Jom Buat Duit

Showing posts with label Keajaiban. Show all posts
Showing posts with label Keajaiban. Show all posts

Tuesday, 14 August 2012

Belum ada bukti kehidupan di Marikh


ILUSTRASI pelukis mengenai operasi Curiosity di permukaan planet Marikh pada 5 Ogos lalu.


PASADENA, California - Gambar-gambar yang dihantar kenderaan robotik Curiosity menunjukkan Marikh kelihatan seperti sebuah planet mati, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Berdasarkan gambar-gambar berwarna yang dihantar kenderaan itu, permukaan planet tersebut tandus dan berbatu-batu.

Gambar-gambar itu dihantar ke sebuah makmal Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat di sini.
Tiada pokok kelihatan di permukaan Marikh berdasarkan gambar-gambar yang dihantar Curiosity.
Bukit-bukau yang terdapat di planet itu menunjukkan ia digambarkan mirip Gurun Mojave di California, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, para saintis percaya permukaan tanah di planet tersebut tidak tebal sekali gus membolehkan kenderaan itu menggerudi dengan mudah.

Menurut seorang saintis, John Grotzinger, tujahan roket kenderaan robotik itu menyebabkan terbentuk parit sepanjang 0.5 meter di permukaan Marikh.

"Ia kelihatan seperti kami dapat menyaksikan batuan dasar planet Marikh," katanya yang merupakan saintis dari Institut Teknologi California yang berkhidmat untuk misi NASA itu.
Kenderaan robotik itu mendarat di Marikh pada 5 Ogos lalu dengan misi selama dua tahun untuk mencari sebarang tanda kewujudan kehidupan.
GAMBAR pemandangan tandus berlatarbelakangkan banjaran gunung di planet Marikh yang diedarkan oleh NASA pada 9 Ogos lalu.
 
Ia mendarat di Kawah Crater yang mempunyai pemandangan Gunung Sharp dan jerebu.
Kos projek yang dikendalikan NASA itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).
Kenderaan robotik berkuasa nuklear itu mengharungi penerbangan sejauh 566 juta kilometer selama lapan bulan sebelum tiba di Marikh.
Gambar-gambar itu dihantar menerusi dua satelit NASA yang mengorbit Marikh selepas dirakamkan Curiosity.

Friday, 10 August 2012

Kawah di Marikh mirip Gurun Mojave di AS


PEMANDANGAN di permukaan planet Marikh yang dirakamkan kenderaan Curiosity kelihatan seperti Gurun Mojave, California.


PASADENA - Kawah Gale di planet Marikh yang menjadi tempat kenderaan robotik Curiosity mendarat kelihatan mirip Gurun Mojave, California di Amerika Syarikat (AS), menurut seorang ketua saintis semalam.

"Pandangan pertama yang anda akan dapati adalah bagaimana ia kelihatan seperti Bumi," kata Ketua Saintis Institut Teknologi California, John Grotzinger.

Gambar di kawah itu dirakamkan oleh Curiosity selepas ia mendarat pada Ahad lalu.
Kenderaan robotik itu dalam misi yang dihantar Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) untuk mengesan kehidupan di planet tersebut.

NASA mendedahkan imej gambar yang dirakamkan Curiosity di kawah tersebut kelmarin.
"Ia menjadikan anda berasa seperti berada di tanah air," kata Grotzinger.
"Kita memerhatikan sebuah tempat yang dirasakan amat selesa.

"Marikh, pastinya amat berbeza dengan Bumi. Gurunnya yang dingin kerap dihujani radiasi," tambah Grotzinger.
Kenderaan robotik itu menjelajah sejauh 566 juta kilometer ke Marikh dari Bumi untuk misi penerokaan selama dua tahun.
Kos misi itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.76 bilion). - Agensi

Friday, 6 July 2012

Misteri debu di sekeliling bintang hilang


LAKARAN artis menunjukkan sejumlah debu mengelilingi bintang TYC 8241 2652.


WASHINGTON - Beberapa saintis terkejut dan hairan apabila mereka menyaksikan sejumlah debu kosmik yang bersinar di sekeliling sebuah bintang didapati telah hilang.
Menurut salah seorang saintis itu, Ben Zuckerman, debu kosmik yang mengelilingi bintang biasanya akan membentuk planet berbatu-batan.

"Kewujudan debu kosmik berdekatan sebuah bintang menandakan terdapat proses pembentukan planet. Namun, debu itu hilang dengan tiba-tiba," katanya.
Bercakap menerusitelefon dari Universiti California-Los Angeles, Zuckerman berkata, ahli astronomi biasa melihat peristiwa di alam semesta yang berlaku lebih beberapa juta atau bilion tahun dahulu.
Justeru, katanya, adalah pelik untuk melihat debu itu hilang dalam tempoh kurang tiga tahun atau bersamaan sekelip mata dalam konteks ilmu astronomi.

Penemuan tersebut disiarkan dalam jurnal Nature kelmarin.
Terdiri daripada bahan panas, debu angkasa lepas itu boleh dilihat dengan menggunakan teleskop yang memiliki fungsi cahaya infra merah.
Debu itu pada awalnya ditemui pada tahun 1983 oleh Satelit Astronomi Infra Merah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan di sekitar sebuah bintang muda, TYC 8241 2652.
Lingkaran tersebut bersinar selama 25 tahun sebelum hilang dalam tempoh dua setengah tahun.
Bintang TYC 8241 2652 berada sekitar 450 juta tahun cahaya dari Bumi ke arah gugusan bintang Centaurus.
Satu tahun cahaya bersamaan 10 trilion kilometer atau jarak perjalanan cahaya selama satu tahun. - Reuters

Thursday, 31 May 2012

Peluang lihat planet Zuhrah


GAMBAR Zuhrah (bintik hitam) melintasi matahari pada tahun 2004. 
 

GEORGE TOWN - Orang ramai terutama peminat serta pengkaji astronomi berpeluang melihat planet Zuhrah yang akan muncul merentasi matahari buat kali terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti.
Fenomena astronomi itu bakal disaksikan ramai penduduk dunia termasuk Malaysia selepas matahari terbit pada pukul 7.12 pagi, Rabu depan.

Kurator Kanan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM), Zolkurnain Hassan berkata, fenomena yang dipanggil transit planet Zuhrah itu akan berlanjutan sehingga 1 petang.
Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Kelab Astronomi USM akan mengadakan program khas ini bertempat di tiga lokasi utama di kampus universiti itu dengan menyediakan teleskop untuk memudahkan orang ramai menyaksikan pergerakan planet Zuhrah.
"Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran transit planet Zuhrah, ceramah astronomi, pertandingan fotografi dan lawatan ke planetarium," ujarnya.

Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi yang mana planet ini bergerak antara matahari dan bumi.
Semasa transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.

Thursday, 22 December 2011

Bayi Berkepala 2

 SIHAT...bayi berkepala dua yang dilahirkan di Brazil.
SIHAT...bayi berkepala dua yang dilahirkan di Brazil.

BRAZILLIA: Seorang wanita dilapor melahirkan bayi berkepala dua.
Bayi lelaki seberat 4.5 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan di sebuah hospital di Anajas, negeri Para di utara Brazil.

Keputusan imbasan menunjukkan, walaupun bayi itu mempunyai dua kepala yang sempurna, dia mempunyai satu jantung dan semua organ pentingnya berfungsi secara normal.
Menurut doktor, bayi berkenaan sihat dan kedua-duanya sudah mula berfungsi secara normal.

Wanita berusia 25 tahun itu yang tinggal di kawasan pedalaman Para, tidak menjalani pengimbasan ultra- sound sepanjang kehamilannya dan hanya mengetahui mengenainya beberapa minit sebelum melahirkan kandungannya pada awal pagi Isnin lalu.

Pengarah hospital, Claudionor Assis de Vasconcelos, memberitahu akhbar O Povo, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk ke hospital kerana mengalami sakit perut yang teruk.
“Apabila doktor menjalankan pengimbasan terhadapnya, mereka mendapati bayi dalam kandungan itu mempunyai dua kepala dan kelahiran biasa membahayakan si ibu dan juga anaknya. “Proses pembedahan mengambil masa sejam kerana kepala bayi itu berada di atas.

“Walaupun berdepan dengan masalah kerana hospital kami kecil dan terletak di kawasan pedalaman, kami berjaya menyelamatkan si ibu dan anak. Itu yang menjadi matlamat kami. “Dan bagi kami, ia sesuatu yang mengejutkan untuk mendapati bayi itu sihat,” kata de Vasconcelos.
Menurutnya, wanita itu tidak menunjukkan sebarang keresahan selepas mengetahui anaknya berkepala dua.

“Bayi itu disambut gembira oleh keluarganya. Si ibu menyusukan kedua-dua mulut bayinya yang berada sepanjang masa dengannya di dalam bilik. Dia ingin membawa pulang bayi itu terus ke rumah,” katanya.

Wanita berkenaan dibawa dengan ambulans udara semalam ke sebuah hosptal pakar di Belem, ibu negeri Para, untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Mereka dijangka dibenarkan pulang, minggu ini.

Ini adalah kali kedua bayi berkepala dua dilahirkan di Brazil tahun ini.

Klik Untuk Saya k... :)

free counters