Jom Buat Duit

Saturday, 14 July 2012

Aisha juara pilihan Bintang RTM 2012


TOP 3 Bintang RTM 2012. Aisha diapit Hafsyam (kanan) dan Fitri.


NAMANYA sudah terpalit dengan kontroversi kononnya sudah mempunyai album sendiri sebelum menyertai Bintang RTM 2012 (BRTM 2012).
Menafikan perkara itu dengan menegaskan, dia hanya pernah menghasilkan single tetapi gagal diedarkan ke pasaran, Aisha Masnamimie Safie atau Aisha akur itu harga yang harus dibayarnya selepas bergelar ara BRTM 2012.

Apa yang jelas, laluannya untuk mengecapi kejayaan yang diraihnya itu agak sukar kerana dia sebelum ini bukan pilihan Top 5 juri untuk mara ke peringkat akhir BRTM 2012. Bagaimanapun setelah dinilai semula bakat yang ada pada Aisha, pihak juri berpendapat, Aisha layak untuk ke gelanggang final BRTM 2012.
Sudah nasib badan, tuah Aisha bukan sahaja berjaya merangkul gelaran juara, namun anak kelahiran Pahang ini juga berjaya memenangi hati penonton dengan merangkul satu kategori khas BRTM 2012 iaitu Bintang Paling Popular khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Saya sangat terkejut ketika diumumkan sebagai juara dan bintang popular BRTM 2012 kerana semua finalis masing-masing mempunyai peminat sendiri. Ini kerana pada mulanya, saya tidak terpilih untuk bertanding ke peringkat akhir. Walaupun sedih, namun saya anggap, rezeki saya hanya setakat separuh akhir sahaja.

“Namun setelah dihubungi penerbit, saya sangat terkejut dan menangis. Saya terharu kerana pihak juri menaruh kepercayaan terhadap bakat yang ada dalam diri ini, sekali gus memberi kepercayaan kepada saya untuk sama-sama berjuang dengan rakan lain di pentas akhir BRTM 2012,” tutur Aisha teruja ketika ditemu bual usai pertandingan tersebut.
Tambahnya, dia mungkin mempunyai kelebihan dari segi vokalnya dan pesaing yang sengit bagi dirinya merupakan Hafsyam atau nama sebenarnnya, Mohd. Noordin Hafsyam iaitu pemenang tempat ketiga BRTM 2012.
Ujar Aisha, Hafsham mempunyai keistimewaan iaitu dari segi kekuatan vokal dan tenaganya juga luar biasa.
Sudah punya single

PERSEMBAHAN Aisha di pentas final Bintang RTM 2012 yang menawan hati juri dan peminat.


Menang atau tidak, untungnya peserta BRTM kali ini adalah mereka telah pun merakam sebuah single yang dicipta dan digubah oleh pengkarya terkenal. Ia seperti apa yang dijanjikan iaitu sejurus tamat pentas akhir BRTM 2012, single tersebut wajib dimainkan di corong-corong radio RTM yang sedia ada.
Bagi Aisha, walaupun mungkin namanya kurang mekar di persada seni kelak, menerusi single berjudul Fantasia yang dicipta khas untuknya itu, dia ingin tekad memperjuangkan bakat yang ada pada diri untuk lebih menyerlah dalam persada seni tanah air.
“Saya ingin menjadi seorang penyanyi yang versatil dan mampu membawa genre berbeza selepas ini. Single saya ini merupakan ciptaan Omar K. Apa yang ingin dikatakan, lagu ini memang nampak senang untuk dinyanyikan, namun pada hakikatnya ia sangat menyukarkan.
“Ini kerana saya perlu menjiwai emosi seiring dengan liriknya yang diselitkan tentang kegembiraan dan kesedihan. Selain itu, lagu ini juga mempunyai pelbagai nota yang memerlukan saya lebih berhati-hati ketika menyampaikannya,” ujar Aisha yang mengambil masa seminggu untuk menjiwai lagu tersebut.
Sebagai juara, Aisha berjaya memenangi wang tunai sebanyak RM20,000 serta sebuah kereta Cherry Tiggo 1.6, sementara sebagai Bintang Paling Popular SMS BRTM 2012 pula, dia meraih hadiah wang tunai RM5,000.
Sementara bagi Fitri Hakim Omar Walid pula, dia bersyukur kerana berjaya memenangi tempat kedua BRTM 2012.
“Semua finalis BRTM 2012 hebat-hebat belaka. Saya memang tidak jangka pun untuk merangkul gelaran naib juara ini. Sejujurnya, memang saya tidak mengharap apa-apa dan hanya lakukan yang terbaik sepanjang pertandingan berlangsung,” tuturnya yang memenangi hadiah wang tunai bernilai RM10,000.
Bicara pemuda yang lebih mesra disapa sebagai Fitri,19, dia akan berusaha mengembangkan karier sebagai seorang penyanyi. Fitri mempunyai sebuah single yang berjudul Cinta Bukan Pelangi yang ditulis oleh Suri Lui dan digubah oleh Jari yang bergenre balada R&B.
Begitu juga Hafsyam yang bersyukur dengan apa yang diterimanya sebagai pemenang tempat ketiga BRTM 2012.
Namun, bagi Hafsyam, dia merasakan kesilapan yang dilakukannya semasa menyampaikan lagu Percayalah Sayang membuat peluangnya untuk menang tipis.
“Saya mempunyai perancangan untuk bertapak di Kuala Lumpur untuk meneruskan karier dalam bidang nyanyian. Saya suka dengan single yang dicpta untuk saya yang berjudul Kata Maaf itu. Namun, jujur saya katakan saya mengambil masa selama seminggu untuk menjiwai lagu tersebut.
“Memang susah mahu bawa dan semasa latihan juga saya banyak alami tekanan. Ini kerana saya risau tidak mampu untuk menjiwai lagu tersebut,” luah Hafsham yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000.
Tiga lagi finalis BRTM 2012 masing-masing yang membawa pulang hadiah saguhati sebanyak RM3,000 ialah Christine, Aree dan Shazia yang mana Christine turut diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Terbaik.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters