Jom Buat Duit

Wednesday 18 April 2012

Jaclyn Victor menyerlah - Mania


KATA sepakat ketiga-tiga produser muzik - Datuk M Nasir, Aubrey Suwito dan Ahmad Dhani mengangkat persembahan Jaclyn Victor sebagai yang terbaik di konsert Mania, Sabtu lalu nampaknya turut dipersetujui penonton. Jaclyn yang menyanyikan rendisi tersendiri lagu Matahariku milik Agnes Monica berjaya ‘mencuri’ undian menerusi persembahan hebat itu.

Siapa boleh menyangkal kehebatan vokal pemenang sulung Malaysian Idol ini. Jika minggu sebelumnya dia menyanyikan Terukir Di Bintang dengan alunan jazz, kali ini dia kembali dengan nyanyian hebat sinonim dengan dirinya sehingga M Nasir mengingatkan kembali kepada penonton bahawa Jac adalah penyanyi penting negara.


Sebaik undian ditutup sebelum proses penyingkiran, Jaclyn berada di tempat pertama dengan 14%, diikuti Ebi 12%, Stacy 11%, Hafiz 9% dan Estranged 7%. Manakala tiga artis di kedudukan terbawah pula adalah Aril, Atilia dan juga penyanyi kelahiran Singapura, Awi Rafael sekali gus dirinya menjadi artis kedua disingkirkan.

Biarpun persembahan Awi antara yang cukup mantap pada konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil itu, namun ia masih gagal menyelamatkan dirinya daripada penyingkiran. Cukup bersungguh, jejaka di bawah empayar Aubrey ini tampil mengambil risiko mendendangkan lagu yang kurang dikenali di kalangan pendengar iaitu Show Must Go On (Queen).


Agak kesal kerana perjuangan di Mania terhenti seawal ini, Awi bagaimanapun cukup terharu dengan peluang yang diberikan kepadanya menyertai pertandingan ini.

“Dulu, saya hanya seorang penyanyi jalanan dan berada di Mania semestinya menjadi kesempatan terbaik untuk saya mengukuhkan lagi platform di Malaysia. Bagi saya, apa yang dicapai pada tahap ini sudah cukup menjadi inspirasi untuk maju ke hadapan.

“Namun, saya akui agak sedih kerana tidak berkesempatan menunjukkan kebolehan lain seperti bermain piano di atas pentas, versatiliti bermain instrumen muzik dan menyanyikan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud (M Nasir) serta Gemilang ciptaan Aubrey.

“Apa-apapun, saya bersyukur sempat menimba pengalaman daripada program ini dan bekerja dengan Aubrey. Terhenti di sini cuma satu permulaan baru buat saya kerana ruang di luar sana masih banyak dan terbuka luas,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, minggu kedua pertarungan sebenar masih tidak mencapai tahap di mana semua peserta seharusnya sudah mampu membuat persembahan luar biasa. Jika diteliti, walaupun ada beberapa peserta kelihatan sudah mula mengambil risiko, namun ada juga yang memilih untuk berpijak di zon selamat mereka.

Persembahan pembukaan yang menampilkan Ebi menyanyikan lagu Anak Kampung (Jimmy Palikat) gagal disempurnakan dengan cemerlang dan hala tuju persembahan bagaikan tidak bersatu dengan lagu. Begitu juga dengan nyanyian Akim �mendendangkan lagunya sendiri, Inilah Cinta, cuma boleh �dikategorikan masih belum luar biasa.

Kumpulan Estranged yang membawakan Rolling In The Deep (Adele) pula agak mengecewakan kerana gagal membuat versi lebih baik untuk lagu hebat itu. Manakala Kristal pula masih mengekalkan momentum persembahan pada tahap meyakinkan ketika menyanyikan lagu Di Ambang Wati (Wings).

Pujian perlu diberikan kepada beberapa peserta iaitu Alyah, Stacy, Aril dan Atilia yang berani tampil mengambil risiko serta membuat pembaharuan dalam persembahan mereka.

Misalnya Stacy, walaupun gadis genit ini lebih sinonim dengan gerak tarinya yang mantap, sebaliknya minggu ini dia memilih menyanyikan Suralaya Di Dalam Major (Search) secara balada. Begitu juga Aril, diiringi instrumen orkestra, dia menunjukkan sisi lain apabila menonjolkan vokalnya menerusi lagu Kenangan Lalu (Flybaits).

Manakala Alyah yang menyanyikan Kau (Glenn Fredly) dengan versi tersendiri, membuat kelainan dengan menyuntik elemen muzik India dalam lagu berkenaan. Atilia juga tidak ketinggalan menunjukkan kemahiran menari sambil mengiringi lagu All Night Long (Mary J Blige).

Persembahan lain termasuklah Adira menyanyikan Kembang Perawan (Gita Gutawa), Shila Amzah dengan Kau Atau Aku (Elyana), Hazama melagukan Semalam Yang Hangat (Wings) dan Hafiz, Bukan Cinta Biasa (Afgan).

Dibawakan khas dari negara seberang, artis jemputan kali ini adalah band TRIAD dianggotai Ahmad Dhani sendiri yang tampil mempersembahkan lagu Sedang Ingin Bercinta (Dewa) sambil diiringi Stacy, Alyah, Jac, Shila, Adira dan Atilia.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters