Jom Buat Duit

Thursday 12 December 2013

NEW DELHI - Mahkamah Agung India semalam menguatkuasakan semula larangan ke atas hubungan homoseks yang bakal menyaksikan golongan gay berdepan hukuman penjara.

Panel dua hakim sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi New Delhi pada 2009 yang mendapati larangan melakukan hubungan sejenis adalah bertentangan dengan hak asasi rakyat India.
Larangan itu terkandung dalam seksyen 377 kanun jenayah negara berkenaan.

Keputusan membenarkan hubungan homoseks empat tahun lalu memberi kebebasan kepada golongan gay untuk berkempen menentang diskriminasi dan persepsi negatif terhadap mereka.
Golongan gay di negara itu masih bergerak secara tertutup tidak seperti di Eropah.

Dalam keputusannya, Mahkamah Agung yang diketuai oleh G.S. Singhvi mendapati bahawa Mahkamah Tinggi telah melangkaui bidang kuasanya, manakala undang-undang tersebut yang diluluskan oleh pihak British pada 1860 adalah sah di sisi perlembagaan negara.
"Hanya Parlimen yang boleh memutuskan isu ini," kata Singhvi.

Perbicaraan yang berlangsung di pusat bandar raya ini semalam turut dihadiri oleh sejumlah aktivis pro gay.
"Keputusan seperti ini tidak wajar daripada sebuah mahkamah tertinggi. Ini merupakan hari yang gelap untuk komuniti gay," kata seorang peguam sebuah pertubuhan hak gay, Forum Undang-Undang Alternatif, Arvind Narayan.

"Kami amat marah dengan keputusan ini yang mundur ke belakang," tambahnya.
Pada tahun 2009, kumpulan-kumpulan agama terutamanya komuniti Kristian dan Islam di India berang dengan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu yang membenarkan hubungan homoseks.
Mereka yang kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung, gembira dengan keputusan semalam.
Dalam pada itu, Program Pembangunan berhubung HIV/AIDS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan kebebasan hubungan sejenis dapat membantu India mengekang penularan jangkitan HIV/AIDS yang menjangkiti 2.5 juta penduduk negara itu.

Sejak sekian lama, hubungan jenis menjadi topik larangan di India dengan ramai penduduk negara itu melabel golongan gay sebagai menghadapi masalah mental.
Keputusan Mahkamah Agung meletakkan India kembali bersama kebanyakan negara Islam dan Afrika yang mengharamkan hubungan sejenis.

Negara tunggal yang membenarkan hubungan homoseks di rantau Asia Selatan adalah Nepal. - AFP

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters