Jom Buat Duit

Saturday, 30 June 2012

Loew pertahan strategi


PEMAIN-PEMAIN Jerman kecewa selepas tewas 1-2 kepada Itali dan gagal melayakkan diri ke final Euro 2012.


WARSAW, Poland - Jurulatih Jerman, Joachim Loew tetap mempertahankan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas 1-2 kepada Itali pada aksi separuh akhir Euro 2012 awal pagi semalam.
Loew berkata, barisan pemain muda skuad The Team telah mempamerkan potensi yang dimiliki pada kempen kali ini.

Pada aksi di Stadium National itu, penyerang kontroversi Itali, Mario Balotelli memusnahkan impian Jerman selepas meledakkan kedua-dua gol skuad The Azzurri pada separuh masa pertama permainan.
Meskipun berjaya menampilkan aksi yang lebih baik pada babak kedua, sekali gus merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Mesut Ozil pada minit ke-92, ia tidak memadai buat Jerman.

Tampil selaku pasukan pilihan bersama-sama Sepanyol selepas memenangi kesemua 10 perlawanan pada kempen kelayakan, rekod tanpa kalah sebanyak 15 perlawanan milik Jerman lebur.
Kekebalan bentang pertahanan Jerman gagal mengekang asakan Balotelli manakala skil pemain tengah, Bastian Schweinsteiger dan Ozil dibayangi kehebatan perancang Itali, Andrea Pirlo dan Riccardo Montolivo.
Loew yang masih mempunyai kontrak sehingga 2014 berkata, kejayaan Jerman akan tiba suatu hari nanti.
"Ini semua adalah sebahagian daripada proses pembangunan buat pasukan. Kamu tidak akan memenangi gelaran dengan bercakap sahaja.
"Sepanyol terpaksa menanti untuk satu tempoh yang panjang (bagi menenangi Piala Dunia 2010 dan Euro 2008).

"Pada babak kedua, kami telah melakukan segala-galanya untuk menguasai permainan. Kami bermain dengan sepenuh hati.
"Selain daripada kekalahan, kejohanan ini sangat baik dan ia adalah satu proses pembelajaran.
"Bermain di tahap tertinggi bersama pasukan-pasukan ini, tidak banyak yang membezakan kami.
"Hanya satu saat yang menentukan sama ada kamu menang atau kalah.
"Pasukan telah banyak meningkat dalam tempoh dua tahun, kami berjaya mengekori rapat negara-negara yang berada di depan kami dan kini, kami sama taraf dengan pasukan-pasukan terhebat ini.
"Kami tidak melakukannya hari ini (awal pagi semalam) tetapi peluang kami pasti tiba pada masa hadapan.
"Kekuatan sudah ada, kami mara ke final dan kami sentiasa berharap tetapi hari ini, pada babak pertama, kami ketinggalan di belakang.
"Sebab itu kami berada di sini dan merasai kekecewaan ini," kata pengendali berusia 52 tahun itu. - AFP

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters