Jom Buat Duit

Tuesday 10 April 2012

Dominasi Lat Kampung Boy

MUZIKAL Lat Kampung Boy tercalon dengan 12 penyertaan daripada 36 kategori yang dipertandingkan dalam anugerah BOH Cameronian Art Awards.
 
JIKA tahun 2009 menyaksikan teater muzikal Prince Siddartha menang besar pada majlis BOH Cameronian Art Awards, siapa pula yang bakal membolot gelaran yang sama tahun ini?
Penganjuran kali ke-9 tahun ini bagaimanapun memperlihatkan dominasi teater muzikal arahan Harith Iskander dan Hans Isaac iaitu Lat Kampung Boy dengan 12 penyertaan daripada 36 kategori yang dipertandingkan.

Majlis anugerah yang dikendalikan oleh portal dalam talian, Kakiseni.com itu kali terakhir menganjurkan anugerah tersebut dua tahun lalu ketika portal berkenaan masih dipegang oleh Jenny Daneels dan Kathy Rowland sejak diasaskan pada tahun 2001 sebelum bertukar tangan kepada Low Ngai Yuen.
Menurut Ngai Yuen, penyertaan pada tahun ini memperlihatkan bidang seni persembahan dalam kalangan karyawan tanah air semakin berkembang dan berpotensi untuk diketengahkan.
“Kami sangat teruja untuk membawakan kembali majlis penganugerahan yang mengiktiraf karya-karya seni tempatan.

“Sepanjang acara itu dihentikan selama dua tahun, pelbagai naskhah berkualiti dan menarik dapat kita lihat muncul dalam industri,” katanya yang ditemui ketika majlis pengumuman calon-calon yang bertanding untuk BOH Cameronian Art Awards untuk tahun 2011 di Alexis, The Garden, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Calon-calon daripada 36 kategori kali ini akan diadili oleh 20 orang wakil profesional dalam bidang tarian, muzik, teater muzikal dan teater.

Menerusi penyertaan tahun ini ujar Ngai Yuen, teater muzikal Lat Kampung Boy mengungguli senarai calon dengan 12 penyertaan diikuti rapat oleh teater muzikal Secret Life Of Nora.
Teater itu tercalon antaranya untuk kategori Penata Cahaya Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Rekaan Kostum dan Tatarias Terbaik, Rekaan Set Terbaik, Persembahan Terbaik (watak utama dan sampingan) dan Pengarah Terbaik.

Teater muzikal Terima Kasih Cinta dan drama Short Eyes masing-masing menerima lapan penyertaan.
Sementara itu, koreografer profesional, Pat Ibrahim dicalonkan sebanyak lima kategori pada tahun ini, tiga daripadanya untuk Koreografer Terbaik, dan selebihnya Lirik/Karya Asal Terbaik serta Pengarah Terbaik.
Dua bintang filem Bunohan pula, Zahiril Adzim dan Nam Ron yang turut tampil dalam drama Short Eyes tidak ketinggalan tercalon.

Zahiril yang sebelum ini pernah membawakan peranan seorang penghidap pedofilia tercalon untuk Pelakon Terbaik Teater (watak utama) manakala Nam Ron menerima pencalonan Pelakon Terbaik Teater (watak sampingan) menerusi wataknya seorang banduan bernama Ben Ice Jefferson.
Menerusi kategori tarian pula, balet kontemporari Fragile dicalonkan sebanyak enam anugerah yang mana tiga daripadanya untuk Persembahan Terbaik yang diwakili oleh Chew Zi Xin, Steve Goh dan Wong Jyh Shyong.

Selain itu, produksi JS Dance Theatre juga bakal berentap untuk Persembahan Berkumpulan Terbaik, Rekaan Set Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik dan Tatarias Terbaik.
Malam penganugerahan akan berlangsung pada 10 April untuk kategori teknikal dan selebihnya pada 29 April ini.

Peminat seni tanah air boleh mula mengundi calon kegemaran masing-masing menerusi laman sesawang www.awards.kakiseni.com sebelum 26 April 2012.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters