Lelaki berusia 37 tahun itu kini tampil dengan dua single. Dua kolaborasi dengan teman dan idola yang sudah lama diimpikannya. Sinar Ini menyaksikan paduan suara bersama Maya Karin manakala Takdir Cinta adalah kerjasama dengan legenda rock bernama Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search.
"Bekerjasama dengan Amy memang senang. Dia seorang yang santai dan mudah bekerjasama. Bayangkan saya meminatinya sejak sekolah dan hari ini saya dapat bekerjasama dengan legenda rock itu. Maya merupakan rakan lama saya, kami memang serasi seni. Lagu Sinar Ini awalnya ditulis dalam bahasa Inggeris kemudian ditukar ke bahasa Melayu oleh saya. Video klip juga sudah selesai dibuat untuk kedua-dua buah lagu ini," ujar Yasin yang kini terlibat dengan program Cahaya Lirik sebagai pengemudi rancangan yang akan bersiaran di Astro Oasis.
Menyentuh soal kolaborasi dalam karier seninya, penulis bertanya mengapa dia memilih untuk keluar secara duet sedangkan kerjaya solonya dahulu cukup membanggakan.
"Sudah lama saya tidak keluar dengan produk sendiri, orang kata menghilang. Jujurnya saya tidak pasti sama ada peminat dapat menerima saya kembali jika saya keluar secara solo. Jadi saya beduet dengan artis yang popular, bak kata orang 'test market' lah," tawanya yang kini sedang mengerjakan lagu Asma Ul Husna untuk Amy dan dua buah lagu lagi untuk Maya.
Dakwah dalam lagu
Tegas Yasin, dia tidak melabelkan dirinya sebagai seorang penyanyi nasyid. Dia mahu dilihat dalam skala yang lebih luas agar tidak tersekat daya kreatif oleh kerana satu label.
Meminta pandangan tentang dunia nasyid yang kini seperti hanya rancak berjalan di bawah tanah, Yasin menjawab jujur:
"Musim bunga untuk nasyid sudah berlalu. Sekarang ini nasyid perlu berkembang dan mengikut keadaan semasa. Saya tidak labelkan diri saya penasyid kerana takut dengan masa. Sekarang sudah banyak lahir lagu-lagu yang berbentuk positif. Itu juga di bawah payung nasyid. Apa yang penting ialah inti pati. Bukan soal susunan atau genre lagu tetapi pengisian."
Bercerita tentang lirik kerohanian, menurut Yasin, lirik dengan tema kerohanian didapati diraikan dengan meriah.
"Dalam kalangan orang seni, seolah-olah ramai yang mencari cahaya masing-masing. Cahaya yang dimaksudkan ialah sebuah metafora terhadap sifat tabah, ketenangan dan pengertian. Saya rasa setiap orang melalui perkara-perkara tersendiri dalam hidup dan faktor yang diperlukan untuk mendapat cahaya adalah masa."
|
|
"Tetapi apabila kita pilih untuk berubah, janganlah kita berharap satu dunia akan berubah dengan kita waktu itu. Semuanya memerlukan masa," senyumnya menjurus kepada pengertian sebuah hidayah.
Beralih perbualan kepada isi dakwah dalam lagu, mengambil nafas seketika dan kemudian Yasin menyambung: "Cara dakwah paling baik adalah melalui lagu kerana bila dilagukan kita tidak akan bertengkar, tidak undang kemarahan. Seolah-olah bicara dari hati ke hati. Itu cara alternatif."
"Tidak seronok jika mahu berdakwah dengan emosi dan saling saling menjatuhkan. Ada pula yang kutuk-mengutuk dan saling mengecilkan. Apa yang penting berdakwah dan berubah adalah untuk diri sendiri dulu kemudian keluarga dan rakan-rakan. Bila sudah ada ilmu, barulah pergi kepada masyarakat," ujarnya yang tidak menidakkan keputusan sesetengah selebriti berdakwah atas nama politik tetapi itu bukanlah platform kemestian jika mahu meluaskan dakwah.
Kerjasama kehidupan
Umum pernah dikejutkan dengan berita ketidakstabilan emosi Yasin. Lupakan kisah itu seketika kerana dia telah melaluinya dengan jelas. Cuma untuk renungan bersama, dia berkongsi sedikit peralihan kehidupan yang dilalui. Persahabatannya dengan suatu yang dinamakan kehidupan.
"Saya sangat bersyukur kepada Allah dengan apa yang saya lalui. Bersyukur dengan kedudukan dan status saya sekarang. Jika Allah ingin menetapkan jalan hidup saya di tahap ini sahaja, saya okey," jelasnya yang merasa fasa terkini adalah yang paling tenang dilaluinya sekarang.
Kata Yasin, saat paling menjunam emosi adalah pada tahun 2009 dan 2010.
"Masih ada rasa susahnya tetapi menjelang pertengahan 2010 saya merasakan sebuah perubahan. Hidup jadi lebih bagus dan fikiran lebih positif. Hijrah ini berlaku kerana pembacaan, pengalaman, praktis, teknikal dan pemakanan, semua dalam satu aspek," senyumnya mengingat tahun yang digelarnya sebagai 'rock bottom'.
"Selama 10 tahun saya hidup dalam era gelap. Kemudian perlahan-lahan saya paksa diri untuk berubah kerana hidup perlu diteruskan. Jujurnya, saya pernah berdoa di depan Kaabah untuk soal duniawi. Saya 'hilang' dalam soal harga diri dan rasa takut dengan kehidupan. Namun saya anggap ini sebagai teguran Allah kepada saya, mungkin dengan cara ini saya akan sedar," ceritanya lagi tanpa selindung.
"Sekarang, sudah banyak yang saya temui dan ia makan masa. Saya kini merasai yang dugaan-dugaan yang saya hadapi dahulu semakin pudar dan berlalu pergi," senyumnya yang akan memulakan penggambaran drama bersiri Wasiat Rindu di Tanah Suci Mekah pada 15 Ogos ini.
Selain itu Yasin juga turut menyiapkan single terbaharu Alyahbertajuk Lena Sahara dan Native Deen dari Britain yang masih dalam proses rakaman.
Melihat ayahanda kepada Samir, 8, dan Malaika, 4, ini dalam keadaan segar seakan melenyapkan terus ingatan kepada seorang lelaki yang pernah dihinggapi 'gelap' suasana. Dia senyum dan mensyukuri perubahan itu.
Hujung katanya ringkas tetapi padat, "Kita kena undang kebahagiaan."
Kosmo
No comments:
Post a Comment