Jom Buat Duit

Saturday, 14 July 2012

Zaidatul berhak bergelar Ratu Pecut Sukma ke-15

RATU pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli sekali lagi menggamit tumpuan dalam acara olahraga Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang yang berakhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.
Selepas meraih emas acara 100 meter (m) kelmarin, Zaidatul Husniah sekali lagi membuktikan larian bertenaga apabila mengungguli saingan 200m malam tadi.

Pelari Pulau Pinang itu mengesahkan pingat emas menjadi miliknya apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 24.79 saat (s).

Pingat perak menjadi milik pelari Terengganu, Nur Farahana Musa yang merekodkan masa 25.46s dan gangsa dirangkul atlet Sabah, Fathin Faqihah Mohd. Yusof dengan catatan masa 25.52s.
“Syukur alhamdulillah... saya dapat meraih emas buat kali kedua pada Sukma kali ini.

“Sejak awal perlumbaan lagi, saya hanya fokus dengan larian saya tanpa menghiraukan pencabar-pencabar lain,” kata Zaidatul Husniah sejurus tamat perlumbaan semalam.
Pelari Wilayah Persekutuan, Hisyam Alias meraih emas acara 200m lelaki apabila merakamkan masa 21.73s.

Pingat perak dan gangsa masing-masing milik pelari Selangor, S. Kanathasan (21.76s) dan atlet Negeri Sembilan, Mohd. Shahmimi Azmi.

Sementara itu, kuartet Terengganu ternyata handal apabila mengungguli acara 4x400m lelaki dan wanita.
Dalam acara 4x400m lelaki, kuartet Terengganu merakamkan masa 3:20.64s bagi meninggalkan pencabar terdekat mereka iaitu Melaka (3:21.00s) dan Perak (3:21.38s)

Bagi saingan 4x400m wanita, kuartet Terengganu mencatatkan masa 3:54.67s bagi meninggalkan Johor (4:01.03s) dan Perak (4:01.44s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Jurulatih kuartet 4x400 Terengganu, Mohd. Nizam Md. Yusop memberitahu, kejayaan yang dilakar oleh anak-anak buahnya itu sudah dijangka.
“Saya berasakan mereka mampu menjadi juara. Hampir setiap pelari saya (kuartet lelaki) mempunyai rekod kurang daripada 50s.

“Tahap keyakinan yang mereka pamerkan hari ini (semalam) membuktikan Terengganu berhak mengungguli saingan tersebut,” katanya.
Pelari tuan rumah, S. Saranraj menggamatkan stadium buat seketika apabila meraih pingat emas acara 1,500 lelaki dengan catatan masa 4:03.72s.
Pingat perak milik atlet Perak, M. Kesavan (4:04.24s) manakala gangsa diraih atlet Kedah, Tan Wei Heng (4:04.71s).

Dalam acara 20,000m jalan kaki lelaki, atlet Kelantan, Muhammad Khairil Harith Haru merangkul emas dengan catatan masa 1:36:35.32s.
Pingat perak milik atlet Negeri Sembilan, T. Dhiban Raj (1:40:43.36s) manakala gangsa diraih atlet Pulau Pinang, K. Satiyaseelan (1:42:53.17s).

Dalam acara merejam lembing lelaki, pingat emas disambar atlet Perak, Muhammad Rozaini Subki yang melakukan catatan 59.26m.
Pingat perak dan gangsa masing-masing dirangkul atlet Kedah, Muhamad Akmal Md. Zain (58.75s) dan atlet Sabah, Max Anzie Jetol (52.94s).

Bagi acara melontar peluru wanita, atlet Sarawak, Casier Renee Lee meraih pingat emas dengan catatan 12.04m, perak milik seorang lagi atlet Sarawak, Grace Wong Xiu Mei (11.78m) dan gangsa diraih atlet Kelantan, Bibi Nuraishah Ishak (11.29m).

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters