Jom Buat Duit

Wednesday, 12 December 2012

Datuk Siti pertaruh Galau Single Terbarunya

BERTEMU dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza di set penggambaran klip video single terbaharunya yang berjudul Galau di Taman Botani, Putrajaya minggu lalu pelbagai cerita dikongsi bersama.

Selepas 17 tahun berkecimpung dalam bidang nyanyian, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Taruddin, masih berada di puncak dan belum ada penyanyi lain yang mampu menggugat pengaruhnya.

Sentiasa berpijak di bumi nyata, Siti yang baru selesai menjayakan konsert Siti Nurhaliza Live In Kuantan pada 9 November lalu, kini merancang untuk menawan semula Indonesia pada tahun hadapan.

"Misi tahun 2013 adalah untuk bertemu dengan peminat di Indonesia semula di samping mengembangkan pemasaran produk SimplySiti ke sana.
"Memang sudah ada tawaran untuk menerbitkan sebuah album projek khas bersama sebuah label di Indonesia. Setakat ini, semuanya dalam peringkat perbincangan kerana ada perkara dalam kontrak yang masih belum mendapat persetujuan bersama seperti soal royalti," ujar Siti mengenai misi tahun hadapannya.

Hakikatnya nama Siti di Indonesia bukan kecil. Menerusi single yang masih menghantui peminat di sana iaitu lagu irama Malaysia, Cindai yang membuka laluan besar untuk penyanyi tersebut ke Indonesia pada tahun 1997, kehadiran Siti sentiasa dinanti peminatnya di sana.

Meskipun terdapat lagu lain yang turut popular di sana, namun karya ciptaan Pak Ngah itu menjadi lagu wajib didendangkan setiap kali Siti mengadakan persembahan di negara seberang itu.
"Saya akui lagu Cindai memang sangat popular di sana sehingga hari ini. Jadi, untuk menembusi pasaran Indonesia semula, saya harus tampil dengan sebuah lagu yang segar.
"Disebabkan itu, saya sengaja memilih lagu ciptaan komposer Indonesia bernama Chacaq berjudul Galau agar mudah diterima di sana," katanya penuh harapan.

Memanaskan suasana sebelum menawan peminat seberang dengan lagu terbaharunya, Siti telah terbang ke Indonesia pada 9 Disember lalu untuk mengadakan konsert Ekspresi Karya Gemilang di tiga buah kota iaitu di Ancol, Jakarta (10 Disember), Pekanbaru (12 Disember) dan Banjarmasin, Kalimantan (14 Disember).

Konsert di Indonesia itu menggabungkan persembahan penyanyi Indonesia dan Malaysia. Selain Siti, penyanyi Shila Amzah, Amy Search, Rossa, Titi DJ, Nicky Astria, band Ungu dan band Armada turut menjayakan konsert tersebut.

"Konsert tersebut merupakan hadiah saya untuk peminat di sana yang rindu menyaksikan persembahan saya secara langsung. Saya akan lihat bagaimana sambutannya di sana terlebih dahulu sebelum benar-benar aktif mempromosikan lagu Galau nanti," beritahunya yang akan menyanyikan lima buah lagu di setiap lokasi konsert tersebut selain sebuah lagu duet bersama Rossa dan Titi DJ.

Single
Album bahasa Inggeris berjudul All Your Love Siti diterbitkan pada tahun lalu. Itu merupakan album solo terakhirnya. Kini, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu sedang sibuk mengumpul material untuk album ke-16.

"Sekarang saya sangat sibuk dan setakat ini sebanyak lapan buah lagu sudah berada dalam simpanan. Saya tidak akan muncul dengan album, sebaliknya keluar satu single dalam satu masa terlebih dahulu.

"Selepas beberapa single muncul, baru saya akan tampil dengan album penuh. Rasanya lebih senang begitu kerana lagu yang termuat dalam album sudah mesra pendengar kerana telah diputarkan di radio," ujarnya.

Bercakap tentang buah tangan terbaharunya, lagu Galau yang bermaksud rasa kehilangan itu telah dirakamkan dua bulan yang lalu.
"Sebenarnya saya sukakan lagu Galau kerana lagunya ringkas dan liriknya mudah diingati. Jika lagu itu senang dihafal pendengar, mudahlah ia diterima ramai," akuinya tentang formula kejayaan sesebuah lagu menjadi siulan ramai.

Dalam kesibukan kerjayanya, Siti tidak pernah melupakan mereka yang tidak bernasib baik. Aktif dalam melakukan kerja amal, menerusi produk SimplySiti, Siti telah melancarkan kempen SimplySiti Di Hati.

Kerja amal
Kempen tersebut dilancarkan untuk mengumpul dana buat tiga kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan menjalani pembedahan jantung.
"Seorang daripada tiga orang kanak-kanak itu telah selamat menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.
"Mereka bertiga dipilih berdasarkan nasihat pihak IJN sendiri. Dalam kempen ini, Siti sasarkan untuk mengutip dana sebanyak RM100,000.

"Kanak-kanak ini boleh dibantu dengan pembelian produk SimplySiti bernilai RM150 ke atas, sebanyak RM10 akan disalurkan ke tabung SimplySiti Di Hati.
"Jika ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan terus kepada mereka juga boleh dengan menghubungi pihak IJN," jelasnya yang menjelajah ke-11 lokasi seluruh Semenanjung Malaysia demi menjayakan kempen ini.

Selain itu, isteri kepada Datuk Khalid Mohd. Jiwa atau Datuk K terbabit dengan Malam Amal Tahajjud Cinta yang akan berlangsung pada 30 Januari tahun hadapan di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Acara yang dianjurkan oleh pihak Fareeda dan Yayasan AIDS Malaysia bakal menyaksikan Siti melelong dua tudung rekaannya sendiri pada malam tersebut untuk mengutip dana.
"Saya akan menyanyikan lagu berkonsep ketuhanan atas permintaan pihak penganjur dengan kebanyakan lagu dipetik daripada album Tahajjud Cinta.
"Secara kebetulan acara ini diadakan ketika umat Islam masih dalam suasana sambutan Maulidur Rasul, jadi lagu ketuhanan amat sesuai selain lagu popular saya yang sesuai dengan acara itu," ujarnya mengakhiri bicara.
Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)