Jom Buat Duit

Thursday, 12 July 2012

Alagan padam rekod Hup Wei


ALAGAN berjaya memadamkan rekod Sukma milik Hup Wei selepas merekodkan lompatan 2.21 meter di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.


ATLET muda Negeri Sembilan, A. Kavee Alagan membuktikan betapa dia kini sudah bersedia mencabar jaguh lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei.
Semalam, atlet berusia 20 tahun itu berjaya memenangi pingat emas dalam acara lompat tinggi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Lebih manis, Alagan berjaya memadam rekod Sukma milik Hup Wei selepas merekodkan ketinggian 2.21 meter.

Hup Wei merupakan pemegang rekod dalam acara tersebut dengan catatan 2.20m yang dilakukannya pada Sukma 2008 di Terengganu.
Ketika itu, Hup Wei memadamkan rekod selama 14 tahun milik bekas atlet kebangsaan, Loo Kum Zee yang melakukan catatan 2.15m pada Sukma 1994 di Perak.
Mengulas kejayaannya itu, Alagan berkata, sebelum turun beraksi, dia tidak meletakkan sasaran untuk memecahkan rekod milik Hup Wei.

"Pada awalnya, saya hanya meletakkan sasaran memburu pingat emas selepas sekadar meraih perak pada Sukma 2010 di Melaka.
"Jadi, kejayaan hari ini (semalam) boleh dianggap sebagai satu bonus buat saya kerana selain meraih emas, saya turut mencipta rekod baharu Sukma," kata Alagan semalam.
Pingat perak acara tersebut dimenangi atlet Johor, S. Navinraj yang melakukan catatan 2.19m, manakala gangsa milik atlet Selangor, Mohd. Azly Ghazali (2.15m).
Terdahulu, atlet Kedah, Noor Shahidatun Nadia Mohammad Zaki meraih pingat emas dalam acara lompat kijang wanita dengan catatan 12.77m.

Atlet Kedah, Nur Izzati Akmal Nazrilazdin pula meraih pingat perak selepas mencatatkan 11.81m, manakala gangsa milik atlet Sabah, Merrey Gabali (11.70m).
Dalam acara 5,000m lelaki, pingat emas dimenangi atlet Pahang, S. Saranraj yang merakamkan masa 16:00.73 saat.
Pingat perak diraih atlet Negeri Sembilan, Ahmad Luth Hamizan (16.04.05s), manakala gangsa milik S. Tanakendiran dari Perak (16:07.55s).
Dalam acara 400m lelaki, pingat emas dimenangi atlet Selangor, S. Kannathasan dengan catatan masa 47.48s.

Perak dan gangsa masing-masing diraih atlet Melaka, Schzuan Ahmad (47.68s) dan atlet Sabah, Anchois Aron (48.64s).
Bagi acara 400m wanita, pelari Terengganu, Nurul Faizah Asma' Mazlan merangkul pingat emas dengan catatan masa 57.18s.
Atlet Johor, Nurulassikin Mohd. Rasid meraih pingat perak selepas mencatat masa 57.49s, manakala gangsa milik atlet Sabah, Fathin Faqihah Mohd. Yusof (58.11s).

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters