Persoalan timbul adakah ia mungkin kerana jangkitan paru-paru yang dihidapinya sehingga dimasukkan ke hospital awal Jun lalu masih belum sembuh atau susah hati kerana kontroversi yang tidak berkesudahan?
Ujar Remy: "Saya sudah okey tetapi masih perlu menjaga kesihatan. Dulu berat badan saya 73 kilogram tetapi sekarang 70 kilogram, mungkin itu menyebabkan wajah saya sedikit cengkung, tidur tidak cukup dan jadual kerja yang padat, bukannya susah hati."
Jika dihitung kontroversi yang membabitkan dirinya tidak terhitung dek jari, malah saban hari ada sahaja hari-hari yang mengejutkan dirinya dengan cerita panas terutama sejak cintanya bersama aktres Tiz Zaqyah diumumkan kepada khalayak.
Isu bergaduh di laman sosial dan terbaharu, bersikap panas baran sehingga memukul kekasih hatinya itu.
"Saya tidak tahu macam mana cerita itu timbul tetapi saya telah beri penjelasan. Bagi saya inilah cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi apabila saya memutuskan untuk bergelar seorang pelakon.
"Hubungan saya dan Tiz masih okey tidak ada sebarang masalah, apa sahaja cerita yang keluar mengenai kami, hanya kami yang tahu kebenarannya sebab yang menjalani hubungan cinta itu adalah kami bukan orang di luar sana.
"Apa yang penting saya dan Tiz saling percaya dan hubungan kami kuat," kata Remy yang berusia 30 tahun.
Ditanya lagi, menyesal atau tidak mengumumkan hubungan cintanya bersama Tiz kepada khalayak, tertawa sambil berfikir panjang, memikirkan jawapan yang tepat barangkali.
"Orang berhak untuk bercakap dan fikir apa sahaja mengenai kami berdua, kerana pekerjaan kami sebagai pelakon," tuturnya.
Lebih matang
Biarpun tidak kisah dengan segala kisah panas tentang dirinya, akui Remy jauh di sudut hatinya terbit rasa sakit hati setiap kali membaca kisah kontroversinya sendiri.
"Siapa boleh terima apabila cerita kontroversi dan cerita tidak benar keluar di media, saya mengaku saya sakit hati dan agak tertekan membaca cerita sendiri.
"Ketika saya mula-mula berlakon pada usia awal 20-an dulu, saya akan melenting kerana tidak tahu bagaimana untuk menghadapi keadaan tersebut.
"Itu realitinya sebab saya juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali dan buat tidak kisah dengan cerita yang keluar," katanya yang mula popular dengan drama Nur Kasih.
Tambah Remy, perkara pertama yang dilakukan setiap kali cerita panasnya keluar di media, dia akan menghubungi keluarganya di kampung.
"Saya akan terus telefon emak dan keluarga supaya mereka faham keadaan sebenar. Apabila keluarga tahu kisah yang betul, jadi tidak ada masalah pada saya, orang lain mahu bercakap apa sahaja, saya tidak peduli," luahnya.
Bercakap mengenai kontroversi, ujar Remy, dia lebih suka jika namanya disebut kerana produk lakonan tetapi lumrah dunia hiburan tidak dapat lari daripada kisah sensasi.
"Kontroversi ada baik dan buruknya. Sesetengah kontroversi merupakan publisiti yang menaikkan nama artis tetapi bagi saya kontroversi sangat tidak baik. Saya lebih suka orang kenal menerusi kerja yang saya lakukan sahaja," ucapnya yang menyambung kontrak selama dua tahun lagi sebagai duta produk Dashing.
Masih laris
Remy mungkin antara artis yang bertuah. Walaupun kisah kontroversinya tidak berkesudahan dan ramai pelakon lelaki baharu muncul tetapi kerjaya lakonannya berjalan seperti biasa malah, produk lakonannya ditayangkan berturut-berturut.
Selepas filem Jiwa Taiko dan Aku, Kau dan Dia, pada 30 Ogos depan Remy bakal muncul pula dengan filem 29 Februari hasil arahan Edry Abdul Halim.
|
"Bertuah? Mungkin ini bayaran yang diterima oleh orang yang selalu teraniaya dan difitnah seperti saya (ketawa). Kalau ikutkan sebab saya tidak ambil pusing segala kisah kontroversi kerana tujuan saya masuk ke dunia lakonan untuk ketengahkan bakat lakonan.
"Apa pun yang terjadi, apabila tiba bab kerja saya akan beri fokus seratus peratus. Kerja tetap kerja, saya harus berusaha kerana lakonan periuk nasi saya," balasnya.
Bukti komited Remy terhadap kerjaya, dia yang mengalami kecederaan sehingga dahinya terpaksa dijahit ketika menjalani penggambaran filem Bravo 5 di Tapah, Perak tidak kisah dengan parut yang ditinggalkan kesan daripada kecederaan tersebut.
Tidak mendapatkan sebarang rawatan kulit untuk menghilangkan parut di dahinya, kata Remy, dia bimbang untuk melakukan sebarang rawatan kulit di wajahnya.
"Ramai yang memberi nasihat untuk saya mendapatkan rawatan atau melakukan sesuatu untuk menghilangkan parut, tetapi saya tidak mahu.
"Setiap kali terfikir untuk membuat rawatan, fikiran saya akan berkata mengubah ciptaan Allah adalah haram, jadi selagi parut itu tidak mendatangkan mudarat dan apabila disolek tidak kelihatan, saya okey sahaja," jawab Remy.
Kosmo
No comments:
Post a Comment