Jom Buat Duit

Friday 22 June 2012

Rack bukti kesungguhan Kilafairy

SUKAR pada mulanya untuk mencari lokasi terletaknya butik pakaian Rack milik si bibir mungil pemilik nama Syakila Nisha Jangir Khan, 21, atau lebih dikenali Kilafairy ini.
Namun, ketika melangkahkan kaki ke ruang legar pusat beli-belah The 19 USJ City Mall di USJ 19, Subang Jaya, baru-baru ini butik yang berada di aras dua itu sebenarnya sudah dikenali para peniaga lain di situ.
Bagai tidak menjangka kemampuan butik pakaian yang sedikit tersorok daripada pandangan pelanggan, ia sebenarnya sudah pun memulakan operasi beberapa bulan lalu dan mempunyai pelanggan sendiri.
"Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan remaja yang gemarkan fesyen terkini dan bergaya," ujarnya yang ditemui ketika pelancaran butik Rack baru-baru ini.

Butik yang diusahakan bersama kakaknya, Shakira Idora Jangir Khan, 22, itu membuktikan kesungguhan Kilafairy selaku pemegang Diploma Pemasaran Fesyen & Pengurusan dari Kolej Antarabangsa Raffles.
"Sesuai dengan bidang pengajian saya sebelum ini, butik Rack merupakan pelaburan saya untuk masa akan datang. Kalau hanya bergantung pada lakonan atau nyanyian sahaja tidak akan menjamin masa depan saya.
"Idea untuk membuka bisnes ini sudah lama sebenarnya. Sejak pusat beli-belah ini menjual barangan digital dan apabila bertukar pengurusan kami mula mengorak langkah lebih proaktif," katanya yang terlebih dahulu membeli stok awal untuk disimpan di rumah ketika premis perniagaannya dinaik taraf.
Rack

KILAFAIRY membuka butik Rack atas dasar minatnya yang mendalam terhadap fesyen.


Nama Rack dicetuskan sendiri oleh Kilafairy dan Shakira memandangkan kedua-dua beradik itu gemar berfantasi dan berimaginasi.
"Butik ini hasil gabungan idea kami yang gila fantasi dan perkataan rack merujuk kepada tanduk rusa yang mempunyai banyak cabang.
"Setiap cabang mewakili iltizam, kecenderungan dan minat kami sama ada dalam bidang fesyen mahupun seni.

"Tambahan, rusa melambangkan ikon fantasi yang sangat universal tapi dalam masa yang sama nampak kuat," ceritanya yang menyifatkan haiwan itu sememangnya popular sama ada dalam kalangan lelaki mahupun perempuan.
Tidak susah untuk membuka butik pakaian itu kerana kata Kilafairy premis perniagaannya itu sudah menjadi milik mereka sejak tiga tahun lalu.
Selain pakaian wanita, Rack turut menyediakan produk-produk lain seperti aksesori wanita, beg tangan dan kasut tumit tinggi.

Malah, butik itu juga menjual pakaian rekaan adik-beradik itu seperti dres koktel dan pakaian sedia pakai untuk kategori Yuppies iaitu golongan remaja dan Bums untuk golongan dewasa.
Menurut Kilafairy, kebanyakan stok butik pakaiannya diperoleh daripada pembekal dari luar negara seperti London dan Australia.

Harga yang ditawarkan pula berpatutan dan tidak melebihi RM500. Rack hanya mengeluarkan sepasang baju bagi setiap rekaan supaya nilai eksklusif butik itu berkekalan.
PELAKON Wan Sharmila tidak ketinggalan meraikan perasmian butik Rack milik Kilafairy ini.
 
"Baju-baju yang dijual di sini mencerminkan personaliti si pemakai dan ada antara dres yang dijual sesuai dipakai untuk pelbagai acara," jelasnya.

Reka kasut
Menarik mengenai butik itu, ada antara kasut tumit tinggi direka sendiri oleh Kilafairy. Katanya niat itu timbul kerana kesukarannya mencari sepatu berketinggian lima inci (12.7 sentimeter) di sekitar Kuala Lumpur.
"Saya penggemar kasut tumit tinggi dan selalunya mencari kasut yang tingginya lebih daripada lima inci, tapi malangnya tidak banyak butik yang menjual kasut seperti yang saya inginkan.
"Maka, atas sebab itu saya mereka sendiri kasut tumit tinggi yang lebih daripada lima inci yang ringkas dan selesa," singkap Kilafairy.

Ditanya mengenai perancangan masa depan untuk butik Rack miliknya, ujar Kilafairy dia ingin membuka beberapa buah cawangan lagi pada masa akan datang.
"Selain itu, saya ingin meningkatkan pengeluaran di samping mempelbagaikan jenama seperti pakaian untuk lelaki," tambahnya.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters