Aktres popular tanah air, Lisa Surihani antara artis yang dipilih untuk menjayakan filem The Smurfs versi bahasa Melayu. Lisa yang diberi tanggungjawab meminjamkan suaranya untuk satu-satunya watak Smurf wanita iaitu Smurfette enggan dirinya dibayangi oleh penyanyi terkenal Katy Perry yang turut memegang watak Smurfette untuk filem asal The Smurfs.
"Memang saya minat dengan filem dan kartun The Smurfs tetapi saya tidak mahu merujuk filem asal The Smurfs kerana bimbang terikut-ikut dengan gaya lontaran suara pelakon-pelakon asal. Watak asal Smurfette menggunakan suara Katy Pery dan apabila saya dipilih untuk versi bahasa Melayu, saya mengambil tawaran yang diberikan tanpa berfikir panjang.
"Jika boleh, saya enggan dibayangi oleh Katy Perry kerana versi bahasa Melayu agak berbeza daripada bahasa Inggeris. Katy mempunyai gaya dan lontaran suaranya yang tersendiri dan saya mempunyai gaya yang berbeza, tambahan saya menyelitkan elemen kemelayuan untuk versi bahasa Melayu supaya penonton rasa dekat dengan jiwa mereka apabila menontonnya pada hari raya nanti," ujarnya.
Lisa yang ditemui pada majlis sidang akhbar The Smurfs di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu dia jatuh cinta dengan watak Smurfette yang disifatkan sebagai seorang yang berani dan comel.
"Saya akui memang suka sangat dengan watak Smurfette. Sebenarnya sudah lama saya menyimpan impian untuk terlibat dalam bidang alih bahasa seperti ini, tetapi tidak ada peluang. Ini pengalaman saya yang pertama dan saya cukup seronok kerana dapat terlibat dalam The Smurfs versi bahasa Melayu.
"Walaupun hanya meminjamkan suara tetapi ia turut mempunyai cabaran yang tersendiri. Sama seperti berlakon, saya harus menjiwai watak Smurfette sepenuhnya supaya intonasi suara benar-benar sesuai meskipun hanya filem animasi. Setiap kali melontarkan dialog, segala mimik muka sama seperti saya berlakon di set penggambaran.
"Jika berlakon, penonton boleh melihat mimik muka saya, tetapi apabila alih suara, segala emosi dan mutu lakonan saya terletak hanya pada suara. Jika penonton boleh rasai watak Smurfette itu bermakna saya telah melakukannya dengan baik tetapi terpulang kepada penonton untuk membuat penilaian," kata Lisa yang bakal muncul dengan filem Saya Amat Mencintaimu (S.A.M) tidak lama lagi.
Tambah Lisa, andai diberi peluang yang sama, dia tidak akan menolak kerana padanya, menyumbangkan suara untuk sebuah filem animasi amat besar tanggungjawab dan keseronokannya kerana penontonnya terdiri daripada kanak-kanak.
"Orang dewasa juga menonton filem animasi, tetapi penonton terbesarnya adalah kanak-kanak. Saya pernah jadi kanak-kanak, saya tahu bagaimana perasaannya apabila menonton kartun atau filem animasi yang diminati. Saya seronok apabila melihat penonton terutamanya kanak-kanak terhibur dengan suara saya dalam The Smurfs.
"Satu kepuasan yang tidak boleh saya gambarkan. Jika diberi peluang sekali lagi dan saya mempunyai masa, saya tidak akan menolak untuk mengalih bahasa mana-mana filem animasi sebab saya seronok melakukannya. Saya akui masih wujud jiwa kanak-kanak walaupun telah berkahwin," luah Lisa sambil disambut dengan hilai tawa.
Yusry tidak kekok
Pengarah, pelakon dan penyanyi popular yang juga suami kepada aktres Lisa Surihani, Yusry Abdul Halim turut meminjamkan suaranya untuk filem The Smurfs versi bahasa Melayu sebagai Brainy Smurf. Sudah terbiasa memberi arahan kepada pelakon, Yusry tidak kekok apabila menerima arahan pihak produksi HBO ketika proses alih suara filem tersebut.
"Saya tidak ada sebarang masalah untuk mendengar dan menerima arahan daripada orang lain walaupun saya seorang pengarah. Apabila saya diberi tanggungjawab dan kepercayaan untuk mengalih suara watak Brainy Smurf, saya harus bersikap profesional dan melaksanakan tugas yang diberi sebaik mungkin.
"Pada mulanya saya menghadapi kesukaran untuk memastikan dialog yang saya lontarkan sesuai dengan gerak bibir di skrin kerana dialog bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sangat berbeza. Apabila pihak produksi tidak puas hati dengan hasil kerja saya, saya bersikap terbuka untuk memperbaiki diri," balasnya.
Jelas Yusry lagi, meskipun dia sudah biasa berlakon dan memberi arahan kepada orang lain tetapi, untuk mengalih suara watak Brainy Smurf, Yusry menghadapi cabaran yang berbeza daripada hasil kerjanya sebelum ini.
"Dalam filem animasi ini, saya tidak boleh melontarkan suara saya seperti biasa kerana watak animasi berbeza dengan dunia realiti. Saya harus menyuntik elemen berbeza untuk penonton dapat merasai sepenuhnya watak tersebut, jadi hasilnya saya harus bercakap dengan cara kepit suara untuk membuatkan suara saya kedengaran halus dan nyaring.
"Disebabkan proses alih suara memakan masa beberapa hari, kadangkala saya terlupa intonasi suara yang harus saya lakukan. Seksa juga berdialog sambil kepit suara sepanjang masa, tetapi ini pengalaman baharu yang cukup seronok bukan bagi saya seorang tetapi semua yang terlibat dalam proses alih suara filem The Smurfs," tutur Yusry.
Aznil raja alih suara
Aznil Nawawi, pengacara, pelakon dan penyampai radio popular sering kali menjadi pilihan produksi tempatan apabila terdapat filem animasi yang memerlukan alih suara bahasa Melayu. Sebelum ini, Aznil pernah terlibat dengan filem animasi Bola Kampung, Robots dan Teenage Mutant Ninja Turtle.
Sering kali dipilih memegang watak antagonis dalam filem animasi, dalam filem The Smurfs, Aznil juga memegang watak antagonis sebagai ahli sihir yang jahat bernama Gargamel.
Katanya, mungkin kerana jiwanya begitu dekat kanak-kanak serta kesesuaian watak menyebabkan dia terpilih.
"Ini bukan pengalaman pertama saya, tetapi saya pelik setiap kali dapat tawaran alih suara saya tidak pernah dapat watak baik, semuanya watak jahat seperti Doktor Klon dalam filem Cicak Man (ketawa).
"Bagi membezakan watak Gargamel dengan watak-watak jahat yang pernah saya pegang sebelum ini, watak Gargamel itu saya beri warna, maknanya terdapat keaslian dalam watak itu. Saya tidak boleh meniru butlat-bulat gaya suara pelakon asal kerana bahasa Melayu dan Inggeris sangat berbeza cara pertuturannya," ujar Aznil.
Kata Aznil, sepanjang tiga kali sesi proses alih suara dilakukan, dia terpaksa meneran suara untuk memberi elemen yang berbeza. Selain itu, dia juga harus benar-benar menghayati watak itu untuk memberikan lontaran suara yang sesuai,
"Saya harus cakap meneran untuk tonjolkan elemen berbeza dan kelihatan jahat. Kadangkala terlupa, saya bertukar menjadi Doktor Klon pula. Saya juga harus samakan gerak bibir animasi dengan gerak bibir saya, jadi saya harus pandai-pandai tukar skrip sebab gerak bibir bahasa Inggeris langsung tidak sama dengan bahasa Melayu.
"Cara saya hayati watak Gargamel sebagai contoh, babak yang memerlukan suara saya kelihatan penat, saya akan berlari beberapa pusingan di dalam studio sehingga suara saya kedengaran penat dan semput. Sebaik sahaja dapat kepenatan itu, saya terus rakam suara, bayangkan penat berlari kemudian terus hayati watak, jika saya tidak buat begitu, suara saya kedengaran terlalu berpura-pura," cerita Aznil lagi.
No comments:
Post a Comment