Jom Buat Duit

Sunday 15 July 2012

Lakaran sejarah Terengganu


EMPAT pelumba basikal Terengganu meraikan kejayaan mereka memenangi perlumbaan dalam acara kriterium di Temerloh, Pahang semalam.


TERENGGANU melakar sejarah tersendiri dalam acara lumba basikal pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.

Sebaik tirai acara lumba basikal disingkap di Temerloh semalam, Terengganu mengakhiri cabaran dengan mengutip 12 pingat emas, lima perak dan dua gangsa.

Keputusan itu dianggap sebagai satu kejutan kerana pada awalnya mereka hanya meletakkan sasaran enam pingat emas.

"Kejayaan mengutip 12 pingat emas memang di luar jangkaan dan ia merupakan satu keputusan yang luar biasa.

"Sepanjang menyertai Sukma, ini merupakan pingat emas terbanyak yang diraih skuad lumba basikal Terengganu," kata jurulatih Terengganu, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan semalam.
Menurut Syed Muhammad Hussaini, kejayaan itu tidak mampu dicapai jika tidak mendapat sokongan dan dorongan daripada semua pihak yang terlibat.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri (Terengganu) dan juga Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang banyak membantu merangka program buat para pelumba.
"Hasilnya kita dapat lihat, ramai pelumba berbakat yang dapat dicungkil pada Sukma kali ini," jelasnya.
Antara permata baharu Terengganu yang lahir pada Sukma kali ini ialah Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri, Mohd. Khairul Azizi Abdullah, Nor Amirul Fakharuddin, Zahraa Anuawar, Nor Suhada Zainal dan Nur Ain Mahmood.

Ketika ini, Terengganu memiliki pelumba muda berbakat iaitu Ummi Hamimah Mohamad yang kini dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di New Zealand, Ogos depan.
Pada hari terakhir acara lumba basikal semalam, Terengganu berjaya membolot dua pingat emas dalam saingan kriterium lelaki dan wanita.

Dalam acara kriterium lelaki, pingat emas menjadi milik Sofian Nabil Omar apabila mengumpul 18 mata.
Pingat perak dan gangsa masing-masing diraih pelumba Johor, Muhammad Fakhruddin Daud@ Dawood (16 mata) dan Hamidan Hamidon dari Selangor yang mengutip 12 mata.
Daripada 81 pelumba yang menyertai acara kriterium lelaki yang melibatkan jarak sejauh 81.6 kilometer (km) iaitu 24 pusingan di sekitar bandar Temerloh, 14 daripada mereka gagal menghabiskan perlumbaan.
Bagi saingan kriterium wanita, pingat emas disambar Zahraa yang mengumpul 15 mata manakala seorang lagi pelumba Terengganu, Nur Ain meraih perak dengan kutipan 11 mata.
Pelumba Selangor, Farina Shawati Mohd. Adnan pula merangkul pingat gangsa selepas merekodkan sembilan mata.

Perlumbaan melibatkan jarak sejauh 54.4km (16 pusingan) itu menyaksikan 16 daripada 34 pelumba yang bersaing gagal menamatkan perlumbaan.
Dalam pada itu, Selangor berada di tangga kedua dalam senarai pungutan pingat bagi acara lumba basikal apabila memungut 13 pingat dengan dua emas, tujuh perak dan empat gangsa.
Skuad lumba basikal Pahang berada di tangga ketiga keseluruhan apabila meraih dua pingat emas dan satu gangsa.
Kedua-dua pingat emas Pahang diraih Muhammad Aim Mohamad Fauzi dalam acara downhill dan BMX lelaki.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters