Jom Buat Duit

Thursday 21 June 2012

Anggap diri bukan selebriti

BERTEMU dengan aktor Bront Palarae baru-baru ini pada sesi fotografi promosi filem terbaharu lakonannya Jiwa Taiko, nyata Bront seorang yang ringkas dan penuh falsafah dalam mindanya.
Tidak perlu bersolek, hanya menyisir rambutnya agar kemas, Bront bersedia di hadapan kamera. Apa sahaja arahan yang diberi kepadanya, dilakukan tanpa banyak soal.

Kata Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin, 34, dia sememangnya seorang yang ringkas meskipun berstatus seorang selebriti, dia bukan jenis lelaki yang berdandan sebelum keluar rumah.
"Saya rimas kalau terlalu menjaga penampilan. Ya, saya seorang pelakon, tetapi lakonan adalah bidang pekerjaan saya, di luar bidang kerja saya hanya lelaki biasa," tuturnya.
Mungkin kerana pemahaman itu, nama Bront tidak pernah terjebak dengan sebarang kontroversi, malah kisah peribadinya disimpan kemas.
"Saya selesa tidak bercerita kisah peribadi kerana saya seorang aktor bukannya selebriti. Kerja saya adalah berlakon bukannya mencipta sensasi.

"Rasanya orang di luar sana juga tidak berminat untuk membaca kisah peribadi saya. Mereka kenal saya sebagai Bront di dalam kaca televisyen dan layar perak sahaja, itu sudah memadai," ujarnya serius.
Bertanya bagaimana kehidupan di luar ruang lingkup dunia seni, jawab anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu: "Normal dan sama seperti orang lain, saya keluar bekerja untuk mencari rezeki dan kerja saya adalah berlakon.

"Saya hidup dalam komuniti tidak ada rasa perbezaan dengan orang lain hanya kerana saya keluar di televisyen, majalah, surat khabar dan medium media yang lain."
Meskipun menolak dunia glamor, namun kerjaya sebagai aktor memaksa Bront untuk menerima hakikat dirinya dikenali orang ramai.

"Popular ke saya? Rasanya biasa-biasa sahaja. Mulanya sukar untuk saya menerima realiti dunia glamor, tetapi apabila saya mula diterima ramai, saya belajar untuk mengawal perhatian yang diberi.
"Jika saya berjalan di luar, masih ramai yang buat tidak tahu dengan saya, tetapi apabila ada yang meminta bergambar, baru saya sedar, ada juga orang minat dengan saya," katanya sambil ketawa.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
BERGANDING dengan Nadiya Nisaa dalam filem Jiwa Taiko, nama Bront menjadi sebutan terhadap beberapa babak 'panas' mereka.

Adegan asmara Bront
Nama Bront yang bersih daripada sebarang cerita sensasi tiba-tiba menjadi hangat gara-gara dia membawakan watak antagonis bernama Pinto dalam filem Jiwa Taiko arahan Osman Ali yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Bukan watak Pinto yang menjadi bualan tetapi adegan atas katil Bront dengan watak Lara yang dipikul oleh Nadiya Nisaa.

Beritahu Bront, dia mengambil masa yang agak lama untuk larut dalam jiwa sensual Pinto berbanding dengan Nadiya yang mudah melakonkan adegan panas itu.
"Sangat sukar sebenarnya untuk melakonkan adegan yang perlu pelakonnya kelihatan seksi. Saya mengambil masa yang agak lama untuk benar-benar bersedia berlakon adegan asmara itu," terangnya yang juga seorang penulis lakon layar.

Meskipun sedar adegan itu kurang disenangi sesetengah pihak, jelas Bront, melakonkan adegan panas tersebut tidak dipaksa oleh sesiapa kerana itu pilihannya sendiri.
"Siapa-siapa yang ternganga melihat adegan itu saya minta maaf. Kalau ibu bapa saya melihat adegan asmara itu, mereka juga terkejut.

"Moden macam mana sekalipun, kita tidak boleh menidakkan bahawa seks bebas itu di luar batasan moral agama dan budaya masyarakat tempatan.
"Saya telah tahu sejak awal terdapat adegan panas itu dan bersetuju kerana keperluan adegan itu untuk menggambarkan karakter Pinto. Jadi, apa sahaja pandangan dan kritikan peminat, saya pasrah," balasnya lagi tentang filem yang mula menjalani penggambaran pada Disember 2010.
Akui bintang filem Anak Halal itu lagi, pada sesetengah keadaan wujud satu keperluan untuk seorang pelakon membawa watak dan adegan yang tidak pernah dibawakan sebelum ini untuk menyuntik elemen segar dalam kerjaya.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
BRONT mengaku kecewa dengan sikap segelintir pengkarya yang tidak membayar pelakon harga yang setimpal dengan mutu persembahan yang diberikan.

Bagaimanapun selepas ini, Bront kalau boleh enggan lagi dilihat berlakon untuk adegan asmara sebegitu, cukuplah sekali cubaan buatnya.
"Selepas ini kalau ada keperluan adegan seperti itu untuk saya lakonkan biarlah tidak bersentuhan tetapi masih dapat dirasai perasaan sensual yang sama.
"Apapun saya akan sedaya upaya tidak melakonkan adegan seperti itu lagi selepas ini kerana saya sendiri kurang selesa ketika penggambaran berlangsung," ceritanya.

Kecewa Bront
Tahun ini genap sembilan tahun Bront aktif sebagai insan seni. Pernah terlibat dalam karya pecah panggung seperti Ombak Rindu dan juga karya yang sarat nilai artistiknya seperti filem Bunohan, namun terselit kekecewaan dalam hati kecilnya.

Kecewa kerana sebagai aktor, dia sering berkorban atas dasar seni tanpa diberi bayaran yang setimpal dengan mutu kerja dan persembahan yang diberikan di hadapan kamera.
Bukan cakap kosong, tetapi itulah hakikat industri seni tempatan. Bayaran yang tidak setimpal masih diterima Bront atas dasar perjuangan seni.

"Saya masih boleh terima kalau perkara ini (bayaran murah) berlaku kadang-kadang. Ada kalanya saya perlu melibatkan diri dalam karya yang penuh seni dan pengarah yang mempunyai nama besar untuk kepuasan diri dan profil kerjaya.
BRONT berharap agar dia diberi kepercayaan kembali untuk menjadi hos program berbentuk kembara.

"Bagi saya apa salahnya berkorban untuk perjuangan seni sekali-sekala. Apa yang membuatkan saya kecewa bayaran tidak setimpal ini berlaku dengan kerap. Mana mungkin sepanjang tahun saya harus berkorban atas alasan produksi tidak mempunyai bajet besar," tuturnya jujur.
Bukanlah ingin menjadi jutawan menerusi industri lakonan kerana sedar hakikat industri seni tempatan, tetapi sama seperti orang lain, Bront juga mempunyai tanggungjawab dan tanggungan yang harus dibereskan setiap bulan.

"Kalau di luar negara walaupun pelakon terkenal berlakon dalam filem indie, mereka masih diberi bayaran yang setimpal kerana pelakon itu bekerja, mereka bukan berlakon secara percuma.
"Bagaimanapun, lain pula situasinya di Malaysia. Jika filem indie atau filem tinggi seninya, bayarannya agak menyedihkan. Saya harap situasi ini dapat berubah," luahnya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters