Layalia Rameli dengan catatan 64.29s, perak milik atlet Wilayah Persekutuan, Wong Pui Yee (65.66s) dan gangsa diraih atlet Perak, Saidatul Izatti Suhaimi (66.31s).
Bagi acara 800m lelaki, atlet Kelantan, Nik Hafiz Nik Mohamad merangkul pingat emas selepas merekodkan catatan masa 1:54.60s.
Pingat perak milik atlet Perak, V. Jeeventhiran (1:55.99s) manakala atlet Kedah, Tan Wei Heng (1:56.78s) menyambar gangsa.
Dalam saingan 800m wanita, atlet Kelantan, Nik Norzilawati Nik Wil merangkul pingat emas selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2:19.91s.
Atlet Sarawak, Faradilah Raznie (2:20.88s) dan atlet Johor, S. Sharmila (2:21.21s) masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.
Labels:
Sukma XV
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment