Jom Buat Duit

Wednesday, 11 July 2012

Kombinasi padu Sami, Siti

JERITAN yang melaungkan nama Sami (Yusuf) kedengaran sebaik sahaja kaki melangkah ke dalam Stadium Tertutup Singapura di Kallang, Singapura pada Ahad, 8 Julai lalu untuk menyaksikan konsert julung-julung kali di negara jiran Malaysia itu.

Jam ketika itu menunjukkan tepat pukul 9 malam menyaksikan ruang stadium yang dibanjiri lebih 3,000 penonton, rata-ratanya warga Singapura yang nyata tidak sabar-sabar lagi menantikan kemunculan Sami Yusuf.

Vokal penyanyi kelahiran Tehran, Iran yang dibesarkan di London dan pernah dilabelkan oleh majalah berprestij, Time sebagai Bintang Rock Islam Terbesar itu tiba-tiba bergema di sebalik tirai yang merentangi pentas, mengalunkan lagu, Salaam.

Bersesuaian dengan judul konsertnya, Salaam Tour Sami Yusuf 2012, Salaam menjadi lagu pembuka tirai persembahan Sami yang muncul di pentas mengenakan kot yang dipadankan dengan seluar jean.
Bagi yang tidak mengenali Sami, pasti melihat figura berusia 31 tahun itu sekadar seorang lagi penyanyi nasyid dari Timur Tengah. Namun ternyata, tanggapan itu bersisa menjadi suatu stigma klise.
Persembahan bertaraf antarabangsa itu sebaliknya menyaksikan Sami mengalunkan lagu-lagunya sambil diiringi elemen muzik yang biasa diminati majoriti anak muda hari ini hasil gabungan peralatan muzik moden terutama gitar dan dram.
BERTARAF dunia. Kehebatan pentas konsert Salaam Tour Sami Yusuf 2012 di Singapura yang terserlah.
 
Menyampaikan 22 buah lagu seperti Healing, The Source, Ya Muhammad, Make Me Strong, Sami tidak ketinggalan menunjukkan kebolehannya bermain peralatan muzik, terutama piano semasa mendendangkan lagu My Ummah.

Tidak sekadar menyanyi, Sami bijak mengawal pentas dengan melontarkan bicara khusus buat pengunjung konsert tersebut. "You still got energy (Anda masih ada tenaga)," ungkapnya yang pantas meraih respons berupa sorakan kuat daripada sekalian pengunjung tersebut.

Kemunculan figura pujaan nombor satu Malaysia, siapa lagi kalau bukan Datuk Siti Nurhaliza di pentas konsert itu sukses dalam menaikkan lagi momentum keterujaan penonton.
Berduet menerusi lagu You Came To Me, Sami dan Siti dilihat saling melengkapi antara satu sama lain menerusi vokal, aura dan penampilan mereka di pentas.

Biarpun sekadar satu lagu, namun ia ternyata suatu kombinasi padu antara Sami dan Siti, yang pastinya menjadi tarikan buat peminat di Malaysia untuk menyaksikan pula mereka menerusi Salaam Tour Sami Yusuf 2012 di Stadium Malawati pada Sabtu, 14 Julai ini.
Selain Siti yang muncul solo mendendangkan Lagu Rindu, kolaborasi Sami bersama kumpulan Mohram juga sukses dalam menjana suatu persembahan yang indah pada konsert tersebut.
Saling memuji
PENYATUAN aura, emosi dan penampilan Sami bersama Siti di pentas konsert untuk lagu You Came To Me antara tarikan utama konsert Salaam Tour Sami Yusuf 2012.
 
Apa yang nyata, Sami dan Siti saling memuji antara satu sama lain dan mengakui berbangga dapat menjalinkan kolaborasi bersama.
"Saya berbangga dapat berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza. Dia seorang wanita sejati," luah Sami ketika diminta memberikan pandangan peribadinya tentang Siti.
Tambahnya: "Siti memiliki vokal, aura dan personaliti yang indah. Dia merupakan simbol penyatuan dan identiti di rantau Asia Tenggara ini. Saya sangat bertuah kerana berpeluang menjalinkan kerjasama dengan Siti."

Mengenai pemilihan Siti untuk berkolaborasi dengannya menerusi konsert di Malaysia dan Singapura, Sami menegaskan antara faktornya adalah kerana Siti memiliki sifat keperibadian yang terpuji.
"Untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus bukan hanya bersandarkan kepada vokal semata-mata, tetapi perlu ada sifat peribadi yang baik seperti menghormati orang lain dan itu yang saya nampak salah satu ciri yang dimiliki oleh Siti," ujarnya.

Siti pula melahirkan perasaan keterujaannya kerana dapat berkolaborasi dengan Sami, sementelah dia berasa selesa dalam menjalinkan kerjasama dengan figura yang diberi jolokan Muslim British Paling Terkenal di Dunia oleh akhbar British, The Guardian itu.
SAMI (kanan) pada sidang akhbar semalam bersempena konsertnya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor menjelang Sabtu ini.
 
"Terima kasih kerana memberi peluang ini buat Siti, terutamanya berduet dengan Sami untuk lagu You Came To Me. Ia sesungguhnya suatu ruang yang baik buat Siti sebagai artis untuk dikenali peminat muzik dari luar negara terutama dari Timur Tengah,"' akuinya yang turut memberitahu bakal muncul dengan album penuh baharu menjelang hujung tahun ini.

Ungkap Siti lagi: "Sejak klip video lagu You Came To Me boleh diikuti di YouTube, ia nyata telah meraih respons memberangsangkan daripada peminat muzik luar negara terutamanya peminat Sami yang menyambut baik duet Sami dan Siti itu. Ia permulaan yang baik untuk karier Siti di masa depan."

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters