Jom Buat Duit

Saturday, 14 July 2012

Aliran matang Justin Bieber

BAKAT penyanyi kelahiran Ontario, Kanada ini dicungkil pada tahun 2008 secara kebetulan oleh Scooter Braun ketika menonton nyanyiannya menerusi laman YouTube.
Tanpa berlengah, Scooter kemudian menjadi pengurus Justin Bieber atau nama sebenarnya Justin Drew Bieber dan mengatur pertemuan eksklusif dengan penyanyi R&B terkenal, Usher di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat.

Setelah melihat bakat semulajadi pada remaja itu, Usher berminat untuk menjadi mentor kepada Bieber seterusnya satu kontrak rakaman ditandatangani bersama Island Records pada Oktober 2008 dan muncul dengan single pertama One Time pada tahun 2009.
Semenjak single pertamanya, One Less Lonely Girl, diikuti dua lagi single iaitu Love Me dan Favourite Girl mengungguli senarai lagu 15 teratas carta Canadian Hot 100 dan lagu 40 teratas carta Billboard Hot 100, jenama Bieber terus menjadi kegilaan remaja sehingga berjaya mengenepikan nama terkenal seperti Eminem, Lady Gaga, Katy Perry, Keisha dan mentornya sendiri, Usher.
Selain telah mencipta fenomena dalam jualan album dan penerima terbanyak dalam anugerah berprestij, Bieber turut meluaskan empayarnya dalam menjadi duta produk.
Bieber dikatakan telah menerima bayaran sebanyak AS$1 juta (RM3.02 juta) hanya untuk muncul dalam iklan 30 saat untuk mempromosikan produk terkini keluaran Best Buy yang kemudiannya ditayangkan sewaktu perlawanan US Super Bowl.
Berbekalkan wajah comel dan menjadi kegilaan ramai itu, bayaran yang diterima penyanyi Baby itu memang cukup lumayan iaitu sebanyak AS$3 juta (RM9.06 juta) untuk kontrak selama dua tahun dengan produk ProActiv.
Angka itu memang dianggap sebagai luar biasa bagi remaja seperti Bieber dan ia juga dikatakan berjaya mengatasi bayaran yang pernah diterima oleh artis dewasa lain yang menjadi duta produk.
JUSTIN BIEBER yang muncul dengan album terkini, Believe, menyifatkan ia sebagai lambang peralihan dirinya yang semakin matang dari segi kehidupan serta muzik.
 
Bieber juga bersetuju untuk menggunakan namanya bagi produk barangan bilik tidur seperti cadar, sarung bantal dan selimut selain fon kepala (headphone) dan barang kemas untuk kanak-kanak.
Bagi menghargai dan memberi penghormatan kepada peminat wanitanya, Bieber yang popular dengan imej rambutnya telah mengeluarkan produk kecantikan berupa varnis kuku, One Less Lonely Girl.
Tidak berhenti di situ sahaja, penyanyi paling muda menggondol anugerah tersebut sejak American Music Awards itu juga turut mencatat rekod luar biasa apabila mencatatkan kutipan sebanyak AS$73 juta (RM221 juta) di seluruh dunia dalam filem pertamanya, Justin Bieber: Never Say Never.
Pada tahun lepas, dalam senarai tahunan selebriti terkaya yang dikeluarkan majalah People, Bieber berjaya mengatasi selebriti seusianya, bintang siri drama Hannah Montana, Miley Cyrus dan kekasihnya, Selena Gomez.
Dikatakan kini, Bieber juga telah dinobatkan sebagai penghibur remaja terkaya di Hollywood dengan pendapatan berjumlah AS$53 juta (RM159 juta) pada tahun lepas.
Kekayaan tersebut dijangka akan berganda apabila Bieber kini muncul dengan album terkini, Believe yang sedang menjuarai kebanyakan carta lagu dunia. Bieber menyifatkan album tersebut sebagai bukti kepada segelintir khalayak yang selalu memperlekeh muziknya sebagai muzik tidak matang.
Ujarnya: "Believe merupakan sebuah album yang matang. Ia berjalan seiring kematangan saya sekarang sepanjang menjadi artis. Ia matang dari segi muzik, bunyi juga apa yang saya luahkan."
Tamat karier
Ketika enak berada di puncak kegemilangan, seorang gadis, Mariah Yeater, 20, mengejutkan Bieber dengan berita kononnya dia mengandungkan anak lelaki itu selepas mendakwa melakukan hubungan seks di dalam tandas selepas selesai konsert penyanyi tersebut di Los Angeles pada Oktober tahun 2010.
Remaja perempuan itu yang mengaku telah melahirkan anak hasil hubungannya dengan Bieber turut mendakwa dia mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa penyanyi itu adalah bapa kandung kepada bayinya.
Scooter Braun memaklumkan penyanyi tersebut bersedia untuk mengambil ujian pengesahan hubungan bapa dan anak pada bila-bila masa.
SEHINGGA hujung tahun lalu, Bieber dilabelkan sebagai bintang remaja paling kaya di Hollywood dengan nilai harta mencecah RM198 juta.
 
Tidak berapa lama kemudian, Bieber sendiri mengeluarkan kenyataan bersedia menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di New Jersey bagi menafikan dakwaan Mariah Yeater bahawa dia merupakan bapa kepada bayinya berusia tiga bulan itu.
Disebabkan kontroversi itu, Bieber telah mengeluarkan kenyataan bulan lalu, bahawa beliau hampir menamatkan karier muziknya kerana terlalu tertekan dengan dakwaan mempunyai anak luar nikah itu.
Sungguhpun sedang dilingkari dengan gosip bakal putus cinta dengan Gomez dan mempunyai anak luar nikah, bagi peminat tegar Bieber di Malaysia mereka boleh menyaksikan penyanyi itu membuat persembahan dalam rangka mempromosikan albumnya, Believe di MTV World Stage Live yang diadakan di Surf Beach @ Sunway Lagoon malam ini.
Cinta
Tidak ada sesiapa yang mengetahui sama ada benar atau tidak hubungan cinta dua remaja ini yang berusia kira-kira setahun enam bulan itu benar-benar umpama retak menunggu belah.
Apa yang pasti, gosip hubungan Bieber dan Selena Gomez, 20, telah retak seakan benar apabila setiap hari dipaparkan mengenai masalah yang berlaku terhadap hubungan itu di Hollywood.
Bieber telah rasmi mengumumkan percintaannya dengan Gomez pada Oktober 2010 selepas mereka muncul setelah berduet melalui single hitnya, One Less Lonely Girl sewaktu acara Dick's Clark New Year's Rockin Eve di New York dua tahun lalu.
Selepas itu, Bieber dan Gomez dikatakan setiap hari berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) saling mengusik antara satu sama lain.
Sebelum mengesahkan percintaan mereka, Bieber dilaporkan pernah mengusik Gomez supaya menanggalkan kasut tumit tingginya supaya kelihatan rendah daripadanya dan Selena mengejeknya dengan gelaran 'pendek'.
Sementara itu, Bieber dalam satu temu bual pernah memuji Gomez yang popular sebagai pelakon kanak-kanak Disney dengan mengatakan gadis itu cantik dan comel.
Terkini, kemuncak percintaan mereka diuji apabila Bieber dikatakan sering sibuk dan mengabaikan kekasih hatinya itu dan didakwa sehingga membuatkan Gomez menangis ketika menyambut hari ulang tahun rakannya yang juga pelakon Ashley Tisdale baru-baru ini.
Sungguhpun begitu, dakwaan Gomez menangis disebabkan Bieber tidak dapat dipastikan apabila kedua-dua pasangan itu dikatakan telah bertemu untuk satu makan malam yang romantik di sebuah restoran makanan Thailand di Los Angeles, Amerika Syarikat, 5 Julai lalu.
Namun, terdapat juga dakwaan di sebuah laman gosip HollywoodLife.com yang menyebut bahawa pihak yang mengawal karier Bieber tidak mahu penyanyi itu berkahwin terlalu awal sama seperti mentornya, Usher yang berkahwin awal.
Bagi mereka, apabila hubungan cinta kedua-dua remaja itu dapat bertahan lama, ia boleh menyebabkan Bieber mengambil keputusan untuk berkahwin dalam usia yang muda, seterusnya memusnahkan kariernya yang semakin memuncak.
Mengulas tentang hubungan cinta mereka retak kerana kesibukannya, Bieber ketika diajukan persoalan oleh wartawan selepas makan malam bersama Gomez 5 Julai lalu menjawab ringkas: "Adakah kamu nampak kami tidak bahagia?"

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters