Jom Buat Duit

Friday, 13 July 2012

‘Saya mahu emas’


CHONG WEI meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik London. 
 

“SASARAN saya tetap pingat emas.”
Demikian tegas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika ditanya mengenai peluangnya untuk meraih pingat pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London penghujung bulan ini.

Chong Wei berkata, memandangkan tahun ini merupakan penampilan terakhirnya pada temasya berprestij dunia itu, dia berazam untuk tampil dengan aksi terbaik biarpun masih dihantui dengan masalah kecederaan.
Katanya, dia tidak mahu melepaskan peluang tersebut begitu sahaja kerana pingat emas Sukan Olimpik sudah pasti akan menutup kariernya dengan penuh bermakna.
“Saya tidak kisah apa yang orang mahu fikir. Yang pasti, saya fokus dengan persiapan saya bagi beraksi pada Sukan Olimpik kali ini.

“Apa juga situasi sekalipun, saya tetap meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik. Justeru, saya akan cuba sedaya upaya untuk merealisasikan hajat besar ini,” kata Chong Wei.
Pemain No. 2 dunia itu diletakkan sebagai sandaran utama kontinjen Malaysia bagi menamatkan kemarau pingat emas negara di bumi London nanti.

Bagaimanapun, masalah kecederaan di bahagian buku lali kanan yang menimpa pemain berusia 30 tahun itu telah menyaksikan banyak pihak meragui kemampuan Chong Wei untuk meraih pingat emas.
Chong Wei menerima tamparan hebat apabila mengalami masalah kecederaan serius di bahagian buku lali kanannya ketika beraksi pada kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China Mei lalu.
Ia merupakan kecederaan kali kedua yang dialami Chong Wei selepas mengalami kecederaan di bahagian bahu ketika aksi final Seluruh England 2012 di Birmingham, Mac lalu.
Mengulas mengenai kecederaan di bahagian buku lali kanannya itu, Chong Wei berkata, dia kini sudah pulih sebanyak 85 peratus.

“Saya yakin akan pulih sepenuhnya apabila menjalani latihan lebih kurang dua minggu di Universiti of Bath iaitu sebelum Sukan Olimpik 2012 bermula.
“Saya akan memastikan proses pemulihan saya berjalan lancar termasuk mengenai waktu latihan, rehat serta tidur yang mencukupi. Jika semua itu boleh dijaga dengan baik, saya yakin saya akan pulih sepenuhnya.
“Saya akui, situasi ini memang sukar untuk saya tetapi saya perlu terimanya dengan positif.
“Apa yang penting bagi saya, adalah fokus terhadap diri sendiri. Saya tidak mahu memikirkan mengenai perkara lain selain persiapan untuk beraksi pada Sukan Olimpik kerana bertekad untuk mengharumkan nama negara,” tegas Chong Wei.

Chong Wei bersama lima lagi pemain negara yang menggalas cabaran di London telah berlepas ke Universiti of Bath, United Kingdom malam tadi bagi menjalani latihan fasa terakhir sebagai persiapan beraksi pada Sukan Olimpik 2012.
Lima lagi pemain negara yang akan beraksi di London ialah beregu utama lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi.
Sebagai rekod, Chong Wei merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters