Bimbang berulang kembali perkara yang tidak diingini ketika kehamilan pertama dan kedua dulu, kali ini Rabecca lebih berhati-hati dengan tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai berita gembira itu melainkan suami dan keluarga terdekat saja. Dia yang sememangnya sayangkan kanak-kanak berharap kehamilannya itu tiada gangguan kerana tidak sabar untuk menambah ahli keluarga baru.
Sebelum mengetahui yang dirinya hamil, Rabecca sibuk berlakon di lokasi drama Dejavu Di Kinabalu arahan Erma Fatima dan Trilogi Cinta 2 arahan Amie Maziah.
“Memandangkan jadual kerja di kedua-dua lokasi itu tidak bertindih, saya tiada masalah untuk melakukannya. Bagaimanapun, drama Trilogi Cinta 2 selesai penggambaran dua minggu lebih awal. Selepas itulah saya rasa tak ‘sedap’ badan dan sebaik saja menjalani pemeriksaan, sahlah saya hamil.
“Ketika mendapat berita yang menggembirakan itu, masih ada babak yang diperlu diselesaikan dalam Dejavu Di Kinabalu dan Alhamdulillah, kak Erma, kru dan pelakon lain memahami keadaan saya dan mereka juga minta saya berhati-hati.
“Saya terus merahsiakan yang saya hamil sekali lagi daripada kawan-kawan sehinggalah mereka sendiri nampak perut saya yang semakin membesar. Apabila usia kandungan masuk tiga bulan, alahan semakin kurang, tetapi apabila masuk bulan kelima ini, saya alah semula.
“Perut terasa lapar nak makan, tetapi selepas makan saya muntahkan semula.
Letih rasanya kerana setiap makanan yang masuk ke mulut tidak dapat lekat dalam perut. Apapun saya tetap bersyukur apabila baru-baru ini saya menjalani pemeriksaan bulanan, saya dan bayi dalam kandungan sihat.
“Apa yang saya alami adalah alahan biasa dan terpaksalah saya bersabar. Sama ada bayi ini lelaki atau perempuan, saya dan suami menerimanya dengan gembira kerana apa yang penting, Allah SWT makbulkan doa kami untuk memperolehi cahaya mata secepat mungkin. Saya mahukan keluarga yang besar kerana bila tua nanti, anak-anaklah harta yang paling berharga,” katanya.
Drama Dejavu Di Kinabalu lakonannya kini disiarkan menerusi slot Akasia TV3, Isnin hingga Khamis, jam 7 malam. Dalam drama itu, dia memegang peranan sebagai Uzma iaitu seorang wanita yang baik namun kesabarannya tergugat dengan kecurangan adiknya, Nadira (Tiz Zaqyah).
Dejavu Di Kinabalu menceritakan mengenai kekasih Ammar (Aqasha), Innara yang meninggal dunia dan menderma jantungnya kepada Nadira yang juga pesakit jantung. Nadira sangat bersyukur kerana dapat menjalani pemindahan jantung ketika nyawanya di hujung tanduk.
Bazli (Nazim Othman), kekasih Nadira sangat mencintainya dan menjaganya dengan baik sepanjang dia sakit. Nadira berasa amat terhutang budi pada Bazli. Nadira adalah pereka hiasan dalaman, begitu juga Ammar.
Takdir menemukan Ammar dengan Nadira secara tidak sengaja. Ammar mahupun Nadira tidak mengetahui bahawa jantung yang ada dalam diri Nadira adalah milik kekasih Ammar iaitu Innara.
Takdir jugalah yang menemukan mereka kembali apabila ditugaskan untuk menyiapkan projek yang diusahakan syarikat Bazli. Ammar terus jatuh cinta dengan Nadira dan dia berasakan Innara ada dalam diri Nadira.
Melihat Nadira seakan-akan melihat cinta hatinya yang sudah mati. Degup jantung Nadira pula semakin laju apabila terpandang Ammar. Mereka berdua saling tertarik dan cuba untuk menghindari perasaan itu.
“Jalan cerita Dejavu Di Kinabalu sangat menarik dan ia memberi kesan yang agak besar kepada saya. Kini peminat lebih mengenali saya sebagai Uzma,” katanya.
Ketibaan Ramadan ini, Rabecca berusaha untuk mengerjakan rukun Islam ketiga itu. Walaupun alahannya masih ada, Rabecca terpaksa menguatkan semangatnya bagai menyempurnakan puasanya.
“Tetapi kalau dah tak larat sangat dan bimbang memudaratkan kesihatan saya dan bayi, terpaksalah saya berbuka. Insya-Allah selepas bersalin nanti saya akan menggantikannya,” katanya.
Meskipun begitu Rabecca teruja untuk menyambut kedatangan lebaran dan sudah pun menyiapkan beberapa helai baju raya. Jika pada Syawal lalu buat kali pertama berhari raya di kampung halaman Azam di Kuching, Sarawak, tetapi tahun ini mereka sekeluarga akan balik beraya di kampung keluarga Rabecca di Johor Bharu.
Mengakui kemeriahan Aidilfitri lebih dapat dirasai ketika menyambutnya di Kuching bersama keluarga besar Azam namun bagi memberi keadilan kepada kedua-dua keluarga, mereka mengamalkan sistem giliran.
“Keluarga Azam sangat besar di mana setiap tahun kami akan berkumpul di rumah bapa Camelia yang juga bapa saudara Azam. Pada hari raya pertama sehingga ketiga, akan diadakan rumah terbuka di mana setiap hari akan menerima kedatangan hampir 2,000 tetamu.
“Dari pagi kami semua sudah bersedia dengan segala jenis hidangan dan duit raya untuk diberikan kepada mereka yang datang. Jumlah duit raya pula terbahagi kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Saya pun masih dapat duit raya di mana tahun lepas saya dapat lebih RM3,000. Seronokkan, dah berkahwin pun masih dapat duit raya?
“Agak meletihkan kerana orang datang tidak berhenti tetapi ia menjadikan suasana hari raya sangat meriah. Rumah terbuka itu adalah acara tahunan keluarga Azam di mana orang di Kuching memang sudah tahu dan kedatangan mereka tidak perlu dijemput lagi.
“Setiap hari saya melaram dengan baju raya. Hari keempat adalah acara untuk keluarga di mana kami beramai-ramai meraikannya di Damai Beach Resort, Kuching. Memang sangat berbeza sambutan raya di Kuching kerana ia sangat meriah.
“Walaupun tahun ini saya tidak dapat balik berhari raya di sana, tetapi emak mentua saya akan tetap kumpul duit raya untuk saya,” katanya.
Meskipun sudah bersuamikan orang Sarawak, namun apabila bercakap dari segi selera, Rabecca belum biasa menjamah hidangan orang sana.
“Bukan tak cuba, tetapi tak sesuai dengan selera saya. Kalau teringin sangat nak makan pun saya cuba jamah laksa sarawak. Di sana pun ada ketupat, tetapi cara penyediaannya lain sedikit. Insya-Allah saya akan cuba belajar makan makanan Sarawak selepas ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment