Jom Buat Duit
Saturday, 23 June 2012
England tekad akhiri kemarau
KRAKOW, Poland - England ada misi yang perlu diselesaikan pada aksi suku akhir menentang Itali di Stadium Olimpik, Ukraine awal pagi Isnin ini.
Skuad bimbingan Roy Hodgson itu perlu melayakkan diri ke separuh akhir dalam satu kejohanan utama buat pertama kalinya sepanjang tempoh 16 tahun.
Bagaimanapun, keyakinan barisan pemain England sedikit terganggu apabila memikirkan kegagalan mara ke kelompok empat pasukan terakhir sepanjang lapan kejohanan utama terakhir.
Untuk rekod, skuad The Three Lions terkandas pada suku akhir sebanyak tiga kali dalam tempoh 10 tahun.
Namun, selepas muncul juara Kumpulan D untuk meletakkan Perancis di tangga kedua dan mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang lima perlawanan di bawah bimbingan Hodgson, England akan menghadapi aksi suku akhir di Kiev itu dengan penuh yakin.
"Sekiranya kami dapat menghadapi perlawanan itu (menentang Itali) dengan corak permainan yang kami terapkan ketika ini, kami pasti mencatat kemenangan. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku.
"Ia akan menjadi satu perlawanan yang berlainan. Apa yang penting, kami sudah berada di sana (suku akhir). Kami akan bermain dan masih dalam pertandingan ini.
"Kami mahu terus berada dalam pertandingan ini kerana kami berasa cukup teruja," kata Hodgson.
Bagaimanapun, Hodgson bimbang dengan situasi beberapa pemain utama yang akan dilayangkan kad kuning, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya.
Ketika ini, kapten, Steven Gerrard, Ashley Cole, Ashley Young, James Milner dan Alex Oxlade-Chamberlain masing-masing sudah mengutip satu kad kuning, sekali gus berpotensi untuk terlepas aksi separuh akhir sekiranya England berjaya melayakkan diri.
Namun, Hodgson berharap para pemainnya tidak menghiraukan ancaman digantung permainan gara-gara kad kuning kerana ia mampu mengganggu persembahan pasukan itu.
Kebimbangan paling besar Hodgson ialah kegagalan Gerrard untuk beraksi pada perlawanan seterusnya kerana bintang Liverpool itu berjaya memberi inspirasi untuk mengemudi jentera tengah skuad The Three Lions. - AFP
Labels:
Euro 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment