Jom Buat Duit

Saturday, 30 June 2012

Bahana Euro 2012


ORANG ramai berkumpul di sebuah restoran di Kuching, Sarawak yang menyediakan skrin besar yang menayangkan salah satu siaran langsung Euro 2012 - Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR - Simptom yang dikaitkan dengan Euro 2012 amat ketara dengan meningkatnya desakan untuk bertaruh dan berjudi, lebih banyak cuti sakit, ponteng dan ramai yang lewat ke tempat kerja.
JobStreet.com dalam kenyataan yang dibuatnya berdasarkan satu penyelidikan memberitahu, banyak aktiviti telah dapat dikesan di pejabat sepanjang musim demam bola sepak, yang akan berakhir hujung minggu ini.
Antara yang paling menonjol - judi dan pertaruhan membabitkan wang ringgit.
"Tiga syarikat telah dapat mengesan aktiviti perjudian di kalangan pekerja," katanya.

Osman Kering meninggal dunia


MOHAMMAD AL-ANAS (kanan) melihat wajah ayahnya buat kali terakhir selepas disembahyangkan di Masjid Al-Najihin, Bandar Seri Permaisuri, Cheras semalam.


KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak, Osman Kering atau nama sebenarnya Osman Kassim (gambar kecil), 59, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini pada pukul 3.45 petang semalam.
Allahyarham yang menghidap penyakit batuk kering sejak beberapa tahun lalu meninggal dunia akibat kegagalan organ dalamannya berfungsi.
Menurut anak sulung Allahyarham, Mohammad Al- Anas, 28, bapanya mengalami bengkak pada bahagian otak sejak Isnin lalu dan ia semakin teruk sejak beberapa hari lepas.
“Doktor beritahu bengkak tersebut disebabkan aliran darah dan oksigen tidak sampai ke otaknya dengan baik.
“Selain itu, paru-parunya berfungsi sebelah sahaja manakala sebelah lagi sudah lama rosak,” katanya ketika ditemui.

Dibunuh angkara tolak lamaran

AMPANG JAYA - Seorang gadis yang baru dua minggu mengikat tali pertunangan dibunuh kejam apabila dia diserang sebelum dibakar hidup-hidup di depan pintu rumahnya di tingkat sembilan Apartmen Mesra Prima, Kampung Ampang Campuran di sini kelmarin.
Dalam kejadian menyayat hati pada pukul 9.30 malam itu, mangsa P. Yoga Ambiga, 27, seorang kerani sebuah bank di Medan Pasar, Kuala Lumpur mati dalam keadaan seluruh badannya bertukar putih akibat melecur seratus peratus.

Mangsa cuba diselamatkan oleh jiran namun gagal. Sebelum diserang, Yoga yang membawa bungkusan makanan mahu membuka pintu rumah tetapi terlebih dahulu diserang dan dibakar oleh tiga suspek.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Md. Nazri Zawawi berkata, selepas diserang dari belakang, sekumpulan suspek terus menyimbah sejenis cecair dipercayai minyak tanah ke badan mangsa sebelum mencucuh api.
"Tidak sampai lima minit badan mangsa hangus terbakar. Mangsa sempat menjerit namun jiran-jiran gagal menyelamatkan mangsa kerana badannya terbakar sepenuhnya," kata beliau ketika dihubungi.

Fabregas bimbang kelibat Balotelli


FABREGAS anggap Balotelli sebagai ancaman utama Sepanyol pada final Euro 2012 awal pagi Isnin ini.


KIEV, Ukraine - Cesc Fabregas menegaskan bahawa Sepanyol perlu memberi perhatian yang lebih kepada Mario Balotelli sekiranya mahu menewaskan Itali pada final Euro 2012 di Stadium Olimpik awal pagi Isnin ini.
Penyerang kontroversi Itali itu menampilkan aksi yang cemerlang di pentas antarabangsa selepas meledakkan kedua-dua gol ketika menewaskan Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium National, Poland awal pagi semalam.

Kini, penyerang Manchester City itu berpeluang untuk memenangi anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak selepas berkongsi tiga gol.
Fabregas berkata, persembahan Balotelli ketika menentang Jerman telah membuktikan bahawa dia adalah seorang pemain yang hebat.
"Balotelli merupakan seorang pemain yang hebat.
"Dia telah membuktikan semalam (awal pagi semalam) apabila meledakkan dua gol yang cantik pada aksi separuh akhir menentang sebuah pasukan yang hebat seperti Jerman.
"Dia bakal menjadi ancaman, sama seperti (Antonio) Cassano dan barisan penyerang yang lain," kata pemain tengah Barcelona itu semalam.

Ketika diminta untuk menilai kekuatan utama Itali, Fabregas berkata, skuad bimbingan Cesare Prandelli memiliki ramai pemain yang berbahaya di setiap posisi.
"Mereka (Itali) adalah sebuah pasukan yang kompetitif.
"Mereka sangat berpengalaman di posisi pertahanan dan serangan. Mereka dibarisi pemain-pemain yang melalui musim cemerlang bersama AC Milan, Inter Milan dan Juventus.
"Barisan pertahanan Itali sangat berpengalaman dan mereka tahu bila untuk melancarkan serangan dan bertahan.
"Selain itu, mereka memiliki penjaga gol yang hebat (Gianluigi Buffon). Seorang kapten yang semula jadi tetapi Sepanyol juga mempunyai penjaga gol yang tidak kurang hebatnya, Iker Casillas.
Sekiranya berjaya menewaskan Itali, Sepanyol akan melakar sejarah baharu menjadi pasukan pertama yang mempertahankan gelaran juara Eropah.
Selain itu, mereka juga akan menjadi pasukan pertama yang memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut selepas Euro 2008 dan Piala Dunia 2010. - AFP

Loew pertahan strategi


PEMAIN-PEMAIN Jerman kecewa selepas tewas 1-2 kepada Itali dan gagal melayakkan diri ke final Euro 2012.


WARSAW, Poland - Jurulatih Jerman, Joachim Loew tetap mempertahankan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas 1-2 kepada Itali pada aksi separuh akhir Euro 2012 awal pagi semalam.
Loew berkata, barisan pemain muda skuad The Team telah mempamerkan potensi yang dimiliki pada kempen kali ini.

Pada aksi di Stadium National itu, penyerang kontroversi Itali, Mario Balotelli memusnahkan impian Jerman selepas meledakkan kedua-dua gol skuad The Azzurri pada separuh masa pertama permainan.
Meskipun berjaya menampilkan aksi yang lebih baik pada babak kedua, sekali gus merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Mesut Ozil pada minit ke-92, ia tidak memadai buat Jerman.

Tampil selaku pasukan pilihan bersama-sama Sepanyol selepas memenangi kesemua 10 perlawanan pada kempen kelayakan, rekod tanpa kalah sebanyak 15 perlawanan milik Jerman lebur.
Kekebalan bentang pertahanan Jerman gagal mengekang asakan Balotelli manakala skil pemain tengah, Bastian Schweinsteiger dan Ozil dibayangi kehebatan perancang Itali, Andrea Pirlo dan Riccardo Montolivo.
Loew yang masih mempunyai kontrak sehingga 2014 berkata, kejayaan Jerman akan tiba suatu hari nanti.
"Ini semua adalah sebahagian daripada proses pembangunan buat pasukan. Kamu tidak akan memenangi gelaran dengan bercakap sahaja.
"Sepanyol terpaksa menanti untuk satu tempoh yang panjang (bagi menenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2008).

"Pada babak kedua, kami telah melakukan segala-galanya untuk menguasai permainan. Kami bermain dengan sepenuh hati.
"Selain daripada kekalahan, kejohanan ini sangat baik dan ia adalah satu proses pembelajaran.
"Bermain di tahap tertinggi bersama pasukan-pasukan ini, tidak banyak yang membezakan kami.
"Hanya satu saat yang menentukan sama ada kamu menang atau kalah.
"Pasukan telah banyak meningkat dalam tempoh dua tahun, kami berjaya mengekori rapat negara-negara yang berada di depan kami dan kini, kami sama taraf dengan pasukan-pasukan terhebat ini.
"Kami tidak melakukannya hari ini (awal pagi semalam) tetapi peluang kami pasti tiba pada masa hadapan.
"Kekuatan sudah ada, kami mara ke final dan kami sentiasa berharap tetapi hari ini, pada babak pertama, kami ketinggalan di belakang.
"Sebab itu kami berada di sini dan merasai kekecewaan ini," kata pengendali berusia 52 tahun itu. - AFP

Itali bukan calon pilihan juara

WARSAW, Poland - Jurulatih Itali, Cesare Prandelli hanya tersenyum sinis apabila ada pihak yang mengatakan pasukan itu sebagai pilihan untuk menjadi juara Euro 2012.
Prandelli berkata, Sepanyol lebih berhak untuk merangkul gelaran itu meskipun Itali berjaya mengejutkan pasukan pilihan, Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional awal pagi semalam.
"Pasukan pilihan adalah Sepanyol kerana pemain-pemain mereka sudah bersama sejak beberapa tahun lalu dan sentiasa bijak menguasai permainan dalam setiap perlawanan.

"Kami menganggap Sepanyol adalah pasukan yang lebih hebat. Dalam kejohanan seperti ini, ia agak memenatkan kerana keadaan fizikal pemain akan turut menjadi penentu pada final nanti," kata Prandelli.
Kedua-dua finalis yang turut diundi dalam Kumpulan C itu sekadar seri 1-1 pada perlawanan peringkat kumpulan, 10 Jun lalu.

Namun, jika diambil kira pertemuan terakhir di luar Euro 2012, Itali pernah menewaskan Sepanyol dalam satu perlawanan persahabatan tahun lalu.
Pada aksi separuh akhir awal pagi semalam, kedua-dua gol Itali dijaringkan Mario Balotelli manakala gol tunggal Jerman menerusi sepakan penalti Mesut Ozil pada masa kecederaan.

Meskipun gembira dengan persembahan keseluruhan anak-anak buahnya, Prandelli masih tidak dapat menyembunyikan kebimbangan berikutan kegagalan menyempurnakan beberapa peluang yang terhidang menerusi serangan balas pantas pada babak kedua.
"Kami memang sudah keletihan ketika permainan berbaki 10 minit. Empat hari sebelum itu, kami terpaksa bertarung sehingga 120 minit (menentang England).
"Jadi, apabila kami peroleh empat peluang untuk menjaringkan gol ketiga, kami gagal memanfaatkannya. Jika berjaya, sisa perjuangan Jerman akan berakhir.
"Dalam bola sepak, sepakan percuma atau penalti boleh mengubah perlawanan dalam sekelip mata. Ia boleh meletakkan kami dalam kesukaran," tegasnya.
Bagaimanapun, Prandelli mengakui, ini adalah persembahan terbaik Itali di bawah kendaliannya sejak dua tahun lalu sebaik mengambil alih jawatan jurulatih selepas kegagalan pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. - AFP

Hati Audy milik Iko Uwais

GENAP 12 tahun penglibatan Audy Item dalam industri seni suara Indonesia, dia kini berjaya muncul dengan album keempatnya yang berjudul Selalu Terdepan.
Hasil yang ditunggu-tunggu oleh peminatnya selepas kali terakhir mengeluarkan album adalah pada tahun 2006 yang berjudul 23-03.
"Saya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan album, jadi selepas menimba ilmu dan belajar selok-belok industri nyanyian, saya tampil dengan hadiah terbaharu, Selalu Terdepan.
"Album keempat ini sangat istimewa kerana saya terlibat untuk hampir semua proses menerbitkan album ini, bermula daripada menulis lirik, mencipta lagu, mereka konsep album dan video klip termasuk juga promosinya," katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran album Selalu Terdepan di Hotel Royal Coronade, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Audy sebelum ini pernah bertandang ke Kuala Lumpur untuk melancarkan album sulungnya berjudul, 18 pada tahun 2001.
"Saya mahu berikan pelajaran terhadap perkara yang sudah saya pelajari selama ini dan menggunakan sepenuh jiwa dalam bermuzik.
"Maknanya, setiap yang saya berikan keluar daripada hati," bicara Audi mengenai prinsipnya berkarya selari dengan kematangan usia.
Memilih judul Selalu Terdepan, konotasinya melambangkan perjuangan yang ingin dia tuju iaitu sentiasa optimis dan memandang ke hadapan.
Pencuri hati
Ditanya mengenai judul lagu yang paling istimewa baginya, ujar Audy atau empunya nama Paula Allodya Item, 29, Pencuri Hati paling terkesan baginya.
"Saya mencipta lagu itu pada tahun 2008 setelah putus cinta dan mencari-cari jejaka yang sudi mencuri hati saya.
SELEPAS hanya mula menjalinkan cinta pada bulan Mei tahun ini, Audy dan Iko nekad mengikat tali perkahwinan.
 
"Akhirnya saya bertemu dengan seorang lelaki yang benar-benar mencintai saya dan membuatkan saya bahagia sepanjang berada di sampingnya," luncur kata Audy.
Lantas, penyanyi lagu Lama Lama Aku Bosan itu ditebak lagi siapa gerangan yang berjaya mencuri hatinya. Jawabnya: "Dia ialah Iko Uwais!"
Iko Uwais merupakan seorang pelakon filem di Indonesia dan antara naskhah lakonannya yang mencuri tumpuan termasuklah The Raid: Redemption.
Nikah
Kata Audy jujur, Iko memenuhi kriteria jejaka pujaannya iaitu seorang individu yang sentiasa menyokong kariernya selain tidak mengabaikan tuntutan agama.
"Dia sangat istimewa, seorang yang selalu menyokong kerjaya saya dan seorang yang soleh," tambah anak ketiga daripada empat beradik itu.
Bibit cinta antara Audy dan aktor berusia 29 tahun itu bermula selepas Audy mengucapkan tahniah atas kejayaan filem The Raid: Redemption melalui laman sosial Twitter.
Selepas perkenalan itu, hubungan mereka bertambah serius dan akhirnya memutuskan untuk mengikat tali pernikahan pada Isnin, 25 Jun lalu.
Audy dan Iko yang bertunang pada 4 Jun lalu itu selamat diijabkabul di Hotel Grand Mahakam, Jakarta Selatan dengan mas kahwin merupakan perhiasan emas seberat 29 gram.
"Saya menerima lamaran Iko ketika sambutan hari jadi saya baru-baru ini dan ia merupakan tindakan yang wajar walaupun kami baru berkenalan selama sebulan. Saya yakin dia jodoh saya dan ini jalan yang ditetapkan oleh Allah," ulas Audy mengenai Iko.
Gemuk
FIGURA jelita pemilik vokal bertenaga ini bakal kembali ke Malaysia menjelang 8 Julai ini untuk mmebuat persembahan dalam sebuah konsert.
 
Melihat kepada perkembangan sosok tubuhnya yang semakin berisi, Audy mengakui selera makannya kini kian bertambah ekoran kesibukannya mengadakan konsert jelajah untuk mempromosikan album terbaharunya.
"Apabila saya mengikuti jelajah, saya akan ada lebih banyak masa terluang dan dijaga rapi. Saya akan makan banyak bagi mengelakkan jatuh sakit.
"Kalau tidak salah, berat badan saya kini sudah meningkat sebanyak enam kilogram apabila asyik menyanyi, makan dan tidur saja sepanjang konsert jelajah sekitar 12 daerah di Indonesia," ungkapnya yang berjaya menurunkan sedikit berat badannya untuk hari perkahwinannya itu.

Awi Rafael tekad mahu buang tatu

PENYANYI Awi Rafael, baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila gambarnya bertatu tersebar luas di internet. Sejak gambar itu tersebar belum ada satu kenyataan daripada mulut pelantun lagu Pulanglah itu. Awi hanya membuat kenyataan berhubung isu tatu itu di akaun Facebook miliknya dengan mengesahkan gambar lelaki bertatu yang hangat diperkatakan orang ramai adalah dirinya.
Dalam kenyataan di Facebook itu juga, Awi memohon maaf atas kesilapan dan perbuatan yang dilakukan ketika remaja sebelum dia bergelar seorang artis.

Kosmo! yang berkesempatan menemui Awi ketika majlis pelancaran album terbaharu Jinbara di Kelab Sixty3 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan kenyataan daripada Awi sendiri berhubung isu tatu tersebut. Ikuti apakah jawapan yang diberikan penyanyi yang berusia 26 tahun ini.
Kosmo!: Apabila gambar Awi bertatu dimuat naik ke internet, apakah reaksi Awi?
AWI: Pertama kali mendapat tahu tentang perkara itu, saya terkejut kerana itu gambar lama, kenapa baru sekarang gambar itu muncul. Sedih juga tetapi apa yang saya lakukan pada masa lepas saya harus hadapinya.

Adakah masih terdapat tatu di badan Awi?
Ya, memang ada lagi tetapi sekarang saya masih dalam rawatan membuang tatu dengan cara perubatan Islam. Sebenarnya sudah lama saya menjalani rawatan membuang tatu cuma disebabkan proses itu memakan kos yang tinggi, rawatan dilakukan secara berperingkat.

Adakah tatu itu dibuang selepas gambar Awi bertatu tersebar di internet?
Apa yang saya boleh katakan, sudah lama proses membuang tatu itu dijalankan. Selepas gambar saya bertatu tersebar saya mendapat banyak tawaran daripada ustaz-ustaz untuk membantu saya membuang tatu. Alhamdulillah, ada ramai pihak yang saya tidak sangka, sudi membantu saya.

Kesan gambar bertatu itu pada kehidupan Awi sekarang?
Saya tidak nafikan ramai yang memberi persepsi negatif tetapi ada ramai juga peminat yang memberi kata sokongan terhadap saya. Bagi saya setiap yang berlaku ada hikmah sebaliknya. Sebagai manusia biasa, saya tidak lari daripada melakukan kesilapan, kini saya memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini.

Bagaimana pula dengan kerjaya selepas kontroversi tercetus?
Alhamdulillah, saya bersyukur walaupun ada kontroversi yang membabitkan saya, kerjaya masih berjalan seperti biasa. Saya masih sibuk menjayakan persembahan pentas setiap minggu. Terbaru, saya berduet dengan band Jinbara dalam lagu Oh! Mama Saya Mahu Kahwin yang dimuatkan dalam album terbaharu mereka, Kolaborasi Mental. Selain itu, saya juga baru muncul dengan single terbaharu ciptaan sendiri berjudul Asalkan Aku Ok dan kemungkinan album kedua akan mula dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri.
Kosmo

Keinginan Fauziah Latiff


JEE (belakang tengah) bersama geng motosikal berkuasa tinggi yang dianggotai kaum wanita. Mereka menamakan grup tersebut sebagai Lady Bikers 
 

BUKAN mudah untuk menempatkan diri dalam dunia seni. Lihat saja lambakan artis-artis baharu yang cuba untuk menyelitkan diri sebaris dengan nama-nama hiburan sedia ada.
Ekoran persaingan yang begitu hebat, terdapat segelintir ‘pucuk muda’ yang layu di pertengahan jalan, tidak kiralah dalam mengejar impian sebagai seorang penyanyi mahupun pelakon.
Malah, terdapat juga yang sanggup menukar bidang semata-mata mahu kekal dalam kelompok penuh glamor ini. Begitu payahnya kehidupan sebagai seorang selebriti.

Namun, bak kata pepatah, jika sudah rezeki tidak ke mana. Masih terdapat mereka yang bintangnya begitu cerah dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Salah seorangnya, sudah pasti Fauziah Latiff.
Siapa yang tidak kenal wanita jelita yang penuh lasak ini? Lebih selesa dipanggil Jee, segala ceruk rantau dunia seni, baik lakonan, nyanyian mahupun peragaan telah beliau jelajah.
Apa yang membezakan ibu kepada dua orang anak ini dengan orang lain adalah sifat beliau yang sentiasa merendah diri.

Karakter tersebut jelas diterjemah melalui tutur katanya sewaktu berbicara tentang niatnya mahu membuka ruang kepada komposer-komposer baharu untuk berkolaborasi dengannya.
Menurutnya, jika lagu yang diberikan bersesuaian dan menepati cita rasanya, dia tidak kisah bergandingan dengan mana-mana komposer sekalipun, termasuklah yang baru mencipta nama.
“Sejujurnya saya kurang mengikuti perkembangan muzik tanah air untuk tempoh tiga hingga empat tahun yang lepas, oleh itu, tidak ramai komposer baharu yang saya kenali secara rapat.
“Bagaimanapun, ia tidak menjadi masalah untuk mendapatkan khidmat mereka jika karya yang dihasilkan bersesuaian,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Fauziah Latiff @ SK II Aura Beauty Tea Party di Garibaldi Italian Restaurant & Bar, Bangsar Village, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dia yang sudah hampir 10 tahun menjadi duta produk kecantikan tersebut memberitahu, dia tetap selesa dengan kerjasama yang dijalinkan dengan komposer-komposer veteran yang sudah dianggap kawan.
Dengan nada berseloroh, dia turut menyatakan kerinduannya mendapat sentuhan magis mereka di dalam lagu-lagunya.

“Selain komposer, saya juga ada mendapat tawaran untuk berkolaborasi dengan artis-artis baharu. Saya tidak melihat ini sebagai satu masalah malah saya berbangga apabila diberi penghargaan untuk berduet dengan mereka,” ujarnya sambil menyatakan beliau kini lebih fleksibel dalam pemilihan lagu, komposer dan artis untuk albumnya yang akan datang.
Terkenal dengan sifat yang gemarkan aktiviti-aktiviti lasak, Jee turut melahirkan minatnya untuk menerokai bidang produksi.

Baginya, dia ingin mencuba bidang produksi yang terkenal dengan cabarannya tersendiri supaya dapat menimba lebih banyak pengalaman serta ilmu-ilmu baru.
“Setiap hari kita belajar ilmu-ilmu yang baharu dan bagi saya, ilmu ini patut dikembang serta dikongsikan kepada orang lain.

“Bidang produksi sekarang ini semakin berkembang ke tahap yang lebih tinggi. Dengan minat sahaja, kita tidak akan ke mana, oleh itu, kita harus mendalami ilmu mengenainya,” ujarnya bersemangat.
Sewaktu majlis yang sama, turut kelihatan beberapa orang ahli kelab Lady Bikers, sebuah kelab motosikal berkuasa tinggi yang turut dianggotai Jee.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam sukan permotoran itu, ujar Jee, kesibukan jadual hariannya tidak menghalang minatnya terhadap hobi yang sering dipelopori kaum lelaki itu.
Tambahnya, jika berkesempatan, Jee turut akan meluangkan masa dan menunggang bersama rakan-rakannya itu.

“Sebahagian daripada mereka terdiri daripada kaum ibu, namun masih mampu untuk membahagikan komitmen masing-masing untuk menikmati perkara yang mereka minat.
“Seperti yang sedia maklum, aktiviti sebegini lebih dominan bagi kaum lelaki, jadi sudah pasti ada yang memandang rendah kemampuan kami sebagai kaum wanita. Bagi saya, itu semua adalah cabaran,” ujarnya yang berpegang teguh dengan prinsip hormati orang lain untuk mendapat penghormatan.

Friday, 29 June 2012

Mati tanpa lesen

MELAKA – Hajat seorang datuk untuk menikmati sarapan terbantut selepas dikejutkan dengan kemalangan maut membabitkan cucu saudaranya di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Bertam Ulu di sini semalam.
Kejadian pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Ahmadi, Sungai Udang, Muhammad Hakimi Mohammad Tarmizi, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa telah terbabas menyebabkannya tercampak ke jalan bertentangan.
Difahamkan, sebelum kejadian, arwah dalam perjalanan ke sekolah yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya di Kampung Bertam Ulu. Dia tidak mempunyai lesen.

Nenek potong tangan cucu 8 bulan

BEIJING - Seorang bayi berumur lapan bulan berhadapan detik menyakitkan apabila kedua-dua belah tangan dipotong sehingga putus tanpa sebab oleh neneknya di wilayah Shandong, China.
Menurut polis, insiden kelmarin, berlaku semasa mangsa sedang dalam jagaan wanita tua itu berikutan ibu bapanya keluar bekerja.
Motif sebenar kejadian masih belum dipastikan kerana suspek dalam keadaan koma kerana cuba membunuh diri sejurus bertindak memotong tangan cucunya itu.
"Petang itu, saya nampak ibu bayi berkenaan meluru keluar daripada rumahnya sambil membawa anaknya yang dalam keadaan berlumuran darah selepas beberapa minit pulang dari kerja.
"Saya juga terdengar wanita itu bercakap dengan seseorang dalam telefon dan berkata tangan bayinya dipotong ibunya sebelum cuba membunuh diri," kata seorang jiran keluarga mangsa.
Difahamkan, bapa bayi malang itu terpaksa pulang ke rumah mereka untuk mengambil bahagian tangan anak perempuan mereka yang dipotong dan disambungkan semula ke badan bayi berkenaan di hospital.
Dalam pada itu, walaupun pembedahan menyambung semula tangan mangsa membuahkan hasil positif, doktor yang terlibat tidak dapat memastikan sama ada anggota itu dapat berfungsi dengan baik.

Suami membunuh dipenjara 15 tahun

JOHOR BAHRU – Seorang penjual roti canai dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam kerana menyebabkan kematian isterinya dua tahun lepas.
Hakim Datuk Abd. Halim Aman memerintahkan Mohd. Rizal Esa, 32, menjalani hukuman itu mulai tarikh dia ditangkap pada 25 April 2010 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sebaik keputusan selesai dibacakan pada pukul 10.45 pagi, Mohd. Rizal dilihat menangis dan berpelukan dengan ahli keluarganya yang menunggu di mahkamah.
Dia juga dilihat beberapa kali mengucapkan syukur.

Mohd. Rizal yang diwakili peguam John Fernandez sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Rizal didakwa membunuh isterinya, Ahzila Mohamad Sufian, 25, yang merupakan seorang pekerja sebuah kedai kek di Nombor 214, Tingkat 12, Blok C, Rumah Pangsa Larkin di sini antara pukul 1.30 dan 3 pagi 24 April 2010.
Tertuduh dikatakan menikam Ahzila dengan pisau sehingga menyebabkan mangsa patah tulang rusuk manakala pisau itu pula menembusi ke belakang mangsa. Kejadian itu berlaku ekoran salah faham dalam keluarga itu.
Sebanyak 19 orang saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Tanam bayi belakang warung

KLUANG - Rahsia besar seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang tergamak menanam bayinya sendiri di belakang sebuah warung di Kampung Baru di sini sejak dua bulan lalu terbongkar apabila 'kubur' bayi malang itu digali polis Isnin lepas.
Mayat bayi yang belum diketahui jantinanya itu ditemui secara tidak sengaja pada pukul 11 pagi selepas seorang penduduk tercium bau busuk ketika hendak menanam bangkai kucing di kawasan tersebut.
Bayi itu dibungkus menggunakan plastik merah sebelum ditanam. Polis kemudian menahan remaja itu di rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari lokasi mayat bayi tersebut ditemui.
Soal siasat mendapati bayi itu dilahirkan hasil hubungan sulit suspek dengan teman lelakinya berusia 20-an. Penganggur terbabit kini dicari polis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali berkata, siasatan mendapati bayi itu telah ditanam pada April lalu sebaik dia dilahirkan.

Didenda RM6,000 biarkan 30 kucing kebuluran

PETALING JAYA – Dua pengusaha kedai penjagaan haiwan Petknode didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas 30 pertuduhan mengabaikan tanggungjawab menjaga makan minum 30 ekor kucing yang ditinggalkan pemiliknya ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu.
Majistret K.B. Elena Hong Tze Lan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Shahrul Azuwan Adanan, 30, dan Yushairi Khairuddin, 30, selepas mereka mengaku bersalah mengabaikan tanggungjawab menjaga kucing-kucing milik 10 pelanggan sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan terhadap haiwan berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Petknode Online Pet Store beralamat Nombor F001B, Level 1, Seasons Square Plaza, Jalan PJU 10/3, Damansara Damai di sini antara 3 September hingga 4 September 2011.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Ketua jurulatih bola dipenjara


BARISAN pemain Skuad Piala Presiden Negeri Sembilan musim 2011.


SEREMBAN – Bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan dihukum penjara 25 tahun dan denda RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas 20 tuduhan rasuah berjumlah RM24,700 kepada para pemain skuad berkenaan untuk mengatur keputusan satu perlawanan pada April tahun lalu.

Yusarman Yusof, 36, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan oleh Hakim Datin Nursinah Adzmi yang mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
“Mahkamah mendapati tertuduh disabitkan dengan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan untuk setiap tuduhan dan denda RM10,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.
Bagaimanapun, Nursinah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dan membenarkan hukuman ditangguhkan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Yusarman bersama dua lagi lelaki yang masih bebas didakwa memberi rasuah berjumlah RM24,700 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Skuad Rusa antara 19 hingga 22 April tahun lalu.

Kesemua pemain terbabit, iaitu D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Norhairi Abd. Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Suhairy Johari, Anwarul Hafiz Ahmad, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd. Hafiz Mohd. Nor menerima suapan RM300 hingga RM2,000 setiap seorang.

Thursday, 28 June 2012

Persona Insya Allah

PERJALANAN dari Jakarta menuju Anyer, memakan masa empat jam. Ia juga bukan satu perjalanan mudah, kerana dua jam perjalanan terakhir menuju destinasi yang terkenal dengan keindahan pantai dan panorama kampung itu memerlukan kami meredah jalan yang separuh siap dan berlubang teruk.
Selain kami, terdapat 78 kru dan barisan pelakon sinetron Insya Allah dengan 21 buah kenderaan juga terpaksa melalui situasi yang sama. Namun nasib mereka lebih baik kerana pemandu yang membawa barisan karyawan tersebut memilih jalan alternatif yang lebih elok.
Kepayahan menuju Anyer akhirnya terbayar. Lelah 24 jam menanti pelakon yang pertama kali terjun dalam bidang lakonan itu berbaloi. Sementelah, figura tersebut bukan calang-calang orang.
Beliau ialah Maher Zain. Ya, Maher Zain, penyanyi kelahiran Lebanon yang merupakan rakyat Sweden itu kini bergelar pelakon buat pertama kali dalam hidupnya.
Ironi, Maher tidak menjadi pelakon antarabangsa, setaraf profilnya sebagai penyanyi. Beliau sebaliknya terlibat sebagai pelakon di Indonesia, bersama semua produksi Indonesia dan beliau menjadi satu-satunya orang asing dalam produksi tersebut.
Insya Allah, judul sinetron 40 episod yang berjaya memujuk Maher untuk menjadi pelakon. Sinetron itu bakal ditayangkan sempena bulan Ramadan pada bulan hadapan di tiga saluran serentak iaitu SCTV (Indonesia), Astro Oasis dan Mustika HD (Malaysia) selain boleh ditonton oleh pelanggan Astro di Brunei.

"Pada mulanya, saya kata, saya tak akan berlakon. Namun apabila pulang ke rumah dan berfikir bahawa sinetron tersebut mempunyai mesej yang baik seperti pesanan dalam lagu-lagu saya, saya bersetuju," ujar Maher saat ditemui di lokasi penggambaran terakhirnya, di Marbella Hotel, Resort & Spa, di Anyer baru-baru ini.
Maher saat ditanya bagaimana beliau mampu memberi kata setuju kepada sebuah produksi Indonesia dan begitu asing bagi dirinya, pantas memberitahu: "Indahnya Islam adalah apabila ia mampu mencantumkan semua umatnya walau berlainan bahasa."
Membawa watak diri sendiri, Maher tidak perlu membuat transformasi dirinya sebagai seorang pelakon. Katanya: "Memang saya perlu berlakon sedikit, tetapi dalam kebanyakan masa, saya menjadi diri sendiri.
"Malah melalui sinetron ini, saya dapat menyampaikan banyak hal yang positif dalam setiap episod yang ditonjolkan selama sejam. Saya suka bagaimana setiap perkara yang berlaku mempunyai pengajaran tersendiri."
Tidak hanya muncul dalam beberapa babak, Maher sebaliknya memberi sepenuh komitmen apabila terbabit dengan 40 episod yang disiarkan. Ia juga sebagai satu keperluan kerana Insya Allah merupakan kisah perjalanan Maher dalam bertemu sahabatnya di Indonesia dan dalam kembara tersebut, dia berhadapan dengan pelbagai kisah kehidupan.
Ditanya tentang kesukaran menjadi pelakon buat pertama kali, ujar Maher, secara dasar, walaupun ia agak sukar memandangkan beliau agak pemalu apabila berhadapan dengan kamera, namun semua perasaan itu terhapus apabila mereka memulakan penggambaran.
Ujarnya, selain begitu selesa dengan lawan lakonnya, iaitu Fadly Padi serta produksi, beliau amat menyenangi kembara sinetron tersebut yang banyak menjalani penggambaran di kawasan kampung.

AKRAB. Maher dan Fadly menjadi sahabat baik biar berhadapan kekangan bahasa.
 
"Sebagai seorang yang hidup di kawasan bandar, saya begitu teruja kerana dapat berlakon di kawasan kampung sekali gus melihat realiti kehidupan yang serba sederhana," ujarnya lagi.
Maher juga memberitahu, beliau tidak banyak berhadapan dengan kesukaran sepanjang penggambaran dijalankan selain mengaku kadangkala berasa lelah kerana perlu menjalani puluhan babak dalam sehari kerana kesibukannya sendiri.
Disogok antara lakonan dengan nyanyian, mana yang lebih melekat dihatinya, pantas Maher memberitahu bidang nyanyian. Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika pada masa akan datang kembali terbabit dalam mana-mana naskhah yang mampu membawa pesan baik buat seluruh umat Islam di dunia.
Keluarga
Kesibukan yang tidak pernah berpenghujung bukan satu halangan buatnya menghabiskan kualiti masa bersama keluarga. Mengaku bahawa beliau mempunyai masa yang terlalu sedikit buat keluarga, justeru jika punya kesempatan, beliau akan membawa isteri dan anaknya bersama seperti ke Jakarta, Indonesia ini.
"Sejujurnya ia bukan satu perkara yang mudah buat saya. Tapi Alhamdulillah, isteri sangat memahami karier saya, sementelah sewaktu kami bertemu, saya memang telah sibuk dengan karier saya.
"Jadi kesibukan saya sudah menjadi satu hal yang semulajadi buat kami. Ia sudah seperti budaya hidup kami. Namun seboleh-bolehnya, saya mahu mencuri masa untuk dihabiskan dengan mereka," katanya yang paling lama telah berjauhan dengan keluarga selama tiga minggu kerana kesibukannya.
Percubaan Fadly
Seperti pengalaman perdana Maher, ia juga merupakan pertama kali vokalis kumpulan Padi, Fadly terjun ke dalam bidang lakonan secara komersial selepas 16 tahun bergelar penyanyi.
Menyifatkan ia sebagai pengalaman luar biasa, Fadly memberitahu, dia bersetuju untuk terbabit dalam sinetron tersebut kerana pesanan positif yang akan ditebarkan buat umat Islam selain menyatakan kekaguman terhadap karier Maher Zain yang mampu menghidupkan lagu-lagu Islamik membuat beliau tidak menolak tawaran yang datang kepadanya.
"Saya tidak pernah berlakon. Pengalaman membuat klip video tidak pernah sama dengan berlakon yang memerlukan banyak dialog dan saya sangat malu.
"Namun kerana inti sinetron yang sangat kuat, selain Maher sendiri berlakon, saya tidak mahu menolak peluang ini. Saya mahu turut serta dan menjadi sebahagian sejarah kembara seni Maher Zain," ujar vokalis berusia 36 tahun itu.

SETIAP episod sinetron Insya Allah merupakan kisah kehidupan yang berbeza dan tidak disambung pada episod seterusnya.
 
Membawa watak Fadly, teman Maher yang membantu beliau mencari sahabatnya, ujar pencipta lagu Upin & Ipin berjudul Sahabat Selamanya itu, kekangan yang dihadapinya apabila beliau perlu menghafal skrip, menjadi jurualih bahasa serta berbahasa Inggeris.
"Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus, sedangkan dialog Maher 100 peratus dalam bahasa Inggeris. Tugas saya juga perlu menjadi jurualih bahasa buat beliau dan serentak menghafal dialog. Walaupun ia sukar, namun ini pengalaman yang mahal nilainya," katanya yang mengaku akan menolak tawaran berlakon jika perlu berlakon sendirian.

Hadiah basuh segala dosa


RAJA AZMI dan Jailani sempat menyambut hari jadi bersama pada malam sebelum mereka memfailkan perceraian mereka.


PENERBIT kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, tidak henti-henti dihambat kontroversi. Terbaru, nenek kepada seorang cucu itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam selepas permohonan untuk bercerai dipersetujui suaminya, bekas pemain badminton negara, Mohd. Jalani Mohd. Sidek, 49, tanpa sebarang syarat.
Perkahwinan mereka yang berlangsung selama 28 tahun itu gagal dipertahankan selepas Raja Azmi mendakwa dia tidak sanggup menanggung segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya sehingga suaminya pernah dituduh dayus oleh sesetengah pihak terutama ekoran tuduhan berkhalwat dengan jaguh badminton Roslin Hashim.
Justeru, bagi penerbit filem Anu Dalam Botol itu, perceraian adalah jalan terakhir serta terbaik bagi kedua-dua mereka. Pasangan itu bernikah di Kamunting, Perak pada tahun 1984 sebelum dikurniakan tiga orang anak, Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23 dan Megat Deli, 18.
Ikuti temu bual bersama Raja Azmi atau lebih mesra dipanggil sebagai Kak Mi ketika di temui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur semalam.

KOSMO!: Sejak bila Kak Mi terfikir untuk bercerai dengan Jalani?
RAJA AZMI: (Terdiam agak lama sambil mengesat air mata) Pada sekitar Februari tahun ini. Ia terjadi atas silap saya sendiri kerana membiarkan diri dilanda pelbagai kontroversi. Selepas isu (perceraian) Roslin, kemudian tentang saya dan Roslin ditangkap khalwat di hotel, hari ini (semalam) akhbar Berita Harian tulis saya didakwa oleh Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) kerana berkhalwat tapi itu tidak benar. Saya tidak pernah didakwa, saya terima hukuman daripada Allah, saya tidak mahu memalukan suami saya lagi, dan dia dituduh sebagai dayus. Saya tidak sanggup difitnah dan dituduh dengan macam-macam dugaan.

Adakah tiada cara lain untuk selesaikan kemelut rumah tangga selain bercerai. Apakah usaha yang dilakukan Kak Mi untuk selamatkan perkahwinan?
Saya sudah melakukan macam-macam tapi saya dilanda beberapa masalah. (Saya) Sangat tertekan. Saya sudah cuba selamatkan (perkahwinan) tapi ada orang yang menekan kami supaya bercerai kerana melabel saya isteri yang jahat. Saya reda kerana saya sudah tak tahan lagi.

Maksudnya ada orang yang tidak puas hati dengan rumah tangga Raja Azmi?
Ya.

Adakah ini bermakna ada orang ketiga sehingga terjadi perceraian ini?
Tidak. Ini keputusan kami bersama, saya dan Jalani serta anak-anak, tiada pihak ketiga atau keempat. Ini memang keputusan kami.

Apa reaksi anak-anak?
Anak-anak sudah besar, mereka boleh fikir sendiri, sentiasa faham situasi kami dan telah didik dengan baik oleh Jalani, yang penting mereka ingin lihat kami berdua bahagia, tidak semestinya bercerai akan berakhir dengan kesedihan, keluarga tetap keluarga, saya dan Jalani berjanji untuk menjadi sahabat.

Kak Mi sudah bersedia dengan gelaran janda, dan dugaan selepas ini?
(Sambil ketawa kecil) saya sudah pun bergelar janda sekarang. Saya (sebenarnya) tidak tahu pada peringkat usia macam ini, rasanya tiada dugaan sangat.

Kenapa pilih hari lahir (semalam) untuk bercerai?
Itu kebetulan. Mahkamah yang bagi tarikh hari ini, walaupun ini bukan perkara baik tapi saya anggap ini hadiah dari Allah. Saya terima di dunia untuk membersihkan dosa-dosa saya. Kami sempat menyambut hari jadi malam semalam bersama keluarga di rumah.

Kosmo

Sasha enggan dedah punca cerai

TANGGAL 25 Jun lalu, kehadiran pelakon dan penyanyi Sasha Mohamad Saidin, 35, bersama ibunya ke Mahkamah Syariah Gombak Timur telah menarik perhatian segelintir pihak media yang sedang membuat liputan satu kes khalwat seorang pelakon.
Ketika itu Sasha yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Elite dilihat berbaju kurung dan berselendang hitam telah memasuki kawasan yang menempatkan Jabatan Agama Islam daerah Gombak Timur sebelum masuk ke mahkamah rendah bersama ibunya.

Apabila ditanya oleh pihak media mengenai kehadirannya di situ, ternyata artis jelita kacukan Melayu-Inggeris itu agak terkejut. Namun, dia sekadar memberi alasan mempunyai urusan berkenaan hal keluarga.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Kosmo! semalam, kakak kepada pelakon Zain Saidin itu telah membuat pendedahan yang pastinya cukup mengejutkan ramai pihak terutamanya pengikut perkembangan dunia seni.
Kosmo!: Semalam beberapa orang wartawan melihat kehadiran Sasha dan ibu ke Mahkamah Syariah Gombak Timur. Apakah tujuan Sasha hadir ke mahkamah tersebut?
Sasha: Sebenarnya tujuan saya hadir ke mahkamah tersebut kerana mahu membuat permohonan cerai. Saya mengaku yang ketika ini saya memang mahu bercerai dengan suami saya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono.

Sebelum ini tiada sebarang cerita kontroversi yang membabitkan Sasha dan suami. Jadi, kenapa tiba-tiba mahu bercerai pula?
Buat masa sekarang, saya membuat keputusan untuk tidak memberi sebarang kenyataan atau menceritakan mengenai perkara yang sebenar sehingga saya membuat keputusan untuk bercerai. Mungkin kalau sudah tiba masa yang sesuai nanti, barulah saya akan mendedahkan tentang permasalahan yang berlaku antara kami berdua. Namun, sekarang ini lebih baik saya berdiam diri sahaja terlebih dahulu.
Adakah Sasha akan membuat sidang akhbar khas dengan media untuk menceritakan permasalahan yang berlaku?
Saya tidaklah terfikir untuk membuat cara yang sebegitu. Cuma saya mahu segala yang berlaku dapat diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang boleh saya nyatakan, keputusan untuk bercerai ini merupakan keputusan kami bersama.

Bagaimana pula dengan perkembangan terkini kerjaya Sasha?
Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama berjudul Natrah pada bulan lepas dan akan disiarkan di saluran RTM sebanyak 13 episod. Drama berkenaan diarahkan oleh Along Kamarudin dan saya memegang watak Adeline Hertogh yang merupakan ibu kepada Natrah.

Ketika konsert sempena sambutan ulang tahun KRU yang ke-20 baru-baru ini, Sasha dan anggota kumpulan Elite yang lain seperti Azza, Linda dan Watie turut membuat persembahan. Jadi, adakah Sasha tidak teringin untuk kembali menghasilkan semula album bersama Elite?
Kalau diikutkan sehingga kini hubungan saya dan anggota Elite yang lain masih lagi rapat. Namun, untuk kembali membuat kemunculan bersama-sama dengan menghasilkan album baharu agak sukar kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga.
Namun, saya sangat gembira semasa mengadakan persembahan semasa konsert tersebut apabila mereka yang datang turut menyanyi bersama-sama lagu yang kami nyanyikan iaitu GIG, Trauma dan Manisnya Senyumanmu.

Adakah Elite pernah mendapat tawaran untuk menghasilkan album?
Tidak dinafikan tawaran tersebut masih lagi ada dan saya sendiri memang sangat teringin melahirkan album terbaharu bersama Elite. Bagaimanapun, kalau boleh kami mahu album baharu tersebut mendapat sentuhan daripada KRU. Lagipun KRU yang membentuk Elite sehingga kami menjadi antara kumpulan wanita yang dikenali ramai.

Kosmo

Gerrard ubah fikiran


GERRARD (kiri) dan Rooney gagal membantu England melangkah lebih jauh pada Euro 2012.


LONDON - Steven Gerrard menegaskan bahawa dia tetap akan menggalas tugas selaku kapten England meskipun mengalami kekecewaan pada Euro 2012.
Gerrard yang mencapai usia 32 tahun bulan lalu mendedahkan bahawa dia akan mempertimbangkan masa depan karier antarabangsanya sebaik tamat kempen Euro kali ini.
Bagaimanapun, perancang Liverpool itu membatalkan hasrat tersebut sejurus skuad The Three Lions tewas kepada Itali pada aksi suku akhir, Isnin lalu.
Pada aksi di Stadium Olimpik, Ukraine itu, England tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
"Ya, saya masih mahu menggalas tugas selaku kapten England.
"Saya ada bercakap dengan pengurus pasukan mengenai perkara ini. Saya beritahu bahawa saya akan terus beraksi untuk skuad kebangsaan selagi khidmat saya diperlukan.
"Saya suka menjadi kapten. Saya suka dengan tanggungjawab sebagai kapten.
"Secara peribadi, kempen Euro 2012 merupakan aksi terbaik saya sepanjang beraksi di pentas antarabangsa.
"Saya sentiasa cuba untuk memberikan yang terbaik buat pasukan dalam mana-mana kejohanan," kata Gerrard. - Agensi

‘Lupakan sejarah silam’

GDANSK, Poland – Jurulatih Jerman, Joachim Löw mendesak anak-anak buahnya supaya melupakan kekecewaan lalu. Löw berkata, para pemain hanya perlu fokus untuk menewaskan Itali pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Warsaw awal pagi esok.
Untuk rekod, Jerman tidak pernah menewaskan skuad The Azzurri dalam satu perlawanan kompetitif, tewas tiga kali dan seri beberapa kali pada pusingan akhir Piala Dunia serta kejohanan Eropah.
Selain itu, kedua-dua pasukan bertemu dalam satu aksi kelayakan Piala Dunia 1962 dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Situasi itu telah menyebabkan pemain tengah Itali, Andrea Pirlo mendakwa, Jerman dihantui kebimbangan menjelang aksi separuh akhir di Warsaw itu.
Bagaimanapun, Löw menyangkal dakwaan itu ketika ditanya mengenai kegagalan Jerman menewaskan Itali sejak beberapa tahun lalu.
“Kami tidak boleh mengundurkan masa atau lupakan mengenai perkara itu. Sejarah silam tidak memainkan peranan dalam perancangan kami.
“Rekod menunjukkan yang Jerman tidak pernah menewaskan Itali pada kejohanan utama tetapi kini ia bukan satu masalah besar buat kami.
“Situasi kini sangat berbeza dan ia bukan lagi satu isu penting buat kami,” kata Löw.
Para penyokong Jerman mula mengenali Pirlo ketika pasukan itu menjadi tuan rumah Piala Dunia 2006.
Pemain tengah Juventus berusia 33 tahun itu menjadi watak penting yang membantu kemenangan 2-0 Itali ke atas Jerman pada aksi separuh akhir , sekali gus memusnahkan impian skuad The Team untuk menempah slot ke final.
Namun Löw berkata, beliau tidak berminat untuk bercakap mengenai kemampuan Itali.
Sebaliknya beliau lebih berminat untuk merancang strategi bagi membantu Jerman melebarkan rekod kemenangan kepada 15 perlawanan dalam perlawanan kompetitif sejak tewas kepada Sepanyol pada Piala Dunia 2006. – Agensi

The Avengers filem No.3 di dunia


SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem The Avengers.

LOS ANGELES - Filem The Avengers kelmarin diumumkan menduduki No.3 dalam senarai kutipan tiket tertinggi di dunia.
Ia berada di belakang filem Avatar yang menduduki tempat pertama diikuti Titanic.
Filem arahan Joss Whedon dengan kerjasama Marvel Comics itu memperoleh kutipan sebanyak AS$7 juta (RM22.3 juta) pada minggu lalu.
Filem itu menampilkan beberapa watak adi wira seperti Iron Man, Captain America dan Hulk.
Dianggarkan kutipan filem tersebut setakat ini ialah AS$1,438.3 juta (RM4.59 bilion) sejak ia ditayangkan pada Mei lalu.
Filem Avatar arahan James Cameron mencatatkan kutipan tiket sebanyak AS$2.78 bilion (RM8.8 bilion).
Titanic yang turut diarahkan Cameron memperoleh kutipan tiket sebanyak AS$2.19 bilion (RM6.9 bilion). - Agensi

Doktor buang ketumbuhan 15kg daripada badan kanak-kanak


GAMBAR X-ray menunjukkan rangka badan Rodriguez yang mengalami ketumbuhan di bahagian kanan badannya.


BANDAR RAYA MEXICO - Sekumpulan doktor di Mexico berjaya membuang ketumbuhan seberat 15 kilogram (kg) daripada badan seorang kanak-kanak berusia dua tahun, Jesus Rodriguez.
Pengarah Pediatrik Pusat Perubatan La Raza di sini, Dr. Gustavo Hernandez berkata, ketumbuhan tersebut lebih berat daripada pesakit itu.

Beliau berkata, kanak-kanak itu ketika dibedah pada 14 Jun lalu mempunyai berat badan 12kg.
Doktor itu menyatakan kanak-kanak tersebut dilahirkan bersama satu bonjolan yang membesar sehingga ke bahagian celah lengan dan pinggul kanannya.
Kanak-kanak itu berasal dari negeri Durango di utara Mexico.
Hernandez memberitahu, sepasukan doktor mengambil masa sehingga 10 jam untuk membuang ketumbuhan tersebut.

Menurutnya, pesakit itu berada dalam keadaan baik dan semakin sembuh.
Beliau berkata, pembedahan tersebut adalah yang pertama melibatkan doktor di Mexico membuang ketumbuhan bersaiz lebih besar daripada pesakit. - Agensi

Wednesday, 27 June 2012

SEEKOR sotong kurita gergasi memilih bola yang mengandungi Cora sebagai namanya

AKRON, Ohio - Seekor sotong kurita gergasi yang menjadi daya tarikan pada pameran terumbu karang di Zoo Akron di sini memilih Cora sebagai namanya kelmarin.
Haiwan itu menarik keluar seekor udang daripada bola yang mengandungi nama Cora di dalam akuarium sotong tersebut.
Sotong tersebut memegang bola itu dengan sesungutnya.
Haiwan tersebut tidak mengeluarkan udang daripada dua lagi bola yang mengandungi nama Octavia dan Scarlet.
Satu senarai mengandungi 2,000 nama diterima pihak Zoo Akron dalam pertandingan menamakan haiwan berkenaan sebelum ini.
Namun, hanya tiga nama itu disenarai pendek.
Sotong betina itu seberat 9 kilogram dengan panjang 1.2 meter itu. - Agensi

Jerman congak final


LOEW (kanan) mengetuai sesi latihan Jerman menjelang pertemuan menentang Itali pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Stadium Nasional, Warsaw awal pagi Jumaat ini.


WARSAW - Mesut Ozil optimis Jerman mampu membenam cabaran Itali pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Stadium Nasional, Warsaw, Poland awal pagi Jumaat ini.
Meskipun mengakui The Azzurri merupakan salah satu pasukan berkualiti pada kempen kali ini, pemain tengah Jerman itu tetap percaya mereka mampu menumbangkan Itali.

Terdahulu, Jerman mara ke saingan separuh akhir selepas menewaskan Greece 4-2 manakala Itali berjaya melepasi pusingan suku akhir apabila menyingkirkan England 4-2 dalam aksi penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, Jerman dilihat sebagai pasukan pilihan berbanding Itali yang mana skuad kendalian Joachim Loew itu dilihat menampilkan prestasi cemerlang sejak peringkat kumpulan.
Meskipun The Team tidak pernah menewaskan Itali pada kejohanan utama, Ozil percaya badi itu dapat dihapuskan di Warsaw nanti.

"Sejarah lalu tidak penting. Banyak pasukan lain menghormati kami. Matlamat kami adalah untuk membawa pulang kejuaraan Eropah ke Jerman.
"Kami mahu menewaskan Itali, seterusnya menjuarai kejohanan kali ini.
"(Perancang Itali) Andrea Pirlo merupakan seorang pemain bertaraf dunia, Mario Balotelli merupakan seorang penyerang yang hebat.

"Namun, kami tidak berpendapat kemahiran individu dijadikan sebagai kelebihan. Itali merupakan satu pasukan yang hebat tetapi kami yakin mampu menewaskan mereka," ujar Ozil.
Ditanya mengenai aksi menentang Sepanyol yang dikatakan sebagai pasukan pilihan Jerman untuk beraksi di pentas final, Ozil menegaskan, dia tidak kisah untuk menentang mana-mana pasukan.
Sebagai rekod, Jerman tewas kepada Sepanyol pada aksi final Euro 2008 dan separuh akhir kempen Piala Dunia 2010.
"Ia tidak adil untuk mengatakan pertembungan Jerman dan Sepanyol bagaikan 'perlawanan impian' kami.
"Terdapat empat pasukan pada aksi separuh kami dan kami harus melakukan satu demi satu dan menewaskan mana-mana pasukan termasuk Sepanyol.
"Kini, kami mahu memberikan tumpuan kepada Itali sahaja dan kami akan melihat siapakah lawan kami pada peringkat seterusnya (sekiranya Jerman berjaya menewaskan Itali).
"Kami tidak kisah sama ada bakal bertemu Portugal atau Sepanyol di pentas final Euro 2012," kata Ozil. - Agensi

Jerman inspirasi baharu England


REAKSI kecewa Young (kanan) dan Cole (tengah) selepas England tewas kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir Euro 2012 di Stadium Olimpik, Kiev kelmarin.


KRAKOW, Poland - Roy Hodgson percaya Jerman mampu menjadi contoh terbaik buat England dalam usaha beliau mengubah nasib skuad The Three Lions di pentas antarabangsa.
Kelmarin, barisan kendalian Hodgson tersingkir pada aksi suku akhir Euro 2012 apabila tewas 2-4 kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti.
Sebagai rekod, kekalahan itu merupakan kali ketujuh skuad The Three Lions tewas kepada lawan menerusi penentuan sepakan penalti.

Sebelum ini, England mengalami nasib yang sama pada kempen Piala Dunia 1990 (separuh akhir), Euro 1996 (separuh akhir), Piala Dunia 1998 (pusingan kedua), Euro 2000 (peringkat kumpulan), Euro 2004 (suku akhir) dan Piala Dunia 2006 (suku akhir).
Pada aksi di Stadium Olimpik, Kiev kelmarin, anak-anak buah Hodgson dilihat lebih banyak dibayangi Itali yang berjaya mendominasi 64 peratus kawalan bola, selain melakukan 35 percubaan tepat ke arah pintu gol pihak lawan.

Sebaliknya, England sekadar melakukan sembilan percubaan ke arah pintu gol skuad The Azzurri itu.
Bagaimanapun, Hodgson percaya England boleh menjadikan Jerman sebagai sumber inspirasi untuk kembali bangkit seperti mana yang dilakukan anak-anak buah Joachim Loew itu selepas beraksi hambar pada Euro 2004.

Jerman dilihat mula mempamerkan taring sebenar mereka sejak kempen Piala Dunia 2006 sehingga kini.
"Jerman beraksi pada kejohanan tersebut (Piala Dunia 2006) dengan kehadiran jurulatih baharu (Loew) dan pemain muda yang kita sendiri tidak banyak tahu mengenai mereka. Pemain-pemain lama (Jerman) yang gagal dalam kejohanan-kejohanan sebelum itu diketepikan.
"Kami sudah lihat bahawa Jerman beraksi sangat baik sejak 2006 dan kami perlu belajar mengenainya," kata Hodgson.
Menurut pengendali berusia 64 tahun itu, barisan pemain muda The Three Lions seperti Danny Welbeck, Andy Carroll, Jordan Henderson dan Alex Oxlade-Chamberlain mempunyai potensi besar untuk berjaya.
Malah dengan kehadiran semula Kyle Walker, Chris Smalling dan Jack Wilshere yang terpaksa diketepikan pada kempen Euro 2012 ekoran kecederaan, Hodgson yakin England mampu untuk kembali bangkit.
"Kami ada sebab tersendiri untuk berasa optimis bahawa England akan kembali bangkit.
"Kami memiliki beberapa pemain yang beraksi dengan baik dalam skuad Bawah 21 Tahun (England) dan saya sangat teruja untuk menyaksikan persembahan mereka pada Sukan Olimpik 2012 nanti.
"Jika Smalling dan Walker tidak mengalami masalah kecederaan, sudah pasti lebih pemain muda akan beraksi bersama kami pada kempen Euro kali ini.
"Kami perlu percaya dengan kemampuan kami sendiri. Kami perlu lihat kegagalan pada kempen Euro 2012 dari sudut yang positif," jelas Hodgson. - AFP

Portugal tak gentar

DONETSK, Ukraine – Portugal tidak berasa tertekan untuk berdepan dengan Sepanyol pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Donbass Arena, Donetsk awal pagi esok.
Kapten Cristiano Ronaldo menegaskan bahawa mereka tiada perasaan gentar menentang juara bertahan Euro itu.

Peledak berbisa berusia 27 tahun itu kini berada pada prestasi terbaik apabila meledak tiga gol setakat ini sekali gus membantu The Navigators muncul antara empat pasukan terbaik pada kempen Euro kali ini.
Pada aksi awal pagi esok, Ronaldo bakal berentap dengan sebahagian besar rakan sepasukannya di Real Madrid seperti Xabi Alonso, Sergio Ramos dan Iker Casillas selain seteru utamanya di Barcelona seperti Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Cesc Fabregas.

Namun, Ronaldo tanpa berselindung mengakui tidak tertekan dengan pertembungan tersebut dan menganggap ia hanya perlawanan biasa seperti mana dalam saingan Liga Sepanyol.
“Tidak ada apa-apa yang istimewa mengenai perlawanan ini kerana bagi saya ia hanya satu perlawanan biasa.
“Apa yang akan saya lakukan hanyalah untuk meledak gol sekali gus membantu Portugal menyambar slot ke final,” kata Ronaldo.
Meskipun La Roja dilabel sebagai pasukan pilihan, Ronaldo tetap optimis mengenai kejutan yang bakal dilakar Portugal seperti mana edisi 2004.
“Jika berjaya melangkah ke final, sudah tentu ia sesuatu yang cukup istimewa.
“Berdepan pasukan yang hebat seperti Sepanyol, perlawanan ini pastinya diibaratkan seperti hidup dan mati bagi kedua-dua pasukan,” katanya. – Agensi

Pembunuh kekasih dihukum gantung

ALOR SETAR – Suasana di galeri awam Mahkamah Tinggi di sini semalam diselubungi kesedihan apabila seorang tukang masak yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana membunuh kekasihnya yang merupakan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memohon maaf sambil menangis teresak-esak.
“Saya begitu kesal dengan perbuatan saya dan memohon maaf kepada isteri dan anak-anak saya serta keluarga mangsa. Saya mohon agar Allah mengampunkan dosa saya dan harap semua pihak maafkan kesalahan saya,” rayu Othman A. Aziz, 61, sejurus dijatuhi hukuman tersebut.
Othman didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di rumah bernombor 1926H, Taman Mahkota, Jalan Stadium di sini antara pukul 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga 12.45 pagi keesokan harinya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tuesday, 26 June 2012

Maya, Yasin kembali berkolaborasi

Penyanyi Muhammad Yasin Sulaiman, 37, merupakan salah satu nama besar yang sememangnya sangat dikenali dalam kalangan peminat-peminat nasyid menerusi lagu-lagu berunsur kerohanian dan ketuhanan.
Tidak hanya dikenali sebagai penyanyi, bekas ahli kumpulan Brothers yang suatu ketika dahulu pernah popular menerusi lagu Teman Sejati itu juga turut bergelar komposer dan penerbit album.
Selain itu, figura kelahiran Kajang, Selangor itu juga turut kerap menjalinkan kolaborasi dengan ramai penyanyi popular tanah air termasuk Amy Search menerusi lagu berjudul Takbir Cinta.
Selepas kali terakhir berkolaborasi dengan pelakon Tiz Zaqyah untuk lagu berjudul Nur Kasih, kini tiba giliran pelakon terkenal Maya Karin pula berpeluang untuk berduet dengannya menerusi lagu yang diberi judul Sinar Ini.
Ketika ditemui sewaktu sesi rakaman klip video lagu tersebut di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini, Yasin memberitahu Sinar Ini merupakan single terbaharu yang dihasilkannya dengan memilih Maya Karin sebagai rakan duetnya.
"Mengenai lagu terbaharu ini ia merupakan hasil ciptaan saya, tetapi liriknya pula telah dihasilkan sendiri oleh Maya berdasarkan inspirasinya yang memanjatkan doa kepada Allah.
"Apa yang menariknya Maya telah menghasilkan lirik lagu ini dalam bahasa Inggeris, kemudian saya ubah pula dalam Bahasa Melayu. Malah, liriknya juga telah dihasilkan dalam tempoh satu hari sahaja," ujarnya.
Menurut Yasin, dia memilih Maya untuk menghasilkan single terbaharunya kerana sebelum ini mereka pernah menjalinkan kerjasama sewaktu bernaung di bawah MIG Records dahulu.
Ujarnya, dia sememangnya mahu menerapkan unsur-unsur sinematik untuk single terbaharunya itu dan merasakan Maya merupakan individu yang paling sesuai kerana popularitinya sebagai antara salah seorang pelakon wanita tempatan yang digemari ramai.
"Memandangkan kami pernah bekerjasama dengan menjadi penerbit albumnya sebelum ini, jadi tidak ada masalah besar buat kami untuk berkolaborasi dan sudah tahu peranan masing-masing.
"Lagipun sudah banyak perbezaan yang saya lihat kepada Maya sepanjang kami bekerjasama merakamkan lagu Sinar Ini. Kini saya nampak dia semakin matang dan sudah banyak peningkatan berbanding sebelum ini," jelasnya.
Pada masa yang sama penyanyi, komposer dan penerbit itu juga bercadang supaya lagu tersebut dapat dijadikan runut bunyi untuk mana-mana filem yang bersesuaian.
"Buat masa ini saya memang bercadang untuk berbuat demikian, namun sehingga sekarang masih belum berjumpa dengan filem yang sesuai. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menghasilkan klip video sahaja terlebih dahulu," ujarnya.
KESERASIAN Maya dan Yasin terserlah menerusi lagu duet mereka, Sinar Ini.
 
Penyanyi itu juga menyatakan dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan album baharu berdasarkan kepada keadaan industri muzik sekarang dan lebih selesa menghasilkan single sahaja.
Tidak hilang
Selepas mengecap pelbagai kejayaan termasuk pernah muncul juara dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu 2001 menerusi lagu Mimpi Laila, Yasin dilihat seolah-olah menyepi daripada industri seni.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan memberitahu dia sebenarnya tidak menyepi atau menghilangkan diri seperti tanggapan sesetengah pihak, sebaliknya dia lebih banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya memang lebih gemar melakukan kerja-kerja studio seperti menghasilkan lagu, menjadi penerbit album dan berkolaborasi dengan ramai penyanyi popular seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Alyah.
"Namun, kini saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya kembali aktif menyanyi semula. Selepas lagu Sinar Ini, saya akan menghasilkan lagi beberapa buah single terbaharu," jelasnya.
Selain aktif menyanyi, Yasin juga menyatakan dia turut kembali ke dunia lakonan dan bakal berlakon dalam sebuah drama yang akan menjalani penggambaran di Mekah.
"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang seni buat masa sekarang memang banyak. Selain menyanyi dan berlakon saya juga akan terbabit dalam sebuah rancangan berbentuk travelog untuk saluran Astro, tetapi ia masih lagi dalam peringkat perbincangan," ujarnya.
Luahan hati
Maya Karin yang ditemui sewaktu pembikinan klip video lagu Sinar Ini menceritakan dia sendiri sebenarnya agak terkejut apabila dihubungi Yasin dan ditawarkan untuk berduet bersama-sama.
"Kira-kira tiga minggu lalu Yasin telah menghubungi saya dan menyatakan hasratnya untuk berduet dengan saya menerusi sebuah lagu. Kemudian pada satu malam kami telah lepak bersama kerana mahu membuat perbincangan lanjut mengenainya.
"Namun, semasa kami lepak Yasin memperdengarkan lagu yang dihasilkannya dan menyuruh saya menyiapkannya pada malam itu juga. Mulanya saya tidak begitu yakin untuk melakukannya, tetapi akhirnya saya telah berjaya menyiapkannya," jelas pelakon filem Ombak Rindu itu.
Ditanya mengenai idea untuk menghasilkan lirik lagu tersebut, Maya memberitahu ia merupakan luahan hatinya yang diadaptasikan berdasarkan perjalanan kehidupan yang dilaluinya selama ini.
"Ada kalanya ketika bersendirian saya memang sangat gemar memandang ke arah langit pada waktu malam. Kemudian saya akan merasakan kebesaran yang Maha Esa terhadap segala yang diciptakan oleh-Nya.
"Dengan perasaan kerohanian yang kerap dirasakan itu saya telah curahkan menerusi lirik lagu ini. Apa yang boleh saya katakan, lirik tersebut saya hasilkan dengan jujur menerusi luahan hati saya sendiri," ujarnya.
GELAGAT Maya dan Yasin dirakam pada sesi penggambaran klip video lagu Sinar Ini di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Watak antagonis
Bercerita lebih lanjut mengenai projek terbaharunya sekarang, Maya menyatakan dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Lagenda Budak Setan 3.
Kemudian dalam tempoh terdekat ini pula dia bakal membintangi sebuah filem arahan Osman Ali yang berjudul Jwanita. Turut berlakon filem tersebut ialah Bront Palarae dan Cristina Suzanne Stockstill.
"Sebelum ini saya memang kerap memegang watak-watak wanita yang baik, sebaliknya untuk filem ini saya telah diberi peluang untuk melakonkan watak antagonis.
"Saya bersetuju menerima tawaran berlakon dalam Jwanita bukan semata-mata kerana Osman Ali, tetapi saya tertarik dengan jalan ceritanya serta karektor yang perlu saya bawa dalam filem ini," jelasnya.
Walaupun sering sibuk dengan karier lakonan, pelakon berkenaan memberitahu dia akan turut meluangkan masa untuk melakukan kerja-kerja amal dan kini terbabit secara aktif dengan sebuah persatuan yang membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Peluang Portugal, Sepanyol 50-50


PEREITA (dua dari kiri) bergurau seketika bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menjalani latihan di Stadium Opalenica, Poland kelmarin.


DONETSK, Ukraine - Tonggak pertahanan Portugal, Joao Pereira menganggap pertemuan menentang Sepanyol pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Donbass Arena awal pagi Khamis ini adalah 50-50.
Pereira berkata, perlawanan itu akan menjadi berbeza berbanding ketika aksi persahabatan antara kedua-dua pasukan dua tahun lalu.

Biarpun ketika itu Portugal berjaya melakar kemenangan 4-0, namun Pereira menjelaskan bahawa skuad La Roja pasti akan tampil dengan corak permainan yang berbeza kali ini.
"Ia akan menjadi perlawanan 50-50. Saya tidak pasti sama ada kami akan menonton semula rakaman perlawanan persahabatan dua tahun lalu tetapi apa yang pasti, ia akan menjadi perlawanan yang berbeza.
"Ketika kami menang 4-0 ke atas Sepanyol pada perlawanan persahabatan itu, mereka (Sepanyol) beraksi dengan bersahaja dan tidak berada dalam keadaan tertekan.

"Namun, kini ia akan menjadi lebih sukar buat kami. Pada kempen Piala Dunia, kami bersaing hebat untuk menang tetapi akhir Sepanyol mencatatkan kemenangan 1-0.
"Kami yakin kami mampu menewaskan Sepanyol dan saya harap kami akan menang," kata Pereira.
Portugal memulakan kempen Euro kali ini dengan hambar apabila tewas 0-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B menentang Jerman.

Bagaimanapun, skuad kendalian Paulo Bento itu kembali bangkit apabila melakar kemenangan dalam dua baki perlawanan kumpulan iaitu ke atas Denmark 1-0 dan Belanda (2-1).
Meskipun, anak-anak buah Bento dilihat mempamerkan peningkatan tetapi Pereira mengingatkan rakan-rakan sepasukannya agar berhati-hati dengan corak permainan Sepanyol.
"Biarpun kami tewas pada perlawanan pertama tetapi kami telah berjaya mempamerkan peningkatan.
"Saya harap kami tidak akan melakukan kesilapan kerana Sepanyol pasti akan menggunakan kesempatan tersebut bagi menjaringkan gol.
"Kami perlu berhati-hati dengan pemain tengah Sepanyol yang berkebolehan melakukan hantaran-hantaran yang merbahaya dan mengelirukan," jelas Pereira. - Agensi

Badi penalti masih hantui England


YOUNG (No. 11) ditenteramkan oleh rakan-rakan sepasukannya selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Itali di Stadium Olympik, Kiev awal pagi semalam.


KIEV, Ukraine - Roy Hodgson seakan-akan tidak mempunyai jawapan di sebalik badi yang terus menimpa The Three Lions apabila sekali lagi tewas pada penentuan sepakan penalti.
Kenyataan pengendali England itu hadir selepas anak-anak buahnya tewas 2-4 kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir Euro 2012 di Stadium Olympik, Kiev awal pagi semalam.
Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
Sebagai rekod, ia merupakan kali keenam skuad The Three Lions tewas pada penentuan sepakan penalti dalam tujuh kejohanan utama sejak kempen Piala Dunia 1990.
Detik malang England bermula selepas Ashley Young dan Ashley Cole gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Kini Hodgson harus memikirkan formula terbaik bagi menamatkan badi yang menimpa England setiap kali perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.
Menurut Hodgson, beliau pada mulanya berasa yakin dengan kelima-lima pemain England yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti tersebut.
"Saya telah menyaksikan sendiri kelima-lima pemain itu mengambil sepakan penalti ketika sesi latihan. Kesemua mereka sememangnya sangat teruja untuk mengambil sepakan penalti dan telah melakukannya dengan baik.
"Namun, kamu tidak boleh membiarkan tekanan serta perasaan gementar untuk mengambil sepakan penalti," kata Hodgson.

Beliau turut mempertahankan kegagalan Young dan Cole menyempurnakan sepakan penalti apabila menganggap kedua-dua pemain itu mempunyai rekod serta pengalaman yang cukup berharga bersama kelab masing-masing.
"Kamu sendiri dapat lihat Cole menyempurnakan sepakan penalti ketika membantu Chelsea pada aksi final Liga Juara-Juara.
"Begitu juga dengan Young yang telah menyempurnakan banyak sepakan penalti buat Watford dan Manchester United.
"Kami sangat yakin bahawa kami mempunyai lima pemain yang berkebolehan untuk mengambil sepakan penalti tetapi malangnya dua sepakan telah gagal," jelas Hodgson.
Sebelum Young dan Cole gagal menyempurnakan sepakan penalti, England pada suatu ketika berjaya mendahului Itali 2-1 apabila Steven Gerrard dan Wayne Rooney masing-masing berjaya menyumbang gol.
Itali pula memperoleh gol menerusi sepakan penalti yang diambil Mario Balotelli, Andrea Pirlo, Antonio Nocerino, Alessandro Diamanti tatkala Riccardo Montolivo gagal melaksanakan tugas yang diberikan. - AFP

Tuah memihak Itali


BARISAN pemain Itali meraikan kejayaan menyingkirkan England pada suku akhir Euro 2012 di Stadium Olympik awal pagi semalam. 
 

KIEV, Ukraine - Jurulatih Itali, Cesare Prandelli menganggap tuah lebih memihak kepada skuad kendaliannya apabila berjaya menewaskan England menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi suku akhir Euro 2012 awal pagi semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Olympik, Kiev itu, Itali menang 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.
Pemain gantian, Alessandro Diamanti muncul wira Itali apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti terakhir skuad The Azzurri selepas penjaga gol berpengalaman, Gianluigi Buffon berjaya menyelamatkan sepakan penalti tonggak pertahanan England, Ashley Cole.

Sebelum itu, Riccardo Montolivo gagal menyempurnakan sepakan kedua Itali manakala sepakan penalti yang dilakukan pemain sayap England, Ashley Young sekadar menggegar palang gol.
Jurulatih England, Roy Hodgson menganggap kemenangan menerusi sepakan penalti adalah lebih kepada faktor tuah dan perkara itu turut diakui sendiri oleh Prandelli.
"Saya sangat setuju dengan kenyataan Hodgson. 80 peratus kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti adalah berdasarkan tuah.

"Jelas sekali, beberapa pemain yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut adalah disebabkan mereka sentiasa tenang dan fokus selain sudah biasa mengalami tekanan seperti itu.
"Begitupun, saya tetap bersetuju dengan Hodgson kerana tuah adalah satu perkara yang penting dalam penentuan sepakan penalti," kata Prandelli.

Berdasarkan statistik, Itali sememangnya berhak untuk memenangi perlawanan awal pagi semalam.
Ini kerana, skuad The Azzurri mendominasi 64 peratus kawalan bola selain melakukan 35 perubaan tepat ke arah pintu gol pihak lawan berbanding England yang sekadar melakukan sembilan percubaan.
Lebih mengejutkan, Itali berjaya mendominasi perlawanan dan ia suatu yang di luar jangkaan kerana sebelum ini, ramai penganalisis bola sepak menganggap peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50.
Bagaimanapun, Prandelli memberitahu, beliau sama sekali tidak terkejut dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemainnya.

"Saya tidak terkejut kerana saya tahu kami berkemampuan untuk menentukan hala tuju perlawanan.
"Apa yang membimbangkan adalah kami membiarkan England melakukan serangan balas terlalu banyak. Mujur, kami beraksi dengan baik untuk mengekang pergerakan mereka itu.
"Kami cuba untuk membuatkan England kembali membuka ruang tetapi tidak berjaya. Jadi, kami mengatur gerakan serangan menerusi kepantasan," kata Prandelli. - AFP

Punca England kalah

ENGLAND masih belum mampu untuk bergelar sebagai gergasi bola sepak Eropah.Pada kempen Euro 2012, perjuangan mereka hanya sampai ke peringkat suku akhir.
Mereka ditunjuk jalan keluar oleh Itali menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan masa tambahan.

Kualiti yang ada dengan skuad kendalian Roy Hodgson itu masih belum mencukupi untuk membawa mereka mara lebih jauh meskipun aksi mereka pada saingan peringkat kumpulan telah menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang mereka harungi.
Ramalan sebahagian besar penyokong England sebelum bermulanya aksi menentang Itali itu ada kebenarannya.

Mereka berpendapat bahawa jika England mahu menang perlawanan tersebut, ia akan berlaku dalam tempoh 90 minit tetapi jika ia berlarutan sehingga ke sepakan penalti, England akan tewas.
Majoriti daripada penyokong mereka tidak yakin dengan kemampuan England untuk memenangi sepakan penalti kerana ia sudah terbukti sebelum ini.
Ramalan tersebut ternyata benar apabila England ditunjuk jalan keluar selepas penentuan sepakan penalti tersebut.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ashley Young dan Ashley Cole menjadi punca kekalahan England kerana mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut.
Sepakan Young terkena palang gol sementara ledakan Cole diselamatkan oleh penjaga gol Itali, Buffon.
Kegagalan mereka telah memusnahkan hajat besar England yang mahu membuktikan kritikan penyokong terhadap mereka adalah tidak benar.

Bagi Hodgson, dia tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana menganggap nasib sekali lagi tidak menyebelahi mereka.
“Semua pemain telah melakukan yang terbaik, tetapi nasib tidak memihak kepada kami.
“Dalam perlawanan genting seperti ini, kadang-kadang kamu memerlukan sedikit tuah untuk meraih kemenangan, namun tuah itu menyebelahi Itali,” katanya. - Agensi

Aziz Satar diserang sakit jantung

KUALA LUMPUR - Seniman veteran, Datuk Aziz Satar (gambar), 87, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Ampang, selepas mengadu sakit dada dan tidak sedap badan pada Sabtu lalu.

Pelakon yang terkenal dengan beberapa filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu mengadu sakit dada selepas melakukan senaman pada satu program kesihatan yang diadakan pada hari tersebut.
Menurut menantunya yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, bapa mertuanya itu telah dihantar ke Hospital Ampang oleh rakan-rakan yang pergi bersama dengannya pada program berkenaan.
Katanya, Aziz atau nama sebenarnya Abdul Azez Satta kini dirawat di unit berkenaan dengan pemantauan sepenuhnya oleh pihak hospital.

"Keadaannya kini dilaporkan stabil dan tidak ada perkara-perkara yang membimbangkan.
"Pelawat hanya dibenarkan masuk pada waktu yang ditetapkan dan hanya dua orang sahaja dibenarkan melawat pada satu-satu masa," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo

Saiful Apek bebas dadah


SAIFUL APEK bersyukur selepas dibebaskan daripada tuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Pelawak dan pelakon komedi terkenal, Saiful Apek gembira dan bersyukur selepas dirinya dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret di sini semalam tanpa dipanggil membela diri berhubung tuduhan mengambil dadah ganja di sebuah kondominium, dua tahun lalu.
“Saya bersyukur dan percaya pada undang-undang, doa peminat membuktikan saya tidak bersalah, dan tidak lupa terima kasih kepada peguam,” kata Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2003 itu dengan nada terharu kepada pemberita sejurus prosiding berakhir.
Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid turut membuat keputusan serupa terhadap tiga lagi rakan tertuduh iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, yang didakwa atas tuduhan yang sama dengan Saiful Apek, 43.
Beliau dalam penghakiman berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan yang dikenakan terhadap tertuduh.
Menurut Ahmad Solihin, berdasarkan keterangan saksi dan fakta kes, wujud lima elemen yang gagal mensabitkan kesemua tertuduh bagi tuduhan tersebut.
Ahmad Solihin memberitahu, antaranya terdapat percanggahan oleh saksi berhubung tarikh pengambilan sampel air kencing malah pegawai penyiasat kes juga menyimpan botol sampel tersebut terlalu lama sebelum ujian pengesanan dadah di makmal.

Monday, 25 June 2012

14 mayat dicincang dalam trak

MEXICO: Empat belas mayat yang dicincang serta surat ugutan yang disasarkan kepada kartel dadah ditemui di dalam trak di tempat letak kereta pasar raya di utara bandar Mexico, menurut laporan media, semalam.
Pejabat Pendakwa Raya Mexico tidak dapat mengesahkan laporan mengenai pertemuan ngeri di Mante itu dan pegawai polis di bandar penuh jenayah itu tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Media Mexico berkata, bahagian tubuh yang dipotong itu adalah dari 10 lelaki dan empat wanita dan mesej itu ditujukan khas kepada kartel dadah Teluk.

Dalam kejadian berasingan pada 7 Jun lalu, 14 tubuh mayat yang dicincang ditemui di dalam trak di Mante, yang terletak di selatan Tamaulipas yang bersempadan dengan Texas dan merupakan perang dadah paling buruk di Mexico.


Lebih 55,000 orang dibunuh dalam konflik itu sejak Presiden Felipe Calderon menghantar tenteranya memerangi kumpulan dadah tidak lama selepas dilantik sebagai presiden pada Disember 2006.

Parti konservatif, Parti Tindakan Kebangsaan (PAN) nampaknya akan kehilangan kuasa dalam pilihan raya presiden pada 1 Julai nanti, disebabkan kecewa dengan keganasan disebabkan dadah

Minggu ini, Mexico dimalukan apabila pihak berkuasa mengaku mereka telah tersilap selepas mendakwa berjaya menangkap anak kepada lelaki paling dikehendaki, kartel dadah Joaquin “Shorty” Guzman. - Reuters

Ibu kurung anak dalam almari

KANSAS: Seorang ibu berusia 29 tahun ditahan selepas polis Bandar Kansas, menemui anak perempuannya yang berusia 10 tahun dan sangat kurus, dikurung di dalam almari.
Wanita dan teman lelakinya ditahan kelmarin, menurut laporan akhbar The Kansas City Star.

Kanak-kanak perempuan itu ditemui sendirian di dalam almari yang berbau busuk dan berat badannya satu pertiga daripada budak perempuan normal berusia 10 tahun, kata polis.

Kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk penilaian kesihatan, kata akhbar itu. - Agensi

Jari budak putus dibaham pirana dibela keluarga

ILLINOIS: Apabila anak perempuan mereka yang berusia 18 bulan menangis kerana hujung jarinya putus, kelihatan seperti digigit, kedua-dua ibu bapanya mengesyaki ia angkara anjing peliharaan mereka.
Tetapi, selepas dilihat dengan teliti, polis mendedahkan ia mungkin disebabkan haiwan peliharaan yang lebih kecil dan lebih senyap, ikan pirana yang dibela oleh mereka.

Polis di Maine Township, Illinois hanya memerhatikan ikan bergigi tajam yang berenang di akuarium berdekatan dengan tempat kanak-kanak itu bermain, ketika doktor mengesahkan gigitan itu bukan disebabkan oleh anjing.

Jurucakap Pejabat Syerif Cook County, Frank Bilecki berkata, “Kami bercakap dengan ibu kanak-kanak itu dan bertanya apa lagi yang menggigit?”


“Dengan cepat, ibunya berkata, dua ekor ikan itu memang terletak dekat dengan tempat kanak-kanak itu bermain.... Kami tahu pirana boleh menggigit,” katanya.

Selepas memberitahu bapa kanak-kanak itu, yang turut berada di rumah pada waktu itu, lelaki itu terus ke akuarium dan memasukkan tangannya ke dalam air lalu mengambil seekor ikan itu dari akuarium itu.

“Dia langsung tidak takut. Itu memang naluri seorang bapa,” katanya.

“Selepas mengambil ikan itu, bapa yang panik itu terus memotong ikan itu dan hujung jari itu masih berada di dalam perutnya. Dia segera meletakkannya ke dalam ais dan membawanya ke hospital dengan segera,” katanya.

Jurucakap hospital itdak dapat mengesahkan sama ada hujung jari itu boleh disambung.

“Ibu bapa kanak-kanak itu benar-benar sedih dengan kejadian itu,” katanya dengan menambah, kanak-kanak itu adalah satu-satunya anak pasangan itu.

Jabatan Perkhidmatan Kanak-kanak dan Keluarga menyiasat rumah kanak-kanak itu dan tidak menemui bukti ibu bapanya cuba mencederakan anak mereka.

Tiada tuduhan difailkan ke atas mereka.

Pengarah Jabatan Perikanan Akuarium Shedd, George Parsons berkata, ikan pirana boleh dibeli secara sah di Illinois.

Katanya, walaupun mereka pernah mendapat satu atau dua panggilan setahun bertanyakan bagaimana merawat gigitan pirana, tetapi berita mengenai seseorang kehilangan jari kerana digigit ikan itu, amat jarang didengar. - Daily Mail

Bintang K-pop adakan konsert terbesar di Hong Kong

HONG KONG - Beribu-ribu peminat tidak melepaskan peluang menonton konsert besar-besaran K-pop yang diadakan di sini kelmarin.
Konsert tersebut merupakan bukti terbaharu lonjakan populariti muzik pop dari Korea Selatan itu.
Dikenali sebagai Bank Muzik, acara tersebut membariskan empat penyanyi popular Korea Selatan dan merupakan konsert K-pop terbesar pernah berlangsung di pulau berkenaan.
Kumpulan pop lelaki, TVXQ dan penyanyi comel, IU merupakan antara artis yang menyanyi dan menari di hadapan lautan peminat pada konsert itu.
"Saya berasa amat gembira kerana Hong Kong mampu menganjurkan konsert K-pop secara besar-besaran seperti ini.
"Saya juga sangat gembira kerana budaya Korea memiliki pengaruh di seluruh dunia," kata penyanyi kumpulan wanita popular, Wonder Girls yang turut beraksi pada konsert berkenaan.
Konsert gemilang kelmarin menyusul selepas beberapa kumpulan pop Korea Selatan seperti Girls' Generation dan 2PM mengadakan persembahan di sini pada tahun ini.
Tiket untuk siri konsert Bank Muzik habis dijual di Tokyo, tahun lalu dan amat popular di Paris pada awal tahun ini.
Selepas Hong Kong, konsert berkenaan akan diadakan di Brazil dan Amerika Syarikat (AS) lewat tahun ini.
Drama televisyen filem Korea Selatan bersama muzik K-pop semakin popular di seluruh Asia menerusi fenomena yang disebut Hallyu atau gelombang budaya Korea. - AFP

Klik Untuk Saya k... :)