KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar cedera di bahu kiri apabila
terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang anggota Ikatan Relawan
Rakyat (Rela) selepas menyangka mangsa sebagai burung ketika sedang
berburu di Kampung Kuala Kejil, Kuala Berang baru-baru ini.
Kejadian pukul 7 malam, 2 Julai lalu itu berlaku apabila Mohd. Roydy
Abdul Razak, 17, sedang memanjat sebatang pokok kundang untuk mengambil
sarang burung sebelum suspek yang sedang berburu terus melepaskan
tembakan ke arahnya sebaik melihat pokok berkenaan bergoyang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K.
Manoharan berkata, mangsa yang cedera di bahu kiri selepas terkena
serpihan peluru dari senapang patah berkenaan kemudian turun sebelum
memberitahu terasa kebas.
Katanya, mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik
di Bukit Payong bagi mengeluarkan serpihan peluru tersebut keesokan
harinya.
"Perkara itu lambat dilaporkan kerana keluarga suspek telah bersetuju
untuk menanggung kos perubatan mangsa. Namun sebaliknya berlaku hingga
membuatkan keluarga mangsa bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat
Polis Daerah Kuala Berang semalam (kelmarin)," katanya pada sidang
akhbar semalam.
No comments:
Post a Comment