Jom Buat Duit

Friday 13 July 2012

Kejutan VJ Rich, Holly

VJ RICH (kiri) dan VJ Holly diberi kepercayaan untuk mengendalikan MTV Worlds Stage Live in Malaysia 2012 yang bakal berlangsung di Sunway Lagoon pada Sabtu ini. 

MTV World Stage Live In Malaysia 2012 kembali mengambil lokasi Sunway Surf di Sunway Lagoon Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini, 14 Julai.
Bakal menampilkan persembahan hebat daripada bintang antarabangsa Justin Bieber, penghibur K-Pop terkenal Jay Park dan Kara serta penyanyi merangkap penulis lirik berbakat tempatan, Mizz Nina.
Menurut Timbalan Eksekutif merangkap Pengarah Urusan bahagian Asia Viacom International Media Networks, Indra Suharjono, pihaknya teruja untuk kembali mengendalikan program mega yang mendapat sambutan hangat peminat sekitar Asia Tenggara pada tahun ini.
“Kami berbangga dapat kembali ke Sunway Lagoon untuk sekali lagi mengadakan acara besar-besaran yang pasti meninggalkan memori paling indah,” katanya yang sudah tiga kali menguruskan produksi MTV World Stage sebelum ini.

Sementara itu, debaran turut dirasai dua pengacara terkenal MTV Asia iaitu VJ Rich dan VJ Holly. Jika tahun lalu, VJ Holly telah merasai pengalaman kali pertama mengacarakan program besar itu, tahun ini pendekatan lain dilakukan gadis kelahiran Singapura itu.
“Tahun ini kami bakal menari! Ya kami tahu kami tidak berbakat tapi kami akan pastikan audiens terhibur kelak, tapi jangan ketawakan kami kalau nampak pelik,” ujarnya berseloroh namun bersungguh-sungguh.
Ditanya mengenai persiapan mental dan fizikal tahun ini, kata Holly tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan.

“Hanya ikut rentak muzik dan berhibur. Sudah pasti saya perlu bersedia untuk mengendalikan acara yang besar ini. Salah cakap boleh jadi malu besar
“Tapi, saya sekarang sedang mencuba yoga. Memang menarik dan menenangkan jiwa,” kata pemilik nama sebenar Holly Grabarek, 22.

Holly memenangi program pencarian bakat hos rancangan MTV, MTV VJ Hunt pada tahun 2010 dan tahun itu juga dia mengacarakan MTV World Stage Live In Malaysia 2010.
Sementara itu, VJ Rich atau nama sebenarnya Richard Herrera yang berdarah kacukan Filipina-Amerika Syarikat mengakui perasaan gemuruhnya apabila pertama kali terpilih mengacarakan MTV World Stage.
“Cara hilangkan perasaan gemuruh adalah menikmati keseronokan di atas pentas. Persediaan saya bermula tiga bulan lalu dan kali ini saya akan mengumpulkan peminat Bieber dan K-Pop untuk berparti bersama-sama.

“Saya sasarkan peminat yang hadir kali ini 20,000 orang dan mereka perlu datang untuk melihat kejutan yang akan kami sajikan,” kata Rich yang menggemari sukan lasak.
Jejaka kelahiran Ohio, Amerika Syarikat itu benar-benar kelihatan teruja berada di Kuala Lumpur dan perasaan itu terpampang ketika sesi temu ramah di Hotel Sunway baru-baru ini.
“Ini kali ketiga saya ke Malaysia dan makanan pertama yang saya cari adalah char kuey teow, tapi saya sarankan anda mencuba terjun lelabah di Sunway Lagoon. Ia sangat menyeronokkan!” ujar jejaka berusia 31 tahun itu bersulam tawa.
Rakaman MTV World Stage Live In Malaysia 2012 akan disiarkan selama dua jam di saluran MTV SEA pada 28 Julai pukul 2.30 petang. Peminat yang ingin mendapatkan tiket MTV World Stage Live In Malaysia 2012 boleh layari www.worldstage.mtvasia.com untuk menyertai pertandingan dalam talian.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters