Jom Buat Duit

Sunday, 15 July 2012

Mahal tanda Shila Amzah matang

MENDENGAR khabar tentang Shila Amzah diberi cuti lima hari oleh doktor yang merawatnya di Pusat Perubatan Pantai pada awal minggu lalu, satu persoalan tercetus. Sakitkah dia atau tertekan sangatkah anak sulung penyanyi ND Lala itu terhadap isu naik harga yang baru-baru ini hangat diperkatakan?
Satu panggilan diajukan kepada ibunya Fauziah Sarman menanyakan situasi sebenar. Mujurlah jawapan yang diberikan tidak menghalang hajat merakamkan satu sesi fotografi bersama Shila sebagai pengisi ruang portfolio minggu ini.

Tiba lengkap dengan pakaian kasual dan solekan yang sedia untuk melangkah ke depan kamera, kesungguhan pelantun Patah Seribu itu menunjukkan keseriusannya memberikan komitmen. Bisik ibu: "Shila cuma migrain. Memang doktor minta dia rehat, tapi dalam jadual, hari ini kami ada sesi latihan untuk rakaman sebuah program raya dengan Astro, tapi tiba-tiba ia ditunda ke tarikh lain, ini rezeki awak."
Agak keletihan barangkali kesan sampingan berjenis ubat yang diambil, Shila bagaimanapun tidak mengecewakan. Puas dibidik lensa kamera, si kekasih aktor Sharnaaz Ahmad itu sudah tahu apa yang dikehendaki daripada bicaranya.

"Saya anggap diri saya dalam laluan yang positif ketika ini. Sepanjang tempoh 12 tahun lepas, sudah banyak cabaran yang saya lalui. Bagi saya, Tuhan tidak akan berikan semua sekali gus apa yang kita mahukan tapi dia berikan kita cabaran, cabaran itulah yang sedang saya depani hari ini," ungkapnya tenang saat definisi kerjaya minta diulas sebagai mukadimah.

Masuk ke topik Mania yang banyak menjadi platform kepadanya untuk menyambung harapan untuk ke Indonesia, kata Shila dia tidak mahu berhenti berharap ke arah itu. Janji Ahmad Dhani mahu dipegang dan jika dipermudahkan Tuhan, cita-cita untuk melebarkan pengaruh ke negara serumpun itu akan terlaksana jua.
Banyak yang cuba Shila kongsikan, paling utama rasa terkilannya terhadap isu yang menjadi buah mulut ramai. Isu menaikkan bayaran nyanyian sebenarnya bukan isu baharu dalam senario nyanyian tanah air. Cuba bayangkan, selama lebih 20 tahun industri, sudah berapa kali agaknya Datuk Siti Nurhaliza atau Anuar Zain begitu juga Ziana Zain menaikkan tahap bayaran masing-masing.
Kali pertama menjadi perhatian atas isu yang berkait rapat dengan suhu karier seninya, Shila tidak melihat isu bayaran sebagai satu masalah besar.

"Mungkin sebab dahulu orang anggap saya artis suam-suam kuku, nampak tak tegas. Sebab itulah bila saya naikkan fi persembahan, hal itu jadi isu besar. Saya bergerak sendiri, bila orang hubungi dan bertanya tentang bayaran, saya beri harga yang sepatutnya. Sebenarnya, itu harga sejak awal tahun 2012 lagi, sebelum masuk Mania dan selepas Anugerah Juara Lagu lagi.

"Bagi saya, ia tak sepatutnya jadi isu sebalik satu perkara yang normal. Menaikkan harga bermakna saya meletakkan tanggungjawab yang lebih tinggi, mencabar diri saya untuk memberi hasil yang lebih baik, memberi motivasi untuk diri sendiri supaya lebih memuaskan hati dan membuka mata ramai untuk melihat kematangan Shila Amzah," Shila mengusung pendiriannya.
Bukan naik kosong

SHILA AMZAH tidak mahu dianggap meninggi diri kerana naikkan harga bayaran.


Usia semuda 22 tahun bukan bermakna Shila kosong pengalaman. Berbelas tahun menyanyi, sudah entah berapa kali dia hanya dibayar dengan harga saguhati sedangkan ada artis lain yang sebaya dengannya menerima bayaran yang sepatutnya dibayar terhadap penyanyi profesional.

"Insiden-insiden begitu buat saya lebih berhati-hati. Dalam diam, saya juga ada membuat perbandingan, orang kata saya sudah pandai naikkan harga sedangkan ada penyanyi lain yang satu generasi dengan saya menetapkan bayaran berganda lebih tinggi berbanding saya.

"Sebelum berada di tahap yang sepatutnya, saya sendiri memang tidak berani letak harga mahal-mahal, saya takut juga tak boleh nak penuhi kehendak orang. Tapi sekarang saya sudah beroleh keyakinan, saya naikkan pada kadar yang berpatutan dengan diri saya. Saya masih sedar diri dan saya percaya isu ini pun pernah terjadi kepada rata-rata artis," katanya yang popular dengan Beribu Sesalan gandingan bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.
Sharnaaz panas baran, merokok
Sambil menyifatkan Patah Seribu sebagai kayu ukur pencapaian peribadi Nur Shahila Amir Amzah, kemunculan Sharnaaz Ahmad yang kini bertakhta di hati sedikit sebanyak memanaskan keberadaan Shila, di mata peminat.
Sudah resam cinta sesama artis, perhubungan Shila dan Sharnaaz yang mulanya menjadi bahan cerita, kini beransur tenang dek pengakuan dan keintiman yang bersulam restu orang tua.
"Saya baca hampir semua artikel tentang saya dan Sharnaaz. Dahulu saya pernah kata mahu ketepikan cinta demi karier tapi bila dengan Sharnaaz, saya tak tahu macam mana hendak tepis lagi. Orang kata, sekarang masa yang terbaik untuk saya fokus dengan kerja, tapi syukurlah juga, sebab Sharnaaz muncul ketika kerja saya juga sedang menunjukkan 'sesuatu.' Sekarang, rasanya saya sedang ada kedua-duanya (cinta dan karier) pada satu sama masa," ucap Shila tanpa sembunyi.
Belum boleh meramal masa depan, namun Shila yakin sudah ada keberanian untuk percaya pada kata hati. Antara dia dan Sharnaaz, Shila juga sedar, banyak perkara tentang lelaki dari Pulau Pinang itu yang tidak disukainya.



"Rasa 70 peratus apa yang ada pada Sharnaaz ialah perkara yang saya tidak begitu gemar, dia merokok, kasar dan mudah marah. Dia juga kuat cemburu, tapi Allah sudah buka pintu hati saya untuk jatuh cinta dengannya. Sekarang terserah kepada jodoh sahaja," katanya bersaksikan ibu yang tersenyum di sebelah.
Mengakui, biarpun bapanya, ND Lala tidak pernah menghalang hubungan mereka, namun kata Shila: "Ayah saya juga tidak pernah 'ya' atau 'tidak.' Bila jumpa Sharnaaz, dia okey cuma tidak beri kata putus."
Kata orang, cinta itu datang dan pergi, bagi Shila dia juga tidak tahu sama ada cintanya bersama Sharnaaz akan berpenghujung ke destinasi yang diimpikan. Biarlah tempoh dua atau tiga tahun dari sekarang menjadi waktu untuk mereka mengukuhkan kedudukan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters