Jom Buat Duit

Showing posts with label Siti Nurhaliza. Show all posts
Showing posts with label Siti Nurhaliza. Show all posts

Wednesday, 25 September 2013

Konsert Lentera Timur cukup hebat

DIALAH mustika hati rakyat Malaysia, pencinta sejati irama tradisional dan dialah Datuk Siti Nurhaliza. Hadir mempersembahkan rendisi irama nusa bangsa berpaksi tradisional dalam olahan segar, Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) suatu kejayaan besar!

Overture Sedayung Pak Yong dan Ala Donde membuka tirai persembahan Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza kali ini. Mungkin bagi peminat tegarnya yang mengikuti perkembangan Siti menjelang konsert di laman sosial Instagram dapat melihat beberapa siri latihan bersama kumpulan Makyung yang dipimpin oleh Rosnan Rahman.

Ya, benar bagai ditelah, penonton dapat menyaksikan aksi Siti ber‘Makyung’ pula menyarung persalinan lengkap persembahan teater tradisional itu.
Ironi membuka alunan sulung lagu yang pernah menjulang namanya dalam dunia irama tradisional pada tahun 2003, Siti menyusun langkah dari puncak pura lentera seperti mana judul konsert yang dipilihnya kali ini.

Sesuai dengan makna Nirmala itu sendiri yang bermakna suci bersih dan tidak ternoda, lagu pertama yang dipetik daripada album Sanggar Mustika itu membawa penonton kali ini melalui fasa demi fasa bersama warna gemilang sehingga penghujung konsert dua jam itu.
Sentuhan kenangan

Buat penonton yang pernah menyaksikan persembahan Siti Nurhaliza In Concert At Royal Albert Hall London tahun 2005, persembahan lagu Kurik Kundi, Mahligai Permata dan seleksi Joget Kasih Tak Sudah serta Joget Pahang mampu mengimbau kembali momen indah itu.

Cuma kali ini Siti menghadiahkan lebih lagi kepada peminatnya di Malaysia dalam erti kata dinamik vokal dan kemeriahan persembahan yang diiringi Artistana Istana Budaya dan Badan Seni Budaya PDRM.

Menerusi lagu Bunga Melur yang dijadikan paduan medley, kata Siti itu lagu bidalan dirinya oleh arwah bapanya, Tarudin Ismail: “Ini lagu kegemaran arwah ayah Siti. Katanya, Bunga Melur adalah diri Siti dan setiap kali menyanyikan lagu ini Siti akan terkenangkan arwah.”

Melankolika malam Konsert Lentera Timur ditusuk pilu dengan medley Orang Merajuk disusun indah dalam rona lagu Patah Hati, Janji dan Kau Pergi Tanpa Pesan yang menurut Siti merupakan kegemaran ibunya sendiri, Siti Salmah Bachik.

Konsert kali ini jujur, hadiah daripada hati Siti Nurhaliza kepada peminat yang bersifat peribadi. Lantas kata Siti, pilihan lagu yang dibuat menyemai kenangan yang ingin dikongsikan kepada pendukung karier seninya selama ini.
“Siti menyampaikan lagu yang lebih ada kenangan dalam hidup Siti, biarpun banyak lagi rangkaian lagu Melayu asli dan tradisional yang serasi dengan nama saya seperti Seri Mersing tapi inilah 35 buah lagu hadiah Siti kepada peminat,” ujarnya.

Buluh Perindu
Siti selesa berinteraksi dengan peminat. Usai konsertnya beberapa bulan lalu di Dewan Filharmonik Petronas ada mungkin peminat sama yang hadir ketagih dengan pesona dan aura yang dibawa isteri kepada usahawan Datuk Khalid Jiwa itu.
Jika ditanya bagaimanakah suara buluh perindu, barangkali Sitilah rujukan paling ideal. Ia tersemat magis serta notasi indah yang bisa meruntun hati pendengar, tambahan pula dialun dalam puitis lirik lagu-lagu irama tradisional yang serba indah.

Menarik mengenai konsert ini, Siti menyampaikan tiga buah medley dalam konsep muzikal hasil kreativiti Pengarah Persembahan, Lokman Ghani. Dimulakan dengan medley Masri Manis, Kaparinyo dan Sulam Sembilan, kemudian diiringi medley Jangan Ditanya, Joget Kasih Tak Sudah dan Joget Pahang.

Akhir sekali medley Bulan Yang Mesra, Empat Dara dan Hati Kama. Mencuri tumpuan juga kemunculan empat wanita berkebaya nyonya yang tampil dalam rangkaian lagu-lagu medley itu serta lagu yang dipetik daripada album Seri Balas bersama Noraniza Idris, Ketawalah Lagi.

Klimaks persembahan barangkali boleh diberikan kepada kemunculan Datuk M. Daud Kilau sekembalinya penonton di tempat duduk usai rehat seketika. Menerusi lagu Cek Mek Molek, penyanyi berusia 74 tahun itu memukau penonton dengan gimik persalinan baju demi baju selang setiap rangkap.

Mungkin ada antara penonton yang mahukan Datuk M. Daud Kilau berduet bersama Siti menerusi lagu Anak Seni tapi pemilihan lagu Laksamana Raja Di Laut pun tidak asing dalam kalangan pencinta lagu-lagu Melayu asli.
Rendisi baharu

Siti terus mengulit penonton. Selain kata-katanya, ada sebuah kejutan yang Siti sajikan kali ini. Biarlah Rahsia, ditulis sendiri liriknya digubah iramanya bersama Melly Goeslow dan dimuatkan dalam salah satu album terbaiknya sepanjang hayat, Transkripsi, Siti menjadikan lagu itu dalam rendisi baharu iaitu tradisional!

Satu langkah bijak untuk Siti menangkap deria pendengar yang terlebih lewat mengenalinya dalam muzik pop untuk lebih menghayati petikan dan paluan alat-alat muzik tradisional. Malah, Siti dalam pada itu turut menyanyikan balada patriotisme, Bahtera Merdeka dengan cara tersendiri.

Cuma mungkin penonton mahukan penyanyi nombor satu negara itu menyarung persalinan tradisional atau paling tidak pun busana yang diadun sedikit elemen klasik seperti yang dipersembahkan di buku cenderamata. Tidak perlu dress meleret tapi berikan peminat keanggunan dan seri Melayu itu sendiri.

Menutup tirai persembahan konsert, medley Balqis dan Ya Maulai antara suntikan puncak terbaik dalam konsert ini. Mengingatkan kembali keunggulan Siti dalam siri Anugerah Juara Lagu tahun 2000 dan 2001 biar dipetik daripada album sama, Sahmura.

Sudah pasti Cindai, lagu yang memperkenalkan Siti Nurhaliza secara total kepada seisi Malaysia 16 tahun lalu menjadi juadah manis pencuci mulut terakhir Siti lantaran masih malar segar dan ‘berhantu’ hingga kini.

Popaleh Weh, single terbaharu Siti yang membawa makna terhebat dalam slanga negeri Pahang akhirnya menutup kisah sang lentera timur yang masih berkerdipan kilaunya dalam konsert terbesarnya tahun ini. Tiada kata yang mampu diungkapkan dengan kata-kata, namun bias cinta Siti Nurhaliza akan selamanya kekal menginap ruang hati pemuja muzikaliti beliau.
KOSMO

Tuesday, 27 August 2013

Pertaruhan Siti, Melly, Faizal buat Akademi Fantasia atau AF 2013

SEBUT sahaja nama Datuk Siti Nurhaliza, Melly Goeslow dan Faizal Tahir, ramai yang tahu tentang pengaruh mereka bertiga dalam industri muzik serantau.
Justeru, bukan sesuatu yang menghairankana apabila mereka dipilih oleh pihak Astro sebagai pengilham menggantikan jawatan pengetua yang pernah wujud dalam Akademi Fantasia musim sebelum ini.

Meskipun kredibiliti mereka tidak boleh disangkal, namun ada yang melihat pemilihan mereka umpama strategi terdesak daripada pihak Astro untuk mengembalikan kepercayaan penonton serta rating terhadap program yang pernah dijanjikan akan berakhir selepas penyanyi Hazama bergelar juara AF musim kesembilan yang lalu.

Tersenyum mendengar kenyataan tersebut, ketiga- tiga mereka mempunyai jawapan tersendiri apabila bersetuju untuk terlibat dalam program yang sentiasa mencetuskan kontroversi itu.

Menurut Siti, dia menerima tawaran daripada pihak Astro untuk terlibat dalam program tersebut kira-kira dua bulan yang lalu.
Ujarnya, dia tidak terus bersetuju ketika tawaran itu tiba, sebaliknya berfikir dengan mendalam. Selepas diterangkan bahawa program AF 2013 telah diubah formatnya dan tidak sama dengan program musim terdahulu, barulah Siti memberikan persetujuannya.

"Selepas saya diberitahu formatnya telah diubah dan tidak sama dengan musim sebelum ini, saya ber- setuju kerana ia sesuatu yang baharu.
"Lagipun seronok dapat bekerjasama dengan dua orang hebat seperti Melly dan Faizal. Tugas kami se- bagai pengilham adalah membantu pelajar daripada pengalaman yang kami miliki," katanya.

Tambahnya, pengalamannya sebagai penyanyi yang bermula dari bawah tanpa mengikuti kelas vokal dan muzik secara formal juga membuatnya terpanggil untuk menyertai program itu.

"Penyanyi terbahagi kepada dua iaitu golongan yang mempunyai asas vokal dan muzik secara formal dan golongan yang hanya dikurniakan bakat tanpa seba- rang asas.

"Saya tergolong dalam golongan penyanyi yang di- kurniakan bakat sahaja ketika mula-mula menyanyi. Sebab itu, saya ingin memberi inspirasi dan membantu mereka yang benar-benar berminat dan berbakat dalam bidang nyanyian untuk menjadi penyanyi yang berjaya," balasnya.

Walaupun tidak terlibat dalam pemilihan pelajar AF 2013 dan belum berjumpa dengan pelajar yang telah pun dipilih menerusi uji bakat, tegas Siti, jika boleh dia mahu terlibat secara langsung sebagai tenaga penga- jar dalam AF 2013.
"Kami diberi masa selama tiga minggu setiap seorang pengilham untuk memantau perkembangan pelajar tetapi kami tiada ada kuasa seperti pengetua AF sebelum ini.
"Namun, jika boleh saya mahu terlibat secara langsung seperti menegur mana yang patut sebelum konsert bermula dan mengajar mereka, bukan hanya bercerita tentang pengalaman sahaja," jawabnya.

Dalam pada itu, Siti sedar tanggungjawab yang besar digalas mereka bertiga kerana harapan penonton terhadap program ini pastinya tinggi menggunung memandangkan mereka bertiga bukannya penyanyi picisan.
"Nampak tugas kami mudah tetapi sebenarnya tanggungjawab yang diberikan itu besar. Kami bertiga akan mencuba yang terbaik kerana reputasi kami juga menjadi taruhan," balasnya.

Komposer, penerbit dan penyanyi terkenal Indonesia, Melly Goeslow bukan pertama kali terlibat dalam program realiti nyanyian.

Sebelum ini di negara kelahirannya, Melly pernah menjadi juri program Indonesia Idol dan beberapa program realiti TV nyanyian yang lain tetapi tawaran yang diberikan Astro begitu menarik hatinya.

"Program ini sangat besar dan mungkin bintang yang lahir daripada program ini boleh menjadi inspirasi, bukan sahaja kepada masyarakat Malaysia tetapi juga di Indonesia juga," katanya.

Jelasnya lagi, meskipun menampilkan tiga orang pengilham tetapi karakter dan cara pendekatan mereka dengan pelajar juga sangat berbeza.

"Tidak akan timbul kekeliruan kerana diberikan ruang dan masa yang berbeza iaitu tiga minggu setiap seorang. Siti dan Faizal dengan caranya, begitu juga saya.
"Jika tiada perbezaan antara kami, nanti yang lahir daripada program ini hanyalah penyanyi klon seperti contoh klon Siti Nurhaliza. Kami mahu elakkan perkara itu berlaku dan pelajar harus mempunyai identiti tersendiri," balasnya.

Tegas Melly yang dikenali dengan karakter garangnya sebagai juri atau mentor program realiti, kehadiran mereka sekadar membantu pelajar untuk menjadi penyanyi yang lebih baik, selebihnya usaha itu harus datang dari- pada pelajar itu sendiri.

"Kami hanya membantu sekadar yang boleh. Jika pelajar itu tidak berusaha dan membantu diri mereka sendiri, kami bertiga tidak boleh berbuat apa-apa.
"Ingin saya ingatkan, semua pelajar AF kali ini tidak boleh bermanja dan main-main. Saya tidak akan memberi muka kepada pelajar yang hanya mahu kejar populariti, bukannya impian sebagai penyanyi," ucapnya.

Jika hendak dibandingkan antara Siti dan Melly, Faizal Tahir antara yang paling muda usia penglibatannya dalam industri seni suara.
Terpilih sebagai pengilham AF 2013 telah membuatkan bekas peserta program One In A Million musim kedua itu berasa terharu.

"Saya cukup terharu dan teruja dalam masa yang sama kerana jika hendak dibandingkan dengan Siti dan Melly, saya masih mentah, baru tujuh tahun dalam industri sedangkan pengaruh mereka cukup besar," ucapnya.
Disoal adakah dia terkejut dengan pemilihannya dalam sebuah program terbitan Astro sedangkan sebelum ini dia umpama wajah eksklusif sebuah stesen televisyen yang lain.

"Saya tidak pernah rasa saya anak emas atau wajah stesen televisyen yang dimaksudkan kerana wajah saya tidak pernah terpampang di papan iklan mereka," katanya.

Jelasnya, AF kali ini sangat berbeza kerana pelajar tidak dikuarantin di sebuah rumah tanpa informasi dunia realiti, sebaliknya mereka akan menggunakan laman sosial untuk berinteraksi dengan peminat dan mengetahui apa yang berlaku di dunia luar.

"Bagusnya pelajar AF kali ini lebih bebas. Mereka lebih terbuka kepada dunia realiti kerana mereka akan mempunyai laman sosial seperti Twitter dan Instagram masing-masing.

"Bagi saya, pendedahan itu bagus kerana apabila jadi penyanyi kelak, mereka tidak akan dipuji sahaja, sebaliknya akan ada orang mengutuk dan membenci mereka. Itulah realiti, bukan mudah untuk jadi penyanyi.
"Jika itu pun mental mereka tidak boleh tahan, baik lupakan sahaja niat untuk jadi penyanyi kerana cabaran yang lebih besar menanti apabila mereka semua bekerja dalam industri hiburan yang sebenar," tegasnya.

Monday, 29 July 2013

Dugaan penuh kenikmatan - Datuk Siti Nurhaliza


TANGGAL 13 Disember 2012 pasti tidak akan dilupakan oleh penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kerana pada tarikh itu suaminya, Datuk Khalid Mohd. Jiwa terlibat dalam kemalangan motosikal berkuasa tinggi di New Zealand.

Kini selepas tujuh bulan kemalangan berlaku, Siti mampu tersenyum melihat kesihatan suaminya yang semakin pulih dan bersyukur dengan dugaan yang diberi Allah kepadanya sekeluarga.
“Sepanjang kami berkahwin, kehidupan sentiasa gembira dan tahun lalu kami diberi dugaan oleh Allah dengan kamala- ngan Datuk K. Memang tidak sangka perkara sebegitu akan berlaku.

“Kini selepas tujuh bulan, saya rasa sungguh cepat masa berlalu. Empat bulan pertama selepas kemalangan saya memberi perhatian dengan menjaga suami sahaja.

“Sedihlah tetapi bila saya kenang semula saat saya menjaganya, bagi saya itu satu nikmat kerana saya dapat berbakti pada suami. Bila suami sihat saya pula rasa pelik.

“Sebelum ini saya lakukan semua untuknya seperti suapkan makan, mencukur janggut dan memandikannya kerana selepas pembedahan, Datuk K hanya mampu terbaring sahaja,” kata Siti.

Bercerita tentang Ramadan kali ini, saban tahun Siti pasti menjalani ibadah puasa di Mekah.
Namun tahun ini, Siti hanya menyambut Ramadan di tanah air sahaja disebabkan faktor kesihatan suaminya.
“Terkilan juga kerana setiap tahun saya dan suami pasti akan menunaikan umrah dan merasai nikmat puasa di Mekah. Tahun ini berbeza kerana kesihatan suami tidak mengizinkan.

“Sungguhpun begitu, saya tetap rasa seronok sebab dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga,” katanya yang akan beraya di Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang.

Siti juga sempat menceritakan pengalaman kali pertamanya ke bazar Ramadan bersama anak-anak tirinya.
“Memang sudah lama sangat tidak ke bazar Ramadan dan tahun ini, kali pertama kami bersama-sama ke situ. Cukup seronok sebab berpeluang berkumpul bersama semua keluarga dan membeli makanan di bazar.
“Selama ini kami hanya akan berbuka di rumah atau saya akan sibuk menghadiri majlis berbuka puasa, langsung tidak berkesempatan ke bazar Ramadan.

“Sekali-sekala dapat peluang seperti itu, bagi saya itu satu pengalaman yang bermakna,” ujarnya.

Nikmat hidup semula
- Datuk K
Selepas mempunyai pengalaman hampir dengan maut dan kini semakin sihat, Datuk K memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana membenarkan dirinya kekal bernafas di muka bumi ini.
Ceritanya yang ditemui dikediamannya baru-baru ini, ketika terbaring di katil hospital, pelbagai perkara berlegar dalam mindanya seperti kematian, lumpuh mahupun kecacatan kekal.

“Waktu saya tidak berdaya, saya terfikir adakah saya akan mati? Ketika itu saya banyak berdoa kepada Allah supaya panjangkan nyawa saya kerana saya belum bersedia untuk mengadap-Nya, amalan juga belum cukup.

“Saya katakan, kiralah segala amalan kebaikan yang pernah dilakukan dan panjangkan umur saya. Apa yang membuatkan saya kuat pada waktu itu, saya fikir tiga orang anak saya dan Siti yang memerlukan saya,” ucapnya.

Sambung Datuk K, melihat keadaannya yang semakin pulih dan mampu menjalani tugas harian seperti biasa, membuatkannya lebih menghargai kehidupannya hari ini.
“Ramai rakan saya yang mengalami kecederaan seperti saya, mereka akan meninggal dunia atau lumpuh. Saya bersyukur kerana masih berpeluang menjalani ibadah puasa bersama keluarga. Sebelum ini saya tidak sedar betapa cepat masa berlalu dan betapa cepat nyawa kita boleh diambil

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan ujian Allah kepada saya. Kemalangan itu juga menyedarkan saya betapa saya mempunyai seorang isteri yang cukup baik, dia tinggalkan kerjanya demi menjaga saya sahaja,” ujarnya jujur.

Beritahu Datuk K lagi, dia cukup terharu dengan cara Siti menjaganya sepanjang ter- lantar di atas katil tanpa mampu melakukan sebarang kerja termasuk menguruskan dirinya sendiri.
“Sebenarnya saya tersentuh dengan cara Siti menjaga saya sepanjang saya terbaring di atas katil. Dia menjaga saya dengan penuh kasih sayang sedangkan waktu itu saya seperti orang kurang upaya.
“Dalam kehidupan ini, susah untuk saya berjumpa dengan orang yang baik seperti- nya. Sebagai suami, saya doakan syurga yang teratas buat Siti,” balas Datuk K.

Cuti bersama Siti
Datuk K yang masih menjalani rawatan fisioterapi setiap hari dan bersenam di gim lima hari seminggu mengatakan, doktor memberi masa selama tiga bulan untuk dia pulih sepenuhnya.
“Walaupun saya diberi ubat tetapi kata Tun Mahathir yang datang melawat saya di hospital, terapi dan senaman lagi penting. Ubat hanya membantu kesihatan kita hanya 30 peratus sahaja.

“Sebab itu saya merawat diri sendiri de- ngan bersenam untuk membina semula otot selain berurut secara tradisional. Sekarang mungkin orang lihat saya sihat tetapi tangan kanan saya masih bengkak dan leher saya masih belum pulih sepenuhnya,” turut Datuk K.

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri kali ini, katanya, selain beraya di rumah keluarga, dia merancang untuk memberi keju- tan buat isteri tercinta.

Menurutnya, Aidilfitri yang tiba jatuh dalam bulan ulang tahun perkahwinan yang ketujuh bersama Siti.
“Kebetulan bulan raya tahun ini bersaaman dengan dengan ulang tahun perkahwinan kami iaitu 21 Ogos. Saya ingin membawanya pergi bercuti dan berehat kerana saya lihat dia pun penat bekerja.
“Mungkin selepas sambutan raya baru kami pergi bercuti. Lokasinya masih belum tahu, jika saya beritahu bukan kejutanlah namanya tetapi Siti ada menyebut dua tiga tempat yang dia ingin pergi, saya lihat dahulu mana yang sesuai,” katanya tentang kejutan ulang tahun perkahwinan buat Siti.
Kosmo

Thursday, 14 February 2013

Datuk Siti Nurhaliza cuti tiga bulan untuk jaga suami

KUALA LUMPUR - Penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin mengambil cuti tiga bulan daripada aktiviti seni bermula bulan lalu hingga Mac untuk memberi perhatian terhadap Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selepas suaminya itu terbabit dalam kemalangan motosikal di New Zealand pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, keadaan Khalid, 53, atau lebih mesra dengan panggilan Datuk K semakin pulih tetapi perlu menghadiri lebih banyak sesi fisioterapi di hospital.

"Alhamdulillah, proses rawatan berjalan lancar dan lebih menumpukan pada bahagian tangan. Sebagai isteri, saya perlu berada di sampingnya untuk membantu menguruskan kehidupan seharian seperti mandi dan makan," katanya pada sidang akhbar sempena Minggu Setiausaha di Hotel Royale Chulan di sini semalam.

Tambahnya, pengalaman menjaga suami semasa sakit menyedarkan beliau betapa sukarnya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.

Tuesday, 18 December 2012

Datuk K jalani pembedahan enam jam

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, suami kepada penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Tarudin selamat menjalani pembedahan selama enam jam di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand semalam.

Difahamkan, Datuk K dibawa ke bilik pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi semalam waktu Malaysia (pukul 1.30 petang waktu New Zealand).

Beliau selesai menjalani pembedahan pada kira-kira pukul 4 petang waktu Malaysia (pukul 8 malam waktu New Zealand).

Pembedahan itu melibatkan bahagian belakang badannya, bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada ia membabitkan tulang belakang atau sebaliknya.

Siti menerusi akaun laman sosial Twitter @CTNurhaliza11 memberitahu, pembedahan ke atas suaminya yang mengambil masa kira-kira enam jam itu berjalan lancar.

"Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan berjaya. Mohon doakan terus. Terima kasih semua, hanya Allah yang akan membalas jasa baik kalian," katanya.
KOSMO

Monday, 17 December 2012

Siti Nurhaliza minta maaf suami mahu privasi

KUALA LUMPUR - Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin meminta maaf kepada peminatnya di tanah air kerana tidak memberikan gambar terkini suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang kini terlantar sakit di New Zealand didedahkan kepada umum.

Siti yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! memberitahu, beliau terpaksa berbuat demikian bagi menghormati permintaan suaminya itu yang mahukan privasi.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan gambar terkini kerana ia merupakan permintaan daripada suami yang mahukan privasi sepanjang menerima rawatan di Hospital Southland.
"Saya berharap semua pihak memahami situasi kami apabila kami tidak dapat memberikan gambar terkini Datuk K," katanya.

Datuk K terlibat dalam kemalangan di New Zealand Khamis lalu sewaktu beliau bersiar-siar dengan menunggang motosikal berkuasa besar Harley Davidson.
KOSMO

Saturday, 15 December 2012

Datuk K tidak boleh bergerak

KELUARGA bahagia Datuk K dan Siti Nurhaliza bersama tiga anaknya Muhammad Adib (kanan), Muhammad Anas (depan) dan Muhammad Azief.

KUALA LUMPUR – Seorang kenalan rapat Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa memaklumkan suami penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang mengalami kemalangan motosikal kelmarin mungkin terlantar selama 10 hari di Hospital Southland, Invercargill, New Zealand.

Beliau yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, keputusan untuk membawa pulang Datuk K bagi menjalani rawatan di Malaysia bergantung kepada keluarga ahli perniagaan itu sendiri.
Keputusan tersebut juga bergantung kepada tahap terkini kesihatan Datuk K.

Yang pasti, katanya, Datuk K yang patah bahu, tangan dan kaki akibat kemalangan tersebut perlu menjalani rawatan rapi.
“Alhamdulillah, keadaan Datuk K stabil tetapi dia mungkin ditahan hospital selama 10 hari sebelum dia dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo

Friday, 14 December 2012

Datuk K cedera kemalangan motosikal

DATUK K dan Siti Nurhaliza menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan gaya tersendiri semasa menyertai Kembara 1Malaysia tahun lepas.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, suami kepada penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin mengalami kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson di Queenstown, New Zealand, semalam.

Kemalangan yang berlaku pada sekitar pukul 12 tengah hari waktu Malaysia (pukul 4 petang waktu tempatan) itu mengakibatkan Datuk K patah bahu selain cedera di tangan dan kaki.
Suami Siti Nurhaliza yang berusia 53 tahun itu kini dirawat di Hospital Southland, Queenstown setelah dia diterbangkan ke hospital itu dengan sebuah helikopter. Keadaannya dilaporkan stabil.
Hospital tersebut terletak di Invercargill, kira-kira 190 kilometer atau dua jam perjalanan dari Queenstown.

Menurut kakak Datuk K, Datin Zaiton, adiknya itu ke New Zealand atas urusan perniagaan dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan untuk bercuti bersama rakan-rakannya.
“Datuk K pergi ke sana kerana kerja dan dalam masa yang sama mengambil kesempatan bercuti dengan membawa motosikal berkuasa tinggi di sana.
“Saya diberitahu, kemalangan itu berlaku disebabkan dia gagal mengawal motosikal lalu terjatuh dan tercedera.

“Buat masa ini, dia masih dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil,” kata Zaiton ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo

Wednesday, 12 December 2012

Datuk Siti pertaruh Galau Single Terbarunya

BERTEMU dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza di set penggambaran klip video single terbaharunya yang berjudul Galau di Taman Botani, Putrajaya minggu lalu pelbagai cerita dikongsi bersama.

Selepas 17 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, masih berada di puncak dan belum ada penyanyi lain yang mampu menggugat pengaruhnya.

Sentiasa berpijak di bumi nyata, Siti yang baru selesai menjayakan konsert Siti Nurhaliza Live In Kuantan pada 9 November lalu, kini merancang untuk menawan semula Indonesia pada tahun hadapan.

"Misi tahun 2013 adalah untuk bertemu dengan peminat di Indonesia semula di samping mengembangkan pemasaran produk SimplySiti ke sana.
"Memang sudah ada tawaran untuk menerbitkan sebuah album projek khas bersama sebuah label di Indonesia. Setakat ini, semuanya dalam peringkat perbincangan kerana ada perkara dalam kontrak yang masih belum mendapat persetujuan bersama seperti soal royalti," ujar Siti mengenai misi tahun hadapannya.

Hakikatnya nama Siti di Indonesia bukan kecil. Menerusi single yang masih menghantui peminat di sana iaitu lagu irama Malaysia, Cindai yang membuka laluan besar untuk penyanyi tersebut ke Indonesia pada tahun 1997, kehadiran Siti sentiasa dinanti peminatnya di sana.

Meskipun terdapat lagu lain yang turut popular di sana, namun karya ciptaan Pak Ngah itu menjadi lagu wajib didendangkan setiap kali Siti mengadakan persembahan di negara seberang itu.
"Saya akui lagu Cindai memang sangat popular di sana sehingga hari ini. Jadi, untuk menembusi pasaran Indonesia semula, saya harus tampil dengan sebuah lagu yang segar.
"Disebabkan itu, saya sengaja memilih lagu ciptaan komposer Indonesia bernama Chacaq berjudul Galau agar mudah diterima di sana," katanya penuh harapan.

Memanaskan suasana sebelum menawan peminat seberang dengan lagu terbaharunya, Siti telah terbang ke Indonesia pada 9 Disember lalu untuk mengadakan konsert Ekspresi Karya Gemilang di tiga buah kota iaitu di Ancol, Jakarta (10 Disember), Pekanbaru (12 Disember) dan Banjarmasin, Kalimantan (14 Disember).

Konsert di Indonesia itu menggabungkan persembahan penyanyi Indonesia dan Malaysia. Selain Siti, penyanyi Shila Amzah, Amy Search, Rossa, Titi DJ, Nicky Astria, band Ungu dan band Armada turut menjayakan konsert tersebut.

"Konsert tersebut merupakan hadiah saya untuk peminat di sana yang rindu menyaksikan persembahan saya secara langsung. Saya akan lihat bagaimana sambutannya di sana terlebih dahulu sebelum benar-benar aktif mempromosikan lagu Galau nanti," beritahunya yang akan menyanyikan lima buah lagu di setiap lokasi konsert tersebut selain sebuah lagu duet bersama Rossa dan Titi DJ.

Single
Album bahasa Inggeris berjudul All Your Love Siti diterbitkan pada tahun lalu. Itu merupakan album solo terakhirnya. Kini, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu sedang sibuk mengumpul material untuk album ke-16.

"Sekarang saya sangat sibuk dan setakat ini sebanyak lapan buah lagu sudah berada dalam simpanan. Saya tidak akan muncul dengan album, sebaliknya keluar satu single dalam satu masa terlebih dahulu.

"Selepas beberapa single muncul, baru saya akan tampil dengan album penuh. Rasanya lebih senang begitu kerana lagu yang termuat dalam album sudah mesra pendengar kerana telah diputarkan di radio," ujarnya.

Bercakap tentang buah tangan terbaharunya, lagu Galau yang bermaksud rasa kehilangan itu telah dirakamkan dua bulan yang lalu.
"Sebenarnya saya sukakan lagu Galau kerana lagunya ringkas dan liriknya mudah diingati. Jika lagu itu senang dihafal pendengar, mudahlah ia diterima ramai," akuinya tentang formula kejayaan sesebuah lagu menjadi siulan ramai.

Dalam kesibukan kerjayanya, Siti tidak pernah melupakan mereka yang tidak bernasib baik. Aktif dalam melakukan kerja amal, menerusi produk SimplySiti, Siti telah melancarkan kempen SimplySiti Di Hati.

Kerja amal
Kempen tersebut dilancarkan untuk mengumpul dana buat tiga kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan menjalani pembedahan jantung.
"Seorang daripada tiga orang kanak-kanak itu telah selamat menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
"Mereka bertiga dipilih berdasarkan nasihat pihak IJN sendiri. Dalam kempen ini, Siti sasarkan untuk mengutip dana sebanyak RM100,000.

"Kanak-kanak ini boleh dibantu dengan pembelian produk SimplySiti bernilai RM150 ke atas, sebanyak RM10 akan disalurkan ke tabung SimplySiti Di Hati.
"Jika ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan terus kepada mereka juga boleh dengan menghubungi pihak IJN," jelasnya yang menjelajah ke-11 lokasi seluruh Semenanjung Malaysia demi menjayakan kempen ini.

Selain itu, isteri kepada Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K terbabit dengan Malam Amal Tahajjud Cinta yang akan berlangsung pada 30 Januari tahun hadapan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Acara yang dianjurkan oleh pihak Fareeda dan Yayasan AIDS Malaysia bakal menyaksikan Siti melelong dua tudung rekaannya sendiri pada malam tersebut untuk mengutip dana.
"Saya akan menyanyikan lagu berkonsep ketuhanan atas permintaan pihak penganjur dengan kebanyakan lagu dipetik daripada album Tahajjud Cinta.
"Secara kebetulan acara ini diadakan ketika umat Islam masih dalam suasana sambutan Maulidur Rasul, jadi lagu ketuhanan amat sesuai selain lagu popular saya yang sesuai dengan acara itu," ujarnya mengakhiri bicara.
Kosmo

Thursday, 15 November 2012

Siti gamit kenangan di Pahang


DATUK SITI NURHALIZA tidak pernah gagal memberi sebuah persembahan memukau walaupun telah kerap membuat konsert sejak terbabit dalam bidang seni lebih 12 tahun lalu. 
 
SEPERTI sirih pulang ke gagang. Begitulah yang boleh diumpamakan mengenai kemunculan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sewaktu menghiburkan para penonton di negeri kelahirannya iaitu di Dewan Arabian, Bukit Gambang Resort City (BGRC), Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Meluahkan isi hatinya, Siti tidak dapat menafikan keterujaan untuk menjayakan konsert di Pahang meskipun telah banyak membuat persembahan di serata negara termasuk yang paling berprestij di Royal Albert Hall, London.

Isteri kepada Datuk Seri Mohamad Khalid Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K ini mengakui peluang keemasan itu begitu menyentuh jiwa kerana ia seolah-olah mengimbas kembali kenangan manisnya seawal pembabitan dalam dunia muzik tanah air.
Bagaikan membawa penonton bersama-sama melalui mesin waktu, Siti tidak kekok untuk menceritakan kisah hidupnya sejak dilahirkan di Kampung Awah, Temerloh sebelum berpindah ke Mentakab dan dibesarkan di Kuala Lipis.

Dengan penyampaian secara bersahaja, ia berjaya menggamit perasaan dan memberi kesan kepada penonton untuk menjiwai perjalanan susah senang yang diharungi oleh anak seni ini.
Tidak dilupakan kehadiran tetamu paling istimewa, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah turut mengingatkan Siti tentang peristiwa pertama kali beliau membuat persembahan di hadapan baginda ketika masih belajar di tadika dan bangku sekolah.

Membuka tirai persembahan selama dua jam di hadapan kira-kira 5,000 penonton termasuk dari Indonesia dan Singapura, Siti yang kelihatan semakin langsing dan menawan, bijak menarik hati peminat dengan lagu popular Korea, Oppa Gangnam Style.
Bagaikan selari dengan kisah zaman permulaan kariernya, Siti mengajak pula para penonton mengimbas nostalgia menerusi dendangan beberapa lagu popular pada peringkat awal kemunculannya seperti Wajah Kekasih dan Jerat Percintaan.

Bagi mengelak kebiasaan dalam persembahan, Siti berani mengambil risiko untuk melakukan persembahan tanpa membahagikan konsertnya kepada segmen tertentu dan bercorak lebih santai.
Percaturan itu dilihat berjaya apabila beliau seakan-akan berupaya ‘bermain’ dengan mood penonton yang terkadang gembira dan terkadang menyentuh emosi menerusi lagu-lagu yang disampaikan.
Antara segmen paling mencuri tumpuan dan lebih serasi dengan cita rasa anak muda ialah kemampuan Siti untuk bergandingan dengan artis beatbox, Kojie.
Sebagai penyanyi berbakat, Siti mempamerkan kebolehannya untuk membawa rentak beatbox sambil diiiringi Kojie.

Dialog dan usikan yang disampaikan Siti sebagai selingan dalam persembahan juga telah mencuri hati penonton dan membuatkan dewan konsert itu gamat dengan hilaian ketawa dan jeritan.
Siti kelihatan memahami dan mudah berinteraksi mesra dengan ribuan penonton di mana perlakuan itu menampakkan kematangannya sebagai penghibur legenda yang sentiasa memikat.
Tidak terkecuali, dendangan lagu medley Alleycats antaranya Sampaikanlah Salam dan Hingga Akhir Nanti yang dibawa dengan susunan muzik lebih segar turut mengasyikkan dan menggamit memori ramai kepada kumpulan legenda itu.

Para penonton pada malam itu juga boleh dianggap bertuah apabila beliau buat pertama kalinya menyanyikan lagu berjudul Galau ciptaan komposer Indonesia.
Penyampaian lagu itu bagaikan ‘salam perkenalan’ buat para peminat yang kini mungkin ternanti-nanti untuk mendapatkan single terbaharu penyanyi versatil itu.
Kemuncak bagi konsert pada malam itu, Siti tidak terlepas mendendangkan lagu Muara Hati yang kini semakin sering bermain di bibir peminat.

Justeru, tidak hairanlah jika ia mampu membuat para penonton terpukau dan terbuai dengan lagu runut bunyi siri drama popular Adam dan Hawa itu.

Menerusi konsertnya itu juga, Siti telah mendendangkan 22 buah lagu popularnya termasuk lagu Inggeris, Falling in Love serta lagu Nirmala yang digubah dengan melodi lebih segar.
Biarpun keadaan kesihatannya kurang memuaskan sebelum persembahan, namun Siti tidak sedikit pun menampakan situasi berkenaan.
Ini kerana menurut Siti, ia didorong semangat yang kuat bagi memberikan yang terbaik untuk konsert solo yang julung-julung kalinya diadakan di negeri kelahirannya selepas terlibat dalam bidang seni sejak 1996.

Menutup persembahan malam itu, Siti sekali lagi memperlihatkan identitinya sebagai anak Pahang apabila mendendangkan lagu Dendang Pahang dan Poh Paleh Weh yang juga lagu tema sempena Sukan Malaysia Ke-15 yang berlangsung di bumi Tok Gajah itu Julai lalu.
Kosmo
 

Sunday, 30 September 2012

Siti Nurhaliza dalam pantang

GEMAR mengusik dan tertawa manja merupakan sifat Siti yang disenangi ramai.

MINGGU ini nama Datuk Siti Nurhaliza kembali ke carta panas. Hanya gara-gara menjemput para wartawan, pereka fesyen dan jurusolek untuk berkumpul di rumahnya yang terletak di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur banyak andaian awal terkeluar.
Ada yang muncul dengan andaian penyanyi nombor satu ini bakal mengumumkan kehamilan, tidak kurang juga yang membuat tilikan bahawa Siti bakal menerima menantu. Biasalah apabila terkait dengan Siti, pelbagai cerita akan terkeluar.

Siti yang tenang menyambut tetamu pada Khamis lalu di rumahnya lebih banyak menjemput tetamu menjamah makanan berbanding bertugas. Ketawanya manja dan ayu sewaktu dijolok pertanyaan untuk ditemuramah.

Akhirnya dalam satu sesi meja bulat, penyanyi Bukan Cinta Biasa itu membuka mulut. Semua pertanyaan dijawabnya sambil dia sendiri menjamah makanan. Tiada cerita panas sebenarnya yang mahu ditadahkan. Semuanya berkait kerjayanya dan yang penting dia sedang dalam pantang makan untuk persiapan menjayakan konsert solonya yang bakal dilangsungkan di Bukit Gambang City Resort, Kuantan pada 9 November ini.

Terlebih dulu, Siti sempat menjawab persoalan tentang anak teruna Datuk Khalid Muhammad Jiwa iaitu Ashraf yang bertemu mata dengan aktres Rozita Che Wan. Ashraf bertemu dengan pelakon jelita tersebut secara peribadi di sebuah majlis tertutup untuk mendapatkan kepastian benarkah janda bergetah tersebut mahu mengahwini bapanya yang popular dikenali sebagai Datuk K.
"Saya tahu mengenai perkara itu daripada rakan. Suami pun baru sahaja tahu tentang hal itu pagi tadi (Khamis). Saya faham yang Ashraf tu masih budak lagi. Dia hanya bergurau saja. Saya tidak kisah pun. Sebab budak-budak, biasalah darah panas. Tak ada apa-apa yang serius pun," kata Siti memberi penjelasan.

Lebih ditumpukan adalah persiapan Siti tentang konsert solonya yang bakal diadakan di negeri kelahirannya. Malah untuk konsert tersebut, Siti mengaku sudah mula berpantang dan memulakan senaman yang konsisten untuk menurunkan berat badannya daripada 58 kilogram kepada 55 kilogram.
"Lebih kurang sebulan sahaja lagi sebelum saya membuat persembahan di dalam konsert solo kedua ini nanti. Banyak persiapan yang saya perlu mulakan dari sekarang terutama sekali saya mahu kembali cergas dengan bentuk badan yang lebih kurus," jelasnya.

"Terus-terang saya sudah lama rindu untuk beraksi di pentas yang besar dalam konsert solo selepas konsert yang pertama dahulu iaitu Konsert Satu diadakan di Istana Budaya. Kali ini konsert ini akan adakan di luar Kuala Lumpur dulu dan rasanya ia memberi kelebihan kepada peminat bukan saja di Pahang tapi juga di kawasan negeri Pantai Timur," ujarnya yang sedang memikirkan konsep persembahan bersama penganjur konsert tersebut iaitu Creative Stars.

Menariknya, lokasi konsert kedua ini iaitu Grand Ballroom Bukit Gambang Resort City adalah dewan pertama terbesar di Asia Tenggara.
Persembahan konsert solo kedua terbesarnya itu nanti akan berlangsung selama dua jam dan Siti bakal menyanyikan lebih 20 lagu terdiri daripada lagu pop, balada serta lagu-lagu yang berkonsep tradisional.
Siti yang juga sempat memberitahu bahawa dia kini dalam perancangan untuk melancarkan pewangi eksklusifnya sekitar tahun depan.

Kosmo

Saturday, 18 August 2012

Kejar ganjaran Ramadan, rai kemenangan raya - Siti Nurhaliza

IRONI, sudah saban tahun Datuk Siti Nurhaliza berkongsi cerita Ramadan dan Aidilfitrinya kepada khalayak. Ini bukan tahun pertama, tetapi sudah memasuki tahun ke-18, sejak beliau pertama kali menjadi penyanyi pada tahun 1995.

Saban tahun, tanpa jemu beliau ditanya dan menjawab persoalan raya. Namun setiap kali disua topik yang serupa, mata bintang tersohor ini sentiasa bersinar dan teruja bercerita. Sama seperti tahun ini.
Siti rancak bercerita tentang nikmat Ramadannya. Beliau yang kini berada di tanah suci Mekah sejak 9 Ogos lalu memberitahu, Ramadan yang paling digemarinya tentulah sewaktu zaman kanak-kanak.
"Kalau dapat putar waktu, saya ingin kembali ke zaman kanak-kanak. Berpuasa pada zaman kanak-kanak lain keseronokannya.

"Selain sibuk berniaga dan bertemu ramai orang sewaktu menjual kuih, saya juga akan dapat habuan duit upah sebab berpuasa penuh. Selalunya mak akan bagi kami upah bergantung kepada berapa banyak hari kami berpuasa. Sebagai kanak-kanak, itu adalah hadiah sebelum raya yang dinanti-nanti," cerita Siti bersulam tawa.

Sementara apabila meningkat dewasa, persepsi Ramadan Siti sudah berubah. Ia tidak sekadar bulan untuk mengumpul upah dan menjaja kuih, sebaliknya digunakan sepenuhnya sebagai bulan menambah amal ibadat.

Lebih-lebih lagi selepas beliau diberi keizinan Allah untuk sering bertamu ke tanah suci kota Mekah. Cerita Siti, Kaabah selalu menggamit rasa untuk beliau kembali ke sana.
"Alhamdulillah, sejak lebih lima tahun lalu, saya dan suami, Datuk Khalid, berkesempatan kembali menunaikan umrah pada bulan Ramadan.

"Kaabah adalah perkara teragung dan selalu menggamit saya untuk beribadat di hadapannya setiap kali Ramadan. Selalu kita sujud pada sejadah dengan gambar Kaabah, tetapi di Mekah, Kaabah berada di depan mata kita, Subhanallah.

"Bukan saya menafikan ibadat umrah pada bulan lain, tetapi nikmat dan suasana berada di Mekah pada bulan Ramadan cukup berbeza," ujarnya bersungguh-sungguh.
Tambah Siti, suasana berbuka puasa walau hanya dengan menikmati yougart dan kurma serta tidak mewah seperti di Malaysia, itu antara perkara yang menjadi satu kerinduan dan kepuasan buatnya setiap kali berada di sana.

Katanya lagi: "Di sana (Mekah) juga, manusia itu sama, tak mengenal darjat, selebriti atau siapapun kita. Semua berlumba-lumba membuat ibadat. Sebab itu saya sentiasa menunggu Ramadan supaya saya akan terus dapat dijemput ke sana."
Percutian waktu raya
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
SITI gembira kerana tahun ini beliau dan suami sekali lagi dapat berpuasa di Mekah.

Beralih cerita tentang sambutan Aidilfitri, Siti memberitahu beliau hanya akan berhari raya di Kuala Lumpur pada hari pertama memandangkan beliau dan suami pulang ke tanah air sehari sebelum raya.
"Kami akan berhari raya di Kuala Lumpur dahulu, sebelum memutuskan untuk pulang berhari raya di kampung saya dahulu iaitu Kuala Lipis, Pahang, atau sebelah suami di Kedah," ujarnya.
Ditanya tentang tradisi masa kini yang menyaksikan semakin ramai memilih untuk melancong pada hari raya berbanding pulang ke kampung halaman, Siti melontar persepsi dengan bernas.

Beliau melihat perkara tersebut dilakukan atas sebab dan pilihan masing-masing.
Ujarnya, mungkin segelintir orang yang memilih melancong sewaktu hari raya kerana sudah tidak mempunyai orang tua, justeru melancong menjadi pilihan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan yang ada.

"Bagaimanapun, untuk saya, hari raya tak lengkap kalau tak pulang ke kampung. Alhamdulillah, sehingga hari ini, saya dan keluarga tidak pernah lagi pergi melancong pada hari raya.
"Suami juga amat mementingkan sambutan raya di kampung. Raya kami jadi sempurna dengan beraya di kampung," ujarnya yang menjadikan musim perayaan sebagai medan bertemu sanak saudara kerana kesibukan pekerjaan masing-masing.

Diminta memberi satu perkara yang tidak pernah terlepas daripada menyentuh kalbunya, Siti pantas menjawab saat mendengar takbir raya dan sesi bermaafan bersama keluarga.
Hal itu ujar Siti lagi adalah satu momen klasik yang hanya dirasai setahun sekali.

Kosmo

Wednesday, 11 July 2012

Kombinasi padu Sami, Siti

JERITAN yang melaungkan nama Sami (Yusuf) kedengaran sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam Stadium Tertutup Singapura di Kallang, Singapura pada Ahad, 8 Julai lalu untuk menyaksikan konsert julung-julung kali di negara jiran Malaysia itu.

Jam ketika itu menunjukkan tepat pukul 9 malam menyaksikan ruang stadium yang dibanjiri lebih 3,000 penonton, rata-ratanya warga Singapura yang nyata tidak sabar-sabar lagi menantikan kemunculan Sami Yusuf.

Vokal penyanyi kelahiran Tehran, Iran yang dibesarkan di London dan pernah dilabelkan oleh majalah berprestij, Time sebagai Bintang Rock Islam Terbesar itu tiba-tiba bergema di sebalik tirai yang merentangi pentas, mengalunkan lagu, Salaam.

Bersesuaian dengan judul konsertnya, Salaam Tour Sami Yusuf 2012, Salaam menjadi lagu pembuka tirai persembahan Sami yang muncul di pentas mengenakan kot yang dipadankan dengan seluar jean.
Bagi yang tidak mengenali Sami, pasti melihat figura berusia 31 tahun itu sekadar seorang lagi penyanyi nasyid dari Timur Tengah. Namun ternyata, tanggapan itu bersisa menjadi suatu stigma klise.
Persembahan bertaraf antarabangsa itu sebaliknya menyaksikan Sami mengalunkan lagu-lagunya sambil diiringi elemen muzik yang biasa diminati majoriti anak muda hari ini hasil gabungan peralatan muzik moden terutama gitar dan dram.
BERTARAF dunia. Kehebatan pentas konsert Salaam Tour Sami Yusuf 2012 di Singapura yang terserlah.
 
Menyampaikan 22 buah lagu seperti Healing, The Source, Ya Muhammad, Make Me Strong, Sami tidak ketinggalan menunjukkan kebolehannya bermain peralatan muzik, terutama piano semasa mendendangkan lagu My Ummah.

Tidak sekadar menyanyi, Sami bijak mengawal pentas dengan melontarkan bicara khusus buat pengunjung konsert tersebut. "You still got energy (Anda masih ada tenaga)," ungkapnya yang pantas meraih respons berupa sorakan kuat daripada sekalian pengunjung tersebut.

Kemunculan figura pujaan nombor satu Malaysia, siapa lagi kalau bukan Datuk Siti Nurhaliza di pentas konsert itu sukses dalam menaikkan lagi momentum keterujaan penonton.
Berduet menerusi lagu You Came To Me, Sami dan Siti dilihat saling melengkapi antara satu sama lain menerusi vokal, aura dan penampilan mereka di pentas.

Biarpun sekadar satu lagu, namun ia ternyata suatu kombinasi padu antara Sami dan Siti, yang pastinya menjadi tarikan buat peminat di Malaysia untuk menyaksikan pula mereka menerusi Salaam Tour Sami Yusuf 2012 di Stadium Malawati pada Sabtu, 14 Julai ini.
Selain Siti yang muncul solo mendendangkan Lagu Rindu, kolaborasi Sami bersama kumpulan Mohram juga sukses dalam menjana suatu persembahan yang indah pada konsert tersebut.
Saling memuji
PENYATUAN aura, emosi dan penampilan Sami bersama Siti di pentas konsert untuk lagu You Came To Me antara tarikan utama konsert Salaam Tour Sami Yusuf 2012.
 
Apa yang nyata, Sami dan Siti saling memuji antara satu sama lain dan mengakui berbangga dapat menjalinkan kolaborasi bersama.
"Saya berbangga dapat berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza. Dia seorang wanita sejati," luah Sami ketika diminta memberikan pandangan peribadinya tentang Siti.
Tambahnya: "Siti memiliki vokal, aura dan personaliti yang indah. Dia merupakan simbol penyatuan dan identiti di rantau Asia Tenggara ini. Saya sangat bertuah kerana berpeluang menjalinkan kerjasama dengan Siti."

Mengenai pemilihan Siti untuk berkolaborasi dengannya menerusi konsert di Malaysia dan Singapura, Sami menegaskan antara faktornya adalah kerana Siti memiliki sifat keperibadian yang terpuji.
"Untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus bukan hanya bersandarkan kepada vokal semata-mata, tetapi perlu ada sifat peribadi yang baik seperti menghormati orang lain dan itu yang saya nampak salah satu ciri yang dimiliki oleh Siti," ujarnya.

Siti pula melahirkan perasaan keterujaannya kerana dapat berkolaborasi dengan Sami, sementelah dia berasa selesa dalam menjalinkan kerjasama dengan figura yang diberi jolokan Muslim British Paling Terkenal di Dunia oleh akhbar British, The Guardian itu.
SAMI (kanan) pada sidang akhbar semalam bersempena konsertnya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor menjelang Sabtu ini.
 
"Terima kasih kerana memberi peluang ini buat Siti, terutamanya berduet dengan Sami untuk lagu You Came To Me. Ia sesungguhnya suatu ruang yang baik buat Siti sebagai artis untuk dikenali peminat muzik dari luar negara terutama dari Timur Tengah,"' akuinya yang turut memberitahu bakal muncul dengan album penuh baharu menjelang hujung tahun ini.

Ungkap Siti lagi: "Sejak klip video lagu You Came To Me boleh diikuti di YouTube, ia nyata telah meraih respons memberangsangkan daripada peminat muzik luar negara terutamanya peminat Sami yang menyambut baik duet Sami dan Siti itu. Ia permulaan yang baik untuk karier Siti di masa depan."

Kosmo

Klik Untuk Saya k... :)

free counters