KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Zoologikal Malaysia (MZS) yang juga
seorang pelakon veteran, Datuk Ismail Hutson meninggal dunia akibat
komplikasi penyakit jantung pada pukul 1.13 pagi di Pusat Perubatan Sime
Darby, Subang Jaya semalam.
Menurut isteri keduanya, Hafidzah Khasbullah, Ismail atau nama
sebenarnya Ismail Omar, 73, dimasukkan ke Unit Rawatan Kritikal (CCU)
pada Selasa lalu di pusat perubatan yang sama selepas 10 hari mengalami
demam panas yang teruk.
Katanya, kematian Ismail sangat mengejutkan ahli keluarga kerana keadaan arwah semakin baik sebelum dipindahkan ke wad biasa.
Allahyarham menghidap penyakit jantung sejak lima tahun lalu, namun
sepanjang tempoh itu, dia tidak menunjukkan tanda sakit teruk.
Presiden Persatuan Artis Veteran itu meninggalkan dua isteri termasuk isteri pertama, Zaiton Osman dan tujuh orang anak.
No comments:
Post a Comment