Jom Buat Duit

Wednesday 25 December 2013

Seorang Ibu Bakar Bayinya Sampai Mati

INDIA. Seorang wanita bertindak membakar bayinya yang baru berusia enam bulan sehingga mati, tengah malam semalam di bandar Sonari di daerah Sivasagar.

Berikutan kejadian, polis telah menahan wanita itu yang dikenali sebagai Ranju Devi, 26, suaminya, Satu Shah, 38, dan adiknya, Sushil Shah, 22.

Ketiga-tiga yang ditahan turut dituduh di mahkamah tempatan pada hari ini.

Ketua polis daerah Sonari, Ghanakanta Bhuyan berkata, wanita itu mengaku terhadap jenayah itu.

"Ibu kanak-kanak yang mati itu mengakui jenayah yang dilakukan di hadapan kita. Mereka akan didakwa di mahkamah tempatan di sini dan akan dihantar ke penjara," katanya.

Bhuyan menambah, ketika ditahan, Devi seolah-olah menghadapi masalah mental dan menafikan kes tersebut ada kaitan dengan sihir.

Pasangan itu berasal dari Darbhanga di Bihar tiba di bandar Sonari minggu lepas untuk melawat adik Devi.

Mereka kemudiannya menginap di sebuah rumah sewa di bandar itu.

Pasangan itu turut mempunyai tiga orang anak, termasuk sepasang kembar.

Si mati adalah salah satu daripada kembar.

Friday 20 December 2013

500 orang maut di Sudan

Sekurang - kurangnya hampir 500 orang terbunuh manakala lapan ratus lagi cedera dalam keganasan di Sudan Selatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB melaporkan, kesemua mayat dan mereka yang tercedera dihantar ke dua hospital berdekatan.

Menteri Kesihatan Sudan Selatan berkata, sekurang-kurangnya 26 lagi maut selepas sekumpulan tentera puak pemberontak bertempur di Juba sejak Ahad lalu.

"Ianya berterusan sehingga kelmarin dengan menyaksikan kejadian tembak-menembak dan letupan," katanya menurut laporan Reuters.

Menurutnya, setakat ini, kerajaan Juba menahan sepuluh ahli politik ternama dan kini sedang memburu bekas timbalan presiden di atas tuduhan gagal mengetuai penggabungan kuasa minyak di ibu negara ini yang menjadi penyebab pertelingkahan.

Wednesday 18 December 2013

Seniwati Azean Irdawaty meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun bertarung melawan penyakit kanser, primadona filem Melayu, Azean Irdawaty akhirnya pergi menghadap Ilahi ketika sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada pukul 8.25 malam tadi.

Azean atau nama sebenarnya Azean Irdawaty Yusoef, 63, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi PPUM sejak tiga hari lalu. Azean disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga pada Jun 2007.

Suami Azean, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi, 63, berkata, berat badan Allahyarham isterinya mulai susut selepas dia tidak mahu menjamah makanan sejak dua hari lalu.

Tuesday 17 December 2013

Penyampai TV wanita mati ditembak

Seorang penyampai televisyen wanita mati ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di utara Iraq, menurut media tempatan, kelmarin.

Nawras al- Nuaimi bertugas di stesen televisyen Al-Mosuliyah ditembak berhampiran rumahnya dan merupakan petugas media kelima yang dibunuh di bandar itu.

Pada 5 Disember lalu, laporan dipetik dari AFP, pengarang majalah Rayal dan wartawan akhbar Awene, Kawa Ahmed Germyani ditembak mati di hadapan ibunya di Kalar, di wilayah Sulaimaniyah.

Thursday 12 December 2013

NEW DELHI - Mahkamah Agung India semalam menguatkuasakan semula larangan ke atas hubungan homoseks yang bakal menyaksikan golongan gay berdepan hukuman penjara.

Panel dua hakim sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi New Delhi pada 2009 yang mendapati larangan melakukan hubungan sejenis adalah bertentangan dengan hak asasi rakyat India.
Larangan itu terkandung dalam seksyen 377 kanun jenayah negara berkenaan.

Keputusan membenarkan hubungan homoseks empat tahun lalu memberi kebebasan kepada golongan gay untuk berkempen menentang diskriminasi dan persepsi negatif terhadap mereka.
Golongan gay di negara itu masih bergerak secara tertutup tidak seperti di Eropah.

Dalam keputusannya, Mahkamah Agung yang diketuai oleh G.S. Singhvi mendapati bahawa Mahkamah Tinggi telah melangkaui bidang kuasanya, manakala undang-undang tersebut yang diluluskan oleh pihak British pada 1860 adalah sah di sisi perlembagaan negara.
"Hanya Parlimen yang boleh memutuskan isu ini," kata Singhvi.

Perbicaraan yang berlangsung di pusat bandar raya ini semalam turut dihadiri oleh sejumlah aktivis pro gay.
"Keputusan seperti ini tidak wajar daripada sebuah mahkamah tertinggi. Ini merupakan hari yang gelap untuk komuniti gay," kata seorang peguam sebuah pertubuhan hak gay, Forum Undang-Undang Alternatif, Arvind Narayan.

"Kami amat marah dengan keputusan ini yang mundur ke belakang," tambahnya.
Pada tahun 2009, kumpulan-kumpulan agama terutamanya komuniti Kristian dan Islam di India berang dengan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu yang membenarkan hubungan homoseks.
Mereka yang kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung, gembira dengan keputusan semalam.
Dalam pada itu, Program Pembangunan berhubung HIV/AIDS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kebebasan hubungan sejenis dapat membantu India mengekang penularan jangkitan HIV/AIDS yang menjangkiti 2.5 juta penduduk negara itu.

Sejak sekian lama, hubungan jenis menjadi topik larangan di India dengan ramai penduduk negara itu melabel golongan gay sebagai menghadapi masalah mental.
Keputusan Mahkamah Agung meletakkan India kembali bersama kebanyakan negara Islam dan Afrika yang mengharamkan hubungan sejenis.

Negara tunggal yang membenarkan hubungan homoseks di rantau Asia Selatan adalah Nepal. - AFP

Pemimpin dunia beri penghormatan terakhir kepada Mendiang Nelson Mandela

PRETORIA - AFRIKA SELATAN. Kira-kira 5,000 pemimpin dunia memberi penghormatan terakhir kepada bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela di sini, semalam.

Dipetik laporan AP, keranda mendiang kemudiannya akan diterbangkan ke timur Cape, Jumaat ini untuk satu lagi upacara keagamaan sebelum disemadikan di Qunu
Namun, upacara itu mencuri perhatian apabila Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dilihat bersalaman dengan seterunya Presiden Cuba, Raul Castro.

Mereka tersenyum ketika bersalaman dan situasi itu jarang berlaku kerana selama ini, kedua-dua pemimpin tersebut dikatakan bertelagah lebih setengah abad.

Wednesday 11 December 2013

Nikah hari ini , Che Ta akui berdebar

TARIKH 11 Disember (hari ni), akan menjadi saksi penyatuan dua hati antara dua selebriti Zain Saidin dan Rozita Che Wan. Pasangan yang sudah empat tahun menjalinkan hubungan cinta ini dijangka diijabkabulkan di Gazebo Setia City Convention Centre, Setia Alam sekitar jam 7.30 malam.

Biarpun perkahwinan bersama Zain ini merupakan perkahwinan keduanya, Rozita atau mesra di sapa Che Ta mengakui debaran perkahwinan kedua ini lebih terasa.

Katanya, semua persiapan tela dilakukan dan dia hanya menanti majlis berinai yang akan diadakan di Ndah Mahligai Shah Alam pada jam 8 malam ini.



"Alhamdulillah hari ini (semalam), saya hanya berehat-rehat di Ascott Kuala Lumpur yang menaja lokasi penginapan (complimentary) buat saya selama 7 hari 6 malam.

"Memang rasa teruja sebaik mendaftar masuk tadi, apabila setiap sudut bilik dihiaskan dengan bunga kegemaran saya iaitu lily dan turut ada gambar saya dan Zain," katanya kepada Zass.

Che Ta berkata, ke semua ahli keluarganya sudah berada di Kuala Lumpur dan mereka akan berkumpul di Ascott pagi esok sebelum ke majlis berinai.

Tak ambil hati

Sementara itu, dalam kemeriahan dan debaran perkahwinan Che Ta dan Zain, majlis pasangan ini turut di cemuh dan ada sesetengah pihak menganggap kedua-dua selebriti ini cuba menunjuk-nunjuk persiapan perkahwinan mereka yang mendapat tajaan sebanyak RM13 juta.

Bagaimanapun ujar Che Ta, dia dan Zain tidak mengambil hati dengan kata-kata orang lain dan menganggap ia adalah rezeki mereka.

"Soal tajaan itu, pada saya, masing-masing ada pandang. Tapi pada saya, saya sangat berterima kasih pada penaja yang sudi menaja majlis perkahwinan kami dari baju, katering, lokasi, spa dan sebagainya.

"Saya tidak ambil hati dengan apa yang orang hendak katakan," katanya yang akan kembali bekerja selepas pulang dari bulan madu, " katanya.
"Sejujurnya saya sangat berdebar, berbanding perkahwinan sebelum ini. Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar esok (hari ini).

Justin Bieber lawat mangsa Haiyan

MANILA - Penyanyi remaja terkenal, Justin Bieber melawat mangsa-mangsa Taufan Haiyan di bandar Tacloban, tengah Filipina semalam.

Bieber tiba dari Australia dan terbang ke bandar tersebut untuk memberikan baju, permainan dan bola keranjang kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa taufan tersebut.

Penyanyi berusia 19 tahun itu juga melawat sebuah sekolah rendah yang dijadikan pusat perlindungan mangsa-mangsa taufan tersebut.
Hampir 6,000 orang terbunuh apabila taufan tersebut melanda tengah Filipina pada bulan lalu.

Lebih 1,700 orang lagi hilang dalam bencana alam itu yang mengakibatkan ramai penduduk hilang tempat tinggal.
Bieber turut memeluk, menyanyi dan menari selain bermain bola keranjang dengan kanak-kanak.

Dia turut melawat mangsa- mangsa taufan itu di Palo, tengah Filipina.
"Lawatan yang paling menyentuh perasaan sepanjang kehidupan saya," kata penyanyi itu di laman Twitternya.
Dia juga menyatakan, Manila merupakan lokasi terakhirnya dalam konsert jelajahnya, Believe.

"Saya menyaksikan kemusnahan pada hari ini. Mereka (mangsa-mangsa taufan) memerlukan pertolongan," kata Bieber.
Sebelum melawat mangsa- mangsa itu, dia menghantar mesej di laman untuk mengumpulkan dana, Prizeo.com bagi meminta berjuta-juta peminatnya memberikan sumbangan kepada mangsa taufan tersebut.

"Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu berasa gembira kerana Bieber mahu mela- wat Tacloban," kata penyelaras tabung itu, Angela Kearney. - Agensi

Monday 9 December 2013

Banjir Terengganu, Johor, Pahang makin surut

Di Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri melaporkan beberapa jalan utama iaitu Kuala Terengganu-Kuantan dan Lebuhraya Jerangau-Jabor serta jalan pantai kini dibuka kepada semua kenderaan.  

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) Terengganu melaporkan paras air di semua sungai utama di negeri itu juga berada di bawah paras amaran.

Jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan di negeri itu kian berkurangan kepada 15,876 orang berbanding 22,617 orang pagi tadi.
KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu, Johor dan Pahang semakin pulih dengan semakin ramai mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah manakala beberapa jalan utama boleh dilalui kenderaan, setakat 5 petang ini.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka terdiri daripada 3,475 keluarga yang berada di 45 pusat pemindahan di Dungun, Kemaman, Kuala Terengganu dan Marang.

Di Kemaman, 7,534 orang telah pulang ke rumah masing-masing dengan hanya 13,335 sahaja yang masih tinggal di pusat-pusat pemindahan manakala di Dungun jumlah mangsa turut berkurangan kepada 2,512 orang berbanding 2,719 orang pagi tadi.

Di Kuala Terengganu seramai enam orang mangsa terdiri daripada satu keluarga masih ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Felda Belara manakala di Marang, hanya 23 orang daripada lapan keluarga masih berada di Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh.   

Di JOHOR, hanya tujuh pusat pemindahan banjir yang masih dibuka di Segamat petang ini bagi menempatkan 449 orang daripada 114 keluarga.

Pusat pemindahan tersebut ialah Balai Raya Kampung Sanglang, Balai Raya Kampung Tandong, SK Kampung Spang Loi, Balai Raya Gemereh IV (Batu Badak), Balai Raya Kampung Gemereh III, Balai Raya Pogoh 2 dan Sekolah Agama Kampung Kuala Paya.

Sementara itu, pusat pemindahan di Balai Raya Linau Kechil di Batu Pahat dan Balai Raya Parit Stan di Pontian yang dibuka pagi hari ini telah ditutup dan kesemua mangsa banjir telah dibenarkan pulang.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan berkurangan kepada 32,189 orang, manakala kesemua tujuh pusat pemindahan yang menempatkan 137 mangsa banjir di daerah Raub telah ditutup tengah hari tadi.

"Sehingga 5 petang tadi, seramai 32,189 mangsa banjir yang terdiri daripada 9,879 keluarga masih ditempatkan di 132 pusat pemindahan di lapan daerah yang terjejas banjir," kata jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang ketika dihubungi Bernama.

Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 26,397 orang di 34 pusat pemindahan.

Di Pekan, masih terdapat 3,182 mangsa di 34 pusat pemindahan, Temerloh (1,049 orang di 23 pusat pemindahan), Maran (839 di 17 pusat), Jerantut (456 di 10 pusat), Bera (170 di tujuh pusat), Lipis (60 di lima pusat) dan Rompin (36 di dua pusat).

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup kepada semua kenderaan antaranya di Km14, Jalan Temerloh-Bahau dan Jalan Jerantut-Kuala Lipis (Kampung Sepial). - Bernama

Sunday 8 December 2013

Mangsa banjir di pusat pemindahan di Pahang melebihi 40,000 orang

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang meningkat kepada 40,819 berbanding 40,008 orang malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua mangsa daripada 11,746 keluarga itu ditempatkan di 149 pusat pemindahan dari 154 penempatan di sembilan daerah yang tertejas akibat banjir.
"Kuantan masih menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 34,426 orang di 42 pusat pemindahan,” katanya.

Di Pekan, masih terdapat 3,329 mangsa di 31 pusat pemindahan, Maran (1,034 orang di 19 pusat pemindahan), Temerloh (1,002 di 22 pusat), Jerantut (520 di 11 pusat), Raub (209 di 10 pusat), Bera (189 di tujuh pusat), Rompin (57 di tiga pusat) dan Lipis (53 di empat pusat).

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup antaranya Km28 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Km72 Jalan Kuantan-Segamat, Jalan Jerantut-Lipis (di Kampung Sepial), Km14 dan 18 Jalan Temerloh-Bera. - Bernama

Tuesday 3 December 2013

Apa salah anak-anak saya?

ALOR SETAR – “Apa salah anak saya sehingga diperlaku sebegini?. Anak saya tidak berdosa.”

Demikian rintihan Siti Aishah Ariffin, 40, ibu kepada tiga beradik yang disyaki menjadi mangsa pembunuhan kejam sebelum mayat mereka ditemui di dua lokasi di sini pada Sabtu lalu dan kelmarin.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia sentiasa berdoa supaya pembunuh ketiga-tiga anaknya dapat diberkas dan menerima hukuman yang setimpal.
Kosmo

Salima AF4 jadi isteri kedua pendakwah terkenal

BEKAS pelajar Akademi Fantasia musim ke-4, Salima Habibi sah bergelar isteri kedua kepada seorang pendakwah terkenal, Ustaz Syed Abd Kadir Syed Hussin Aljoofre.



Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kali kedua Ustaz Syed Abd Kadir.

Perkahwinan pertama bersama Sharifah Wafa’ Alhadad dikurniakan tiga cahaya mata.
Majlis pernikahan mereka berlangsung di kampung halaman Salima di Chemor, Perak minggu lalu.

Monday 2 December 2013

Pelakon Fast and Furious Meninggal Dunia - Paul Walker

LOS ANGELES - Bintang filem aksi kereta Fast and Furious, Paul Walker maut dalam satu nahas jalan raya kelmarin, kata jurucakapnya di akaun Facebook aktor berkenaan.

"Kami dengan berat hati mengesahkan bahawa Paul Walker meninggal dunia akibat kemalangan kereta hari ini ketika dia menghadiri satu acara untuk badan amalnya, Reach Out Worldwide," menurut kenyataan tersebut.
"Dia menumpang kereta seorang rakannya. Mereka terkorban dalam nahas tersebut," tambahnya.

Jurucakap itu yang dikenali sebagai Pasukan PW menyatakan bahawa mereka "terkejut dan amat sedih dengan berita tersebut".
Pengumuman serupa turut disiarkan di laman sosial Twitter.
Walker, 40, dikenali ramai kerana wataknya sebagai ejen rahsia, Brian O'Conner dalam siri filem Fast and Furious.

Dia berlakon dalam lima daripada enam filem itu bersama dua pelakon popular lain, Vin Diesel dan Michelle Rodriguez.
Media Amerika Syarikat melaporkan, Walker meninggal dunia di Daerah Los Angeles apabila kereta sport Porsche yang dinaikinya terbakar selepas merempuh sebatang pokok. - AFP

Klik Untuk Saya k... :)

free counters