Jom Buat Duit

Monday 30 April 2012

Mania pentas uji diri


KEPUTUSAN tiga orang bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Hafiz, Stacy dan Aril untuk melibatkan diri dalam program realiti Mania merupakan satu risiko besar yang diambil oleh setiap penyanyi yang menyertai program tersebut.

Kualiti serta populariti mereka menjadi kayu pengukur untuk mereka kekal bertahan selama yang mungkin dalam program yang bersiaran setiap hari Sabtu di Astro Ria.
Ketiga-tiga Hafiz, Stacy dan Aril memiliki sebab tersendiri di sebalik penyertaan mereka dalam Mania.
Medan baiki diri

Meraih gelaran juara Anugerah Juara Lagu ke-26 serta penyanyi popular menerusi Anugerah Bintang Popular 2011, nyata bukan satu halangan buat Hafiz untuk masuk bertanding dalam Mania.
Kata pemilik nama Mohd. Hafiz Mohd. Suip itu, Mania merupakan medan untuk memperbaiki diri bagi menjadi penyanyi yang lebih baik serta menonjolkan sisi lainnya yang belum pernah dilihat oleh peminatnya.
"Selain itu, ia juga medan untuk setiap penyanyi mengukur sejauh mana populariti kerana program itu menuntut undian daripada penonton untuk mengekalkan posisi penyanyi kegemaran mereka."
"Saya masuk program Mania untuk memperbaiki diri serta mendekatkan diri dengan peminat kerena setiap minggu peminat boleh menyaksikan saya di kaca televisyen secara langsung. Sedikit sebanyak ada saatnya saya teringat kembali ketika menyertai program AF kerana ia sebuah program realiti.
"Cuma bezanya ketika di AF, saya dan semua peserta lain sangat naif mengenai industri hiburan tetapi dalam Mania semuanya telah mempunyai pengalaman. Pesaing pula semuanya penyanyi yang hebat, jadi saya perlu cabar diri untuk tingkatkan kualiti persembahan serta menjadi lebih kreatif untuk menarik perhatian penonton," ujarnya yang berada di bawah naungan empayar Ahmad Dhani.
Memilih penyanyi bersuara lantang Jaclyn Victor sebagai pesaing utama kerana kualiti vokalnya, ujar Hafiz dia langsung tidak tertekan sepanjang tujuh minggu dalam Mania meskipun harapan peminat terhadapnya cukup tinggi.
"Saya tidak melihat harapan peminat sebagai satu tekanan tetapi ia adalah cabaran untuk diri saya. Bukan selalu dapat bekerjasama dengan penerbit muzik seperti Ahmad Dhani, jadi saya gunakan peluang ini untuk mengutip ilmu sebanyak boleh daripadanya," tuturnya yang menyanyikan lagu Ombak Rindu bersama Maya Karin pada minggu ketujuh Mania yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Cipta lagu
Selepas album sulungnya Masih Jelas yang berada di pasaran pada tahun 2009, Hafiz tidak muncul dengan sebarang album sebaliknya dengan beberapa buah lagu single. Selepas tiga tahun, Hafiz kini dalam proses menyiapkan album terbaharunya.
Memberanikan diri mencipta lagu sendiri katanya, peminat pasti terkejut dengan pembaharuan yang ditampilkan untuk album yang diharap dapat berada di pasaran pada penghujung tahun ini.
"Lima lagu sudah dirakam, sekarang saya sedang menunggu beberapa buah lagu lagi. Menariknya dalam album terbaharu ini lagu ciptaan saya dan sepupu, Idzam, serta lirik oleh saya sepenuhnya yang berjudul Mungkinkah turut dimuatkan dalam album itu.

Gadis tomboi disyaki turut diperkosa

KOTA BHARU - Siasatan polis berhubung kes kematian seorang gadis tomboi, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi (gambar) yang mayatnya ditemui dibakar bersama motosikalnya di kawasan ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang minggu lalu percaya mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dengan menyoal siasat sembilan suspek termasuk dua wanita yang ditahan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu.

Kesemua mereka merupakan rakan-rakan Nor Ain Shafnie, 16, dan kebanyakan mereka adalah penagih dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan.
"Polis mengesyaki gadis berkenaan telah dirogol sebelum dibunuh dan dibakar. Siasatan masih berjalan dan kita tidak boleh dedahkan semuanya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Siti Khadijah dan Buluh Kubu di sini semalam.

Sunday 29 April 2012

Pembunuh ibu, anak bakal didakwa hari ini


LAS VEGAS: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam serangan ganas menyebabkan seorang wanita dan anak perempuannya mati, manakala suami mangsa kritikal.
Menurut polis, Bryan Clay, 22, ditangkap atas kesalahan mendera kanak-kanak dan dijangka didakwa secara rasmi atas tuduhan membunuh hari ini.

Clay dituduh membunuh Ignacia Martinez, 38, dan anaknya, Karla Martinez, 10.
Pembunuhan itu diketahui polis pada 16 April lalu apabila anak lelaki Ignacia yang berusia sembilan tahun bercerita mengenai kematian ibunya di sekolah.

Suami Ignacia, Arturo Martinez, 39, masih dirawat di hospital sehingga kini.

Polis percaya, Clay turut terbabit dalam serangan seksual ke atas seorang wanita berusia 50 tahun pada 15 April lalu. - AP

Saturday 28 April 2012

KFC diarah bayar RM25j kepada gadis lumpuh


SYDNEY, Australia - Rangkaian makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) diperintah oleh sebuah mahkamah Australia supaya membayar ganti rugi sebanyak AS$8.3 juta (RM25.26 juta) kepada keluarga seorang gadis yang lumpuh kerana kerosakan otak selepas dia memakan hidangan KFC yang tercemar.
Ketika kejadian itu berlaku pada tahun 2005, gadis tersebut, Monika Samaan berusia tujuh tahun.

Samaan, ibu bapa dan saudara lelakinya terpaksa dirawat di sebuah hospital kerana keracunan bakteria salmonella selepas mereka memakan hidangan Twister ayam di sebuah restoran KFC dekat sini.

KFC yang dimiliki oleh Yum! Brands dalam satu kenyataan menyifatkan kes itu sebagai tragis tetapi ia kecewa dan terkejut dengan keputusan itu.

Kenyataan yang sama menyatakan KFC akan membuat rayuan berhubung keputusan berkenaan.
Pada minggu lalu, seorang hakim Mahkamah Agung New South Wales memihak kepada keluarga Samaan dengan menyatakan, KFC telah melanggar tanggungjawab untuk menyediakan penjagaan kepadanya.
Hakim itu kemudian mengumumkan RM25.26 juta sebagai bayaran ganti rugi dan kos perbicaraan tersebut.
Media Australia memetik peguam gadis tersebut, George Vlahakis sebagai berkata, kos rawatan Samaan yang tinggi menyebabkan keluarganya ditimpa masalah kewangan.
"Pampasan itu amat di perlukan oleh mereka," kata Vlahakis. - Reuters

Ragam peminat Lady Gaga


SEJUMLAH peminat Lady Gaga duduk di luar Stadiun Olimpik, Seoul


SEOUL, Korea Selatan - Berpuluh-puluh ribu peminat membanjiri Stadium Olimpik di sini untuk menonton konsert penyanyi terkenal, Lady Gaga semalam.

Puluhan lelaki dan wanita muncul dengan pakaian pelik yang pernah dipakai penyanyi itu.
Lady Gaga terkenal sebagai penyanyi yang gemar menggayakan fesyen pelik dan luar biasa.
Sejumlah peminat lelaki turut memakai korset kulit dan sut hitam putih bersama kaca mata hitam manakala puluhan lagi mewarnakan muka mereka.

Seorang peminat wanita sanggup datang dari Jepun untuk menyaksikan konsert penyanyi lagu Poker Face itu.
Mereka turut menunggu di luar stadium dengan duduk dan menggayakan pakaian masing-masing sebelum konsert tersebut berlangsung.
Bagaimanapun, beberapa penganut Kristian yang dilihat berada di luar stadium itu berdoa bagi meminta supaya konsert tersebut dibatalkan.

Kumpulan penganut Kristian itu menganggap Lady Gaga mempromosikan homoseksual dan pornografi.
Lady Gaga dijangka mengadakan 110 konsert pada tahun ini ekoran kejayaan albumnya, Born This Way yang dijual sebanyak enam juta unit di seluruh dunia sejak Mei tahun lalu.
Pihak berkuasa Korea Selatan melarang remaja Korea Selatan bawah 18 tahun menonton konsert penyanyi berkenaan. - Agensi

Friday 27 April 2012

3 mayat bayi dalam alat pendingin


BERLIN: Pendakwa raya Jerman semalam berkata, mereka membuka kertas siasatan ekoran penemuan mengerikan tiga mayat bayi di sebuah blok apartmen dan garaj yang disewakan kepada seorang wanita berusia 40 tahun.
Pendakwa raya dan polis di bandar Giessen, di barat Jerman berkata, dua daripada mayat bayi itu ditemui Selasa lalu dalam alat pendingin di tingkat bawah blok apartmen ketika membersihkan flet yang disewakan kepada wanita itu. Mayat bayi ketiga ditemui kelmarin dalam satu lagi alat pendingin di garaj yang digunakan wanita terbabit.

“Pihak berkuasa berharap dapat menjelaskan punca kematian bayi malang berkenaan melalui bedah siasat,” kata polis dan pendakwa raya dalam kenyataan bersama. “Hanya dengan cara itu saja maklumat mengenai jantina, usia, waktu kematian dan punca kematian dapat diketahui,” kata kenyataan itu.
Jurucakap pejabat pendakwa raya tempatan memberitahu media, sehingga malam kelamrin, tiada waran tangkap dikeluarkan terhadap wanita berkenaan.

Jerman telah menyaksikan beberapa kes sama sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan yang paling mendapat perhatian adalah kes wanita di sempadan Poland yang dijel 15 tahun pada 2006 kerana membunuh lapan daripada bayi yang baru dilahirkannya dan menyembunyikan mayat bayi berkenaan dalam pasu bunga dan tangki ikan. - AFP

Perlimen Izin Bersetubuh Dengan Mayat Isteri


KAHERAH: Seseorang suami akan dibenarkan mengadakan hubungan seks dengan mayat isteri mereka - sehingga enam jam selepas kematian wanita berkenaan.
Undang-undang kontroversi itu adalah sebahagian daripada langkah baru diambil Parlimen Mesir.

Parlimen turut mencadangkan usia minimum untuk seseorang perempuan bernikah diturunkan kepada 14 tahun, selain mengekang hak wanita mendapat pendidikan serta pekerjaan.
Perubahan itu dibantah Majlis Wanita Kebangsaan (NCW) Mesir dan mereka giat menjalankan kempen bagi mengelak ia diluluskan.

Ketua NCW, Dr Mervat al-Talawi, berkata undang-undang itu merendahkan status wanita dan menjejaskan pembangunan negara. Dr Mervat turut menulis kepada Speaker Parlimen, Dr Saad al-Katatni, bagi menyatakan kebimbangannya. Wartawan akhbar al-Ahram, Amro Abdul Samea, melaporkan usul itu dibentangkan hasil “tafsiran terhadap hukum Islam.” Isu hubungan seks dengan mayat isteri timbul pada Mei tahun lalu apabila seorang ulama Maghribi, Zamzami Abdul Bari, berkata status perkahwinan seseorang kekal walaupun seorang daripada mereka meninggal dunia.

Zamzani berkata, seorang wanita juga berhak mengadakan hubungan seks dengan suaminya walaupun lelaki terbabit meninggal dunia.

Pandangan itu dilaporkan laman sesawang alarabiya.net baru-baru ini.

Usul di Parlimen Mesir itu dibentangkan melalui draf undang-undang digelar “Asmara Selamat Jalan.” Sementara itu, seorang personaliti televisyen Arab, Jaber al-Qarmouty, mengecam cadangan berkenaan.
“Ia tidak boleh diterima.

“Adakah ajaran Islam boleh menerima pandangan itu?” katanya. - DM

Spontan Shahrul tak menjadi


 

MINGGU lalu Super Spontan sudah memasuki episod keempat dan dua penyingkiran sudah dibuat. Zahid AF dari pasukan Angsa Ganas disingkirkan pada minggu ketiga diikuti juara Raja Lawak 6, Shahrul (Shiro) dari pasukan Beruang Comel pada minggu lalu.


Ujar Shahrul atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi berikutan penyingkiran minggu lalu: "Saya perlu lebih banyak belajar dan mungkin nasib tidak menyebelahi saya kali ini, ini permulaan bagi karier saya sebagai seorang pelawak."

Shahrul yang sepatutnya meninggalkan Super Spontan pada minggu kedua telah diserap kembali kerana tiada penyingkiran namun sekali lagi dia menjadi pilihan rakan-rakannya untuk disingkirkan pada minggu ini. Penyingkiran Shahrul diumumkan hos yang juga pengadil Super Spontan, Adibah Noor.
Selain Adibah, Super Spontan turut dihoskan oleh kumpulan Boboi dan Amir Raja Lawak.

Sumbangan
Super Spontan merupakan pertandingan permainan komedi secara improvisasi spontan berdasarkan situasi yang diberikan. Dua buah pasukan Angsa Ganas dan Beruang Comel yang setiap satu diwakili oleh tujuh orang ahli akan bertarung setiap minggu.

Berdasarkan persembahan mingguan, nasib setiap pasukan akan ditentukan melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton dan kumpulan yang mendapat markah terendah perlu menyingkirkan salah seorang ahli dan kumpulan yang menang akan memenangi RM5,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan setiap minggu.


SIMBOLIK penyingkiran. Shahrul diusung keluar dari pentas Super Spontan minggu lalu.
Menerusi kemenangan pasukan Angsa Ganas minggu lalu, sumbangan RM5,000 itu disalurkan kepada Bob Kuman yang kini sedang terlantar sakit di rumahnya di Kota Damansara.
Kata Bob ketika menerima sumbangan itu: "Jumlah ini dapat mengurangkan beban yang sedang saya alami, sesungguhnya tangan yang memberi lebih mulia daripada menerima."
Pada penghujung musim, hanya seorang juara Super Spontan akan dinobatkan sebagai pemenang dan bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 serta sebuah kereta Toyota Camry 2.0G.

Permainan
Terdapat lima segmen permainan pada minggu lalu iaitu Freeze (Beku), Skrip Rabak, Keluar Masuk, Pemandu Pelancong dan Demonstrasi.
Peserta harus melakukan sesuatu aksi dan kemudian berhenti beku untuk digantikan peserta lain. Peserta yang menggantikan tempat rakannya harus bermula dari posisi yang sama ditinggalkan peserta yang diganti menerusi permainan Freeze (Beku).

Permainan kedua iaitu Skrip Rabak menampilkan Pelakon TV Lelaki Popular, Fizz Fairuz sebagai artis jemputan. Menerusi segmen ini dua peserta akan diberikan satu situasi dan mereka harus berinteraksi dengan Fizz Fairuz yang akan membacakan skrip yang tertera di atas kertas yang diberikan.
Permainan ketiga dinamakan Keluar Masuk, empat peserta akan diberikan perkataan yang mewakili diri mereka, seterusnya mereka akan diberikan satu situasi dan apabila perkataan yang diwakili mereka disebut, mereka harus keluar atau masuk kembali ke dalam gelanggang.


ZIZAN dan Nana mewakili Angsa Ganas beraksi dalam pusingan demonstrasi.
Permainan keempat pula Pemandu Pelancong, seorang peserta dari setiap kumpulan akan ditutup matanya dan di belakangnya akan ditayangkan gambar mengenai sebuah lokasi atau tempat. Berdasarkan klu daripada rakan-rakan sepasukan yang akan bertanyakan soalan mengenai lokasi itu, peserta itu harus meneka lokasi yang terdapat di belakangnya.

Permainan terakhir yang dibawakan daripada minggu pertama iaitu Demonstrasi, seorang peserta akan diikat tangannya dan peserta lain akan bertindak menjadi tangan kepada peserta tersebut untuk melakukan sesuatu.

Walaupun empat daripada lima segmen permainan minggu lalu dimenangi oleh pasukan Angsa Ganas namun keputusan akhir masih memihak kepada pasukan Beruang Comel dengan pungutan markah 49 peratus berbalas 52 peratus.

Hadiah kemenangan Beruang Comel sebanyak RM5,000 minggu lalu disalurkan kepada Pertubuhan Anak-anak Yatim/Miskin Klang (Peyakin).
Super Spontan menemui peminat secara langsung bermula 30 Mac lalu dari Studio Finas, Hulu Kelang, turut disiarkan menerusi tiga saluran serentak iaitu Astro Warna (132), Ria (104) dan SingTel Mio TV di Singapura, setiap hari Jumaat pada pukul 10 malam.- KHAIRUL AMRI HASSAN

Buah cinta sulung Nabil, Nazirah


"GEMBIRA sangat. Lebih gembira daripada dapat motosikal baharu!," luah Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 29, bila ditanya mengenai perasaannya bakal bergelar bapa.

Celah isterinya, Nazirah Ayub atau Zira, 24, pula: "Sebelum ini memang saya jatuh nombor dua jika dibandingkan dengan motosikal baharunya.
"Dia memang sangat teruja bila dapat tahu saya mengandung. Bayangkan bila beritahu dia saya mengandung, dia terus ajak saya beli kereta sorong bayi. Malah, setiap kali tengok Internet dia mesti tengok gambar-gambar bayi".

Nabil bagaimanapun tidak mahu terlalu ghairah, sebaliknya berharap agar anaknya berada dalam keadaan sihat dan selamat sehingga dilahirkan kelak.
Melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah kedua-dua pasangan itu, ternyata mereka begitu gembira dan teruja menerima kehadiran orang baharu dalam hidup selepas selama sebulan berusaha untuk mendapatkan anak.

Sememangnya Nabil dan Zira sudah merancang untuk memiliki anak dalam tempoh terdekat selepas enam bulan mendirikan rumah tangga.

Nabil mengakui sanggup bertemu dengan Ustaz Don untuk mendapatkan petua memiliki anak memandangkan Ustaz yang popular menerusi rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don di TV AlHijrah itu hadir di stesen radio Suria FM sebagai penyampai jemputan.

Nabil yang juga merupakan penyampai radio untuk segmen Ceria Pagi bersama Halim Othman dan Kenchana Devi di Suria FM itu turut berusaha mencari petua mendapatkan anak melalui blog dan laman sesawang.

Akhirnya, Nabil dan isteri mengamalkan satu petua iaitu minum susu kambing dan buah kurma setiap hari. Kuasa Tuhan, selepas mengamalkan petua tersebut selama sebulan akhirnya Zira disahkan mengandung.
"Saya dapat tahu mengenai satu petua iaitu minum susu kambing yang dikisar dengan buah kurma terpilih dari Mekah. Sebelum mengisar buah kurma tersebut, saya dan Zira akan genggam dan berselawat Nabi terlebih dahulu.

"Saya dan isteri amalkan minum susu kambing yang dicampur kurma itu setiap hari. Malah, disebabkan rasanya sedap kadang-kadang saya minum sampai dua hingga tiga kali sehari," ujarnya yang sanggup membeli 100 botol susu kambing kerana inginkan kesan yang mujarab.
Zira kini telah disahkan mengandung enam minggu dan doktor menjangkakan mereka bakal memperoleh anak sulung pada 18 Disember ini.

Tidak kisah jantina anak sama ada lelaki atau perempuan, kongsi Nabil, dia dan Zira mengetahui berita gembira itu selepas Zira berasa tidak sedap badan dan kitaran haidnya juga tidak teratur lalu memintanya membeli alat pengesahan kehamilan dan keputusannya positif.

"Selepas itu saya membawa Zira membuat pemeriksaan di sebuah klinik berdekatan empat hari lalu dan menurut doktor Zira telah hamil lebih lima minggu," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Bercerita mengenai persediaan menimang cahaya mata, menurut Zira, mereka belum membuat sebarang persiapan memandang kandungannya baru sahaja mencecah enam minggu.

Celah Nabil pula, memang pada mulanya dia tidak mahu mencanangkan berita tersebut terlebih dahulu kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Mula-mula fikir nak beritahu media selepas kandungan sudah mencecah tiga bulan tetapi disebabkan teruja, saya beritahu rakan-rakan terdekat. Selepas itu, ramai kawan ucap tahniah dekat Twitter dan perkara itu pun tersebar," jelasnya.

Bakal menikmati bulan madu buat pertama kalinya selepas berkahwin pada 9 hingga 13 Mei ini, ujar Nabil, dia akan meminta pandangan doktor terlebih dulu memandangkan kandungan isterinya itu masih tidak begitu kuat.

"Saya merancang untuk pergi berbulan madu sebelum Zira disahkan mengandung lagi. Memandangkan kini Zira sudah mengandung, perancangan berbulan madu akan diteruskan juga namun saya akan meminta nasihat doktor terlebih dahulu," ujarnya.

Ditanya mengenai lokasi bulan madu mereka, tutur Nabil, buat masa ini ada dua lokasi menjadi pilihan iaitu Phuket dan Krabi, Thailand tetapi ia belum diputuskan lagi.

Ditebak dengan soalan panggilan apa yang bakal digunakan oleh anak kepada mereka kelak, ujar Zira, dia teringin menggunakan panggilan 'ibu' dan 'ayah' tetapi Nabil lebih suka anaknya memanggilnya 'daddy' dan Zira pula 'mummy'.

Pasangan itu juga mengakui ingin menamakan anak mereka Rayyan atau Adam jika jantina anak mereka lelaki dan jika sebaliknya nama Aliya dan Sofea pula menjadi pilihan.

Misteri fosil berusia 450 juta



FINE (kanan) memperkatakan mengenai fosil misteri yang ditemuinya kepada beberapa pakar geologi di Perpustakaan Caster, Universiti Cincinnati, Cincinnati pada 20 April lalu.


DAYTON, Amerika Syarikat (AS) - Pakar-pakar di AS cuba untuk memastikan sama ada fosil seberat 68 kilogram yang ditemui di Kentucky pada tahun lalu sama ada seekor haiwan, tumbuhan atau galian.
Akhbar Dayton Daily News melaporkan, para saintis Persatuan Geologi Amerika mengadakan pertemuan pada Selasa lalu di sini untuk mengkaji fosil tersebut.
Fosil itu berusia 450 juta dan sepanjang lebih dua meter.
Ia ditemui oleh seorang ahli paleontologi amatur, Ron Fine.
Menurut akhbar The Cincinnati Enquirer, kawasan tempat fosil itu ditemui pernah dipenuhi air. - Agensi

Serpihan tahi bintang ditemui di California



WARD menunjukkan dua serpihan batu tahi bintang.


RENO, Amerika Syarikat (AS) - Dua batu kecil yang ditemui di kaki bukit Sierra, barat California merupakan serpihan daripada tahi bintang yang meletup pada minggu lalu, kata beberapa saintis semalam.

Letupan itu sekuat lima kiloton, satu pertiga lebih kuat daripada bom atom yang meletup di Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Kedua-dua batu itu ditemui oleh seorang pemburu tahi bintang, Robert Ward pada Selasa lalu.
Menurut pakar tahi bintang di Institut Geofizik dan Fizik Planet, Universiti California Los Angeles, Profesor John T. Wasson, berat setiap batu itu sekitar 10 gram.

Pakar-pakar berkata, saiz asal tahi bintang itu kemungkinan sebesar sebuah van kecil semasa ia memasuki atmosfera Bumi dengan mengeluarkan bunyi yang kuat pada awal Ahad lepas.
Pergerakan tahi bintang itu dapat dilihat di Sacramento, California sehingga ke Las Vegas dan sebahagian kawasan utara Nevada.

Menurut seorang pakar tahi bintang di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Marshall, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan, ia kemungkinan seberat 70,000 kilogram.
Beliau berkata, semasa tahi bintang itu berkecai, ia kemungkinan meletup dengan kekuatan lima kiloton. - Agensi

Petani kahwin dua wanita satu malam



ABDUL RAHMAN duduk diapit dua isterinya, Intidhar (kiri) dan Suad di Samarra kelmarin.


SAMARRA, Iraq - Seorang petani berusia 22 tahun, Abdul Rahman Nayef al-Obeidi jatuh cinta dengan dua wanita.

Namun, daripada memilih salah seorang gadis itu untuk dijadikan isteri, dia melangsungkan perkahwinan dengan mereka pada hari yang sama di sebuah kampung di tengah Iraq.
Majlis perkahwinan Abdul Rahman dan dua wanita yang merupakan sepupunya, Intidhar, 17, dan Suad, 22, berlangsung pada 6 April lalu.

Ia diadakan di rumah keluarga lelaki itu di kampung Al-Laqlaq, utara Tikrit.
Majlis itu dihadiri oleh keluarga kedua-dua pengantin wanita, saudara-mara dan rakan-rakannya yang terkejut dengan perkahwinan tersebut.

Abdul Rahman yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, dia memberitahu ibu bapanya tentang niat untuk berkahwin dengan dua sepupunya dalam satu malam.
Ibu bapa lelaki itu bersetuju walaupun kebanyakan saudara-maranya menentang idea berkenaan.
"Saya mengambil masa kurang sebulan untuk membuat keputusan muktamad kerana dua keluarga itu ialah saudara-mara saya dan saya menyintai dua gadis tersebut," katanya.

Langkah paling penting yang perlu dibuatnya adalah dengan berusaha memujuk dua wanita muda tersebut.
Intidhar berkata: "Abdul Rahman memberitahu, dia akan berkahwin dengan saya dan Suad dalam satu malam. Apakah yang anda mahu katakan?
"Saya memberitahunya, ia sesuatu yang baik jika anda melayan kami dengan adil."
Agama Islam membenarkan lelaki berkahwin dengan empat wanita namun mensyaratkan isteri-isteri perlu dilayan dengan adil.

Suad berkata, dia terkejut apabila Abdul Rahman memberitahunya tentang hasratnya itu.
Namun, katanya, Abdul Rahman memujuknya supaya dia bersetuju.
Abang sulung pengantin lelaki itu, Salman berperanan sebagai orang tengah dengan berunding dengan dua keluarga gadis itu.

Dia kemudian berjaya menjadikan impian adiknya itu sebagai satu realiti.
Bapa Abdul Rahman, Nayef Hamid berkata, dia berasa bangga terhadap anaknya itu.
Dia merupakan satu-satunya anak lelaki yang berkahwin dengan dua wanita serentak.
Ibu Abdul Rahman, Rasmiya Mohammed mempunyai pendapat yang sama seperti suaminya dan dia tidak mahu anaknya berasa sedih kerana menyintai dua gadis.

Idea Abdul Rahman berkahwin dua itu disokong ramai lelaki yang memberi komen dalam laman Facebook mengenai gambar mereka manakala kaum wanita menentangnya.
"Lelaki ini seorang hero. Tiada seorang pun yang pernah melakukannya sebelum ini dan namanya patut dimasukkan dalam Guinness World Records," komen Ali Bassi Abbar.

Namun, Sara Yasser memberikan komen dengan sinis.
"Kasihan lelaki itu, dia tidak mahu melukakan hati salah seorang daripada mereka. Dia seorang lelaki yang baik," katanya.

Seorang lagi wanita, Sara Saad mengkritik dua pengantin baharu wanita tersebut dengan menyatakan bahawa setiap wanita yang bersetuju dengan perkahwinan itu adalah seperti tidak mempunyai perasaan dan maruah. - AFP

Polis mati depan Istana Anak Bukit


ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat Konstabel yang bertugas di Istana Anak Bukit di sini semalam ditemui mati dipercayai ditembak rakan setugas di depan pintu gerbang istana itu menggunakan senjata automatik.

Dalam kejadian pukul 5.45 petang, mangsa Mohd. Sobri Mohd. Sidek, 22, terbunuh selepas terkena kira-kira empat das tembakan di anggota badan dan kepala.

Sobri yang menyertai polis pada tahun lalu berasal dari Melaka dan belum berkahwin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sebelum kejadian, mangsa dan suspek yang berpangkat Lans Koperal sama-sama bertugas mengawal pintu itu bermula pukul 3 petang dan dijadual berakhir pada pukul 7 petang.
“Pada pukul 5.45 petang, penyelia kedua-dua anggota polis itu terdengar bunyi seakan-akan mercun.
“Apabila penyelia itu keluar memeriksa di pintu pagar gerbang istana, penyelia itu menemui mangsa terbaring berlumuran darah di seluruh badan dengan beberapa kelongsong peluru bertaburan di kawasan itu,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Rogol: Pemuda dijel 25 tahun



KHAIRUL IVAN ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ampang Jaya, Ampang atas tuduhan merogol seorang gadis pada Mei 2011.


AMPANG JAYA – Seorang pemuda terpaksa merengkok di dalam penjara sehingga 25 tahun dan dihukum tujuh kali sebatan selepas Mahkamah Sesyen di sini semalam menyabitkan bekas jurujual itu bersalah merogol seorang pelajar berusia 15 tahun di dalam kenderaan Toyota Alphard pada tahun lalu.

Hakim Roszianayati Ahmad memutuskan hukuman itu terhadap Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 23, selepas berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah.
“Kesalahan dilakukan adalah kejam, kamu tunggu, tangkap dan rogol. Gadis-gadis muda perlu dilindungi daripada kamu. Oleh itu kamu perlu diasingkan daripada masyarakat untuk satu tempoh yang lama sebagai pengajaran,” katanya.

Malang berganda apabila mahkamah turut menolak permohonan peguam Rosnan Hassan yang mewakili Khairul Ivan supaya hukuman penjara ditangguhkan sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.
Sejurus selesai prosiding, ibu tertuduh menitiskan air mata sambil memeluk anaknya yang tidak menunjukkan reaksi sebaliknya hanya berdiam diri di dalam kandang pesalah dengan mulut berkumat-kamit membaca sesuatu.

Thursday 26 April 2012

Rumah pemotongan ayam

Penjaja air soya yang pengotor

Siang haprak malam bergaya


KUALA LUMPUR: Pada siang hari berpakaian koyak rabak dan berjalan seperti orang kelainan upaya (OKU) untuk meraih simpati orang ramai menghulurkan sedekah, namun pada sebelah malam berpakaian cantik serta boleh berjalan dengan baik tanpa sebarang kecacatan.
Itulah lagak beberapa lelaki warga China dipercayai sindiket pengemis warga asing yang bergiat aktif mengemis di sekitar ibu negara.

Bagaimanapun, kegiatan penipuan itu berjaya dihidu pihak berkuasa dan hasil aduan orang ramai yang berasa curiga dengan gelagat warga asing berkenaan, tiga daripada 'pengemis tipu' itu berjaya dicekup ketika sedang leka mengira 'hasil' mereka di sebuah premis di Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, di sini, Isnin lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) kira-kira jam 11.30 malam selepas intipan dan pemantauan selama seminggu terhadap pergerakan kumpulan pengemis warga asing terbabit.

Penolong Pengarah JIMWPKL, James Musa Singa, berkata maklumat mengenai kegiatan kumpulan pengemis warga asing itu diperoleh daripada orang awam yang mendapati kumpulan terbabit hanya berlakon menjadi orang gelandangan dan OKU ketika keluar mengemis, sedangkan ketika berada di kediaman mereka berpakaian elok serta tidak cacat.

“Ketika serbuan dijalankan di premis kediaman mereka, penjaga premis enggan membenarkan penguat kuasa Imigresen masuk dan kami terpaksa memohon bantuan polis barulah penjaga premis yang juga seorang wanita tempatan membuka pintu.


“Ketika pemeriksaan di premis terbabit dilakukan, terdapat tiga lelaki warga China berpakaian comot dan separuh bogel didapati sedang leka mengira wang syiling hasil mengemis sekitar kawasan Brickfields, seorang wanita tempatan dipercayai penjaga premis turut berada di situ, namun dia tidak ditahan tetapi diberi notis untuk hadir ke pejabat JIMWPKL untuk membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ketiga-tiga lelaki warga China termasuk seorang kudung tangan kiri yang berusia 31 hingga 71 tahun itu, didapati memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial, namun sudah tamat tempoh dan tinggal lebih masa.

Katanya, kumpulan pengemis berkenaan dipercayai didalangi individu tertentu atau sindiket yang bertanggungjawab membawa masuk 'pengemis tipu' itu bagi tujuan mengemis dan mendapatkan wang mudah hingga mencecah puluhan ribu sebulan.

“Jika benar warga asing berkenaan adalah pengemis, tidak mungkin mereka mampu datang ke Malaysia. Pihak Imigresen percaya kumpulan pengemis warga asing terbabit dibawa masuk ke negara ini oleh sindiket tertentu yang mungkin terdiri dari warga tempatan dan kumpulan ini beroperasi di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang,” katanya.

Gadis disergah harimau meninggal


KUALA KANGSAR: Seorang remaja perempuan yang berdepan detik ngeri apabila ‘disergah’ dua harimau ketika mengikuti ibunya menoreh getah pada 15 Januari lalu, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, petang kelmarin dipercayai akibat trauma melampau.
Mastura Kamaruddin, 16, sebelum ini dikatakan mengalami trauma berpanjangan sejak kejadian itu hingga dia gagal menghadiri sesi persekolahan.

Sejak insiden itu, arwah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggong Kati, Kati, di sini, dikatakan sering termenung, sukar tidur dan hilang selera makan.

Kedua-dua kakinya dijangkiti kuman akibat terpijak duri rotan ketika lari menyelamatkan diri daripada dikejar harimau berkenaan.

Arwah juga hanya bersekolah seminggu selepas kejadian itu sebelum terlantar sakit di rumah keluarganya di Kampung Chuar Hilir, di sini.

Dalam kejadian itu, arwah bersama ibunya, Rohani Osman, 50 terpaksa melalui pengalaman menakutkan apabila terserempak dengan dua harimau dewasa ketika menoreh getah berhampiran kawasan jirat Cina lama berdekatan Hutan Simpan Bintang Hijau, di sini.


Dua beranak itu terpaksa berjalan mengundur hampir dua kilometer selepas diekori dan cuba dibaham dua harimau dewasa berkenaan sebelum diselamatkan penduduk kampung dua jam kemudian selepas bersembunyi di atas pokok.

Rohani berkata, hampir 10 pakar perubatan tradisional dan Islam yang dirujuk mengatakan arwah anaknya berdepan gangguan makhluk halus atau terkena ‘badi’ harimau selepas kejadian itu.

Rohani yang ditemui semalam berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap dan trauma melampau dialami arwah sebelum ini menjadi petanda pemergiannya.

Beliau berkata, dia bersama suaminya, Kamaruddin Jene, 52, reda dengan apa yang berlaku biarpun dia sendiri masih ‘dibayangi’ wajah pak belang yang cuba membahamnya itu.

“Beberapa minggu sebelum kematiannya, arwah pernah berpesan kepada saya dan suami supaya tidak lagi keluar menoreh kerana bimbang menerima nasib sepertinya.

“Seminggu selepas kejadian ngeri itu, arwah menunjukkan perubahan sikap yang ketara selain banyak menyendiri dan kurang bercakap. Arwah mungkin terkena ‘badi’ pak belang itu selain dirinya yang mudah lemah semangat,” katanya.

Menurutnya, pada Februari lalu, tahap kesihatannya bertambah teruk sehingga terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, selepas menerima rawatan di dua hospital berkenaan, keadaan arwah tidak banyak berubah dan doktor mengesahkan darahnya dicemari kuman serta merebak ke bahagian pinggang ke bawah.

Rohani berkata, arwah terpaksa dikejarkan ke HRPB pada 13 April lalu selepas demam panas sebelum doktor mengesahkan kuman berkenaan merebak ke bahagian otaknya.

“Beberapa hari sebelum meninggal dunia, arwah langsung tidak boleh bercakap malah, doktor mengesahkan sebahagian tubuhnya dari pinggang ke bawah lumpuh,” katanya.

Jenazah Mastura dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chuar Hulu, di sini, semalam.

Video seks 2 ahli Parlimen dikaitkan cubaan peras ugut

JAKARTA: Timbalan speaker Dewan Perwakilan mengesyaki beredarnya pita video seks secara mendadak yang memaparkan dua anggota Parlimen daripada Partai Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) adalah hasil percubaan peras ugut.
“Saya dapat rasakan sesuatu yang mencurigakan mengenai publisiti secara mendadak video seumpamanya kerana saya mendengar mengenainya enam bulan lalu,” kata Pramono Agung kepada wartawan, semalam. Rakaman video seminit itu yang awalnya boleh dimuat naik di laman web kurang dikenali, kilikitik.net, memaparkan aksi dua anggota Parlimen PDI-P itu. Cerita mengenai foto dan video itu pada awalnya disiarkan di laman portal berita www.indonesiarayanews.com, yang mendakwa dua anggota Parlimen yang muncul dalam video itu ialah ahli politik Aria Bima dari Jawa Tengah dan Karolin Margret Natasa dari Kalimantan Barat. - Kompas.com

Foto bogel tersebar: Guru besar berdepan tindakan


JAKARTA: Seorang guru besar sekolah rendah di Flores, Nusa Tenggara Barat akan dihukum oleh pihak berkuasa tempatan selepas foto bogelnya beredar di kalangan masyarakat di situ.
Tiga foto bogel guru besar itu dihantar kepada penduduk bandar Ende melalui telefon bimbit awal minggu ini.

Gambar itu didakwa diambil oleh teman lelakinya yang kini bekerja sebagai guru di sekolah menengah di bandar itu.
“Berdasarkan undang-undang kerajaan, dia perlu dihukum kerana mencemari tanggungjawabnya sebagai penjawat awam iaitu untuk mempertahankan maruah di depan khalayak ramai,” kata Timbalan Pengerusi badan perkhidmatan awam wilayah itu, Abdul Syukur

Sami terpikat suara Siti



KUASA suara kadang kala boleh membuatkan kita jatuh hati pada seseorang. Pun begitu, rasa terpaut dialami Sami Yusuf terhadap Datuk Siti Nurhaliza bukanlah cinta yang menuntut perasaan, sebaliknya sekadar mengagumi kehebatan vokal biduanita itu yang diandaikan luar biasa.

Apabila pinangan untuk dijadikan pasangan duet dua bulan lalu diterima Siti, Sami berasakan ia satu penghormatan yang cukup besar. Apatah lagi, berita Siti seorang penghibur tersohor di Malaysia sudah lama diketahuinya.

“Jangan tanya saya judul lagu yang disampaikan sewaktu diperdengarkan kepada saya kerana saya tidak ingat (ketawa). Tetapi saya pasti Siti seorang penyanyi yang hebat selain pemilik vokal dinamik.

“Saya minat pada suara Siti sejak kali pertama mendengarnya pada 2005. Waktu itu, pertama kali saya mengunjungi Malaysia untuk mempromosikan album My Ummah dan sejak itu saya menyimpan hasrat untuk berduet dengannya.


“Daripada suaranya saja saya dapat membayangkan Siti mampu menghidupkan lagu ini sebaik mungkin. You Came To Me, sebuah lagu hasil nukilan saya sendiri dan dirakamkan menerusi tiga bahasa - Inggeris, Melayu dan Arab,” katanya.

Sami menambah, You Came To Me pernah dirakamkan secara solo dan ia dilancarkan beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan, penerimaan peminat sungguh luar biasa. Dalam beberapa hari saja, jumlah muat naik lagu itu melebihi 300,000.

Sabtu lalu, paduan suara kedua-dua figura handal itu bergema di Studio Harem milik penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman, sekali gus membayangkan kolaborasi itu bakal mencetuskan fenomena tersendiri di kalangan pendengar.

Menyingkap latar belakang Sami Yusuf, 32, namanya mungkin tidak sehangat Maher Zain, namun pencapaian muzik pemuda kelahiran United Kingdom ini sungguh luar biasa.

Dilabelkan majalah Time sebagai bintang rock Islam unggul serta dua kali muncul dalam senarai 500 Muslim paling berpengaruh pada 2009 dan 2010, populariti beliau juga pernah dibuktikan menerusi konsert di Istanbul, Turki pada 2007 dengan kehadiran suku juta penonton atau lebih 250,000 orang.

Selepas lima tahun menyepi, ekoran perselisihan dengan syarikat rakaman pada Oktober 2010, Yusuf melancarkan album ketiganya, Whereever You Are sebagai manifestasi genre yang digelarnya Spiritique.

Kini, beliau sedang merencanakan album keempatnya yang bakal memuatkan 18 lagu dan salah satu daripadanya adalah kolaborasi duet, You Came To Me. Semua lagu yang dimuatkan mempunyai pengertian dan cerita yang melangkaui kehidupan manusia.

“Untuk album kali ini, saya menyelitkan unsur muzik tradisional dari negara India, Arab, Cina dan kemungkinan juga Malaysia. Peralatan muzik tradisional digunakan sebagai instrumen utama dalam penciptaan lagu,” katanya.

Turut menyusul bersama album berkenaan, sebuah persembahan mega diberi nama ‘Konsert Salaam Sami Yusuf’ pada 14 Julai ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert anjuran Offshore Entertainment Productions itu adalah yang kedua buat Sami di negara ini, selepas tujuh tahun tidak mengunjungi Malaysia.

Menyedari muzik mampu menyatukan manusia, penghibur terkenal dengan lagu ketuhanan dan kerohanian itu tidak pernah lelah meneruskan dakwah dengan menyeru seluruh manusia tidak kira latar belakang dan agama memupuk rasa kasih dan sayang serta tanggungjawab kepada bumi.

2.27 juta pengundi baharu didaftar





KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Negara semalam diberitahu bahawa seramai 2,270,002 pengundi baharu didaftarkan dari 2008 hingga 2011 dengan kaum Melayu merupakan pemilih baharu tertinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, daripada jumlah itu, 155,420 pemilih didaftarkan pada 2008, 279,270 pemilih (2009), 826,462 pemilih (2010) dan 1,008,850 pemilih (2011).
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Ng Fook Heng yang meminta Perdana Menteri menyatakan pecahan pengundi baharu berdaftar mengikut kaum sejak 2008

Galaksi berbentuk topi penduduk Mexico

GAMBAR menunjukkan galaksi Sombrero yang dirakamkan teleskop angkasa lepas Spitzer. 

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Teleskop angkasa lepas Spitzer milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah merakamkan imej Galaksi Sombrero.
Gambar itu telah didedahkan NASA kelmarin.
Galaksi berkenaan dinamakan demikian kerana ia menyerupai topi Sombrero yang sering dipakai oleh penduduk Mexico.
Menurut NASA, Sombrero sebenarnya merupakan dua buah galaksi dan imej sebelum ini menunjukkan ia berbentuk rata seperti cakera. - Reuters

Saintis Jepun jumpa galaksi paling jauh

GAMBAR yang disiarkan Balai Cerap Astronomi Kebangsaan Jepun semalam menunjukkan sejumlah cahaya yang dirakamkan Teleskop Subaru di Hawaii. 

TOKYO - Beberapa ahli astronomi Jepun mengumumkan semalam bahawa mereka telah menemui satu gugusan galaksi sejauh 12.72 bilion tahun cahaya dari Bumi.
Mereka mendakwa gugusan galaksi itu adalah yang paling jauh pernah ditemui setakat ini.
Penemuan gugusan galaksi berkenaan yang dipercayai wujud hampir satu bilion tahun selepas kelahiran alam semesta dibuat dengan menggunakan sebuah teleskop berkuasa tinggi di Pulau Hawaii, Amerika Syarikat.
"Ia menunjukkan gugusan galaksi telah wujud pada peringkat awal kewujudan alam semesta, kurang satu bilion tahun daripada usia cakerawala yang kini mencecah 13.7 bilion tahun," kata kumpulan ahli astronomi itu dalam satu kenyataan media.

Muzikal Hoore! Hoore! untuk Sudirman



ALLAHYARHAM Sudirman Haji Arshad menjadi inspirasi pengarah filem muzikal Hoore! Hoore!, Saw Teong Hin untuk membikin filem muzikal tersebut.


PENGALAMAN pernah ditolak oleh beberapa orang penerbit, tidak menghalang semangat pengarah Saw Teong Hin untuk terus melaksanakan hasratnya mengarah sebuah filem berbentuk muzikal.
Walaupun sedar genre muzikal masih sukar untuk diterima oleh penonton Malaysia yang cukup kenyang dengan genre komedi dan seram, Saw Teong Hin tetap mengambil risiko.
“Saya mendapat inspirasi untuk mengarahkan filem ini apabila saya menonton filem High School Musical dan juga Mamma Mia!. Selepas menonton, tercetus dalam hati saya mengapa Malaysia tidak menghasilkan filem sedemikian.

“Kalau mahu diikutkan, kita mempunyai banyak lagu yang sedap dan kekal popular sehingga ke hari ini untuk digunakan dalam filem. Bertitik-tolak daripada itu, saya terpanggil untuk menghasilkan sebuah filem muzikal dengan mengangkat karya nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
“Sudirman seorang penghibur yang hebat, kreatif, berani dan berjiwa besar. Dia satu-satunya penghibur yang dikagumi semua kaum di negara ini. Saya juga peminatnya,” jelas pengarah filem Hoore! Hoore! itu panjang lebar mengenai projek filem muzikal sulungnya itu.

Sedar risiko besar yang dihadapinya terutama bajet yang tinggi diperlukan untuk membikin sebuah filem muzikal, pengarah yang pernah mengarah filem Puteri Gunung Ledang itu kekal optimis.
“Inspirasi sebenar datangnya daripada kata-kata Allahyarham iaitu kenapa kita harus meletakkan pagar mengelilingi kita. Maksudnya, kenapa kita perlu menyekat diri kita untuk melakukan perubahan.
“Saya tidak kisah kalau ada yang mendakwa pembikinan filem ini kerana mahu menumpang populariti Sudirman kerana saya menghasilkan filem ini sebagai penghargaan buat beliau.
“Karyanya disimpan sebagai sejarah negara yang perlu dipelihara dan dikenang oleh generasi muda lebih penting daripada kutipan pecah panggung. Tetapi kalau filem ini mendapat kutipan pecah panggung, ia satu bonus buat saya dan penerbit, Astro Shaw Sdn. Bhd.,” ucapnya.
Bukan itu sahaja, Saw Teong Hin juga mengambil risiko apabila mempertaruhkan bakat baharu sebagai peneraju utama filem Hoore! Hoore!.

Pelakon baharu, Farah Nazirah pertama kali bergelar pelakon selepas dia terpilih untuk membawakan watak Nurul Iman bergandingan dengan penyanyi Akim.
“Saya tidak sangka akan terpilih dalam uji bakat kerana saya pergi sekadar suka-suka. Sebenarnya saya suka menyanyi tetapi tidak sangka iklan di Facebook menarik saya untuk menjadi pelakon,” ujarnya.

BARISAN pelakon filem muzikal Hoore! Hoore! yang merupakan muka-muka baharu, (dari kiri), Farah Nazirah, Shahila Shariff, Syafiqah Md. Jemey, Afi Faris dan Nur Syazwana hadir pada majlis pelancaran runut bunyi filem tersebut di Red Box, The Garden, Kuala Lumpur pada minggu lalu.
 
Farah yang merupakan gadis bertudung sudah bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan apabila dalam filem Hoore! Hoore! dia muncul tanpa mengenakan tudungnya.
“Ketika penggambaran berjalan, saya sebenarnya baru belajar pakai tudung, tetapi sekarang saya sudah pakai tudung sepenuhnya. Saya tidak boleh ubah apa yang telah saya lakukan sebelum ini untuk filem Hoore! Hoore!, sebaliknya apa yang boleh saya buat sudah tentu menjaga imej yang saya miliki sekarang,” luahnya.

Sebanyak 12 buah lagu Allahyarham Sudirman yang dirakamkan semula dalam filem ini. Selain Akim dan Farah Nazirah, filem ini turut dibintangi Adibah Noor, Shahronizam Noor, Harun Salim Bachik dan Fauziah Nawi.

Hoore! Hoore! bakal ditayangkan pada 24 Mei ini, sehari sebelum hari memperingati ulang tahun kelahiran Allahyarham Sudirman pada 25 Mei 1954.
Sempena kemunculan filem berkenaan, Astro Shaw dengan kerjasama pusat karaoke terkenal Red Box bakal mengadakan Pertandingan Karaoke Hoore! Hoore! di tiga lokasi berasingan bermula 13 Mei depan.
Ia akan diadakan di Green Box Seremban 2 pada 13 Mei, Green Box Bukit Tinggi Klang (20 Mei) dan Red Box Ria Sogo (27 Mei).

Pada majlis yang sama, video muzik lagu Idola dendangan Azlan & The Typewriter yang dipilih sebagai lagu runut bunyi filem tersebut, Hoore! Hoore! juga telah dilancarkan.
Lagu ciptaan Audi Mok itu mempertaruhkan lirik nukilan Azlan sendiri yang menjadikan Sudirman sebagai inspirasi dalam penulisannya mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.
“Saya mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan lirik lagu itu. Saya menonton filem lakonan Allahyarham seperti Kami dan mendengar semula lagu-lagunya.
“Bukan apa, saya bimbang jika saya tidak terikat dengan inspirasi itu, lagu saya akan mengikut kepala saya sendiri sedangkan lagu ini dicipta khas untuk filem Hoore! Hoore!,” kata Azlan

Jelmaan Aung San Suu Kyi



SOROTAN mata Yang Zi Chong atau nama pentasnya, Michelle Yeoh, 49, terpendam sejuta perasaan yang tidak terungkap kata-kata. Dia kelihatan cukup teruja sewaktu pertemuan di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur sempena promosi filem terbaharu lakonannya, The Lady baru-baru ini.
Ia jelas mencerminkan perasaan Michelle tatkala berada di tanah tumpah darah sendiri. Akuinya, dia sentiasa merindui tempat kelahirannya biarpun sering berkelana jauh di negara asing demi karier seninya.
"Saya sentiasa merindui Malaysia, ini tempat kelahiran saya. Perkara pertama yang akan saya buru adalah bihun kari, sudah pasti saya masih menggemari masakan tempatan," ujarnya.

Barangkali ramai tidak menyangka Ratu Malaysia 1983 itu merupakan satu-satunya aktres yang dibenarkan oleh aktor Jackie Chan melakukan lagak ngeri sendiri dalam setiap filem lakonannya.
Malah, Michelle yang dahulunya pernah menuntut di Royal Academy di London, United Kingdom seringkali mempamerkan aksi lincah seakan-akan gerak tari setiap kali berlakon.
Dalam pada itu, berbeza pula usaha yang dicurahkan Michelle untuk filem The Lady yang bakal menjengah pawagam pada 3 Mei ini.

Menerusi filem itu katanya, menuntut dia untuk lebih banyak bermain dengan pergolakan emosi dan jiwa sebagai seorang pemimpin wanita.
"Saya yang mahu merealisasikan watak Daw Suu (Aung San Suu Kyi) sejak empat tahun lalu. Selepas mendapat idea itu saya meminta pengurus saya mencarikan mana-mana produksi yang sudi menghasilkan filem biografi seperti ini.
"Muncul juga beberapa buah syarikat yang berminat tapi akhirnya saya memilih Luc Besson memandangkan dia merupakan seorang individu yang sangat saya kagumi berdasarkan hasil karyanya sebelum ini," katanya.
The Lady arahan Beeson yang merupakan pengarah terkenal Perancis itu mengisahkan bagaimana Aung San Suu Kyi berusaha keras mendesak keamanan dan demokrasi dipulihkan di Myanmar tanpa ada keganasan.

MICHELLE teruja berlakon di bawah arahan pengarah Perancis, Luc Beeson untuk filem The Lady.


Dalam pada itu, filem ini memaparkan kasih sayang dan pengorbanan pemimpin demokrasi itu yang dipisahkan dengan keluarganya dalam tempoh waktu yang panjang sebelum dibebaskan daripada tahanan di rumah sendiri.

Politik
Sangat besar cabaran untuk wanita kelahiran Ipoh, Perak itu untuk menghidupkan karakter Aung San Suu Kyi. Selaku seorang pemimpin yang disegani, Michelle juga harus berhati-hati memandangkan negara Myanmar masih belum stabil sepenuhnya dari segi politiknya.

Filem ini bagaimanapun mendapat tentangan hebat di negara China ekoran dakwaan bahawa perjuangan Aung San Suu Kyi menuntut demokrasi merupakan simbol ketakutan.
"Saya tidak melihat perkara itu bersifat politik. Mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini adalah kasih sayang dan keamanan. Malah ia bukan ancaman kepada mana-mana pihak.
"The Lady bercerita mengenai ikatan kekeluargaan yang teguh dan tentang betapa bernilainya sebuah demokrasi," katanya.

Michelle juga menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk terlibat dalam politik walaupun dia tetap memerhatikan situasi politik dan pilihan raya yang berlaku di negara Myanmar.
"Filem ini menjalani penggambaran di Yangon, Myanmar dan beberapa kawasan di Thailand, jadi sudah pasti tempat-tempat itu menjadi sebahagian daripada diri saya.

MICHELLE mengakui sangat teruja pulang ke tanah kelahirannya, Malaysia.
 
"Saya masih ikuti perkembangan politik di sana tapi tidak sesekali berminat untuk terlibat dalam dunia itu," ungkapnya.
Dalam pada itu, Michelle secara berseloroh berkata: "Filem ini sepatutnya diberikan judul The Lady & The Gentleman kerana sokongan kuat sepanjang masa yang diberikan Michael Aris kepada Aung San."

Tukar rejim kehidupan
The Lady yang menjalani penggambaran pada tahun lalu turut berdepan beberapa kontroversi. Antaranya, ada beberapa nama pelakon dan kru yang terbabit tidak boleh dikreditkan.
"Pihak produksi bimbang akan keselamatan keluarga beberapa individu dari Myanmar dan utara Thailand yang membantu saya menjayakan filem ini, jadi langkah terbaik adalah tidak meletakkan nama mereka yang ada sesetengahnya merupakan pelarian," ujar Michelle.
The Lady menuntut pengorbanan yang besar daripada Michelle selaku pendukung watak utamanya. Katanya, dia terpaksa menukar rejim kehidupan hariannya lapan bulan sebelum memulakan penggambaran pada tahun lalu.

Michelle sebelum ini juga pernah bertemu dengan anak sebenar Aung San Suu Kyi iaitu Kim Aris di London. Ujar Kim ketika itu, ibunya memiliki badan yang lebih kurus berbanding Michelle.
Fakta itu menyebabkan Michelle terpaksa menurunkan berat badannya.
"Kalau biasanya saya bangun tidur pada pukul 6 pagi tapi saya awalkan dengan bangun pada pukul 4 pagi untuk melakukan aktiviti bersenam.

"Kemudian saya akan lakukan tugas seperti biasa. Pulang ke rumah saya akan sambung bersenam dalam masa lebih kurang dua jam. Ia bertujuan untuk menurunkan berat badan saya dengan cara yang betul.
"Selain itu, saya perlu kawal diet pemakanan saya dan melebihkan aktiviti kardiovaskular," katanya yang kehilangan hampir sembilan kilogram untuk mendapatkan sosok tubuh seperti Aung San Suu Kyi yang sebenar.

Malah, dia melantik seorang tutor bahasa Inggeris untuk mengajarnya bercakap dengan cara berhemah persis pemimpin pujaannya yang pernah memenangi hadiah Nobel Keamanan Dunia pada tahun 1991.
"Daw Suu miliki postur badan yang sangat menakjubkan, selama enam bulan saya berlatih untuk berdiri, duduk dan berjalan sepertinya.
"Dari segi bercakap pula saya ada melantik seorang tutor bahasa," cerita Michelle

Johan, Hafiz kongsi kegembiraan


SELAIN Hafiz dan Johan, dua lagi artis residen Astro yang diraikan Astro baru-baru ini termasuklah Aaron (belakang, kiri) dan Zizan (depan, kiri).
 
DINOBATKAN sebagai paling popular, pastinya sesuatu di luar jangkaan buat dua orang artis pujaan ramai iaitu penyanyi Hafiz AF dan Johan.

Ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan artis residen Astro, Hafiz menyifatkan pemilihannya sebagai penyanyi lelaki popular baru-baru ini sebagai penghargaan paling bermakna buat dirinya.
“Pada Januari lalu, lagu nyanyian saya iaitu Awan Nano telah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik semasa
Anugerah Juara Lagu (AJL) 26. Kemudian pada bulan ini saya dipilih pula sebagai penyanyi paling popular berdasarkan pemilihan peminat.
“Sudah tentu saya sangat gembira dengan kejayaan yang diraih dan menganggap ia merupakan bonus buat diri saya pada tahun ini. Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka kerana sedar perlu bersaing dengan ramai penyanyi lain,” ujarnya.

Menurut Hafiz, memandangkan kini dirinya menjadi pilihan peminat, dia mahu terus fokus pada kerjayanya sekarang dan tidak mahu terlalu leka dengan kejayaan yang diperoleh.

Hafiz ke Indonesia
Ditanya tentang aktiviti seninya ketika ini, Hafiz memberitahu dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada penyertaannya dalam program Mania memandangkan hadiah yang ditawarkan kepada juara cukup lumayan.

JOHAN bakal bergandingan dengan Didie Alias menerusi program Acana Tu Johan.


“Sudah tentu sasaran saya mahu mencul juara kerana mahu mendapatkan hadiah sebanyak RM500,000. Jadi, sekali lagi saya mengharapkan sokongan daripada peminat agar saya berjaya dalam rancangan tersebut,” ujarnya.

Menurut Hafiz, pada bulan Februari lalu dia telah pergi ke Indonesia selama dua minggu dalam usaha untuk mengembangkan karier nyanyiannya serta merakamkan single terbaharunya dan mempromosikan lagu Awan Nano di negara tersebut.
“Semasa di sana saya telah pergi ke beberapa buah stesen radio di Jakarta dan Yogyakarta. Saya akui agak sukar untuk menarik minat pendengar mereka, tetapi bersyukur apabila lagu saya tetap tercalon dalam carta lagu dalam sebuah stesen iaitu Pesona FM,” ujarnya.

Johan kurangkan aktiviti seni
Sementara itu, Johan yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, kejayaannya sebagai pelakon komedi paling popular banyak dibantu dengan pembabitannya dalam pelbagai rancangan komedi pada tahun lalu.

Bagaimanapun, di sebalik kegembiraannya memperoleh kejayaan tersebut, Johan menyatakan buat masa ini dia mahu mengurangkan pembabitannya dalam bidang seni kerana mahu memberi tumpuan sebagai penyampai radio.
“Sepanjang empat bulan bertugas sebagai penyampai di stesen radio Era, maklum balas yang diterima daripada pendengar sangat positif dan saya akui semakin selesa dengan tugas saya sekarang.

HAFIZ kini berusaha memburu wang kemenangan RM500,000 menerusi program Mania yang turut disertainya.


“Namun, pada Jun ini saya akan terbabit dengan sebuah program berjudul Acana Tu Johan untuk 13 episod. Dalam program tersebut, saya akan berkolaborasi dengan Didie Alias,” ujarnya yang kini sedang menyertai program Super Spontan di saluran Astro Warna.

Pada minggu lalu, seramai empat artis naungan Astro iaitu Aaron Aziz, Zizan Razak, Hafiz dan Johan telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya.

Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, penganjuran majlis pada malam itu juga merupakan sebahagian daripada penghargaan kepada keempat-empat artis tersebut yang telah sedikit sebanyak telah mengharumkan nama Astro.
“Saya percaya dengan kejayaan yang diraih oleh keempat-empat artis ini berdasarkan hasil usaha keras mereka dalam bidang masing-masing dan saya berharap mereka akan terus mengekalkan kemenangan yang sama pada tahun hadapan,” ujarnya.

Selain empat orang artis yang diraikan, majlis tersebut turut dihadiri oleh bekas pemenang Pengacara TV Popular, Aznil Haji Nawawi dan penerbit Datuk Yusof Haslam.

Nor Ain dibunuh dua minggu lalu


Nor Ain suka memakai pakaian seperti lelaki

KOTA BHARU – Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang rangka mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang dekat sini pada Isnin lalu dipercayai telah dibunuh dan dibakar dalam tempoh dua minggu sebelum rangka mangsa ditemui.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada gadis tomboi itu dibakar hidup-hidup atau mangsa dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar.
“Setakat ini, kita mendapati Nor Ain dan motosikal miliknya dibakar. Polis menemui rangka motosikal mangsa yang hangus dan tulang-tulang manusia termasuk beberapa barangan peribadi mangsa di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan mangsa ada kaitan dengan dadah dan orang yang dikenalinya.
Kosmo! semalam melaporkan misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka Nor Ain ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu.

Nor Ain yang sudah tidak bersekolah, sebelum ini dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya sejak 3 April lalu.

Jarak rangka Nor Ain ditemui dengan rumahnya kira-kira 500 meter.
Ekoran penemuan itu, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.


Mengulas lanjut, Saiful Bahri berkata, polis dalam proses menahan beberapa suspek lain bagi membantu siasatan pembunuhan Nor Ain.

Wednesday 25 April 2012

Video seks 2 ahli politik tersebar


JAKARTA: Pita video seks memaparkan dua anggota Parlimen daripada Partai Demokrasi Indonesia - Perjuangan (PDI-P) diedarkan secara meluas di Internet.
Pita video seks itu awalnya disiarkan semalam di laman kilikitik.net, yang digantung sejurus kemudian selepas khabar angin mengenainya tersebar dengan meluas.

Ahli politik lelaki itu dilaporkan berasal dari daerah Jawa Tengah, manakala ahli politik wanita pula dari Kalimantan Barat. Pengerusi Majlis Etika Dewan Perwakilan, M Prakosa yang juga daripada PDI-P berkata, dia mendengar khabar angin mengenainya, tetapi belum melihat video itu. “Ia hanya khabar angin. Saya pun mendengarnya daripada wartawan. Tidak dipastikan lagi siapakah mereka,” katanya kepada wartawan di dewan itu. - Jakarta Post

Lelaki bogel mengamuk


MIRI: Penduduk satu kawasan perumahan di Permyjaya Baru, Tudan, dekat sini, semalam gempar dengan tindakan seorang lelaki bogel yang tiba-tiba mengamuk sambil memegang sebilah pisau sehingga menyebabkan sebuah motosikal rosak manakala cermin tingkap tiga rumah pecah.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, tindakan lelaki berusia 30-an itu menyebabkan penduduk ketakutan kerana bimbang dicederakan selepas dia bertindak ganas dengan merosakkan harta benda mereka.

Difahamkan, sebelum kejadian, lelaki dipercayai pekerja sebuah syarikat minyak itu dikatakan sering berkelakuan ganjil termasuk bercakap seorang diri dan memecahkan botol kaca di depan rumahnya.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Uda, 46, berkata, ketika kejadian, dia baru tiba di rumah dari tempat kerja selepas menghantar dua anaknya berusia tujuh dan sembilan tahun ke sekolah.

“Ketika mahu masuk dalam rumah, tiba-tiba lelaki itu meluru keluar dari rumahnya dalam keadaan bogel dan memegang pisau sebelum membaling topi keledar hingga merosakkan tingkap rumah saya.

“Akibat terlalu panik, saya terus masuk ke dalam dan menutup pintu sebelum membawa kedua-dua anak keluar mengikut pintu belakang bagi mengelak kejadian buruk menimpa kami,” katanya yang ditemui ketika membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Menurutnya, ketika kejadian, isterinya tiada di rumah kerana bekerja dan bersyukur kerana tiba di rumah tepat pada masa sekali gus berjaya mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang lagi saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Sarina, 34, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyediakan bekal makanan untuk anak lelakinya berusia tujuh tahun ke sekolah sebelum tiba-tiba terdengar cermin tingkap depan rumahnya pecah.
“Saya kemudian meluru ke ruang tamu dan terkejut apabila melihat lelaki itu sedang memegang pisau sambil melontar batu-bata ke arah cermin tingkap rumah saya. “Mujur ketika itu, pintu depan rumah saya berkunci sekali gus menghalangnya menceroboh masuk dan jika tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Menurutnya, seminggu sebelum kejadian, lelaki yang tinggal bersendirian itu menunjukkan sikap agak pelik dipercayai mengalami tekanan mental.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pengadu kira-kira jam 11.40 pagi sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba, lelaki terbabit cuba bertindak agresif terhadap anggota polis yang cuba menenangkannya sebelum dia akhirnya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden itu termasuk mengenal pasti sama lelaki itu mempunyai masalah mental atau sebaliknya,” katanya.

Saintis China hasilkan biri-biri daripada gen cacing



SEEKOR biri-biri yang bernama Peng Peng cuba berdiri di sebuah ladang di Urumqi, Xinjiang pada 26 Mac lalu.


HONG KONG - Sekumpulan saintis China mengklonkan seekor biri-biri modifikasi genetik bercirikan lemak 'baik' yang ditemui secara semula jadi dalam kacang, biji benih, ikan dan sayur-sayuran hijau.
Biri-biri berkenaan, Peng Peng yang mempunyai gen cacing bulat dilahirkan dengan berat 5.74 kilogram di sebuah makmal dalam wilayah Xinjiang, barat China pada 26 Mac lalu.
"Ia membesar dengan baik dan sihat seperti seekor biri-biri biasa," kata Ketua Saintis Institut Genom Beijing, Du Yutao di Shenzhen, selatan China.

Yutao dan beberapa saintis lain memasukkan gen yang memiliki ciri pengeluaran asid lemak politaktepu ke dalam sel penderma yang diambil daripada telinga seekor biri-biri Merino China.
Sel tersebut kemudian dimasukkan ke dalam sebiji telur yang belum disenyawakan dan dipindahkan ke dalam rahim seekor biri-biri tumpang.
"Gen berkenaan berasal daripada C. elegans (cacing bulat) yang didapati dapat meningkatkan kandungan asid lemak tak tepu yang baik untuk kesihatan manusia," kata Yutao.

China perlu membekalkan makanan kepada rakyatnya.
Namun, hanya tujuh peratus daripada tanah subur di dunia terdapat di China.
Bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan, Beijing giat meningkatkan pengeluaran gandum, daging dan produk makanan lain untuk bekalan domestik sejak beberapa tahun lalu. - Reuters

Justin Bieber bantu popularkan lagu Jepsen


LONDON - Penyanyi Kanada, Carly Rae Jepsen terkejut apabila melihat bintang remaja, Justin Bieber turut menyanyikan lagu Call Me Maybe.

Jepsen yang berusia 26 tahun ialah penyanyi asal lagu itu.
Jepsen sedang berbual-bual dengan ibunya di telefon apabila klip video gelagat Bieber menyanyikan lagu itu muncul pada skrin komputernya.

Pada mulanya, dia menyangka ia cuma beberapa orang peminat yang membuat gerakan bibir mengikut suaranya.
"Saya perasan bahawa lelaki itu mirip Bieber manakala gadis berkenaan kelihatan seperti Selena Gomez dan kemudian saya sedar bahawa ia benar-benar mereka. Saya amat terkejut," katanya.

Klip video berkenaan ditonton hampir 35,000 kali di laman perkongsian video YouTube setakat ini.
Sokongan Bieber itu menyebabkan Call Me Maybe menguasai carta lagu di United Kingdom, Kanada dan Australia dengan menduduki tangga pertama. - AGENSI

Duet Datuk Siti Dan Sami Yusuf


SAMI berasa sangat bertuah kerana meraih peluang keemasan berduet dengan Siti Nurhaliza.
 
NAMA Sami Yusuf barangkali sudah tenggelam bagi peminat di Malaysia lantaran fenomena Maher Zain. Hakikatnya, penyanyi Muslim kacukan Teheran-British itu muncul lebih awal di Malaysia bersama album pertamanya, Al-Mu'allim iaitu sekitar tahun 2003.
Setelah kemunculan lebih ramai penyanyi yang menyampaikan lagu genre ketuhanan, namanya kian pudar. Tidak mudah mengalah, Sami Yusuf, 31, kini akan muncul dengan album keempatnya, Salaam yang bakal memuatkan sembilan buah lagu termasuk sebuah lagu yang dirakamkan bersama Datuk Siti Nurhaliza.

Ujarnya, memilih penyanyi nombor satu negara itu sebagai rakan duet merupakan langkah bijak menyatukan muzik dua benua Eropah dan Asia untuk album yang kemungkinan besar dikeluarkan pada bulan Jun nanti.
"Dia (Siti) merupakan seorang penyanyi berbakat yang sangat hebat dan mengagumkan! Dia mempunyai aura serta kelembutan sebagai penghibur sejati.
"Saya bakal beraksi bersama Siti dalam konsert di Singapura dan Kuala Lumpur menjelang Julai ini," ujar Sami yang ditemui ketika sidang akhbar di Restoran Hadramawt, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, lagu berjudul You Came To Me yang diciptanya sebelum datang ke Malaysia itu dinyanyikan dalam tiga versi iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab.
Malah, sebahagian daripada lirik berbahasa Melayu dalam lagu itu mendapat kerjasama daripada komposer berbakat, Yasin Sulaiman.
"Lagu ini sangat cantik susunan muziknya, ia menyuntik elemen tradisional yang sesuai dengan genre muzik yang saya bawa," kata penyanyi merangkap penulis lirik dan komposer yang memperkenalkan genre muzik yang dikenali sebagai spiritique itu.

Sewaktu ditemui ketika sedang merakamkan lagu tersebut bersama Sami di Studio Harem, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, kata Siti, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menerima pelawaan Sami.
"Rugi untuk melepaskan peluang merakamkan sebuah lagu bercorak kerohanian secara duet dengan Sami.
"Siti juga sangat teruja kerana dapat mendendangkan lagu yang mempunyai melodi dan lirik yang indah dalam tiga bahasa ini, " ucap Siti.

Bintang rock Islam
Usai album pertamanya yang mendapat kejayaan sehingga diiktiraf Bintang Rock Islam oleh majalah berprestij di peringkat global iaitu Time, Sami tampil dengan buah tangan berikutnya berjudul My Ummah dan Wherever You Are.

SAMI sedang sibuk di studio rakaman Harem, Kuala Lumpur bagi kemunculan album terbaharu dan keempatnya yang berjudul Salaam.
 
Malah, ada beberapa lagu dalam album terdahulunya dinyanyikan dalam pelbagai bahasa antaranya, bahasa Parsi, Turki, Urdu dan Azeri.
Tidak banyak bezanya album keempat Sami berbanding album sebelum ini, katanya, apa yang membezakan adalah kematangan usia dirinya dan albumnya.
"Kalau dilihat dari segi revolusi muzik, tidak jauh berbeza kerana album ini masih dalam genre spritique, cuma apa yang berbezanya sudah tentu usia saya.
"Idea masih sama iaitu untuk menyatupadukan keamanan dan kasih sayang sesama manusia," ujar Sami yang lebih gemar mendengar muzik-muzik klasik.

Dalam pada itu, Sami turut memuji kumpulan nasyid Raihan yang diamatinya sangat berkembang dari segi muzik yang dibawa.
"Satu-satunya lagu kumpulan nasyid yang saya suka dengar semestinya kumpulan Raihan. Muziknya sangat berevolusi dan industri muzik Malaysia sepatutnya berbangga memiliki mereka (Raihan)," katanya.

Banyak kejutan
Selaras dengan pelancaran album keempatnya itu, Sami dijadualkan beraksi dalam konsert khas yang diberi nama Konsert Salaam Sami Yusuf bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam pada 14 Julai ini.
Sebelum itu, dia bakal menghiburkan peminat-peminatnya di Stadium Tertutup Singapura pada 8 Julai melalui konsert debutnya.
"Banyak kejutan akan ditampilkan khusus untuk konsert yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini. Sebanyak 18 buah lagu akan saya nyanyikan dan selebihnya perlu tunggu pada tarikh tersebut," janji pemilik syarikat rakaman Andante yang baru ditubuhkan itu.
Konsert Salaam Sami Yusuf dibawakan oleh Offshore Entertainment Production dengan kerjasama Shue Ellis Communication.

Sami kini berada di Salle Omnisports of Radès, Tunisia untuk konsert jelajah terakhir di sana sebelum ke Singapura dan Malaysia tidak lama lagi.
Tiket berharga serendah RM55 sudah mula dijual dan maklumat lanjut layari laman sesawang www.shuellis.com atau www.samiyusufofficial.com. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Peringatan buat Najwa

 
NAJWA bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.

SINGLE pertamanya, Cinta Muka Buku, telah mempopularkan namanya. Namun, sejak awal pembabitan Najwa Latif sebagai penyanyi, wujud segelintir pihak yang mempersoalkan tentang gubahan muziknya yang didakwa sebagai terlalu santai dan tidak matang.
Selain itu, cara dia berfesyen juga menjadi kritikan. Bermula dengan persembahan pada Anugerah Industri Muzik ke 18 (AIM18) sehingga kemunculannya dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini, fesyen yang digayakan Najwa meraih kritikan negatif.
Dia dikatakan telah menjadi mangsa fesyen dalam setiap majlis hiburan yang dihadirinya.
Biar sering dikritik, namun itu tidak membuat dia kurang tawaran membuat persembahan atau menerima tawaran menjadi duta. Terkini, Najwa telah dilantik untuk menjadi duta sebuah portal pembelajaran, Uniqliq Sdn. Bhd.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama penyanyi berusia 17 tahun ini.
Kosmo!: Apakah perasaan Najwa terpilih sebagai duta Uniqliq?
NAJWA: Saya berasa seronok kerana telah diberi tanggungjawab untuk menjadi duta Uniqliq. Sebenarnya sebagai seorang pelajar, saya sendiri selalu menggunakan portal sebagai salah satu alternatif pembelajaran. Maka apabila saya menjadi duta mereka, saya akan lebih kerap manfaatkan portal untuk mengulang kaji. Selain itu, saya juga dapat mengajak rakan-rakan sebaya untuk menggunakan kaedah pembelajaran melalui portal Uniqliq.
Apakah keunikan Uniqliq?
Ia sangat mudah dan menarik. Bagi diri saya sendiri yang mempunyai jadual yang agak sibuk, Uniqliq sangat berkesan sebagai medium untuk mengulang kaji pelajaran.
Boleh komen tentang kritikan terhadap cara Najwa berfesyen. Banyak yang berpendapat, cara anda berfesyen tidak sesuai dengan usia dan kelihatan canggung.
Saya bukan lahir dari keluarga yang tahu mengenai fesyen. Saya sendiri lebih selesa dengan jean, baju-T, baju sejuk dan tudung bawal bila keluar rumah. Jadi, mungkin fesyen merupakan salah satu kelemahan saya. Tapi, saya akan cuba memperbaiki diri saya. Kritikan seperti ini saya ambil sebagai peringatan dan berubah untuk menjadi lebih baik.

Ada gosip mendakwa anda sebenarnya cerewet dalam memilih fesyen, tidak mahu terima cadangan pereka fesyen untuk anda. Malah kalau anda tidak suka, anda akan tukar sendiri fesyen yang sudah diberikan. Benarkah begitu?
Oleh kerana tidak arif dalam bidang ini, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada pereka fesyen. Mereka tahu apa yang saya mahukan. Apa yang saya atau kakak saya selalu pentingkan sudah tentu kesesuaian fesyen dengan penampilan saya yang bertudung ini.

Dalam pada itu, adakah lirik lagu terbaharu anda, Kosong ditujukan buat para pengkritik anda?
Menyentuh tentang lirik, orang yang layak menjawab soalan tersebut sudah tentu kakak saya kerana dia yang menulis lirik tersebut. Bagi saya, lirik lagu Kosong ada pelbagai maksud dan boleh diletakkan dalam pelbagai situasi, bergantung bagaimana kita melihat sisi lirik lagu tersebut. Ia sebenarnya juga mengenai pengalaman hidup dan saya menganggap lirik ini sebagai pembakar semangat supaya kita tak mudah putus asa dan kejar cita-cita kita walaupun orang sekeliling cuba untuk meruntuhkan semangat kita.

Bagaimana dengan kritikan bahawa muzik Najwa terlalu santai dan tidak matang?
Apa sahaja kritikan orang mengenai lagu-lagu saya, saya ambil sebagai satu kritikan membina dan positif. Namun, saya berbangga dengan karya saya, setiap satu lagu dan lirik saya, kerana itu yang menjadikan siapa Najwa Latif sekarang. Namun, saya tetap mahu menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
Anda juga didakwa sombong dan kurang mesra. Apa sebabnya?
Mungkin ada orang yang menyapa saya, tapi saya tak perasan dan sebagainya. Mungkin kerana itu orang menganggap saya sombong atau kurang mesra. Cukuplah diri sendiri, keluarga dan mereka yang mengenali saya tahu siapa saya. Saya ambil semua teguran sebagai satu peringatan dan lebih berhati-hati kelak.

Perkembangan terkini anda?
Saya baru sahaja muncul dengan album mini baharu yang berjudul Najwa Latif dan boleh didapati di kedai muzik yang berdekatan dengan harga RM19.90. Terdapat lima buah lagu dalam album mini tersebut termasuklah Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Kosong serta dua lagu baru iaitu I Love You dan Sahabat. Saya juga sudah mula berehat daripada melakukan persembahan kerana ingin memberi fokus terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan saya duduki pada tahun ini.

Tyra Banks pecat Nigel, Miss J, Mr Jay



DARI kiri: Nigel Barker, J. Alexander dan Jay Manuel.


PROGRAM realiti televisyen yang memaparkan kisah tentang pencarian model terunggul di Amerika Syarikat, America's Next Top Model memang cukup sinonim dengan penerbitnya yang juga mentor, Tyra Banks serta tiga orang pengkritik tetapnya, Nigel Barker, J. Alexander dan Jay Manuel.

Sejak tahun 2003, mereka berempat sudah menjadi seperti satu item. Namun Tyra telah membuat keputusan untuk memecat Nigel, J. Alexander yang digelar Miss J dan Jay Manual yang dipanggil Mr. Jay daripada terus bersamanya dalam musim terkini yang juga merupakan siri ke-18.
"Kepada Nigel Barker, Miss J, and Mr. Jay, terima kasih kerana telah bersama saya untuk beberapa tahun lalu dalam program America's Next Top Model. Kerja bersama kalian adalah sesuatu yang mengujakan dan saya menanti untuk kita bekerjasama lagi pada masa akan datang," tulis Tyra menerusi Facebook peribadinya.

Nigel, 39, yang merupakan seorang jurugambar profesional, Miss J, 53, guru peragaan pentas dan Mr. Jay, 39, pengarah kreatif bagaimanapun bukan kumpulan pertama yang ditamatkan perkhidmatan mereka daripada program tersebut.
Selain mereka, bekas model Janice Dickinson, Kimora Lee Simmons, Twiggy, Paulina Porizkova, Andre Leon Talley, Beau Quillian, Eric Nicholson dan Nole Marin pernah menjadi juri dalam program tersebut sebelum ini.

Wanita kudung jual bayi didakwa


Hwee Bin dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang semalam atas tuduhan memperdagangkan bayi.

KLANG – Seorang wanita warga Singapura yang kudung kaki kirinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi berusia 22 hari bagi tujuan eksploitasi pada awal bulan ini.

Lee Hwee Bin, 36, didakwa memperdagangkan bayi bagi maksud eksploitasi iaitu menjual bayi lelaki itu di luar Starbucks Coffee, Jusco Bukit Tinggi, Klang pukul 11.30 pagi, 6 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Tertuduh, Hwee Bin bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Dia yang kudung kaki kirinya terpaksa disorong dengan kerusi roda untuk memasuki mahkamah.
Semasa ditahan, tertuduh dalam proses menjual seorang bayi yang berketurunan Cina dan India itu kepada sepasang suami isteri.

Sementara itu, peguam yang mewakili tertuduh, K. Muthiah berkata, Hwee Bin mempunyai masalah kehilangan pasport miliknya dan perkara itu sudah dilaporkan kepada polis.

Cari ayam jumpa rangka



beberapa penduduk kampung melihat lokasi rangka Nor Ain (gambar kecil) ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang kelmarin.


GUA MUSANG – Misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka gadis itu ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh di sini kelmarin bersama motosikal miliknya yang hangus.

Rangka Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang hilang sejak 3 April lalu ditemui seorang pemandu lori membawa kelapa sawit pada pukul 6 petang beserta dompet, kad pengenalan dan sebuah motosikal.
Polis mengesyaki Nor Ain turut dibakar bersama motosikal miliknya.

Ekoran penemuan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan.
“Enam yang ditahan merupakan individu yang mengenali mangsa dan bersama mangsa sebelum mangsa hilang. Lima daripada mereka termasuk seorang suspek wanita positif dadah,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, Nor Ain dilaporkan tidak pulang ke rumah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini selepas keluar pada pukul 9 pagi, 3 April lalu dengan menunggang motosikal Kriss bernombor pendaftaran AEK 4943.
Ekoran itu, keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangan Nor Ain yang merupakan anak bongsu daripada sepuluh adik-beradik.

Ajaran 'Kerajaan Langit' Ayah Pin diwarta sesat



SEBAHAGIAN daripada pengikut ajaran Ayah Pin mengadakan salah satu upacara
di markas Kerajaan Langit di Besut sebelum diambil tindakan oleh pihak berkuasa pada tahun 2008.


KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menyenaraikan empat ajaran sesat termasuk ajaran 'Kerajaan Langit' Ayah Pin bertentangan dengan ajaran Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat berkata, tiga ajaran lain ialah Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam yang dibawa Ashaari Muhammad, ajaran Azhar Abdul Wahab dan Syarikat Rufaqa' Corporation dan rangkaian syarikat-syarikat gabungannya yang masih membawa Aurad Muhammadiah.
"Sehingga kini, Jabatan Agama Islam negeri telah mendakwa seramai 52 orang yang terlibat dengan ajaran sesat Ayah Pin termasuk pengasasnya, Ariffin Mohammed.
"Bagi tiga lagi ajaran sesat itu, belum ada pendakwaan dibuat," kata Khazan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Tuesday 24 April 2012

Dewi Persik Ceroboh Twitter Julia Perez


JAKARTA: Permusuhan antara artis seksi Julia Perez (Jupe) dan penyanyi dangdut, Dewi Persik (Depe) dilaporkan tercetus kembali.
Sebelum ini, kedua-dua artis itu pernah berselisih faham ketika penggambaran filem “Arwah Goyang Jupe Depe”. Kini kedua-duanya kembali dengan isu panas “Pencerobohan Akaun Twitter Jupe”. Walaupun Jupe dan Depe tidak berhubungan secara langsung seperti dalam permusuhan sebelumnya, tetapi ia tetap mendapat perhatian ramai. Malah, pencerobohan akaun Twitter Jupe yang didakwa dilakukan oleh Depe menjadi topik perbicaraan hangat di seluruh dunia di kalangan pengguna Twitter. Berdasarkan pemeriksaan maklumat, Jupe menuduh Depe bertanggungjawab menceroboh akaun Twitter miliknya. Jupe atau nama penuhnya Yuli Rachmawati itu, malah turut memaparkan bukti menerusi akaun Twitter kelab peminatnya.

Mendengar dirinya dituduh sebagai dalang di sebalik isu itu, Depe tidak melenting, sebaliknya, janda Saipul Jamil itu bersikap seolah-olah dia tidak tahu-menahu mengenai kejadian terbabit.
Walaupun Depe dilihat bersikap santai dan enggan menghiraukan tuduhan Jupe, tetapi dia sempat mengeluarkan kenyataan yang membuatkan hubungan antara kedua-duanya semakin kusut. Depe atau nama sebenarnya Dewi Murya Agung berkata, apa yang menimpa Jupe saat ini adalah balasan daripada Tuhan. Justeru, peminat kedua-dua artis itu masih tertanya-tanya sama ada permusuhan kali ini akan berakhir di mahkamah atau mungkin ia semakin bertambah parah. - detikhot

Budak 4 tahun tembak mati bapa kerana PlayStation


RIYADH: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun menembak mati bapanya yang enggan membelikan PlayStation.
Akhbar Asharq memetik jurucakap polis di bandar Jizan, selatan Arab Saudi, sebagai berkata, kanak-kanak itu mengambil pistol bapanya dan menembak kepala lelaki berkenaan.

Menurut laporan akhbar itu, kanak-kanak terbabit meminta bapanya membeli sebuah PlayStation dan kejadian berlaku selepas lelaki itu pulang tanpa membawa mainan yang dihajati.
Ketika menanggalkan pakaian, lelaki berkenaan meletakkan senjata di bawah. Anaknya mengambil pistol itu lalu menembaknya dari jarak dekat. - AFP

Victoria Beckham dikecam kerana bahayakan penumpang pesawat

GAMBAR gurauan Victoria bersama seorang pramugari ketika mereka menaiki pesawat dari Hong Kong ke Beijing.
GAMBAR gurauan Victoria bersama seorang pramugari ketika mereka menaiki pesawat dari Hong Kong ke Beijing.

HONG KONG: Bekas anggota Spice Girl, Victoria Beckham, mencetuskan kontroversi semalam, selepas dia memuat naik gambarnya duduk di kerusi dikhaskan untuk kakitangan kabin syarikat penerbangan Cathay Pacific.
Mengiringi gambar itu ialah catatan gurauan Victoria: “Kru kabin bersedia untuk mendarat! Selamat datang ke Beijing!!” Dalam gambar itu, Victoria memakai cermin mata gelap kelihatan seolah-olah membuat pengumuman kepada penumpang pesawat berkenaan, manakala seorang pramugari membuat memek muka lucu di sebelahnya.
Insiden berlaku dalam penerbangan dari Hong Kong ke Beijing, Jurucakap Cathay Pacific berkata, tindakan itu tidak berbahaya tetapi “tidak wajar.”

“Gambar itu diambil bukan dalam situasi kritikal, seperti waktu berlepas atau mendarat,” katanya. Jurucakap itu berkata, Victoria hanya berlakon dan tiada sebarang pengumuman dibuat kepada penumpang.


“Ia tidak wajar apabila tempat duduk itu hanya dikhaskan untuk kru kabin dan penumpang tidak dibenarkan menyentuh mana-mana peralatan penerbangan,” katanya.

Victoria mengunjungi Beijing untuk melancarkan sebuah model kereta baru hujung minggu ini.

Akhbar Hong Kong, The Standard, melaporkan Victoria dikecam di Internet kerana meletakkan penerbangan itu ke dalam risiko. - AFP

Klik Untuk Saya k... :)

free counters