JONGKONG emas bernilai RM2 juta. Itu ganjaran yang bakal menanti
barisan pemain badminton negara sekiranya mereka berjaya membawa pulang
pingat emas daripada temasya Sukan Olimpik 2012 di London yang akan
bermula 27 Julai ini.
Ganjaran tersebut adalah sumbangan Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).
Pengerusi KLRC, Datuk Seri Andrew Kam berkata, insentif jongkong emas
itu adalah sebagai tanda sokongan daripada pihaknya terhadap barisan
pemain badminton negara yang bakal menggalas cabaran di bumi London
nanti.
Katanya, ganjaran tersebut adalah khusus buat barisan pemain badminton negara sahaja.
“Saya cabar pemain-pemain negara yang beraksi pada Sukan Olimpik 2012 nanti untuk berusaha mendapatkan pingat emas.
“Jika berjaya, KLRC menerusi skim hadiah kemenangan kami akan
memberikan ganjaran berupa jongkong emas bernilai RM2 juta kepada pemain
yang meraih pingat emas.
“Ini semua adalah sokongan KLRC terhadap pemain negara dalam usaha
memastikan Malaysia berjaya merealisasikan impian untuk memenangi pingat
emas buat kali pertama pada Sukan Olimpik,” kata Andrew.
Andrew berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan ganjaran tersebut di Hotel Hilton, Kuala Lumpur semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk
Sieh Kok Chi dan bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan
Sri Elyas Omar.
Ditanya mengapa ganjaran tersebut hanya untuk barisan pemain
badminton negara dan tidak kepada atlet-atlet yang turut beraksi pada
Sukan Olimpik 2012, Andrew berkata: “Saya sangat cintakan sukan
badminton.
“Sebab itu, ganjaran ini hanya untuk pemain badminton negara sahaja.”
Bagaimanapun, Andrew menjelaskan bahawa jika terdapat lebih daripada
seorang pemain badminton negara yang meraih pingat emas, jongkong emas
seberat 12.5 kilogram itu akan dibahagikan sama rata.
Enam pemain negara yang bakal beraksi di London diketuai oleh jaguh
perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, beregu utama lelaki, Koo Kien
Keat-Tan Boon Heong, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan
perseorangan wanita, Tee Jing Yi.
Sementara itu, Chong Wei menganggap ganjaran tersebut bakal menjadi
motivasi kepada barisan pemain negara untuk berusaha menyumbangkan
pingat emas kepada kontinjen Malaysia.
“Saya harap ganjaran ini akan menaikkan lagi semangat bukan sahaja
buat diri saya sendiri tetapi kepada lima lagi pemain yang turut beraksi
pada Sukan Olimpik 2012 nanti.
“Jika ada yang mengatakan ia hanya memberi tekanan kepada pemain
tetapi bagi saya tidak. Jika kita kekal fokus, kita boleh melakar
kejayaan,” jelas Chong Wei yang turut hadir pada majlis tersebut bersama
lima lagi pemain negara semalam.
Dengan habuan yang diumumkan oleh KLRC itu, barisan pemain badminton
negara berpeluang untuk membawa pulang RM4 juta andai berjaya
menjelmakan kilauan pingat emas buat kontinjen Malaysia pada temasya
berprestij dunia itu.
Sebelum ini, Kementeria Belia dan Sukan (KBS) menerusi insentif Skim
Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) menawarkan RM1 juta kepada setiap
pemenang pingat emas Sukan Olimpik.
Jumlah tersebut bertambah apabila sebuah syarikat perabot, 3V
Holdings Sdn. Bhd., turut menawarkan ganjaran bernilai RM1 juta kepada
atlet yang berjaya meraih pingat emas.
No comments:
Post a Comment