Jom Buat Duit

Tuesday 19 June 2012

Perancis idam juara kumpulan


BLANC (tengah) memberikan kata-kata semangat kepada para pemain Perancis pada sesi latihan di Ukraine kelmarin.


DONETSK, Ukraine - Perancis meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan selaku juara Kumpulan D pada Euro 2012.
Sasaran tersebut bakal menjadi kenyataan sekiranya skuad kendalian Laurent Blanc itu berjaya menewaskan Sweden pada aksi terakhir kumpulan itu di Stadium Olympik awal pagi esok.
Atas kertas, skuad Les Bleus memiliki kelebihan untuk menewaskan Sweden yang telah tersingkir daripada kempen kali ini.

Ini kerana, Sweden tewas kedua-dua perlawanan awal pada peringkat kumpulan masing-masing 1-2 kepada Ukraine dan England 2-3.
Justeru, Perancis mahu memanfaatkan segala kelebihan yang dimiliki bagi mengutip tiga mata penuh, sekali gus menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas.
Selain mahu bergelar juara kumpulan, kempen Euro kali ini menjadi medan terbaik buat anak-anak buah Blanc untuk menamatkan 'badi' yang dialami mereka apabila gagal mara ke suku akhir pada kejohanan utama sejak Piala Dunia 2006.

Kedudukan selaku juara Kumpulan D juga sangat penting buat Perancis kerana mereka mahu mengelak daripada berdepan Sepanyol yang dijangka mudah menamatkan saingan Kumpulan C di tangga teratas.
"Adalah sesuatu yang hebat jika kami dapat mengelak daripada berdepan Sepanyol pada suku akhir.
"Kami (Perancis) perlu mempamerkan aksi terbaik apabila menentang Sweden dan mencatat kemenangan.
"Kami mahu terus kekal di atas dan menamatkan saingan di sebagai juara," kata perancang Perancis, Yohan Cabaye yang meledak satu gol ketika membantu skuad Les Bleus menewaskan Ukraine 2-0, Sabtu lalu.
Ketika ini, Perancis berkongsi empat mata di tangga teratas bersama England, diikuti Ukraine (tiga mata), manakala Sweden di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Sementara itu, tonggak pertahanan Perancis, Gael Clichy berkata, kemenangan ke atas Sweden bakal menjadikan skuad Les Bleus sebagai sebuah pasukan yang digeruni pada kempen Euro 2012. - Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters