Jom Buat Duit

Wednesday 18 July 2012

Syamsul Yusuf rela diarah adik sendiri

FILEM-FILEM arahan pengarah muda Syamsul Yusuf sememangnya tidak pernah mengecewakan dan mendapat sambutan hangat penonton. Filem KL Gangster sebagai contohnya, sehingga kini masih lagi mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia.
Biarpun berhasil meletakkan namanya sebagai antara pengarah hebat tanah air, anak kepada Datuk Yusuf Haslam itu mengakui tidak keberatan untuk berlakon di bawah pengarah lain dan tetap menerima tawaran daripada syarikat produksi luar.
Ketika ditemui pada majlis bacaan doa selamat dan pelancaran filem Gangster Celop di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini, Syamsul menyatakan dia ada sebab tersendiri berbuat demikian dan turut mendapat sokongan daripada bapanya.
KOSMO!: Sebagai seorang pengarah yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam dunia perfileman tempatan, kenapa Syamsul masih lagi terima berlakon dengan produksi luar?
SYAMSUL: Tujuan saya berbuat demikian kerana mahu mencari pengalaman yang lebih luas dan inilah peluang saya untuk belajar dan menimba ilmu dengan pengarah yang lebih berpengalaman.
Misalnya, pembabitan saya dalam drama bersiri Ameera yang kini sedang ditayangkan di TV3, banyak perkara yang saya pelajari daripada pengarah Murali Abdullah.
Adakah anda akan lebih banyak berlakon dengan syarikat produksi luar selepas ini?
Buat masa ini Skop Production masih lagi menjadi keutamaan, namun ayah tetap memberi galakan kepada saya untuk bekerja dengan syarikat lain. Tidak dinafikan sejak muncul dalam drama Ameera, banyak tawaran berlakon yang saya terima.
Ramai yang sudah tahu anda merupakan antara pengarah yang hebat dan pernah merangkul anugerah sebelum ini. Adakah sukar buat anda untuk berlakon di bawah arahan pengarah lain?
Sebenarnya saya tiada masalah langsung untuk berlakon dengan mana-mana pengarah. Sebagai pelakon, saya akan menurut apa sahaja arahan daripada pengarah serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik-sebaiknya. Malah, saya juga tidak keberatan untuk berlakon di bawah arahan adik saya sendiri iaitu Syafiq menerusi drama bersiri KL Drift yang akan ditayangkan di saluran RTM.
Antara berlakon dan mengarah, apakah yang menjadi keutamaan anda sekarang ini?
Kalau mengikut perancangan saya akan kurangkan mengarah filem dan mahu memberi lebih fokus kepada bidang lakonan. Lagipun, saya ada adik yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan. Jadi, inilah masanya untuk saya menerima lebih banyak tawaran berlakon dan sedia mempertimbangkan sekiranya menerima sebarang tawaran yang menarik dan sesuai.
Apakah projek terbaharu anda pada masa akan datang?
Selepas berlakon dalam filem Gangster Celop yang diarahkan oleh Ahmad Idham, saya sudah merancang untuk menghasilkan sebuah filem seram setelah kali terakhir melakukannya menerusi filem Khurafat yang ditayangkan pada tahun lalu.
Selain itu, saya juga turut mendapat tawaran berlakon filem yang diarahkan oleh seorang pengarah yang sangat saya kagumi. Namun, saya tidak boleh beritahu nama pengarah tersebut kerana tawaran ini masih dalam peringkat perbincangan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters