SEMPENA kehadiran bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan, ternyata kebanyakan stesen televisyen akan menyiarkan lebih banyak program televisyen yang berbentuk keagamaan.
Stesen televisyen TV3 buat julung-julung kalinya bakal tampil dengan sebuah program terbaharu yang cukup menarik iaitu Qari Junior yang berkonsepkan keagamaan untuk golongan kanak-kanak.
Ia merupakan sebuah program yang mencungkil bakat kemahiran kanak-kanak yang berumur lingkungan antara tujuh hingga 12 tahun terhadap kebolehan mereka dalam menghafaz al-Quran.
Penerbit Qari Junior, Shukri Ibrahim berkata, sesi uji bakat rancangan tersebut telah diadakan pada bulan April lalu di Sri Pentas, TV3 membabitkan 100 peserta dari seluruh Malaysia. Bagaimanapun, hanya 12 peserta sahaja yang dipilih untuk bersaing ke peringkat akhir.
“Selama ini penonton sudah acap kali disajikan dengan pelbagai program realiti yang berbentuk hiburan. Jadi, sempena kehadiran bulan Ramadan ini penonton dapat menyaksikan kebolehan kanak-kanak menghafaz ayat suci al-Quran.
|
|
“Menerusi program ini juga ia memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengasah dan mengembangkan bakat mereka dalam hafazan serta mendekatkan diri mereka dengan al-Quran pada setiap masa,” ujarnya.
Menurut Shukri, dengan bakat yang ditonjolkan oleh peserta dengan konsep yang dibawa menerusi program tersebut, ia dilihat mampu memberi suntikan positif kepada anak muda masa kini dalam bidang keagamaan.
Menggunakan konsep yang lebih kurang sama seperti program realiti yang lain, untuk setiap episod terdapatnya sesi penyingkiran dalam kalangan peserta dan pada penghujung episod hanya empat orang peserta yang bersaing ke peringkat akhir.
Kesemua peserta yang bertanding turut diadili oleh dua orang juri yang berpengetahuan luas dalam bidang keagamaan iaitu Ustaz Zamri Zainuldin dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman.
Juara sulung
Bagaimanapun, kesemua peserta terlebih dulu perlu berhadapan dengan tugasan sukar apabila dikehendaki menghafaz surah yang diberikan seperti surah Al-Insan, Yaasin dan As-Sajdah serta surah tambahan seperti As-Saff, Al-Waqiah, Al-Mulk dan Ar-Rahman.
Sistem pemarkahan pula di ambil kira berdasarkan kepada hafazan, tajwid, fasohah suara dan lagu.
Kemuncak pada pertandingan tersebut menyaksikan Fatimah telah dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta plak sumbangan TV3 dan pakej mengerjakan umrah tajaan Al-Fajr Travel, manakala saguhati pula menerima RM2,000 setiap seorang pakej mengerjakan umrah.
Program Qari Junior akan disiarkan sebanyak 20 episod bermula pada hari ini, 23 Julai selama 30 minit setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 9 pagi, sementara episod akhir pula akan disiarkan pada 17 Ogos selama sejam.
No comments:
Post a Comment