Bagaimanapun, tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang muncul juara keseluruhan Sukma buat kali keempat berturut-turut.
Pada edisi kali ini, Terengganu sekali lagi berada dalam kelas tersendiri apabila merekodkan 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.
Ia dianggap kejayaan terbaik yang dilakar Terengganu yang meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa ketika kali pertama kontinjen yang digelar Terengganu Hanelang itu muncul juara kali pertama Sukma pada edisi 2008 di bumi sendiri.
Sementara itu, juara Sukma tujuh kali, Selangor pula terpaksa berpuas hati di tangga kedua apabila mengumpul 47 pingat emas, 54 perak dan 60 gangsa.
Tampil selaku tuan rumah, Pahang masih boleh berbangga apabila menempatkan diri dalam kelompok tiga kontinjen terbaik selepas mengutip 45 pingat emas, 50 perak dan 38 gangsa.
Selain kejayaan Terengganu mengungguli temasya Sukma buat kali keempat berturut-turut, dua atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus (Sabah) masing-masing diumumkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukma kali ini.
Pihak penganjur sebulat suara memilih Abdul Mubin dan Frenceay berdasarkan kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam kategori masing-masing.
Selaku penerima anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukma ke-15, Abdul Mubin dan Frenceay membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi.
Selain Abdul Mubin dan Frenceay, perenang Wilayah Persekutuan, Ian James Barr turut muncul sebagai atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsan pada Sukma kali ini menerusi acara 200 meter rampaian individu lelaki.
Selain tiga rekod kebangsaan, sebanyak 33 rekod Sukma berjaya diperbaharui, seterusnya meninggalkan memori indah buat kesemua 15 kontijen termasuk Brunei yang bertanding pada temasya kali ini.
Pada majlis penutup Sukma ke-15 malam tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan upacara itu dalam suasana yang penuh gilang-gemilang dengan disaksikan lebih 30,000 penonton.
Najib dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar temasya seperti Sukma dapat diperluaskan di peringkat daerah bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu.
“Saya harap Sukma dapat berterusan menjadi ‘kilang’ atlet sukan negara berjuang pada temasya lebih besar seperti Olimpik. Jadi kita perlu lakukan sesuatu di peringkat daerah.
“Tahniah saya ucapkan kepada kontinjen Terengganu kerana muncul juara Sukma kali keempat berturut-turut selain pujian buat Pahang yang berlaku adil dalam setiap acara yang dipertandingkan,” katanya.
Majlis itu diakhiri dengan penyerahan bendera temasya yang menyaksikan Perlis bakal mengambil giliran menjadi tuan rumah Sukma 2014.
Sebaik menerima bendera Sukma daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Najib kemudiannya menyerahkan bendera itu kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.
No comments:
Post a Comment