SEREMBAN – Modus operandi pasangan suami isteri mencuri kereta bagai
menaiki kereta sendiri kerana membawa seorang anak kecil semasa
melakukan jenayah itu terbongkar apabila si suami ditahan bersama
seorang lagi rakannya pada hujung bulan lalu.
Tangkapan ke atas kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan 11
buah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah kereta Honda Stream yang
dicuri di sekitar negeri ini, Selangor dan Melaka.
Turut ditemui bersama kedua-dua suspek itu ialah lima buah komputer riba, satu rangka motosikal Yamaha RX-Z berserta rim tayar.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kedua-dua suspek
berusia 31 tahun dan 20-an ditahan di Kajang, Selangor dan Melaka.
“Suspek berusia 31 tahun iaitu suami kepada wanita terbabit ditahan
di Selangor pada 26 Jun lalu manakala rakannya dipercayai pekerja sebuah
bengkel ditahan pada 27 Jun di Melaka,” kata beliau pada sidang sidang
akhbar di sini.
Menurut beliau, kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah terlibat
mencuri enam buah kereta di negeri ini, Selangor (4) dan Melaka (2).
“Modus operandi suspek pertama ialah membawa isteri dan anak kecilnya
menaiki mana-mana kereta yang baru dicuri seolah-olah mereka sekeluarga
menaiki kereta sendiri,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment