Jom Buat Duit

Monday 30 June 2014

Mati sakit jantung saksi penalti Piala Dunia

BELO HORIZONTE, Brazil - Seorang penyokong Brazil mati selepas mengalami sakit jantung semasa menyaksikan detik-detik cemas sepakan penalti yang membawa kemenangan kepada pasukan tuan rumah, lapor media semalam.

Lelaki berusia 69 tahun itu sebelum kejadian dikatakan mengadu tidak sihat semasa menyaksikan perlawanan berkenaan yang ketika itu Brazil terikat 1-1 dengan Chile sehingga membawa kepada masa tambahan dan akhirnya kemenangan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.

Detik sepakan penalti menjadi saat paling mendebarkan dan tegang kepada penyokong Brazil sebelum negara itu berjaya melangkah ke suku akhir Piala Dunia menerusi kelebihan gol penalti 3-2 ke atas Chile.

Penyokong tersebut yang mempunyai masalah diabetes meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke hospital, menurut portal berita G1 dan laman web akhbar Estado de Minas.

Akhbar tersebut turut melaporkan pegawai-pegawai kesihatan tempatan merawat lebih 100 orang sepanjang perlawanan itu berlangsung termasuk seorang wanita berusia 50 tahun yang juga mengalami sakit jantung, manakala seorang pemuda dirawat apabila patah hidung kerana bergaduh. - AFP

Sunday 29 June 2014

Rakan Dirogol Depan Mata

Miri: “Saya merayu supaya rakan saya (pembantu rumah) dilepaskan tetapi penjenayah tidak mempedulikan rayuan saya, sebaliknya terus menarik rakan saya itu dan membuka seluarnya sebelum dirogol di depan saya,” kata pembantu rumah Yulida Zailan, 39, mengenai perbuatan keji seorang daripada lima penjenayah yang bukan saja memecah rumah majikannya, malah merogol rakan sekerjanya wanita warga Indonesia berusia 33 tahun dalam kejadian di Taman Desa Indah 2 di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, penjenayah yang bersenjatakan parang dan memakai penutup muka menceroboh rumah berkenaan melalui pintu belakang dengan memotong jeriji tingkap.

Ketika kejadian, majikan mangsa bercuti di Sabah manakala anak lelakinya tiada di rumah dengan hanya Yulida dan mangsa bersama seorang anak perempuan majikannya berusia enam tahun berada di rumah ketika itu.

Yulida berkata, ketika rakannya dirogol, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu cemas dan bimbang dirinya turut menjadi mangsa rogol.

“Walaupun rakan saya menangis dan berulang kali merayu dilepaskan, namun rayuannya tidak dihiraukan, sebaliknya lelaki itu tetap bertindak ganas memperkosanya.  MyMetro

Awie akui beri keterangan kepada polis

KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal tanah air, Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman, 45, mengakui telah dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan mengenai dakwaan dia memukul isterinya, Rozana Misbun, 36, baru-baru ini.

Penyanyi utama kumpulan Wings itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan menyerahkan siasatan itu kepada pihak polis.

Awie yang ditanya mengenai tiga keping gambar wanita yang tersebar di internet didakwa sebagai Rozana yang cedera teruk dipukul berkata, dia masih belum melihat gambar tersebut.

“Jika benar gambar itu tersebar, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam. Kosmo

Wednesday 25 June 2014

Saintis Jepun Perkenal Pembaca Berita Android

SAINTIS di Jepun mendedahkan Android yang mampu membaca berita yang pertama di dunia. 
 
Android yang hampir menyerupai manusia tersebut mampu berjenaka dan juga mempunyai kemahiran bahasa yang sempurna.
 
Android yang kelihatan seperti seorang remaja tersebut 'Kodomoroid', merupakan gabungan perkataan 'Kodomo' yakni 'kanak-kanak' dan 'Android' yang bermaksud robot, telah menyampaikan berita gempa bumi dan serbuan FBI kepada wartawan di Tokyo.
 
"Anda juga kelihatan seperti robot!," Android tersebut mengusik profesor robotik, Hiroshi Ishiguro, dalam nada jenaka.
 
'Otonaroid' yang bermaksud 'Android dewasa' juga diperkenalkan dalam acara tersebut.
 
Kedua-dua Android tersebut akan 'bekerja' di Muzium Inovasi dan Sains Baharu di Tokyo.
 
"Kita akan mempunyai lebih banyak robot pada masa hadapan," Hiroshi memberitahu wartawan.
 
Hiroshi sendiri mempunyai Android peribadi yang beliau hantar ke luar negara untuk memberi ceramah.

Monday 23 June 2014

Lagi mangsa rogol digantung

PUNJAB - PAKISTAN. Seorang mangsa rogol dibunuh kejam apabila mayatnya digantung pada sebatang pokok di sebuah perkampungan miskin di Layyah, wilayah Punjab, Pakistan, kelmarin.

Pegawai polis kanan Sadaqat Ali Chohan berkata, Muzammil Bibi, 20, diserang tiga lelaki berhampiran rumahnya sebelum diheret ke kawasan semak untuk dirogol secara bergilir-gilir.

“Ini adalah serangan rogol paling kejam di Pakistan. Ketika ditemui, mangsa pengsan dan pakaiannya koyak-rabak,” katanya pada laporan Dailymail.

Menurutnya, melalui siasatan awal, mangsa dicekik di leher dan dipukul beberapa kali berdasarkan kesan lebam pada anggotanya.

Difahamkan, ibu bapa mangsa meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari mangsa sejurus mengetahui kehilangannya.

Keesokan harinya, penduduk kampung menemui mangsa tergantung pada sebatang pokok berhampiran rumahnya dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah.

Bulan lalu, kes sama turut berlaku apabila penduduk kampung menemui dua mayat adik-beradik mangsa rogol tergantung pada sebatang pokok di sebuah perkampungan di Uttar Prakash, India.

Sunday 22 June 2014

Sumpah itu makanan Aidil Zafuan - Rita Rudaini

KISAH pergolakan dua jiwa, pelakon Rita Rudaini dan bekas suaminya, pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak masih bertali arus.

Walaupun sudah hampir setahun bercerai namun kisah rumah tangga mereka masih berbutir di bibir ramai.
Terbaharu, sewaktu Majlis Pratonton Media Ramadan & Raya TV3 dan TV9 di Petaling Jaya baru-baru ini, pelakon Mami Jarum The Movie itu sekali lagi meledakkan kecamuk rasanya. Pada pertemuan kali ini, nada emosi aktres berumur 38 tahun itu bercampur-campur, antara kecewa, geram dan marah, semuanya berbaur-baur.

Bukan kerana mengenangkan hubungan tidak kesampaian antara mereka berdua, tetapi bagi Rita, rasa terkilan dalam hatinya semakin menebal mengenangkan hak anak-anak yang masih tidak ditunaikan oleh insan bergelar bapa.

“Selepas bercerai sehingga sekarang, dia belum pernah lagi berjumpa dengan anak-anak. Tak ada langsung nak ambil tahu pasal anak lagi. Walhal sebelum ini dia pernah berjanji tidak akan abaikan anak-anak.
“Sekarang dia sendiri yang abaikan anak-anak. Sumpah dia saya tak boleh pakai lagi. Asyik bersumpah dengan saya. Sumpah itu dah jadi makanan dia. Saya dah tak percaya lagi apa yang dia kata,” luah pelakon yang popular menerusi drama Iris itu.

Bagi Rita sendiri, rasa itu semakin berbalam tiap kali dua orang permata hatinya, Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 3, bertanyakan hal berkaitan bapa mereka.

Dilema itu membuatkan Rita berasa tawar hati.
“Sebelum ini Aidil minta supaya saya beri dia ruang untuk mendekati anak-anak. Saya fikir mungkin ini lah masanya, sebab Arjuna memang tak pernah kenal bapa dia lagi. Dia tinggalkan waktu Arjuna tujuh bulan. Tapi apabila Arjuna dah kenal bapa dia siapa, dia buat hal lagi, abaikan anak-anak.

“Sekarang kalau anak-anak tanya, saya terpaksa alihkan tumpuan mereka. Anak tanya kenapa daddy dah lama tak datang? Sibuk ke sampai tak boleh berjumpa dengan anak-anak, mana janji tak akan lupa anak-anak?,” kongsi Rita.
Tambahnya, lebih menyedihkan apabila medium komunikasi, WhatsApp dan WeChat yang sebelum ini menghubungkan antara Aidil dan anak-anaknya juga dikatakan sudah disekat.
“Sebelum ini, kalau nak kongsi gambar atau video anak-anak guna WhatsApp dan Wechat, tapi sekarang nombor saya dah disekat, saya nak kongsi macam mana? Malah, WeChat itu pun dia sendiri yang suruh saya muat turun,” tuturnya.

Ujar Rita, anak-anaknya berhak untuk mengenali siapa bapa kandungnya kerana ikatan darah itu memang tidak akan pernah terputus buat selama-lamanya.
“Jangan asyik nak fikirkan orang lain, sampai sanggup korbankan anak-anak. Cukuplah, biarlah Allah yang tunjukkan,” pinta Rita.

Pasangan itu sah bercerai talak satu pada 5 September tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan.

Rita kini membesarkan kedua-dua orang anaknya itu bersendirian, manakala Aidil, 27, berkahwin lain bersama Zarema Zainal, enam bulan selepas bergelar duda.
Dalam pada itu, sewaktu ditanya adakah Rita sudah bertemu pengganti Aidil, katanya, dia tidak pernah terlintas mengenai hal tersebut. Katanya, apa yang lebih penting sekarang ini adalah kehidupan anak-anaknya.

“Ramai orang tanya saya bila lagi saya nak cari pengganti. Tapi benda ini sebenarnya dari hati, sekarang ini sedikit pun tak ada rasa nak ke situ (cari pengganti). Saya tak fikirkan diri saya, fokus saya pada anak-anak. Sekarang ini sayalah bapa, sayalah ibu.

“Saya tak mencari jodoh, sebab saya selesa dengan anak-anak. Apabila balik rumah tengok anak-anak, saya sudah cukup rasa bahagia,” tuturnya yang mengakui pernah didekati beberapa individu untuk berkenalan dengannya, namun tidak dilayan.

Dalam perkembangan lain, Rita memberitahu, dia bakal muncul dengan sebuah telefilem istimewa bersempena Hari Raya Aidilfitri iaitu Pontianak Teng Teng yang akan disiarkan pada Hari Raya pertama menerusi TV9.

“Ia merupakan sebuah drama komedi yang mengisahkan seorang janda yang digilai penduduk kampung,” cerita Rita mengenai drama yang turut dibarisi oleh pelakon Yus Jambu itu. Kosmo

Saturday 21 June 2014

Pusat Pelacuran terbesar di Asia Tenggara ditutup

JAKARTA – INDONESIA. Pusat pelacuran terbesar Indonesia, Dolly, yang terletak di Surabaya, Jawa Timur ditutup selama-lamanya Rabu lalu.

Menteri Sosial Indonesia, Salim Segaf Al Jufri berkata, apa yang perlu dikekalkan di kawasan itu adalah sesuatu yang positif, lapor VivaNews.

“Jika tidak positif, maka tidak perlu untuk mengekalkannya. “Kami telah berusaha keras sejak dua hingga tiga tahun lepas bagi menangani isu ini," katanya.

Dalam pada itu, Salim turut memuji pihak berkuasa bersedia menutup kawasan Dolly yang bukan sahaja sebagai pusat pelacuran terbesar di Indonesia tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

Ekoran penutupan Dolly, satu perhimpunan dibuat di bangunan Pusat Islam di Surabaya dan dihadiri Gabenor Jawa Timur, Soekarwo; Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini, ahli majlis perundangan wilayah, golongan ulama, pelacur dan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Dolly.

Perhimpunan yang diadakan itu turut disusuli perisytiharan oleh masyarakat tempatan yang berikrar untuk menjadikan kawasan itu bebas daripada pelacuran.

Perisytiharan itu dibuat secara hitam putih dan ditandatangani wakil-wakil penduduk tempatan.
Sinarharian.com.my

Friday 20 June 2014

Aeril Zafrel, Wawa Zainal tolak babak bersentuhan

MENYAKSIKAN pelakon, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal hadir berpimpin tangan ke majlis ulang tahun TV3 yang ke-30 di Sri Pentas Bandar Utama Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, jelas membayangkan pasangan suami isteri itu sedang bahagia menjalani fasa kehidupan berumah tangga.
Tiada lagi garis-garis luka pada wajah Wawa, sebaliknya wanita berusia 22 tahun itu cukup berseri berkongsi cerita mengenai kehidupan bahagia yang dilalui mereka pada hari ini.

Cukuplah kontroversi yang melanda dirinya dan suami ekoran menyembunyikan perkahwinan pada tahun lalu itu lenyap di telan masa. Cinta mereka, cinta duka yang berakhir dengan bahagia.
"Saya tidak berasa sedih atau terkenang lagi kejadian yang berlaku sebelum ini. Saya bahagia sangat dengan kehidupan sekarang di samping suami dan anak, Ahmad Fakhruddin Attar yang kini sudah menginjak usia sembilan bulan," luah Wawa sambil memeluk erat lengan suaminya.

Menganggap semua yang terjadi sebelum ini sebagai sejarah silam, kata Aeril pula, semua orang pernah mengalaminya. Cuma apa yang menjadi persoalan sama ada kita mahu mengenangkan ia buat selama-lamanya atau menuju ke hadapan dengan menjadi manusia yang lebih baik.

Bergandingan buat pertama kali dalam drama setelah disatukan sebagai suami isteri, Aeril mengakui kekok bercinta dengan Wawa dalam drama Cerita Cinta Kita terbitan TV3.
Namun sebagai hal yang bukan tabu, Aeril dan Wawa tetap memberikan lakonan semula jadi di hadapan kamera demi kepuasan penonton.

"Saya bawa watak Adam yang bercinta dengan Salmah iaitu Wawa dalam drama ini, namun ibu Salmah cuba memisahkan kami dan mengahwinkan Salmah dengan Dr. Khairuddin (Dazrin)," ungkap Aeril mengenai wataknya dalam drama yang ditayangkan setiap Rabu dan Khamis, pukul 9 malam itu.
Jaga batas

Membenarkan Wawa berlakon di samping Dazrin, Aeril percaya Wawa tahu menjaga batas-batasnya sebagai seorang isteri.

Pelakon berusia 26 tahun itu juga tidak risau andai Wawa bakal bergandingan dengan lelaki lain dalam drama tanpa dirinya berada di lokasi kerana sebagai pelakon dia tahu keadaan sesebuah drama itu dihasilkan.
"Saya tidak perlu risau andai saya tidak bersama Wawa dalam sebuah drama kerana sebagai seorang pelakon, saya tahu keadaan penggambaran. Pengarah tahu untuk mendapatkan babak mesra tanpa perlu bersentuhan hanya dengan menggunakan teknik kamera. Saya juga percaya Wawa tahu batas lakonan dia sampai mana," jelasnya yang tidak meletakkan syarat ke atas mana-mana penerbit andai ingin mengambilnya perlu mengambil Wawa juga.

Biarpun Aeril memberi sepenuh kepercayaan, sebagai isteri yang sudah bertudung, Wawa juga menolak untuk berlakon babak-babak yang memerlukannya bersentuhan dengan lelaki.

Malah, pelakon berasal dari Lahad Datu, Sabah itu mengakui kena lebih selektif dalam lakonan.
"Tidak semua babak boleh saya lakonkan memandangkan kini saya sudah bertudung dan menjadi isteri. Macam Cerita Cinta Kita, ada babak yang memerlukan saya dan Dazrin berpegangan tangan.

"Saya minta supaya tidak diadakan babak tersebut dan Dazrin terima. Kalau setakat babak dia tolak saya itu tiada masalah," ujar Wawa menjelaskan lebih lanjut mengenai pendiriannya.

Tidak risau pendiriannya dan isterinya itu bakal mengehadkan tawaran lakonan yang hadir, Aeril percaya rezeki Allah itu sentiasa ada jika mereka sentiasa menjaga adab dan hukum.

Bukan hanya pada bidang lakonan, Aeril memberitahu, rezeki yang hadir mungkin dalam pelbagai cabang bidang seperti pengacaraan atau menjadi duta sesuatu produk.
"Saya percaya dengan rezeki Allah. Apabila kita menjaga hukum, lebih banyak rezeki yang Allah akan bagi. Jadi kita tidak perlu takut," tuturnya.

Bakal bergandingan bersama sekali lagi untuk beberapa telefilem dan drama pada masa akan datang, Aeril mengakui risau kekerapan berlakon dengan Wawa akan menimbulkan rasa jemu dalam kalangan penonton.
Akan cuba mengehadkan gandingan bersama di dalam kaca TV, namun Aeril juga tidak menolak rezeki lakonan yang hadir untuknya dan isteri.
Enggan dedah anak

Berkongsi mengenai hal anak, kata Wawa, dia sudah berani membiarkan anaknya dijaga oleh ibunya sejak dua bulan lalu.

"Selepas drama Cerita Cinta Kita, kami akan muncul bersama sekali lagi dalam sebuah telefilem raya arahan Mawi AF. Alhamdulillah, sejak mula bekerja dua bulan lalu, ibu banyak membantu menjaga Attar di rumah," ungkapnya mengenai anaknya yang sudah pandai merangkak itu.
Tidak mahu memikirkan cahaya mata kedua, kongsi Wawa lagi, rasa penat melahirkan dan menjaga Attar masih terasa.

Sebaliknya, bagi Aeril pula, dia sudah bersedia menimang cahaya mata kedua pada tahun depan.
Tidak jemu-jemu berkongsi perihal Attar, namun pasangan suami isteri itu menolak andai ada mana-mana media yang ingin mengadakan sesi fotografi bersama Attar.

Bagi Aeril, cukuplah sekadar anaknya itu ditonton dalam laman sosial Instagram.
"Buat masa ini saya belum bersedia bawa anak saya ke mana-mana media. Sesiapa yang dapat tengok anak kami pun hanya di Instagram. Sebabnya, saya tidak mahu dia terdedah dengan publisiti," lantunnya.
Menyambung bicara Aeril, Wawa memberitahu, suaminya itu tidak mahu mendedahkan anak mereka dalam bidang seni.

Cukuplah sekadar mereka berdua sahaja yang terdedah dalam bidang seni.
"Aeril tidak mahu apabila muka Attar sering terdedah di media, ia akan menjejaskan Attar di kemudian hari," kata Wawa. Kosmo

Monday 16 June 2014

AGBK 2013: Nik Aziz tewaskan Asri

KUALA LUMPUR - Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menewaskan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin melalui buku Bicara Ini Demi Illahi apabila dipilih peminat untuk memenangi Anugerah Penulis Pilihan Kategori Islamik pada Anugerah Grup Buku Karangkraf 2013, hari ini.

Selain Asri, Nik Aziz turut menewaskan beberapa nama besar lain seperti Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj, Muhd Nasruddin Dasuki dan Prof Masya Rasid Muhamad.

Namun, bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak dapat hadir untuk menerima sendiri anugerah berkenaan.

Editor Karya Bestari, Mohd Sofian Rosali yang juga editor buku tersebut menyifatkan kemenangan itu satu bonus.

"Ini buku pertama kita dengan Tok Guru Nik Aziz. Alhamdulillah sambutan penjualan buku ini sejak awal perasmian tahun lalu begitu memberangsangkan.

"Menang ini satu bonus tetapi apa lebih penting bagaimana orang ramai memanfaatkan buku ini," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui selepas majlis penyampaian AGBK 2013, hari ini.

Menurutnya, anugerah tersebut bakal disampaikan kepada Nik Aziz dalam masa terdekat di Kelantan.

"Cara nak baca buku ini bukan dari sudut politik tapi dari sudut pendidikan akhlak, agama dan keluarga.

"Dalam masa terdekat, saya akan sampaikan sendiri kepada Tok Guru Nik Aziz anugerah ini sekali dengan royalti buku Bicara Ini Demi Illahi yang terbaru," katanya.

Bicara Ini Demi Ilahi merupakan buku yang diadaptasi daripada kuliah-kuliah Nik Aziz yang telah diterjemahkan kepada bahasa yang lebih mudah.

Selain itu, buku ini juga mengandungi nasihat-nasihat beliau sebagai seorang ayah dan datuk kepada anak cucunya.

Buku genre islamik itu turut menerima Anugerah Cover Pilihan Kategori Buku Islamik.

Anugerah yang julung kali diadakan itu menyaksikan 30 kategori dipertandingkan dan setiap pemenang menerima wang tunai RM3,000 beserta trofi. Sinar

15 Kepala Manusia Sebagai Mas Kahwin

DAMSYIK - SYRIA. Seorang wanita di Syria meminta 15 kepala tentera pro Bashar al-Assad sebagai mas kahwin.

Media melaporkan, Aicha Faaourya, 50, juga meminta 50 lagi kepala jika bercerai.

“Ibu tunggal itu meletakkan syarat ngeri selepas suaminya yang juga askar Tentera Pembebasan Syria maut dibunuh tentera rejim dua tahun lalu,” menurut laporan itu.

Difahamkan, Aicha atau lebih mesra disapa Umm Shouhada yang bermaksud ibu para syuhada meletakkan syarat demikian selepas beliau dilamar ketua daerah Aleepo, Ahmad Ramilat.

“Saya bersumpah memerangi tentera Assad hingga mati. Rejim membunuh suami saya dan kini empat anak saya sedang mencari keadilan untuk keluarga kami,” katanya. 

Sementara itu, Ahmad Ramilat berikrar menentang rejim selepas dua anaknya maut ketika bertempur dengan tentera awal tahun lalu.

“Saya akan memenuhi hajat Aicha dan bersumpah akan memenggal kepala 15 kepala askar rejim untuk memperisterikannya,” katanya, laporan dipetik dari Sana.

Sunday 15 June 2014

Aktres Popular Bollywood Dakwa Dicabul

New Delhi: Seorang daripada aktres paling popular Bollywood semalam membuat aduan rasmi kepada polis mendakwa dia dicabul, didera dan diancam bekas teman lelakinya ketika menyaksikan perlawanan kriket.
Sumber berkata, Preity Zinta menuduh Ness Wadia - pemilik bersama kelab Kings XI Punjab - melakukan serangan itu selepas mereka bertengkar ketika menyaksikan perlawanan pasukan berkenaan pada 30 Mei lalu.

Kelab itu yang menyertai Liga Perdana India turut dimiliki Preity.

Sementara itu jurucakap polis Mumbai mengesahkan menerima aduan daripada Preity.
Kata jurucakap itu, Preity mendakwa mereka duduk bersebelahan di Stadium Wankhede di Mumbai apabila tercetus perbalahan.
Ekoran perselisihan pendapat itu Wadia menolak Preity sebelum menghambur kata-kata kesat kepada aktres terbabit.

Sementara itu jurucakap Preity berkata, aktres itu kini berada dalam “waktu sukar.”

“Tujuan saya membuat aduan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa, sebaliknya sebagai langkah perlindungan,” katanya.

Sementara itu Wadia berkata, dia terkejut dengan tindakan Preity dan tuduhan berkenaan adalah “palsu semata-mata.” - AFP

Pesta Gay Yahudi 2014

Baitulmaqdis: Ribuan lelaki Israel berparti di sepanjang jalan di Tel Aviv semalam dalam acara perarakan tahunan golongan gay di bandar itu.
Ia dianggap sambutan terbesar seumpamanya di Timur Tengah.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata puluhan ribu lelaki yang mengamalkan hubungan sejenis mengambil bahagian dalam acara sambutan besar-besaran itu.

Acara itu diwarnai dentuman muzik yang kuat serta lelaki yang berpakaian wanita serta tanpa baju berarak sambil mengibarkan bendera berwarna-warni.

Tel Aviv menjadi bandar terbaru yang memberi kebebasan kepada lelaki gay untuk mengamalkan gaya hidup songsang itu.
Ia menjadi satu daripada destinasi pelancongan paling mesra gay beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia jauh berbeza berbanding bandar di sekelilingnya.
Lelaki gay diterima secara terbuka dalam perkhidmatan ketenteraan, parlimen dan ramai dikalangan selebriti negara itu adalah gay.

Namun pemimpin komuniti berkenaan berkata Israel masih belum mampu memberikan hak sama rata kepada golongan gay.
Sehingga kini masih belum ada perkahwinan sejenis yang dilangsungkan di Israel kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang.

Semua perkahwinan mesti melalui rabai Yahudi yang tegas menyatakan hubungan sejenis adalah dilarang dalam fahaman Yahudi.
Namun negara itu mengiktiraf pasangan sejenis yang berkahwin di luar negara.

Pesawat Ukraine Ditembak Jatuh

KIEV - Para pejuang pemisah menembak jatuh sebuah kapal terbang pengangkut milik Ukraine semasa ia hendak mendarat di bandar Luhansk awal semalam.

Semua 49 anggota tentera yang menaiki pesawat tersebut terbunuh dalam kejadian yang melibatkan kematian paling ramai dihadapi kerajaan Ukraine.

Ketika kejadian, pesawat tersebut menghantar anggota-anggota tentera yang akan menyertai operasi mengentikan pemberontakan di timur Ukraine.

Kementerian Pertahanan Ukraine menyatakan dalam satu kenyataan, pesawat II-76 itu ditembak dalam satu serangan dengan menggunakan senjata antipesawat dan mesingan.

Perbalahan terbaharu itu berlaku dalam minggu ini selepas tentera kerajaan menawan semula Pelabuhan Mariupol kelmarin.

Ukarine memperoleh Presiden baharu, Petro Poroshenko seminggu lalu. - Agensi

Saturday 14 June 2014

Ratu Cantik Indonesia Meninggal Dunia

JAKARTA - INDONESIA. Miss Jakarta 2004, Rizka Ismalia Putri Iskandar meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di jalan tol Kamal di Jakarta Utara pada Khamis.

Ketua Unit Kemalangan di subdirektorat penguatkuasaan undang-undang polis bandar raya, Miyanto berkata Rizka, 31, dan suaminya, Aldico Juniarto sedang dalam perjalanan dengan teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta untuk menaiki penerbangan ke Malaysia.

"Pemandu teksi itu dikatakan hilang tumpuan dan gagal mengawal kenderaannya," kata Miyanto seperti yang dipetik Kompas.com pada Khamis.

Beliau berkata teksi itu melanggar sebuah trak yang diletak di tepi jalan, kemudian melanggar pula sebuah Honda CRV sebelum merempuh sekatan jalan konkrit.

Aldico dan pemandu teksi, Eko Yulianto terselamat dalam kemalangan itu dan dikejarkan ke Hospital Atmajaya di Pluit.

Seorang doktor dari Hospital Atmajaya, Andri P, berkata Eko kini menjalani rawatan kerana kecederaan saraf tunjang yang teruk. - Bernama

Harimau Selatan Terajui Liga Super

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) menerajui persada Liga Super selepas menundukkan Terengganu 4-3 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan kini mengatasi pencabar terdekat, Selangor yang mengutip 37 mata, dengan kelebihan satu mata di depan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic itu.
Dalam aksi tersebut, Moustapha Dabo terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi jaringan seawal minit kelima.

Anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim terus memberikan tekanan kepada Johor DT apabila Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (Liga M), Norfarhan Muhammad menggandakan kedudukan pada minit ke-16.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, skuad Harimau Selatan kembali mengatur gerak dan hasilnya, Jorge Diaz mengikat kedudukan menerusi dua jaringannya pada minit ke-21 dan 37.

Pemain pertahanan kanan Johor DT, Mahalli Jasuli menjaringkan gol ketiga pasukan tuan rumah sebelum Diaz melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti pada minit ke-53.

Terengganu kembali merapatkan jurang apabila Vincent Bikana menjaringkan gol ketiga buat pasukan pelawat tetapi keputusan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Selangor gagal mempertahankan status pendahulu Liga Super selepas tewas 0-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam.

Penyerang import sensasi The Gladiators, Juan Manuel Arostegui menjadi wira kepada skuad kendalian B. Sathianathan apabila meledak dua gol tersebut.
Bekas pemain Selangor MPPJ itu memastikan ATM berada di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-28.

Arostegui memastikan tiga mata menjadi miliki The Gladiators apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-64.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan ATM berjaya keluar daripada zon penyingkiran Liga Super apabila menduduki tangga kesembilan dengan kelebihan 19 mata.
Bagaimanapun, Perak dan T-Team yang berkongsi 19 mata serta Selangor PKNS (14 mata) masih memiliki baki satu perlawanan yang mana ketiga-tiga pasukan itu akan beraksi pada malam ini. Kosmo

Thursday 12 June 2014

Segera siasat kes rasuah 2 pegawai tertinggi polis

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menyegerakan siasatan ke atas dua kes salah laku rasuah didakwa melibatkan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi Badan Pemantau Jenayah (MyWatch), R Sri Sanjeevan mendakwa sehingga kini, dua pegawai berjawatan tinggi itu masih bertugas seperti biasa sedangkan kertas siasatan ke atas mereka telah dibuka sejak lebih dua minggu lalu.

"Sehingga kini SPRM tidak menghubungi saya tentang perkembangan siasatan itu walaupun banyak bukti telah saya berikan kepada mereka.

"Saya harap SPRM segera bertindak dan memanggil dua pegawai polis berjawatan tinggi itu supaya memberi keterangan salah laku rasuah dan penyelewengan kuasa mereka," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Menurut Sanjeevan, kekayaan lelaki berusia 30-an itu menimbulkan tanda tanya kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

Antara aset lelaki itu yang diragui sumbernya ialah dua kereta mewah jenis Audi A5 dan Jaguar XF yang dibeli secara tunai, selain turut mempunyai enam akaun peribadi yang kesemuanya berjumlah melebihi RM500,000.

Selain itu, MyWatch juga mendakwa seorang pegawai kanan polis di sebuah pusat peranginan didakwa campur tangan dalam dua kes jenayah dengan bertujuan melindungi beberapa sindiket Cina.

Ini termasuklah menerima suapan sebanyak RM15,000 untuk melindungi pemilik sebuah pusat hiburan di sebuah pusat peranginan di negara ini.

Mengulas lanjut, Sanjeevan turut mempersoalkan sikap berdiam diri Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang masih membiarkan pegawai terbabit bertugas seperti biasa.

"Apa guna Unit Tatatertib di bawah urusetia KPN, Tan Sri Khalid kalau pegawai yang disiasat itu masih bertugas seperti biasa.

"Sepatutnya KPN kena memandang serius kes ini termasuk menggantung tugas atau memberi mereka cuti sehingga siasatan selesai," katanya. Sinar
Pada 22 Mei lalu, MyWatch mendakwa anak lelaki seorang pegawai kanan polis memiliki aset melebihi RM2 juta.

Jennifer Lopez atau J.Lo Buat Persembahan Piala Dunia

NEW YORK - Penyanyi seksi, Jennifer Lopez menyatakan dalam satu wawancara dengan agensi berita The As- sociated Press (AP), dia berlepas ke Brazil kelmarin untuk membuat persembahan pada majlis pembukaan pusingan akhir bola sepak Piala Dunia hari ini.

"Saya akan datang. Saya akan bertolak malam ini (kelmarin). Kami sememangnya akan pergi.
"Sebelum ini, saya rasa para peminat cemas ekoran jadual saya yang begitu sibuk dan saya pula seperti ragu-ragu sama ada akan dapat pergi ke upacara tersebut atau sebaliknya. Ketika itu adalah terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman," kata Lopez

"Namun, semestinya kami akan pergi," tambah penyanyi berusia 44 tahun dan antara yang paling cantik di dunia itu.

Komen tersebut sekali gus menyangkal pengumuman yang dibuat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini bahawa penyanyi kelahiran Amerika Syarikat itu tidak akan menyanyikan lagu tema Piala Dunia 2014, We Are One (Ole Ola) bersama Pitbull dan Claudia Leitte.

Lopez yang turut dikenali sebagai J.Lo berkata, lagu tema Piala Dunia itu digubah oleh Pitbull yang mengundangnya untuk sama-sama menyanyikan lagu tersebut.

"Saya tidak boleh menerima pujian untuk lagu ini. Ia merupakan karya Pitbull," kata Lopez.
Dia sebelum ini pernah berkolaborasi dengan bintang rap tersebut untuk dua lagu popularnya iaitu On the Floor dan Dance Again.

Lopez bakal mempromosikan album baharunya berjudul A.K.A yang akan mula dipasarkan pada minggu depan. - AP

Tuesday 10 June 2014

Isteri Cilik Maut Pada Malam Pertama

Gambar Rawan ketika di majlis perkahwinannya.

YEMEN .Seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun di bandar Meedi, wilayah Hajjah, barat laut Yaman meninggal dunia pada malam pertama perkahwinannya dengan lelaki berumur 40 tahun, pada minggu lalu.

Ketua Dewan Rakyat Yaman dan aktivis hak asasi manusia, Arwa Othman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Rawan mengalami pendarahan dalaman yang teruk dan rahimnya turut pecah selepas melakukan persetubuhan pertama dengan suaminya.

"Mereka membawanya ke klinik tetapi doktor gagal menyelamatkannya.

"Pihak berkuasa juga belum mengambil sebarang tindakan terhadap keluarga pengantin cilik  itu mahupun suaminya. Pemimpin puak juga dikatakan cuba untuk menutup kes tersebut selepas ia tersebar secara meluas," jelasnya lagi.

Menurut Al-Arabiya, difahamkan kebanyakan keluarga miskin di negara itu mengahwinkan anak perempuan mereka pada usia yang muda kerana ingin menjimatkan kos selain mahu mendapatkan wang hantaran bagi menyara hidup pada masa depan. Sinar

Sunday 8 June 2014

Jimmy Shanley, Mariam Selamat Bernikah

Jimmy Shanley sah bergelar suami kepada Mariam Jamilah Abdul Jalil dengan sekali lafaz, hari ini.

Pasangan ini dinikahkan dalam sebuah majlis tertutup di sebuah hotel di Shah Alam yang dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Mariam yang berusia 27 tahun merupakan seorang ahli perniagaan.

Pernikahan ini merupakan kali kedua buat Jimmy selepas bercerai dengan Nursuhaila Eliani dan dikurniakan seorang anak perempuan, Zahrah Rania Shanley.

Dua Beradik Dicekup Khalwat

Sekadar Gambar Hiasan

PARIT BUNTAR - Ketiadaan ibu bapa di rumah diambil kesempatan oleh dua beradik dengan membawa pulang teman lelaki untuk melakukan maksiat.

Perbuatan tidak bermoral remaja yang masih bersekolah itu bagaimanapun berjaya dihidu pihak berkuasa dan mereka ditahan bersama pasangan masing-masing ketika serbuan pencegahan maksiat di sebuah rumah di Taman Kerian Permai, awal pagi 2 Jun lalu.

Setiausaha Pertubuhan Sukarela Keselamatan dan Kebajikan Kerian (PSKKK), Abdul Sukur Ahmad berkata, serbuan pada kira-kira jam 2.20 pagi itu dilakukan oleh 20 anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kerian (PADK) dengan kerjasama PSKK) dan polis setelah menerima aduan daripada orang awam.

Difahamkan, kedua-dua remaja perempuan itu berusia 15 dan 17 tahun dan mereka masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Parit Buntar.

"Dua remaja perempuan terbabit hanya membuka pintu selepas kira-kira setengah jam anggota penguat kuasa PADK meminta mereka berbuat demikian.

"Hasil pemeriksaan kami, terdapat dua lelaki berusia lingkungan 18 dan 20 tahun yang tidak mempunyai hubungan mahram dengan kedua adik-beradik terbabit ditemui dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Sukur berkata, keempat-empat pasangan remaja ditahan itu dibawa ke Balai Polis Parit Buntar dan kemudiannya dihantar ke Pejabat Agama Daerah Kerian untuk tindakan susulan.

Beliau berkata, golongan remaja diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perlakuan tidak bermoral manakala ibu bapa diminta sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka.

“Paling penting, kami minta kerjasama orang ramai untuk turut serta membanteras gejala sosial dan maksiat terutama menjelang Ramadan yang semakin hampir.

“Sebarang aduan melibatkan gejala sosial boleh disalurkan terus kepada anggota penguat kuasa PADK atau menghubungi pihak kami untuk tindakan sewajarnya,” katanya. Sinar

Saturday 7 June 2014

Claudia Ochoa Felix Menjadi Ketua Baharu Skuad Pembunuh Elit

LOS ANGELES - Seorang wanita mirip selebriti Hollywood Kim Kadarshian didakwa menjadi ketua baharu skuad pembunuh elit yang digunakan oleh kartel dadah paling berbahaya di Mexico, lapor akhbar MailOnline semalam.

Wanita berkenaan, Claudia Ochoa Felix atau digelar Maharani Antrax turut memiliki sepucuk raifal AK-47 berwarna merah jambu.

Dia dipercayai menjadi ketua skuad pembunuh Los Antrax yang digunakan oleh kartel dadah Sinaloa untuk melakukan pembunuhan dan serangan balas dendam.

Wanita berusia 27 tahun itu menggunakan media sosial untuk menceritakan tentang gaya hidupnya.
Felix turut memuat naik gambarnya memegang senjata, berdamping dengan seekor harimau bintang dan memakai pakaian ketat termasuk pakaian renang.

Gambar-gambar itu turut memperlihatkan imej anak-anaknya.
Terdapat juga gambar yang menunjukkan seorang anak perempuan yang berbaring di katil dengan dikelilingi ratusan wang kertas.

Dalam pada itu, beberapa sumber perisikan Amerika Syarikat (AS) menamakan kartel Sinaloa sebagai organisasi pengedaran dadah paling berkuasa di dunia.
Kartel dadah itu dipercayai terlibat dalam sebahagian besar heroin yang diseludup masuk ke AS. - Agensi

Friday 6 June 2014

Wanita Warga Asing Tawar Khidmat Seks Ditahan

Sekadar Gambar Hiasan
GEORGETOWN - Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan enam wanita rakyat asing dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam serbuan di hotel bajet sekitar Jalan Penang dan Lebuh Chulia, awal hari ini.
  
Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri Basri Othman berkata mereka yang ditahan dalam operasi pada 2 pagi itu ialah dua warga Laos, dua Indonesia, seorang Vietnam dan seorang Nigeria berumur antara 20-an dan 30-an.
  
"Lima daripada mereka menggunakan pas lawatan sosial manakala seorang lagi warga Nigeria masuk ke negara ini dengan pas pelajar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
  
Hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu mendapati wanita berkenaan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan mereka dengan kadar bayaran serendah RM120 hingga RM150.
  
Beliau berkata, warga asing itu dihantar ke Depo Tahanan Imigresen, Juru untuk siasatan mengikut Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas masuk ke negara ini. - Bernama

Thursday 5 June 2014

Lelaki humban bayi dalam gaung

Seorang lelaki bertindak kejam menghumban bayi berusia enam bulan, anak kepada seorang pekerjanya ke dalam gaung di kilometer 3.2 Jalan Genting Highlands.

Mayat bayi berkenaan dibungkus di dalam plastik dan disumbat ke dalam beg pakaian, sebelum dihumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 70 meter itu oleh suspek yang difahamkan bimbang bayi hasil hubungan sulit pekerjanya itu diketahui orang lain.

Bagaimanapun perbuatan lelaki itu yang merupakan seorang ejen pembantu rumah terbongkar setelah ibu bayi berkenaan yang berusia 33 tahun membuat laporan di Balai Polis Kota Kemuning.

Menurut sumber, penemuan mayat bayi kira-kira jam 11 pagi itu selepas seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai sebagai suspek, ditangkap.

Kata sumber tersebut, lelaki itu mendakwa, bayi berkenaan dipercayai anak kepada salah seorang pembantu rumahnya dan berdasarkan keterangan suspek, bayi itu mati di sebuah asrama pekerjanya di Kota Kemuning, di sini, Sabtu lalu.

Difahamkan pembantu rumah berkenaan dipercayai mengandung akibat dirogol oleh salah seorang bekas majikannya tahun lalu.

“Suspek bersama isterinya lari sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel di Cheras selepas kejadian itu.

Suspek bersama isterinya kemudian berjaya ditahan, di sini, kelmarin.

"Suspek direman sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan," kata sumber.

Sementara itu,  pasukan forensik terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mayat bayi tersebut ekoran kedudukan lokasi gaung yang curam dan cuaca lembab. Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, difahamkan pembantu rumah berkenaan ketika disoal siasat mendakwa dia dan rakan-rakannya dipaksa bekerja tanpa permit dan tidak pernah  dibayar gaji.

“Bertindak atas maklumat, Isnin lalu pasukan polis berjaya menyelamatkan enam pekerja asing. Ejen itu juga dipercayai menawarkan perkhidmatan pembantu  rumah jangka  pendek.

“Pekerjanya  juga dipercayai telah dieksploitasi secara seksual oleh majikan dan ejen itu. Siasatan awal mendapati tiga rumah yang dipercayai digunakan untuk mengurung semua pekerja itu,” kata sumber itu lagi.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah memberitahu kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sinar

Al-Sisi menang besar sebagai Presiden Mesir

KAHERAH - Bekas Panglima Angkatan Tentera Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi  memenangi pilihan raya Presiden negara itu dengan meraih 96.9 peratus undi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya kelmarin.

Pilihan raya itu berlangsung pada minggu lalu iaitu hampir setahun selepas beliau mengetuai rampasan kuasa ke atas Mohamed Morsi.

Proses pengundian telah dilanjutkan tiga hari ekoran terdapat kebimbangan jumlah yang keluar mengundi dijangka rendah selain terdapat tindakan memboikot oleh kumpulan- kumpulan Islam.
Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Anwar Ra- shad al-Asi semasa meng- umumkan keputusan itu berkata, sebanyak 47.45 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih Presiden baharu.
Anwar menyatakan, Al- Sisi memperoleh undi sebanyak 23.78 juta undi.

Dalam pada itu, pencabar tunggal Al-Sisi, Hamdeen Sabbahi hanya mendapat tiga peratus undi.
Di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Al-Sisi.

Namun pada masa sama, Obama menggesa beliau (Al-Sisi) supaya melaksanakan pembaharuan dalam isu- isu hak kemanusiaan.
"Obama akan menghubungi bekas ketua tentera itu dalam beberapa hari lagi," menurut White House dalam satu kenyataan.

"Washington menaruh harapan untuk menjalin hubungan baik dengan Al-Sisi bagi membentuk kerjasama strategik," tambah kenyataan itu.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang menentang Morsi dalam reaksinya selepas keputusan itu meminta para penderma supaya membantu Mesir.
Mesir dalam pada itu menjemput Presiden Iran, Hassan Rouhani untuk hadir menghadiri majlis perasmian pelantikan Al-Sisi. - Agensi

Tuesday 3 June 2014

Permohonan pengesahan lafaz cerai Abby ditangguh

MAHKAMAH Rendah Syariah Gombak Timur menangguhkan permohonan lafaz cerai melalui khidmat pesanan ringkas (S-M-S) yang difailkan pelakon dan penyanyi, Abby Abadi.

Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, suaminya melafazkan cerai itu pada  kira-kira jam 10.15 pagi, 9 Mei lalu.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin menangguhkan pengesahan lafaz cerai itu selepas Abby memaklumkan terdapat satu lagi lafaz yang dibuat suaminya,  Mohd Nor Farhan Che Bakar, sebelum ini.

Abby memberitahu, pada Januari lalu, Farhan pernah memberitahu seorang rakan bahawa mereka telah bercerai.

Kes akan didengar semula pada 11 Jun depan.

Biri-biri bergaya dengan jersi skuad bola sepak Piala Dunia.

Colombia – Sejumlah biri-biri dipakaikan jersi beberapa pasukan yang akan menyertai Pusingan Akhir Bola Sepak Piala Dunia di Brazil di sini kelmarin.

Biri-biri dipakaikan jersi skuad Jerman, Brazil, Colombia dan Sepanyol.
Haiwan-haiwan tersebut dipakaikan jersi dan seluar pasukan-pasukan tersebut.

Biri-biri itu memakai pakaian itu sempena satu pameran yang diadakan sebelum Pusingan Akhir Bola Sepak Piala Dunia bermula di Brazil pada 12 Jun hingga 13 Julai depan. – Agensi

Monday 2 June 2014

Erma Fatima Restu Suaminya Berkahwin Lain

RAMAI yang menantikan reaksi penerbit drama, Erma Fatima apabila mendengar khabar suaminya berkahwin lain di negara jiran.

Dalam kenyataan kepada Pancaindera, Erma Fatima menjelaskan yang dia tahu akan perkahwinan yang berlangsung dan merestui hubungan baru suaminya itu selain tidak mahu menghalang kebahagiaan insan tersayang.

“Saya restu dan saya izinkan. Saya tidak boleh menghalang orang yang saya sayang untuk mendapatkan kebahagiaan itu. Kasih sayang itu ‘kan soal hati, tiada kuasa pada manusia untuk menghalangnya. Setiap manusia berhak mendapatkan kebahagiaan sendiri”

“Selama perkahwinan kami, Bade merupakan seorang lelaki yang baik, juga seorang ayah yang bertanggungjawab kepada anak-anak. Malah saya cukup bersyukur untuk mengetahui siapa saya sekarang adalah kerana dia”

“Saya minta jangan sensasikan lagi kisah perkahwinan Bade ini. Jujur saya katakan Bade berhak dan mampu untuk berkahwin lagi. Jadi saya minta semua orang di luar sana mendoakan kebahagiaan dia dan isterinya itu,” jelas Erma Fatima.

Bade telah bernikah beberapa bulan lalu dengan Aida Abdul di negara jiran.

Majlis persandingan telah diadakan di Cherating, Pahang pada 27 Mei lalu dan dihadiri oleh rakan artis seperti Datuk Rosyam Noor.

Tiga Lelaki Mengaku Perkosa Dua Gadis Kampung

Nyalaan lilin bagi memperingati 2 mangsa rogol

LUCKNOW - Tiga lelaki mengaku memperkosa dan membunuh dua remaja wanita yang ditemui tergantung pada sebatang pokok di India, kata polis semalam.

Seorang pegawai polis, Atul Saxena berkata, pihak berkuasa masih memburu dua suspek lain berhubung serangan itu yang berlaku pada minggu lalu di negeri Uttar Pradesh.

"Mangsa merupakan pasangan sepupu yang masing-masing berusia 14 dan 15 tahun," katanya.
Dua remaja itu yang berasal daripada keluarga miskin tanpa tandas hilang malam Selasa lalu apabila mereka pergi ke sawah untuk membuang air.

Kejadian itu berlaku di kampung Karta yang terletak sekitar 300 kilometer dari ibu negeri Uttar Pradesh, Lucknow.

Selepas mereka ditemui tergantung pada sebuah pokok mangga keesokan harinya, beratus-ratus penduduk kampung berhimpun di sekitar pokok tersebut.
Mereka mahu polis terdahulu menahan penyerang dua gadis itu sebelum bertindak menurunkan mayat-mayat mangsa.

Polis menangkap dua suspek pada hari yang sama dan suspek ketiga kelmarin.
"Apabila disoal siasat mereka mengaku menyerang kedua-dua remaja perempuan tersebut," jelas Atul.
Suspek-suspek berkenaan yang merupakan sepupu daripada sebuah keluarga besar berdepan dakwaan merogol dan membunuh.

Mereka boleh dihukum mati jika didapati bersalah.
Menurut Atul, polis sedang menyediakan lakaran dua suspek lain berdasarkan keterangan ketiga-tiga lelaki tersebut.

Pihak berkuasa turut menangkap dua anggota polis dan menggantung kerja dua yang lain kerana gagal melakukan siasatan selepas bapa salah seorang mangsa mengadu tentang kehilangan mereka malam Selasa lalu.

Dalam pada itu pihak berkuasa persekutuan akan mengambil alih kes tersebut pada minggu ini. - AP

16 Hilang Helikopter Terhempas

Sejumlah 16 orang hilang selepas sebuah helikopter yang dipercayai membawa beberapa orang jeneral dan ahli perniagaan terhempas ke dalam sebuah tasik di barat daya Rusia, kata pihak berkuasa semalam.

Menurut maklumat awal, helikopter Mi-8 itu membawa 18 orang termasuk lima kru apabila ia terhempas di Tasik Munozero, pedalaman Murmansk kelmarin.

Terdahulu, seorang jurucakap polis tempatan memberitahu agensi berita AFP bahawa helikopter itu membawa seramai 19 orang.
"Pesawat itu berada di dalam air," kata jurucakap kementerian hal ehwal kecemasan Rusia, Tatyana Zakharova.

"Pasukan penyelam telah dikerahkan untuk membantu dalam operasi menyelamat," tambahnya.
Helikopter tersebut dimiliki oleh firma pembuatan komponen baja, Apatit manakala pengarah syarikat, Alexei Grigoryev dan timbalannya, Konstantin Nikitin dipercayai berada dalam penerbangan itu.

"Mereka dianggap masih hidup selagi mayat mangsa belum ditemui," kata jurucakap Apatit, Olga Kryuchek.
Selain mereka, helikopter tersebut turut membawa beberapa pegawai tinggi termasuk gabenor Murmansk.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menyatakan, kemalangan udara tersebut dipercayai berpunca daripada kerosa- kan helikopter dan cuaca buruk pada hari kejadian. - AFP

Sunday 1 June 2014

2 Beradik Dirogol sebelum Digantung

INDIA. Polis menahan tiga suspek dua daripadanya adalah anggota polis selepas disyaki merogol dan membunuh dua beradik di Katra, utara India.

Pegawai polis Atul Saxena berkata, penduduk menemui mayat kedua-dua mangsa tergantung di pokok beberapa jam selepas mangsa dilaporkan hilang dari kawasan semak berdekatan rumah mereka.

“Mangsa berusia 14 dan 15 tahun itu pergi ke kawasan semak kerana tiada tandas di rumah,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan autopsi ke atas mayat mengesahkan mangsa dirogol sebelum digantung.

Insiden itu mencetuskan kemarahan penduduk apabila tidak membenarkan mayat diturunkan sehingga suspek ditahan. -Daily Mail

Felda United Malukan Kelantan

IMPIAN Kelantan untuk melakarkan sejarah baharu menjadi pasukan pertama menjuarai kempen Piala FA buat kali ketiga berturut-turut tidak kesampaian selepas terikat 2-2 dengan Felda United pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.

Keputusan seri itu sudah memadai buat skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim untuk melangkah ke pentas final berdasarkan jaringan di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 5-5.
Dalam aksi malam tadi, Kelantan terlebih dahulu melancarkan beberapa percubaan tepat ke gawang pintu gol Felda.

Namun, dua percubaan tepat yang dilancarkan Khairul Izuan Rosli dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria gagal membolosi gawang Felda yang dikawal Farizal Harun pada minit pertama dan ketiga.
Bagaimanapun, serangan bertali arus itu tidak menjejaskan semangat skuad The Settlers apabila bekas tonggak skuad The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah apabila meledakkan gol pertama pada minit ke-20.

Kelebihan anak-anak Irfan Bakti hanya bertahan selama lapan minit apabila Khairul Izuan menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang yang gagal didakap kemas Farizal.

Kerancakan perlawanan semakin dirasai apabila penyerang import Kelantan, Francis Forkey Doe meletakkan skuad bimbingan George Boateng di depan pada minit ke-34.
Tersentak dengan jaringan itu, Felda kembali mengatur gerak dan hasilnya, Edward Junior Wilson meletakkan skuad The Settlers di landasan tepat ke pentas final.

Penyerang kelahiran Liberia itu melepaskan satu rembatan yang cukup menarik, sekali gus menewaskan penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat pada masa kecederaan babak pertama.
Pada separuh masa kedua, skuad The Red Warriors menggandakan usaha untuk merobek gawang skuad The Settlers tetapi Farizal berjaya menyelamatkan beberapa percubaan tepat yang dilancarkan Kelantan, sekali gus keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan itu menyaksikan Felda United muncul sebagai pasukan berstatus kelab kedua yang layak ke pentas final selepas Sime Darby layak ke final sebelum tewas 0-1 kepada Kelantan pada tahun 2011.
Skuad The Settlers membuat penampilan sulung dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2007.

Mereka menduduki tempat ketiga dan berjaya menjuarai Liga Premier 2010.
Felda United bakal berentap dengan Pahang yang menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 2-1 secara agregat pada aksi final Piala FA 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini. Kosmo

Klik Untuk Saya k... :)

free counters