Jom Buat Duit

Sunday 22 April 2012

Pilih Kasih berakhir malam ini



FINALIS Pilih Kasih 3, (dari kiri) Fareth, Marina, Hakim, Heri, Sura, Jalius, Nizen, Theera dan Reen bersaing sengit untuk merebut gelaran Juara Pilih Kasih 3 di TV2 malam ini.


BABAK rayuan dalam minit-minit terakhir pada episod separuh akhir Pilih Kasih musim ketiga minggu lalu seharusnya menjadi pembakar semangat kepada sembilan peserta akhir yang bakal bertarung merebut gelaran juara program itu malam ini.

Selepas sepuluh minggu bersiaran dan mempertaruhkan seramai 16 artis, program realiti seni lakon itu akhirnya tiba noktah terakhirnya. Berbanding musim sebelum ini, musim ketiga Pilih Kasih menyaksikan paling ramai peserta masuk ke peringkat akhir. Sembilan peserta yang berjaya ke peringkat akhir termasuklah lima peserta lelaki iaitu Fareth Agang, Hakim Yazid, Heri Aszmo, Jalius Jaibin dan Nizen Ayob. Turut memberikan saingan ialah Marina Jose, Reen Rahim, Sura Sojangi dan Theera Alias.

Semuanya gara-gara tindakan semua orang kuat program berkenaan termasuklah pengarah, penerbit dan pelakon tersohor, Erma Fatima yang merupakan tenaga pengajar dalam program tersebut yang bermati-matian menidakkan keputusan Penerbit Eksekutif Pilih Kasih, Rosyam Nor yang mahu menyingkirkan tiga peserta.

"Saya merasakan tidak salah jika saya berikan mereka peluang terakhir. Dalam tempoh satu minggu terakhir ini banyak yang mereka boleh pelajari. Memang mereka layak disingkirkan berdasarkan undian, tetapi saya menidakkan keputusan itu kerana saya percaya ketiga-tiga mereka punya bakat tersendiri," kata Erma yang turut mendapat sokongan penuh daripada orang kuat Pilih Kasih kali ini termasuklah Fauziah Nawi, Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida.

Rosyam pula menyifatkan Pilih Kasih 3 menyuntik elemen segar yang mana kesemua artisnya lebih yakin dan dinamik, beliau amat berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan artis PK kali ini.
"Jujurnya saya melihat kesemua artis Pilih Kasih terutamanya sembilan yang tersenarai di pentas akhir ini mempunyai pakej yang sudah mampu ditolak ke hadapan. Saya tidak bimbang akan pakej yang ada kerana sejak di peringkat uji bakat kami amat menitikberatkan soal wajah dan penampilan," katanya yang berterima kasih kepada semua penaja program.
Tiga peserta yang mendapat undian terendah pada minggu lalu dan terselamat daripada penyingkiran ialah Fareth Agang, Jalius Jaibin dan Nizen Ayob.

Nizen yang sebelum ini pernah muncul dalam beberapa drama di kaca televisyen menganggap peluang akhir dalam Pilih Kasih sebagai sesuatu yang tiada ternilai. Mungkin pengalaman memberi markah besar untuk Nizen muncul juara.
"Ini peluang besar untuk saya buktikan bahawa undian serta ilmu daripada tenaga pengajar selama ini tidak sia-sia," ujar Nizen yang lebih berkeyakinan.

Juara Pilih Kasih 3 akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000, naib juara (RM5,000), tempat ketiga (RM3,000) dan beberapa hadiah iringan sumbangan Bank Simpanan Nasional dan Telekom Malaysia Bhd. Siaran langsung Pentas Akhir Pilih Kasih 3 dari Pusat Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban boleh disaksikan di TV2 pada pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters