Jom Buat Duit

Friday, 11 May 2012

Eric lelaki pilihan Nurul


PENYANYI dan pelakon, Nurul Huda Abd. Wahab tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh buat kali kedua pada usia 36 tahun dengan seorang duda tanpa anak berasal dari Perancis, Eric Depp, 47. Nurul pernah kecewa apabila rumah tangganya bersama komposer dan penyanyi Ajai runtuh pada tahun 2007, malah percintaannya selepas itu hanya melukakan hati wanitanya.

Namun, pertemuan yang diaturkan oleh rakan artis Zahida Rafik dengan Eric pada September 2010 membawa bunga cinta dalam hati Nurul apabila dia dan Eric mula serius pada Januari 2011.
Tidak meletakkan sebarang harapan kerana bimbang dikecewakan lagi, Nurul bagaimanapun telah dilamar oleh Eric sambil disaksikan keluarganya pada 14 Februari tahun lalu dan menerima cincin tanda ikatan pada 14 Februari tahun ini.

Disoal, apakah yang membuka hatinya untuk menerima Eric sebagai suami sedangkan, mereka berbeza budaya dan agama?
"Sebenarnya pada awal perkenalan kami, saya hanya berkawan seperti biasa dengannya dan tidak meletakkan sebarang harapan. Kalau soal jodoh, saya tidak mempunyai sebarang kriteria tertentu, tidak kira apa sahaja warna kulit dan asalnya, jika sudah jodoh saya terima.

"Walaupun Eric berasal dari Perancis tetapi dia sudah enam tahun menetap di Malaysia, dia sangat menghormati budaya tempatan dan juga saya sebagai wanita. Dia juga seorang lelaki yang bertanggungjawab dan terima saya seadanya termasuk kerjaya saya sebagai penyanyi," jawabnya.

Tutur Nurul yang ditemui pada majlis pradengar album terbaharunya serta pengumuman perkahwinannya baru-baru ini, bakal suaminya itu sudah memeluk Islam pada 13 Februari tahun ini dan memilih nama Eric Daniel Depp sebagai nama Islamnya.
FIGURA cantik ini nekad memilih lelaki Perancis bernama Eric Daniel Depp sebagai bakal suami.

"Dia sudah belajar tentang Islam dan memahami tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga kelak. Tanggungjawab saya pula lebih berat untuk membimbingnya tentang agama Islam. Alhamdulillah setakat ini kami tidak ada sebarang masalah," kata Nurul.

Nurul yang akan bernikah pada 6 Jun di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur masih merahsiakan wajah bakal suaminya yang bekerja sebagai perunding dan jurulatih kesihatan sebuah syarikat nutrisi antarabangsa itu.

Katanya, wajah Eric hanya boleh dipertontonkan pada umum pada majlis pernikahannya kelak.
"Saya bukan tidak mahu bawa dia pada majlis sidang akhbar ini tetapi, dia tidak mahu mencampuri urusan kerja saya.

"Sidang akhbar ini adalah untuk album baharu saya, dia memahami kerja saya sebagai penyanyi, dia hanya akan muncul pada majlis pernikahan nanti," jelas Nurul tersenyum.
Jika sebelum ini Nurul pernah bersikap terbuka soal cinta hati, namun kali ini Nurul cukup berahsia mengenai kekasih hatinya. Tidak sengaja mahu berahsia, tetapi pengalaman yang lepas cukup mengajar Nurul untuk menyimpan kisah peribadi dengan kemas.

"Sebelum ini saya bersikap terbuka dan jujur kerana kehidupan peribadi saya, satu perniagaan (ketika bersama Ajai). Selepas berpisah, kehidupan peribadi bukan lagi satu perniagaan dan saya pernah jujur memberitahu kisah peribadi, bagaimanapun perkara itu yang digunakan untuk menentang saya.
"Akhirnya, saya yang terkena balik, jadi berdasarkan pengalaman, lebih baik saya simpan sendiri kisah peribadi dan mengumumkan seperti hari ini apabila hubungan itu sudah ke arah perkahwinan," ucapnya.

Tidak jemput Ajai
Nurul yang sedang menghitung hari bahagianya secara jujur memberitahu, dia tidak akan menjemput bekas suaminya, Ajai ke majlis pernikahannya. Kata Nurul, apa yang telah berlaku biarlah berlalu dan tidak mahu dikenang kembali.

"Saya tidak jemput Ajai. Saya juga tidak beritahu dia langsung tentang berita pernikahan ini. Ketika dia berkahwin dahulu pun dia tidak jemput saya. Bukan soal dendam kerana sudah tiada dendam antara kami. Kami masih berhubung kerana anak.
"Prinsip saya, apa sahaja perkara lepas biarlah berlalu dan saya tidak suka menoleh ke belakang kembali. Kehidupan harus diteruskan, masa depan lebih penting," ujarnya tegas.
TARIKH 14 Februari tahun lalu merupakan detik Nurul dilamar Eric.

Selain Nurul, anak tunggalnya bersama Ajai, Ayu Nazirah 15, merupakan orang yang paling gembira dan tidak sabar untuk meraikan hari bahagia ibunya.
"Ayu merestui dan rasanya dia lagi teruja dengan perkahwinan ini daripada saya sendiri. Dia tidak sabar untuk mengiringi saya masuk ke majlis pernikahan nanti," kata Nurul lagi.

Bercakap soal majlis perkahwinannya, kata Nurul, pada 6 Jun akan berlangsungnya majlis pernikahan pada pukul 11 pagi dan majlis resepsi pihak pengantin perempuan akan diadakan di lokasi yang sama selepas majlis pernikahan berakhir.
"Majlis saya hanya sederhana kerana saya hanya menjemput 200 orang tetamu yang terdiri daripada keluarga, teman rapat dan juga pihak media. Saya ingin meraikan hari bahagia saya dengan orang yang benar-benar rapat sahaja," balasnya yang boleh berkomunikasi sedikit dalam bahasa Perancis.
Selepas Kuala Lumpur, Pulau Bali Indonesia pula menjadi saksi cinta mereka apabila dipilih sebagai lokasi resepsi sebelah pihak lelaki pada 14 Jun ini.

"Resepsi di Bali hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan teman rapat sahaja. Boleh dikira sebagai bulan madu sekali," ujarnya yang akan menyarungkan busana berwarna putih rekaan pereka fesyen Rizman Ruzaini.

Album baharu
Pada majlis yang sama, Nurul juga mengadakan majlis pradengar album mini terbaharunya yang akan diedarkan oleh Sony Music pada bulan hadapan. Album yang mengandungi lima buah lagu berjudul Mari, Cinta Nurul, Selamat Jalan, Kerana Kau Ada dan Takut Paranoia itu diterbitkan oleh Andi Merican.

Masih mengekalkan identiti Nurul sebagai penyanyi lagu balada, album terbaharu yang masih belum berjudul itu turut diberi nafas segar apabila buat pertama kalinya menerusi lagu berjudul Mari, Nurul berduet dengan penyanyi rap Singapura, Komrad.

"Ini kali pertama saya berduet dengan penyanyi rap untuk memberi nafas segar dalam lagu. Kerjasama yang baik dan mungkin dengan kerjasama ini, lagu saya akan popular di Singapura," kata Nurul yang mengidam untuk menembusi pasaran Asia.

Album yang mengambil masa selama enam bulan untuk dibikin itu, merupakan kerjasama kali pertama Nurul dan Andi. Meskipun tidak pernah bekerjasama sebelum ini, Nurul mengakui berpuas hati dengan hasil yang diberikan tambahan, Nurul juga terlibat 100 peratus dalam penerbitan album terbaharunya itu.

"Sebelum berjumpa Andi, saya terlebih dulu mencari beberapa komposer dan penerbit lain tetapi nampaknya jodoh saya dengan Andi lebih kuat. Walaupun masih muda tetapi, saya yakin dengan bakat yang dimiliki serta kesungguhannya menghasilkan album ini," tuturnya yang pernah muncul dengan album Tika Cinta pada tahun 2009.
NURUL mempunyai sebab tersendiri kenapa dia enggan menjemput bekas suaminya, Ajai untuk menghadiri majlis pernikahannya dengan Eric.


Masih percaya dengan industri muzik tempatan meskipun albumnya sebelum ini Tika Cinta tidak mendapat sambutan, Nurul kini hadir dengan satu pasukan yang cukup lengkap untuk membina semula jenamanya.

"Album Tika Cinta tidak dapat sambutan kerana pelbagai sebab, antaranya promosi yang kurang dijalankan kerana ketika itu kontrak saya dengan Alibi Music hanya setahun, jadi tidak ada masa untuk promosi album.
"Jika orang yang mendengar album itu, ramai yang mengatakan lagu-lagunya bagus tetapi mungkin disebabkan masalah promosi yang kurang, album itu kurang dapat sambutan. Sekarang, saya hadir dengan satu pasukan yang cukup lengkap dan strategi pemasaran sudah pun mula dilakukan," jawabnya.

Nurul yang berbakat dalam penulisan lirik menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab penghasilan album ini kepada penerbit dan pencipta lagu. Ujarnya, kepadatan jadual hariannya menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk menulis lirik buat albumnya sendiri.
"Memang saya tidak ada masa, mungkin pada masa depan saya akan tulis lirik sendiri. Andi datang dengan lagu yang sudah siap dan saya sendiri sukakan lagu-lagu tersebut, saya yakin dengan kemampuan pencipta dan penulis lirik dalam album ini," katanya yang menggunakan khidmat Nadia Aquila, Andi Merican, Sulu Sarawak, Shah Shamsiri, Don Mukri dan Eenaz Mokhtar sebagai pencipta lagu dan penulis lirik album terbaharunya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters