EMPAT tahun berkecimpung dalam industri lakonan, baru hari ini nama
pelakon Nazim Othman, 28, meraih perhatian khalayak kerana kecemerlangan
lakonannya dalam drama arahan Erma Fatima berjudul Deejavu di Kinabalu
yang sedang hangat ditayangkan di TV3.
Namun, pada Rabu minggu lalu tiba-tiba nama Nazim hangat gara-gara
status jujurnya di akaun Twitter berkenaan bangunan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) kelihatan usang ketika menjalani penggambaran
sebuah drama di sana.
Kejujuran dalam meluahkan perasaan itu memakan dirinya sendiri
apabila warga UKM serta peminatnya tidak berpuas hati dengan
kenyataannya itu. Menyedari kesilapannya, Nazim segera memohon maaf di
Twitter.
Nazim yang bakal muncul dengan sebuah lagi drama arahan Erma Fatima
berjudul Kau Yang Terindah pada mulanya enggan memperbesar-besarkan isu
kerana menganggap ia memberi impak negatif kepada kerjayanya.
Bagaimanapun, apabila perkara itu menjadi topik hangat di internet,
Nazim sedar status selebriti yang dipikulnya semakin berat seiring
dengan perhatian yang diberikan oleh peminat kepadanya. Enggan dirinya
disalah erti ikuti temu bual Kosmo! bersama Nazim baru-baru ini.
Kosmo!: Apabila Nazim menulis status di Twitter tentang bangunan
usang UKM, sedar atau tidak status itu bakal mengundang kemarahan pihak
lain?
Nazim: Kalau boleh saya enggan panjangkan isu ini kerana semakin saya
beri komen, tidak memberi sebarang faedah. Cuma apa yang boleh saya
katakan sebagai manusia, saya turut melakukan kesilapan dan memohon
maaf, selepas itu saya bermuhasabah diri.
Ada pihak mendakwa anda sengaja menulis status tersebut untuk meraih publisiti murahan. Komen anda?
Sejujurnya saya tidak sengaja, saya tidak mahu meraih publisiti
murahan kerana itu bukan prinsip yang saya pegang. Sejak saya menjadi
pelakon saya tidak kejar populariti, sebaliknya saya mahu dikenali
dengan bakat serta mutu produk yang melibatkan saya. Kalau saya jenis
yang suka publisiti murahan, saya tidak perlu tunggu sekarang sebaliknya
sudah lama saya berbuat demikian.
Terkejut dengan respons orang ramai?
Memang saya terkejut kerana selama ini tiada siapa yang kisah tentang
apa yang saya lakukan. Saya sudah terbiasa begitu, tetapi kebelakangan
ini saya sedar situasi itu sudah berubah kerana masyarakat sudah mula
memandang setiap gerak-geri saya. Kejadian ini secara tidak langsung
membuatkan saya terfikir siapa saya di mata masyarakat.
Maknanya kini anda semakin popular, rimas dengan perhatian diberikan peminat?
Alhamdulillah, popular atau tidak terletak di tangan peminat, saya
percaya rezeki di tangan Allah. Saya yakin, apa yang berlaku kepada saya
sekarang ada hikmah di sebaliknya. Saya tidak rimas, sebaliknya
bersyukur dengan perhatian yang diberikan.
Pengajaran yang anda perolehi selepas kejadian ini?
Saya akan lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan saya kerana saya
sedar setiap apa yang dilakukan akan memberi implikasi negatif atau
positif pada diri sendiri, peminat dan masyarakat. Jadi, saya memilih
untuk memberi implikasi positif dan menjadi insan yang lebih baik.
Walaupun telah berlakon selama empat tahun tetapi nama Nazim hanya
popular apabila berlakon drama Deejavu di Kinabalu arahan Erma Fatima.
Saya percaya setiap pelakon tidak akan menyerlah dengan sendirinya,
sebaliknya dengan bantuan pengarah yang bagus, dan kru penggambaran yang
sangat mementingkan kualiti kerja. Apabila bekerja dengan orang yang
sentiasa ingin yang terbaik, secara tidak langsung lakonan saya
menyerlah. Apa yang boleh saya katakan, saya bersyukur kerana mendapat
kepercayaan Erma Fatima.
Apa aktiviti anda sepanjang bulan Ramadan?
Sama seperti tahun lalu, sekarang saya sibuk dengan penggambaran
drama Kau Yang Terindah bersama Neelofa. Tiada istilah rehat untuk saya,
selagi saya diperlukan, selagi itu saya akan bekerja. Saya lebih suka
sibuk daripada tidak melakukan sebarang pekerjaan. Bulan Ramadan juga
tidak menghalang saya daripada bekerja seperti biasa.
No comments:
Post a Comment