PELARI Terengganu, Harith Ammar Mohd. Sobri dan atlet Pulau Pinang,
Zaidatul Husniah Zulkifli masing-masing ditabalkan selaku raja dan ratu
pecut Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.
Dalam saingan akhir acara 100 meter lelaki yang berlangsung di
Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi, Harith Ammar melakukan catatan
masa 10.84 saat.
Pingat perak dimenangi pelari Kedah, Mohd. Helmi Ahmad dengan catatan
masa 10.92s, manakala gangsa milik atlet Sabah, Eddie Edward Jr.
(10.93s).
“Rasa bermimpi pun ada, saya tidak percaya menang kerana larian
permulaan saya kurang baik sehingga ketinggalan pada suatu ketika.
“Ternyata keputusan saya untuk menukar acara berbanding 4x100m
sebelum ini berbaloi dan saya tujukan kemenangan ini kepada seluruh
rakyat Terengganu,” kata Harith Ammar.
Sementara itu, nasib berbeza menyelubungi Zaidatul Husniah dan pasangan kembarnya, Zaidatul Husna dalam final acara 100m wanita.
Tatkala Zaidatul Husniah, 19, melintasi garisan penamat selaku juara
dengan catatan masa 12.29s, Zaidatul Husna pula gagal menamatkan
perlumbaan sehingga terpaksa menarik diri gara-gara kecederaan
hamstring.
“Kakak saya (Husna) sememangnya tidak bersedia kali ini gara-gara
kecederaan. Saya sayangkannya tetapi dalam pertandingan, sudah tentu
masing-masing mengidam pingat emas, cuma sayang dia gagal menghabiskan
larian.
“Jadi, saya menganggap kemenangan ini milik kami bersama,” jelas Zaidatul Husniah.
Pingat perak acara 100m wanita diraih pelari Johor, Lee Jia Qin yang
melakukan catatan masa 12.45s, manakala atlet Sabah, Stefbilce Sandy
Stephen (12.50s) meraih gangsa.
Rekod Sukma dalam acara riben biru itu masih kekal milik jagoan
Sarawak, Watson Nyambek dengan catatan masa 10.33s, manakala atlet
Johor, Siti Fatimah Mohamad memegang status bagi saingan wanita iaitu
11.82s.
No comments:
Post a Comment