Jom Buat Duit

Sunday 22 July 2012

Sistem baharu basuh aib AIM19


ROSMIN (kanan) menyerahkan trofi Lagu Terbaik AIM18 kepada Anuar Zain dan Edry Abdul Halim. Trofi berkenaan sebelum itu dijulang oleh Yuna.


ISU penarikan semula trofi kemenangan Yuna pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-18 pada tahun lalu benar-benar melondehkan kredibiliti Industri Rakaman Malaysia (RIM) sehingga badan itu terpaksa mengambil langkah drastik.
Akibat insiden itu, RIM menjadi bahan jenaka. Bagi membetulkan keadaan itu, RIM mengubah format siri terbaharu AIM19 yang dijadualkan pada November ini.
Insaf dengan kritikan, RIM buat pertama kali akan memperkenalkan peraturan dan cara penghakiman baharu. Perkara itu dijelas oleh Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim dalam satu sidang media, Rabu lalu.
"Hanya individu terpilih dan pengamal industri muzik sahaja akan diberi tanggungjawab untuk menghakimi AIM," katanya.

Rosmin turut memberi jaminan bahawa barisan para juri yang terlibat dalam penghakiman AIM 19 kali ini adalah daripada kalangan pengamal muzik yang sememangnya berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi termasuklah jurutera bunyi.
"Penjurian dalam kalangan pihak media atau ahli akademik dalam bidang muzik juga masih relevan bagi mendapatkan pandangan yang lebih bervariasi dalam mengadili sesebuah karya dan lagu yang dipertandingkan," katanya sambil mengungkapkan apa yang berlaku pada edisi AIM18 bukanlah sesuatu yang akan menghalang tradisi AIM akan datang.
Tambah Rosmin, penjurian AIM19 akan berbeza berbanding proses sebelum ini. Mengakui penganjuran terdahulu membariskan jemaah juri terdiri daripada panel yang dilihat tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang muzik seperti wakil media, wakil stesen radio dan televisyen serta individu daripada syarikat-syarikat rakaman.

Jelasnya, perubahan itu terpaksa dilakukan selepas AIM mendapat banyak rungutan daripada pelbagai pihak khususnya para artis dalam sesi dialog yang diadakan sebelum ini.
"Kami menghormati pandangan semua pihak dan mengambil keputusan untuk membuat perubahan terhadap sistem penghakiman pada tahun ini yang terdiri daripada pengamal dalam industri rakaman sahaja," katanya yang menetapkan syarat pelantikan ketua juri haruslah dipilih daripada individu yang mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam industri.
Bagi memastikan keputusan AIM19 tidak dilihat berat sebelah kerana konflik kepentingan peribadi, Rosmin berkata, pihaknya akan memastikan karya-karya yang diterima tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan juri yang dilantik.

"Apabila keputusan Top 5 sudah diumumkan, pihak kami akan memaklumkan senarai hakim. Tindakan itu bagi membentuk suasana telus," tegas Rosmin lagi.
Satu lagi perkembangan terbaharu, pencalonan AIM19 pada tahun ini turut mengalu-alukan karya daripada lagu-lagu daerah yang menggunakan loghat-loghat tertentu dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik.
"Kami berharap kalau ada lagu-lagu Kelantan, Sabah atau Sarawak, mereka boleh menghantar penyertaan mereka untuk diadili," katanya.
Penganjuran AIM19 membuka penyertaan kepada lagu atau album dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang dikeluarkan di negara ini bermula 1 Julai 2011 hingga 30 Jun lalu. Pencalonan hendaklah sebelum 15 Ogos depan.
Edisi ke-19 AIM turut mengekalkan 19 kategori anugerah seperti tahun lalu selain memutuskan untuk mengadakan dua anugerah AIM berasingan bagi mengiktiraf pencapaian muzik dalam bahasa Cina dan India yang dijadualkan pertengahan tahun hadapan.
Kemuncak AIM19 akan diadakan pada 17 November 2012 di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters