Jom Buat Duit

Thursday, 28 June 2012

‘Lupakan sejarah silam’

GDANSK, Poland – Jurulatih Jerman, Joachim Löw mendesak anak-anak buahnya supaya melupakan kekecewaan lalu. Löw berkata, para pemain hanya perlu fokus untuk menewaskan Itali pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Warsaw awal pagi esok.
Untuk rekod, Jerman tidak pernah menewaskan skuad The Azzurri dalam satu perlawanan kompetitif, tewas tiga kali dan seri beberapa kali pada pusingan akhir Piala Dunia serta kejohanan Eropah.
Selain itu, kedua-dua pasukan bertemu dalam satu aksi kelayakan Piala Dunia 1962 dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Situasi itu telah menyebabkan pemain tengah Itali, Andrea Pirlo mendakwa, Jerman dihantui kebimbangan menjelang aksi separuh akhir di Warsaw itu.
Bagaimanapun, Löw menyangkal dakwaan itu ketika ditanya mengenai kegagalan Jerman menewaskan Itali sejak beberapa tahun lalu.
“Kami tidak boleh mengundurkan masa atau lupakan mengenai perkara itu. Sejarah silam tidak memainkan peranan dalam perancangan kami.
“Rekod menunjukkan yang Jerman tidak pernah menewaskan Itali pada kejohanan utama tetapi kini ia bukan satu masalah besar buat kami.
“Situasi kini sangat berbeza dan ia bukan lagi satu isu penting buat kami,” kata Löw.
Para penyokong Jerman mula mengenali Pirlo ketika pasukan itu menjadi tuan rumah Piala Dunia 2006.
Pemain tengah Juventus berusia 33 tahun itu menjadi watak penting yang membantu kemenangan 2-0 Itali ke atas Jerman pada aksi separuh akhir , sekali gus memusnahkan impian skuad The Team untuk menempah slot ke final.
Namun Löw berkata, beliau tidak berminat untuk bercakap mengenai kemampuan Itali.
Sebaliknya beliau lebih berminat untuk merancang strategi bagi membantu Jerman melebarkan rekod kemenangan kepada 15 perlawanan dalam perlawanan kompetitif sejak tewas kepada Sepanyol pada Piala Dunia 2006. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)