MILA KUNIS tidak faham mengapa ada wanita mahu menjadi dirinya,
sedangkan menurut aktres tersebut, dia menjalani sebuah kehidupan normal
dan tidak mewah.
Dalam temu bual bersama majalah Interviews, aktres berusia 28 tahun
itu juga mengaku bahawa dia tidak mahu menjadi pelakon dalam tempoh
waktu yang panjang dan sudah mempunyai perancangan sendiri.
"Selepas terbabit selama lapan tahun untuk drama That 70's Show dan
lebih sedekad terbabit dengan Family Guy, saya akui, kewangan saya
sangat stabil.
"Bagaimanapun, saya tidak hidup mewah, saya menjalani kehidupan yang
cukup sederhana. Jadi saya tak perlu ada sehingga 20 pembantu atau pergi
ke sesebuah lokasi dengan jet peribadi," ujarnya yang mengakui selesa
hidup seperti manusia biasa.
Dia kemudian meninggalkan kedua-dua siri tersebut membabitkan diri dalam dunia perfileman.
Sukses dengan beberapa buah filem pecah panggung seperti Black Swan
dan Friends With Benefits, Kunis kini sudah memikirkan masa untuk
berundur dari industri.
"Industri ini boleh memakan kita, jadi sebelum saya 'dimakan', lebih
baik saya undur diri dulu," ujar aktres yang kini digosip bercinta
dengan Ashton Kutcher.
Tambah aktres kelahiran Ukraine itu lagi: "Dalam tempoh lima tahun
akan datang, saya melihat diri sudah mempunyai keluarga dan melakukan
kerja belakang tabir."
No comments:
Post a Comment