Jom Buat Duit
Tuesday, 24 July 2012
Kikis label 'budak jahat'
JADUAL penggambaran pada pagi Rabu minggu lalu tertunda gara-gara hujan yang tumpah mencurah ke lantai pekarangan Kampung Budaya 1Malaysia, Menara Kuala Lumpur.
Terpaksa jurufoto Amin Farij Hassan membidik sasaran pada ketika itu dari perspektif berbeza. Hasilnya, figura Awi Rafael segak bersama sebuah gitar koleksi istimewanya berjaya dirakam menggunakan teknik khas fish eye.
Kata Awi, ketika itu dia berbangga melihat hasilnya walaupun pergerakan terbatas. Dia juga menyifatkan hujan seperti muzik yang mengawal tingkahnya.
"Masa berlalu amat cepat, diam tak diam lebih setahun saya berada dalam industri seni dan dapat peluang untuk mencetuskan aliran muzik saya.
"Syukur Alhamdulillah saya diterima ramai dan saya gembira. Terbukti lagu itu adalah raja yang sifatnya memfokus dan menyatukan" kiasnya.
Ketika namanya sedang meningkat naik bermula dengan lagu Pulanglah diikuti Bila Aku Jatuh Cinta dan kini Asalkan Aku OK, Awi Rafael atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Ewan Gunawan, 26, cenderung mengikuti arus muzik rakan seperjuangannya seperti Aizat dan Yuna.
Katanya, kedua-dua nama besar itu pandai membawa diri dan jujur dalam berkarya. Ujarnya: "Orang sekeliling akan mengiktiraf muzik kita jika kita ikhlas dan melakukan apa yang Allah kurniakan."
Mendalami makna di sebalik kata-kata itu, Awi menjelaskan setiap naskhah lagu yang dihasilkan tercetus daripada idea yang datang secara tiba-tiba dan ketika itu adakalanya dia perlu merakamkan setiap melodi melalui telefon jika berada di luar rumah.
Lirik rojak
Begitu juga lirik-lirik lagunya, ilham yang datang secara tiba-tiba perlu dicatatnya tanpa perlu ditangguh-tangguh. Lantaran itu ujarnya, ada sesetengah lirik lagunya mengandungi patah berbahasa Inggeris.
"Sekali ilham datang saya perlu tulis, hal yang sama terjadi jika lirik itu muncul dalam minda. Hakikatnya, lirik yang pertama kali muncul itu adalah lirik terindah yang jika digubah menjadi kurang enak," ujarnya ketika ditanya mengenai caranya mencampur-adukkan lirik bahasa Melayu dan Inggeris dalam beberapa buah lagunya.
Respons lain berhubung lagu itu kata Awi, dia tiada hak untuk memberikan komen lanjut terhadap lagu sendiri dan mengharapkan masyarakat menilai lagu-lagunya dengan lebih terbuka.
"Saya harap pendengar tidak mempertikaikan isu bahasa dalam lagu-lagu saya sebaliknya melihat mesej yang terkandung dalam setiap lagu.
"Lagipun, pendengar sudah kenal cara Awi Rafael mencipta lagu dan saya pun kini dalam proses mempelajari beberapa teknik lain," katanya yang bakal muncul dengan sebuah album baharu berjudul Siapa Yang Sempurna selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Hanez Suraya
Menyusur lebih mendalam, album yang mengandungi sembilan buah lagu itu merupakan album kedua Awi selepas album EP lima buah lagu Awi Rafael yang sebelum ini dikeluarkan sekitar tahun lalu.
Ujar Awi, album itu sifatnya lebih matang, sarat kisah-kisah romantis, kisah hatinya, berkisar masyarakat dan menyampaikan mesej-mesej ketuhanan.
"Album itu sudah siap sepenuhnya dan menunggu masa untuk dipasarkan tidak lama lagi. Tiga bulan lalu, saya mendapat peluang untuk membuat proses mastering di Abbey Road, London, tempat kumpulan The Beatles merakamkan album mereka suatu ketika dulu," tambahnya.
Memetik sebaris kata-katanya berkenaan album itu, ia sedikit sebanyak menceritakan perjalanan cinta Awi yang kini sedang hangat bersama pelakon Hanez Suraya.
Ditanya sejauh mana perhubungan dua jiwa itu memandangkan mereka tidak lagi segan bermain teka-teki akan hal status hubungan mereka, jawab Awi hubungan mereka di tahap "menggalakkan!"
"Kami tenang dan selesa. Menggalakkan dalam erti kata lain saya tidak mahu berjanji tapi perlu buktikan terlebih dahulu.
"Saya perlu kerja keras dan sekiranya jodoh kami berpanjangan, insya-Allah akan ke jinjang pelamin jua. Sasaran kahwin lagi cepat lagi bagus, tapi saya tidak mahu tergopoh-gapah. Kedua-dua keluarga sudah menerima hubungan kami dengan baik.
"Malah, raya tahun ini lebih seronok kerana dapat menyambutnya di kampung Hanez di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain kampung mama saya di Pontian, Johor," ceritanya teruja.
Berlakon
Sementara itu, umpama rezeki datang bergolek, Awi kini sedang mempersiapkan diri untuk berlakon dalam sebuah filem yang enggan didedahkan judulnya.
Menariknya, filem itu dijadualkan menjalani penggambaran di Gold Coast, Australia pada 1 hingga 15 Ogos ini. Tambah mengujakan, tahun ini sekali lagi Awi bakal berpuasa di perantauan biarpun hanya dua minggu.
"Saya akan membawakan watak seorang busker (penyanyi jalanan) seperti mana kehidupan saya sebelum ini di sana. Saya mengambil peluang ini kerana saya rasakan selesa biar pada mulanya agak segan.
"Berlakon bagi saya merupakan satu cabang untuk mengembangkan bakat, tapi saya tetap akan setia bersama bidang penulisan lagu yang membawa saya hingga ke tahap ini," tambahnya.
Tidak kekok katanya berpuasa di tempat sejuk seperti Australia, yang canggung apabila tidak ramai umat Islam di negara itu yang boleh meraikan bulan penuh berkat itu.
"Di sana tidak ramai orang Melayu, ketika di Melbourne pun hanya ada sebuah masjid kecil iaitu Masjid Al-Buqaraq untuk beribadat.
"Tapi tahun ini saya sudah berjanji dengan diri sendiri untuk mengadakan majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim. Saya mengambil peluang kali ini untuk beribadat sebaik mungkin," janjinya.
Kosmo
Labels:
Awi Rafael
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment