Jom Buat Duit

Wednesday, 25 July 2012

Justin Bieber, Taylor Swift pilihan remaja

MEMASUKI tahun ke-14 penganjurannya, anugerah Teen Choice Awards 2012 berlangsung penuh santai dan gemilang malam Ahad lalu di Gibson Amphitheater, Los Angeles. Dihadiri puluhan selebriti terkenal, jeritan daripada peminat remaja semestinya tidak henti-henti bergema kerana yang datang adalah nama-nama besar.

Meletakkan kuasa sepenuhnya pada undian remaja berusia 13 tahun ke atas, terbukti pemenang yang dipilih mereka jelas berpaksikan kepada artis kegemaran semasa. Walaupun banyak kategori yang sudah boleh dijangkakan pemenangnya, calon-calon senarai Top 5 memang teramat sengit.

Yang jelas, kegembiraan pastinya paling dirasakan barisan pelakon Twilight, penyanyi Justin Bieber dan Taylor Swift dengan kemenangan besar pada malam itu sekali gus meneruskan dominasi mereka dalam acara anugerah terbabit.

Bagi Swift sendiri, biarpun dicalonkan bersama artis wanita hebat yang lain seperti Adele, Katy Perry, Rihanna dan Jennifer Lopez, dari segi populariti, dialah pemenang. Penyanyi berambut perang itu bukan saja membawa pulang trofi untuk kategori Artis Wanita Pilihan malah dia juga menyapu kategori Suara Filem Pilihan, Single Artis Wanita Pilihan, Penyanyi Country Wanita Pilihan dan Lagu Country Pilihan.


Kemenangan itu sekali gus mengenepikan penyanyi kegilaan ramai, Justin Bieber yang turut cemerlang membawa pulang empat anugerah iaitu Penyanyi Lelaki Pilihan, Ikon Fesyen Lelaki Pilihan, Single Artis Lelaki Pilihan dan Bintang Lelaki Pilihan Musim Panas. Dengan kemenangan itu juga, Swift menjadi pemenang artis wanita paling terbanyak setakat ini iaitu 20 trofi.

Penguasaan yang sudah dijangka itu bagaimanapun masih menyentuh penyanyi berusia 22 tahun terbabit dan tidak henti-henti berterima kasih kepada pengundinya.

“Saya adalah insan paling bertuah pada ketika ini kerana memiliki anda semua,” katanya ketika menyampaikan ucapannya.

Apapun, legasi yang dibina filem paling berpengaruh, kisah pontianak alaf baru, Twilight masih belum mampu diruntuhkan apabila kejayaan pada acara itu menandakan betapa impaknya luar biasa sehingga kini. Pada malam itu, tiga pelakon utamanya iaitu Taylor Lautner, Robert Pattinson dan Kristen Stewart dipilih sebagai pemenang Pencapaian Sepanjang Hayat Pilihan, anugerah utama acara terbabit.

Tidak pernah gagal meraih sebarang trofi, sejak mula dicalonkan pada 2008 sehingga tahun ini, filem adaptasi daripada novel tulisan Stephanie Meyer itu sudah mengumpul sebanyak 41 trofi setakat ini. Malah Lautner, Pattinson dan Stewart juga tidak ketinggalan untuk bersama naik ke atas pentas menerima trofi berkenaan.

Menurut Lautner, jika tanpa kesetiaan pengikut filem berkenaan yang tidak pernah terhenti, tidak mungkin mereka masih berdiri di atas pentas berkenaan.

“Kami semua benar-benar terhutang budi dengan anda semua. Memang mengagumkan kerana anda semua masih percaya dengan filem ini dan sentiasa setia menyokong kami,” katanya.

Selain dicalonkan menerusi filem berkenaan, heroinnya, Stewart pula unggul menerima pencalonan dalam beberapa kategori untuk peranannya dalam filem Snow White and the Huntsman. Pencalonan berkenaan melayakkan Stewart menang dalam kategori Bintang Filem Wanita Pilihan Musim Panas.

Turut menggondol kemenangan berganda, filem sains fiksyen (sci-fi), The Hunger Games yang berjaya membawa pulang trofi Aktres Filem Sci-Fi Pilihan (Jennifer Lawrence), Aktor Filem Sci-Fi Pilihan (Josh Hutcherson), Filem Sci-Fi Pilihan dan Buku Pilihan. Manakala band yang cukup digilai sekarang, One Diection pula membolot trofi Lagu Cinta Pilihan, Penyanyi Berkumpulan Pilihan Musim Panas dan Artis Berkumpulan Baru Paling Menyerlah Pilihan.

Dihoskan penyanyi, Demi Lovato dan pelakon Glee, Kevin McHale, malam itu tidak ketinggalan diserikan persembahan hebat daripada beberapa artis. Paling mencuri tumpuan semestinya kemunculan semula band terkenal era 1990-an, No Doubt dengan vokalisnya, penyanyi serba-boleh, Gwen Stefani menakluk pentas dengan lagu terbaru mereka, Settle Down.

Bagaikan tidak lengkap rasanya apabila tanpa persembahan daripada Bieber yang mendendangkan lagu Boyfriend dan sebuah single terbaru, As Long As You Love Me berkolaborasi dengan Big Sean. Manakala, Carly Rae Jepsen dan Flo Rida juga tampil hebat dan tidak mengecewakan menerusi persembahan mereka.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters