Jom Buat Duit

Thursday 19 April 2012

Kebas 1 karung duit


JOHOR BAHRU: Empat pengawal keselamatan melesapkan wang berjumlah RM79,363.95 yang sepatutnya dimasukkan ke dalam bank, namun hanya sempat membelanjakan sebahagian daripadanya sebelum mereka dicekup polis.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata, empat pengawal keselamatan itu ditugaskan mengutip dan memasukkan wang kutipan syarikat beli-belah ke dalam bank di sini, 13 April lalu.

Menurutnya, selepas menyedari wang itu tidak didepositkan ke dalam bank seperti diarahkan, syarikat berkenaan membuat laporan polis sebelum sebuah serbuan dilakukan di rumah di Tampoi di sini,jam 12 tengah hari, Isnin lalu. “Dalam serbuan itu, polis menemui semula RM31,000 yang belum digunakan pengawal keselamatan terbabit. Keempat-empat mereka yang berusia 22 hingga 27 tahun ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini, semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pengawal keselamatan terbabit membawa lima karung wang yang dikutip daripada beberapa syarikat namun satu daripada bungkusan itu tidak didepositkan ke dalam bank.

Noor Hashim berkata, polis kini masih menyiasat sama ada tiga rakan suspek yang ditugaskan mengutip wang pada hari kejadian turut terbabit atau tidak dalam kejadian itu. “Ujian air kencing mendapati suspek utama kes ini yang pernah bertugas sebagai juruteknik sebelum menjadi pengawal keselamatan positif dadah jenis kanabis.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan sebahagian wang yang dilarikan itu membayar hutang individu dan menyorok baki wang di dalam rumahnya,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Semua suspek direman sehingga 20 April ini termasuk tiga pengawal keselamatan yang bersama suspek pada hari kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters