Jom Buat Duit
Monday, 16 July 2012
Terengganu tidak tercabar
KONTINJEN Terengganu hanya menunggu masa untuk dimahkotakan selaku juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang.
Tampil selaku juara tiga edisi berturut-turut (2008 di Terengganu, 2010 di Melaka dan 2011 di Kuala Lumpur), Terengganu hampir pasti muncul juara keseluruhan Sukma tahun ini.
Tatkala hanya lapan pingat emas (empat dalam acara gimnastik berirama, dua petanque dan dua skuasy) menjadi rebutan pada hari terakhir yang akan melabuhkan tirai di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini, Terengganu dilihat cukup selesa mendahului barisan pencabar mereka.
Hanya kontinjen Selangor dianggap sebagai satu-satunya pencabar utama yang mampu mengakhiri dominasi Terengganu dalam tiga temasya Sukma sebelum ini.
Hakikat itu diakui Ketua Kontinjen Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail kepada Kosmo! semalam.
"Jika dibuat penilaian setakat ini, saya lihat kontinjen Selangor masih menjadi pencabar utama kami (Terengganu).
"Mengikut perkiraan atas kertas, Selangor mungkin mampu menambah kutipan pingat emas pada hari terakhir Sukma esok (hari ini).
"Walaupun kontinjen Terengganu berpeluang cerah meraih gelaran juara keseluruhan Sukma tetapi saya telah mengingatkan setiap atlet untuk terus memburu pingat emas," jelas Wan Nawawi.
Skuad lumba basikal Terengganu muncul antara penyumbang terbesar buat kontinjen yang terkenal dengan jolokan 'Terengganu Hanelang' itu pada Sukma kali ini apabila membawa pulang 12 pingat emas.
Skuad olahraga Terengganu sekali lagi menampilkan prestasi mengagumkan apabila menyambar lapan pingat emas, sekali gus muncul juara keseluruhan dalam acara tersebut.
"Mungkin ada yang terlepas pandang bahawa Terengganu juga muncul juara keseluruhan bagi acara memanah apabila kami meraih sembilan pingat emas.
"Kejayaan cemerlang dalam ketiga-tiga acara itu (lumba basikal, olahraga dan menanah) menjadi antara faktor kejayaan kontinjen Terengganu muncul pendahulu keseluruhan setakat ini," katanya.
Menurut Wan Nawawi, beliau berasa gembira dan berpuas hati apabila kontinjen Terengganu telah melepasi sasaran pingat emas pada Sukma kali ini.
"Sebelum hadir ke sini (Kuantan), kami menetapkan sasaran 47 pingat emas tetapi setakat hari ini (semalam) kami telah melepasi 50 emas.
"Saya bersyukur kerana sasaran awal kami telah tercapai. Dalam keadaan kami tidak berjaya meraih pingat dalam acara akuatik, acara kenu pula tidak dipertandingkan, kami masih mampu melepasi sasaran 47 emas," jelasnya.
Setakat pukul 10.30 malam tadi, kontinjen Terengganu selesa mengungguli carta pungutan pingat dengan merekodkan 61 pingat emas, 24 perak dan 30 gangsa.
Selangor yang muncul juara Sukma tujuh kali, mengekori rapat di belakang Terengganu apabila mengumpul keseluruhan 47 pingat emas, 53 perak dan 57 gangsa.
Kontinjen tuan rumah, Pahang berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik apabila mengutip 44 pingat emas, 37 perak dan 37 gangsa.
Sebagai rekod, Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Sukma buat kali pertama pada edisi 2008 yang menyaksikan mereka meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.
Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan selaku juara apabila memungut 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa.
Tahun lalu, Terengganu melakar hatrik dengan mengungguli temasya Sukma buat kali ketiga berturut-turut selepas membawa pulang 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa
Labels:
Sukma XV
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment